Thursday, December 9, 2010

KHUTBAH JUMAAT NEGERI PERLIS (10 Disember 2010 M / 4 Muharam 1432 H) Tajuk: KELUARGA YANG HARMONI

اِنَّ الحَمْدَ للهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوذُ بِالله مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ, أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلِهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلَّمْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلَى يَوْمِ الدِّيْن.

أَمَّا بَعْدُ, فَاِنَّ أَصْدَقَ الحَدِيْثِ كِتَابُ الله, وَخَيْرَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, وَشَرَّ الأُمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا, وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ, وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ, وَكُلَّ ضَلَالَةٍ فِى النَّارِ…

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Keluarga Yang Harmoni”.

Institusi Keluarga merupakan asas untuk melahirkan generasi yang soleh dan bertakwa. Kejayaan dan keharmonian sesebuah keluarga berkait rapat dengan kualiti kepimpinan ketua keluarga tersebut. Justeru, Islam meletakkan bapa sebagai pemimpin dan ketua dalam sesebuah keluarga. Bapa bertanggungjawab memastikan agar ahli keluarga sentiasa dalam keadaan baik serta mengikut landasan yang diredhai oleh Allah SWT. Tanggungjawab dan peranan ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim :

“كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، اَلإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِى أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِى بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُوْلَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا

Bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang pemimpin negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin, ia bertanggungjawab terhadap rumahtangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya.”

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Untuk membina sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia, ibu bapa seharusnya mempamerkan contoh dan tauladan yang baik untuk diikuti oleh anak-anak. Keluarga yang berakhlak mulia akan menghasilkan anak-anak yang berakhlak mulia. Kelakuan keluarga yang buruk akan menjadikan anak–anak itu sendiri berkelakuan buruk. Akhlak baik yang dilihat oleh anak-anak akan membentuk mereka secara tidak langsung. Mereka juga secara tidak langsung meneladani tunjuk ajar, budi bicara dan perbuatan mulia yang diamalkan oleh ibu bapa. Dengan itu, bapa dan ibu diharapkan menjadi model baik yang akan dituruti oleh anak-anak. Segala tingkahlaku, akhlak, tindak tanduk, adab, dan budi bahasa pasti mempengaruhi kehidupan seharian mereka.

MUSLIMIN YANG DI MULIAKAN,

Bagi merealisasikan hasrat melahirkan generasi yang soleh dan bertakwa dalam sesebuah intitusi keluarga. Maka, bapa sebagai pemimpin keluarga hendaklah mengambil berat terhadap perkara-perkara berikut:

1. 1. Berperanan memberi dan menyediakan pendidikan agama yang sempurna kepada seluruh ahli keluarga.

Tanggungjawab ini telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6

Yang bermaksud: ”Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Berdasarkan ayat tersebut, Allah memerintahkan orang-orang yang beriman agar menjaga diri dan keluarganya daripada api neraka Allah SWT. Hanya dengan pendidikan agama yang sempurna saja dapat menyelamatkan sesebuah keluarga daripada jatuh ke dalam api neraka.

1. 2. Ibubapa hendaklah memastikan sumber rezeki yang diberi kepada isteri dan ahli keluarga dari sumber rezeki yang halal.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 :

Yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, makanlah rezeki yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”

Setiap makanan yang diberi kepada anak-anak hendaklah makanan dari sumber yang halal serta menjauhi dari sumber-sumber yang syubhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba, penipuan dan sebagainya. Rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi melahirkan zuriat yang pintar dan sihat. Dan akhirnya mendorong seseorang ke arah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah di akhirat.

1. 3. Memperuntukkan masa yang berharga dan berkualiti kepada keluarga.

Bagi membentuk keluarga cemerlang, kita perlu memperuntukkan dan mengunakan masa yang berkualiti bersama anak-anak. Jadikan rumah sebagai tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan. Ini dapat dicapai dengan mengerjakan sembahyang berjemaah sekeluarga di masjid dan menerapkan amalan membaca Al-Quran atau bertadarus bersama-sama, membaca buku agama di rumah beramai-ramai, meluangkan masa untuk beriadah dan berkelah dengan anak-anak serta keluarga, kerana ini secara tidak langsung dapat menambahkan hubungan kasih sayang dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,

Sifat kasih sayang amat penting dan sangat ditekan oleh Islam, khususnya dalam pembinaan sebuah keluarga yang bahagia. Bagi memperolehi kasih sayang yang sebenar dalam kehidupan sebuah rumah tangga, seseorang itu perlu menjalinkan hubungan yang harmoni antara seluruh anggota keluarga dengan sentiasa kasih mengasihi, saling hormat-menghormati serta bantu-membantu antara satu sama lain. Semua pihak perlu tahu peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Terdapat beberapa faktor yang dapat menyuburkan kasih sayang untuk pembinaan sebuah keluarga bahagia. Antaranya ialah:

Pertama, Faktor Kasih Sayang Antara Suami Dan Isteri:

Bagi melahirkan kasih sayang yang sebenar antara suami dan isteri, kedua-dua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggung jawab masing-masing. Isteri bertanggungjawab melayani dan mentaati suami, manakala suami pula berperanan sebagai pelindung dan tempat bergantung isteri dan ahli keluarga. Islam juga menganjurkan para suami agar sentiasa bergaul dengan isteri dengan baik.

