Thursday, January 19, 2012

Bekas Mufti Kelantan meninggal dunia

2012/01/19

KOTA BHARU: Bekas Mufti Kelantan, Datuk Hasbullah Mat Hassan, 76, yang diserang angin ahmar sejak empat tahun lalu, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Atas Banggol, di sini hari ini.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai mufti kerajaan negeri sejak 1990 hingga 2007, meninggalkan seorang isteri, Datin Wan Fatimah Wan Ahmad, dan tujuh anak iaitu empat lelaki dan tiga perempuan.

Mufti Kerajaan Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata sebelum memegang jawatan itu, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai guru agama di Sabah sebelum bertugas sebagai Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di kampung kelahirannya di tanah perkuburan Islam Kampung Paya Lada, Kadok, dekat sini.

Mohamad Shukri berkata, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V turut menziarah jenazah Allahyarham dan menunaikan solat jenazah
Baca selanjutnya...

Wednesday, January 11, 2012

Ke Tandas Pun Ada Adabnya

Oleh : Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan)


ISLAM mengajar adab tertentu mengenai qadha hajat dan istinjak. Orang Islam tidak melakukan qadha hajat dengan keadaan tidak ingat kepada peraturan dan adab-adabnya.

Pelbagai peraturan telah tersedia untuk kehidupan manusia agar menjadi insan berakhlak mulia.

Sejak bangun tidur sebelum fajar hingga ke waktu tidur semulapada malam berikutnya, setiap detik dilengkapi dengan peraturan dan hukum hakam yang telah ditetapkan oleh agama Islam, untuk mengawal kehidupan manusia agar mereka dalam keredaan Allah SWT.

Makhluk diciptakan berpasangan. Begitu juga tarafsesuatu tempat, ada yang dikategorikan sebagai tempat baik serta mulia. Ada tempat digolongkan sebaliknya, iaitu tempat yang hodoh dan tidak dihormati agama.

Kanan dan kiri mempunyai falsafahnya tersendiri. Islam mensifatkan di kalangan orang yang mendapat keredaan Allah SWT di akhirat dikenali sebagai ‘Ahlul Yamin’ (orang yang mendapat suratan di tangan kanan).

Sementara orang yang gagal mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT, disebut sebagai ‘Ahlus Syimal’ (Orang yang mendapat suratan di tangan kiri).

Nabi s.a.w. menyimpulkan bahawa ‘kanan’ sebagai lambang kebaikan, kejayaan dan keredaan Allah SWT. Sementara kiri pula sebagai lambang kejahatan, kegagalan dan kemurkaan Allah SWT.

Sesuai dengan kedudukan sesuatu tempat, maka sepasang kaki antara kanan dan kiri berperanan mengikut kesesuaiannya.

Tandas suatu tempat yang diperlukan, tetapi ia dianggap hodoh oleh agama, maka kaki kiri selayaknya untuk memulakan langkah masuk ke dalamnya, kaki kanan untuk melangkah keluar darinya.

Bagi tempat yang mulia seperti masjid, mushalla dan sebagainya, semestinya dikehendaki melangkah masuk dengan kaki kanan dan keluar dengan kaki kiri.

Demikian indahnya adab atau akhlak yang ditetapkan oleh syariat Islam, tujuannya untuk membina pekerti manusia walaupun dalam perkara yang kecil seperti qadha hajat.

Meskipun urusan qadha hajat dianggap remeh oleh segolongan manusia, mematuhi adab yang diajar oleh Nabi s.a.w. walaupun di tempat yang hodoh seperti tandas itu, pasti mendatangkan pahala kepada orang-orang beriman yang mentaati perintah Nabi s.a.w.

Tandas meskipun dibina dengan bahan yang mahal seperti marmar, jubin dan sebagainya, ia tidak menukar taraf jadi mulia dengan sebab materialnya yang bernilai tinggi.

Islam tidak menilai sesuatu binaan berdasarkan materialnya, sebaliknya berdasarkan taraf yang ditetapkan dan bersesuaian dengan keperluan manusia.

Masjid meskipun dibina hanya dengan batang pokok tamar dan beratapkan daun serta pelepahnya, sebagaimana masjid yang pertama kali dibina oleh Nabi s.a.w. di Kuba, ia tetap mulia kerana taraf masjid di sisi agama ialah sebagai ‘Rumah Allah.’

Di dalamnya tempat manusia sujud menyembah Allah SWT, serta melakukan pelbagai ibadah, zikrullah dan aktiviti-aktiviti lain dalam kemasyarakatan.

Tandas tetap dianggap tempat yang hodoh kerana di situ tempat manusia terpaksa dedahkan aurat kerana qadha hajat.

Sesungguhnya malaikat tidak berada di tempat manusia membuka auratnya, walaupun dalam situasi terpaksa.

Tandas menjadi tempat hodoh terbukti dengan larangan membawa ke dalamnya benda yang bertulis kalimah Allah dan Rasul-Nya. Jika membawa kalimah Allah ke dalam tandas pun terlarang, apatah lagi menyebut kalimah tersebut.

Justeru itu ketika keluar dari tandas disunatkan mengucapkan ‘Ghufranak’ yang bermaksud; memohon ampun kepada Allah SWT.

Apakah kesalahan dan dosa seseorang itu ketika berada dalam tandas, sehingga sebaik saja keluar lantas dianjurkan segera mohon ampun kepada Allah SWT?

Bagi insan bertakwa duduk dalam situasi terhalang daripada menyebut kalimah Allah SWT (zikrullah), ia adalah suatu pembaziran usia yang amat berharga itu.

Wajarlah baginya mohon ampun kepada Allah SWT, apabila terpaksa mensia-siakan detik usia yang dikurniakan kepadanya.

Wajar ikhtiar agar tidak terlalu lama berada di tempat yang hodoh itu.

Justeru itu Nabi s.a.w. mengajar cara duduk bertinggung dengan memberatkan ke kiri ketika qadha hajat, agar boleh mencepatkan
proses keluar najis.

Dengan demikian dapat meringkaskan masa dan menjimatkan usia ketika berada di tandas. Bagi seorang mukmin dapat menunaikan qadha hajat dalam tempoh yang segera, adalah suatu nikmat yang wajar disyukuri.

Justeru sebaik saja seseorang itu keluar tandas mengucap ‘Ghufranak’. Kemudian disusuli dengan ucapan syukur kepada Allah SWT, yang dengan izin-Nya telah mengeluarkan sisa makanan dan minuman yang tersimpan dalam perut, jika tidak keluar pasti akan mendatangkan mudarat kepada diri.

Sebaik saja sisa makanan dalam bentuk najis keluar, ia adalah suatu nikmat yang tidak dapat digambarkan. Lebih besar nikmat qadha hajat itu terutama bagi mereka yang mengalami penyakit sembelit dan sukar membuang najis.

Alhamdulillah syukur kepada Tuhan yang telah menghilangkan penyakit melalui qadha hajat itu, malah telah mengekalkan zat dan pelbagai vitamin terdapat dalam makanan dan minuman, yang diperlukan oleh tubuh badan.

Segala intisari zat dan pelbagai vitamin itu untuk tenaga bagi melaksanakan ibadat sebagai hamba Allah, dan lain-lain kegiatan dan keperluan setiap insan yang berperanan dalam keluarga dan masyarakat.

(Tulisan asal disiarkan dalam ruangan Mauizah Harakah cetak keluaran 1707)


SUMBER : HARAKAHDAILY


Baca selanjutnya...

Di Usia Panjang Ini Saya Kerja Untuk AGAMA - Nik Aziz

(Nik Aziz melihat kek harilahir sempena 81 tahun kelahiran beliau 10 Januari semalam)

KOTA BHARU, 11 Jan: “Saya bekerja ni untuk itulah, untuk meluaskan bingkai agama, jadi melalui usia yang panjang inilah saya boleh melakukannya,” kata Tuann Guru Datuk Nik Abdul Aziz kepada Harakahdaily selepas majlis meraikan harijadi beliau ke 81 hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu hari ini begitu terkejut apabila majlis keraian diadakan untuknya sempena menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-81, yang jatuh pada 10 Januari semalam.

Mursyidul Am itu juga tidak menduga acara itu dibuat sedemikian rupa yang tidak dimaklumkan terlebih dahulu padanya sebelum ini.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas menjamu selera sempena majlis keraian itu yang diadakan di pejabatynya hari ini.

Majlis itu diadakan selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri hari ini. Semalam Nik Aziz berpuasa tanda kesyukuran ekoran pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari pertuduhan meliwat.

“Saya hanya diberitahu oleh setiausaha saya hari ini ada jamuan, itu sahaja,”ujarnya sambil tersenyum ceria.

Menurutnya, beliau tidak pernah menyambut hari ulangtahunnya sendiri selama ini.

Tambahnya, hanya setiap hari beliau berdoa semoga usia yang diberikan Allah setiap hari itu dapat dimanfaatkan dengan baik khususnya untuk berdakwah semoga rakyat Kelantan termasuk Malaysia menggunakan Islam yang syumul, bukan hanya separuh sahaja.