Hakikat ini diperjelas lagi, dengan sabda nabi SAW dalam hadis riwayat Al-Tirmizi:

” خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَاَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِيْ ”

Maksudnya : ”Sebaik-baik dalam kalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku..”

Faktor kedua ialah kasih sayang antara anak-anak dengan ibubapa.

Islam mewajibkan anak-anak menyayangi dan mengasihi ibu bapa, mematuhi segala perintah dan nasihat keduanya, mengunakan kata-kata yang lemah lembut serta beradab, tidak menyinggung perasaan dan menyakitkan hati kedua ibubapa.

Faktor ketiga yang dapat menyuburkan kasih sayang ialah dengan adanya hubungan kejiranan yang baik.

Kasih sayang itu bukan sekadar perlu dipupuk antara suami dan isteri, atau anak dan ibu bapa saja, tetapi silaturrahim terhadap saudara yang lain termasuk jiran tetangga juga sangat digalakkan oleh Islam kerana hasil daripada ikatan kemesraan itu akan melahirkan kekuatan ummah yang padu. Amalan hormat-menghormati dan tolak ansur antara jiran tetangga ditingkatkan kerana ianya boleh melahirkan kehidupan yang harmoni dan sekaligus dapat membangunkan intitusi keluarga masing-masing dengan harmoni dan bahagia.

MUSLIMIN YANG DIHORMATI SEKALIAN,

Mengakhiri khutbah, mimbar ingin merumuskan tentang isu yang dibincang ini, seperti berikut :

Pertama: Ibubapa hendaklah sentiasa memperkukuh dan melengkapkan ilmu agama bagi menghadapi cabaran akhir kini.

Kedua: Memperuntukkan masa-masa tertentu bersama ahli keluarga untuk makan bersama, dan bertanya khabar bersama anak-anak.

Ketiga: Mendekatkan keluarga kita dengan institusi masjid dengan menghadiri solat jemaah dan mengikuti kuliah-kuliah agama.

Keempat: Sentiasa menjauhi maksiat seperti hiburan melampau, pergaulan bebas dan pendedahan aurat yang boleh memporak-perandakan keluarga kita.

Firman Allah SWT dalam surah al- furqan ayat; 74:

Maksudnya: “Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang bertakwa.”

Hadirin sidang Jumaat sekalian,

Marilah kita bersama-sama membanyakkan selawat ke atas baginda Nabi SAW. Barangsiapa berselawat ke atas baginda satu kali, maka Allah membalasnya dengan pengampunan dan rahmatNya sebanyak 10 kali.

اَللّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.

اَللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعْوَاتِ وَقَاضِىَ الْحَاجَاتِ.

يا الله! امفونيله سلوروه قوم مسلمين سام اد يغ هيدوف اتاو فون يغ تله ماتي. يا الله! بريكن فتونجوق هداية سرتا رحمتموكفد كامي دان كفد فميمفين كامي تراوتاماث راج فمرينته نضري فرليس توانكو سيد سراج الدين ابن المرحوم توانكو سيد فترا جمال اليل دان راج مودا فرليس توانكو سيد فائز الدين فترا ابن توانكو سيد سراج الدين جمال الليل سرتا قوم قرابة بضيندا، سوفايا سنتياس برعمل دعن كتابمو دان سنه نبيمو، يا الله! معموركن تانه أير كامي دغن عملن يغ صالح دان هينداريله درفد سضالا مالافتاك دان بالا بنخانا دسببكن دوسا كموغكرن يغ دلاكوكن ددالمث.

يا الله! فد هاري جمعة يغ فنوه كبركاتن اين، بريله كقوأتن كفد كامي، سوفاي كامي سنتياس ملاكوكن ستياف يغ اغكو سوروه دان منيغضلكن ستياف يغ اغكو لارغ.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِىْ قُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوْفُ الرَّحِيْمُ.

عِبَادَ اللهِ! اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالاحْسَانِ وَاِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ.

No comments:

Post a Comment