Katanya, Islam separuh hanya disebarkan oleh orentalis barat seperti agama dan politik perkara yang berasingan yang akhirnya ditelan oleh umat Islam pelbagai bangsa di dunia ini.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, Datuk Meja (B) Md Anizam Abdul Rahman, Datuk Abdul Fatah Mahmood.

Turut meraikan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Fauzi Che Mamat dan lain-lain pimpinan.


SUMBER : HARAKAHDAILY

Baca selanjutnya...

Ustaz Hadi Mahu Jadi Nelayan Semula


SAYA terpegun bercampur pilu membaca kenyataan Persiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang memilih untuk menjadi nelayan semula setelah adanya Perdana Menteri dan kerajaan yang hendak menjalankan pemerintahan bagai yang dikehendaki oleh Islam.

Ini jawapannya kepada pertanyaan tentang calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat kiranya calon yang disediakan iaitu Anwar Ibrahim berhalangan disebabkan dipenjara dan sebagainya.

Ada yang menyebut namanya sebagai seorang calon. Memang dalam politik di zaman ini, rakyat diberi kuasa menyokong menentukan kerajaan melalui pilihan raya, maka mereka mahu tahu calon Perdana Menteri.

Momentum atau persaingan hebat bagi menentukan penguasa Putrajaya dalam PRU 13 ini buat pertama kali, disebabkan keupayaan pembangkang menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri sejak Pakatan Rakyat terjelma.

Hakikat menentukan keadaan jadi begitu. Tetapi suasana juga menuntut akan calon alternatif jika berlaku sesuatu.

Ustaz Hadi sebagai seorang ulama haraki tidak pernah menolak tanggungjawab. Apabila beliau ditanya soalan itu, maka beliau memberikan satu jawapan politik dan dakwah mengikut semangat yang selalu diberi oleh ulama besar silam.

Pertama tidak menjawabnya secara tepat sebelum keperluan itu tiba tetapi adalah tanggungjawab ulama tidak menolak tanggungjawab apabila amanah itu diletakkan kepadanya.

Saidina Abu Bakar cepat-cepat mencalon Umar al-Khatab sebagai khalifah menjalan tugas pimpinan sebaik Nabi SAW wafat, kerana merasakan dirinya bukan calon terbaik. Saiduna Umar r.a. pula cepat-cepat menolak selagi Saidina Abu Bakar ada.

Itu akhlak yang berkelayakan besar bagi memimpin umah. Pimpinan negara atau kerajaan adalah penting, tetapi pemimpin Islam yang berwibawa sentiasa melihat siapa berupaya dan berkelayakan selain daripadanya, kerana yang utama bagi Islam ialah tuntutan dan hendak Islam dapat dipenuhi dan ada orang lain yang dapat memenuhinya, kalau pun tidak lebih baik, sekurang-kurang sama baik dengannya.

Maka pilihan mereka ialah membuat pekerjaan sendiri bagi menyara diri seperti beternak, bertani, menangkap ikan. Abu Zar misalnya menolak semua jawatan, memilih menjadi tukang anyam bakul bagi menyara hidupnya.

Ustaz Hadi adalah seorang tokoh besar ulama dan politik di peringkat nansional dan antarabangsa, pendakwah gigih, pernah menjadi Menteri Besar, berkelayakan untuk menjadi pentadbir. Semuanya bersetuju beliau diberi peranan.

Jika boleh diberi kebebasan untuk memilih kehidupan yang paling dekat di hatinya iaitu sebagai orang biasa yang kembali ke laut sebagai nelayan. Memang beliau dilahirkan dalam keluarga nelayan, besar sebagai keluarga nelayan. Walau pun sebok dengan hidup politik dan dakwah, tetapi ke laut dan menjala ikan tetapi menjadi hobinya dan ada kandang kambingnya sebagai tempat bersantai setelah penat kempen dan mengajar.

Jika tugas politiknya dapat dikurangkan, atau kewajipan itu dapat dipangku orang lain, tentu beliau ada masa yang selesa untuk mencandak sotong dan turun ke laut dalam menangkap ikan untuk keperluannya dan orang-orang sekelilingnya.

Mulanya saya tidak pernah memikirkan Ustaz Hadi patut lebih ke laut dari mengendalikan pemerintahan apabila Allah gilirkan bagi PAS untuk sama-sama memerintah. Keutamaan baginya di tempat pemerintahan ialah bagi memastikan tuntutan Islam itu berjalan sebaik-baiknya. Jika ada yang boleh mengendalikannya, maka pilihannya untuk ke laut seperti datuk-datuknya dulu dan saudara maranya.

Inilah pilihan yang dibuat oleh Rashied Ghanusi apabila Parti An-Nahzah memenang pilihan raya Tunisia baru-baru ini dan ini kaedah yang digunakan oleh Ikhwanul Muslimin yang menyertai pilihan raya Mesir sekarang. Pimpinan utama Ikhwan tidak menyertai pilihan raya pun, tetapi mereka memberi amanah kepada orang-orang yang dipercayai dapat memenuhi perjuangannya.

Kita boleh mengambil sikap terbuka boleh mengambil laluan yang diambil oleh rakan-rakan di Tunisia dan Mesir dan boleh menasihatkan Ustaz Hadi supaya menangguhkan dulu keinginannya menjadi nelayan penuh masa.

Mungkin buat masa terdekat ini ke laut itu jadi hobi seperti orang turun ke padang golf dan bermain tenis.


SUMBER : HARAKAHDAILY

Baca selanjutnya...

Thursday, January 5, 2012

Panduan Mengenali Allah dan Mencintai Rasul

Perkara asas dalam pendidikan rohani adalah mendidik anak-anak mengenali Allah dan menyintai rasul-Nya sejak dari kecil. Islam menganjurkan umatnya bagi memulakan kehidupan bayi yang baru lahir dengan kalimah Laa ilaha illallah seperti hadis yang dilaporkan oleh Ibnu Abbas, Rasulullah berkata:

"Buka kehidupan bayi kamu dengan kalimah pertama Laa Ilaha Illallah."

Hadis direkodkan oleh al-Hakim dan al-Baihaqi

Abdul Razak di dalam kitab al-Musannaf merekodkan para sahabat gemar mengajar anak-anak mereka kalimah Laa ilahaillallah sebagai ucapan yang pertama. Anak-anak diajar bagi mengucapkan kalimah itu sebanyak tujuh kali secara fasih dengan maksud supaya kalimah itu menjadi ungkapan pertama yang mampu mereka ucapkan.

Ibnu Qayyim di dalam kitabnya Ahkam al-Maulud menganjurkan kepada para ibu bapa supaya mengajar anak-anak mereka kalimah Laa Ilaha illallah ketika anak-anak mulai pandai bercakap dan perkara pertama yang didengar oleh telinga mereka adalah makrifatullah iaitu mengenai Allah dan mentauhidkan-Nya. Anak-anak perlu diajar yang Allah sentiasa melihat dan mendengar serta sentiasa bersama mereka.

Islam turut menganjurkan supaya anak yang baru lahir diazankan pada telinga kanan dan diiqamatkan pada telinga kiri. Ia bertujuan bagi memastikan kalimah tauhid menjadi kalimah pertama didengari anak selepas lahir ke dunia. Namun, ia tidak berakhir setakat di situ sahaja. Memperdengarkan kalimah Laa ilaha illallah pada awal kelahiran bayi adalah simbol permulaan kehidupan yang baik yang perlu diteruskan nanti. Anak-anak perlu sentiasa diperdengarkan dengan perkataan yang baik, yang dapat menyuburkan jiwa dan iman mereka.

Anak-anak juga perlu diajar bagi mencintai Rasulullah serta keluarga beliau seperti hadis Rasulullah yang direkodkan oleh at-Tabrani yang dilaporkan oleh Saidina Ali, Rasulullah berkata:

"Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara: mencintai nabimu, mencintai keluarganya dan membaca al-Quran. Sesungguhnya orang-orang yang berbekalkan al-Quran berada dalam naungan arasy Allah ketika tidak ada naungan kecuali naungan-Nya bersama para nabi dan orang-orang suci."

Dipetik daripada buku Indahnya Didikan Awal Anak Cara Islam oleh Puan Mazidah Muhammad dan DR. Noor Hisham Md Nawi.

* Buku ini telah aku beli pada bulan April 2011 dan telah dijadikan salah satu bahan rujukan untuk mengajar (",)

Baca selanjutnya...

Wednesday, January 4, 2012

Bermulanya Persekolahan

Assalamualaikum wr. wbt... Apa khabar sahabat seperjuangan? Tahun baru masihi telah menjelang tiba. Maka bermulalah alam persekolahan yang begitu bermakna buat adik-adik kecil terutamanya yang berumur lima dan enam tahun.

Di hadapan rumah sewaku, terdapatnya tadika yang menempatkan anak-anak kecil ini. Tadika Islam al-Humairah namanya. Pengusahanya adalah suami isteri yang gigih melayan karenah ibu bapa dan para pelajar tadika itu sendiri. Seronok tinggal berhadapan dengan tadika ini. Awal-awal pagi aku mendapat ilmu secara percuma. Setiap hari persekolah ilmu akan kudapati daripada adik-adik di tadika dan para pengajarnya.

(Gambar para pelajar Pasti di Kelantan - 2012)

Biasanya kita yang dewasa akan mengajar kanak-kanak, tapi sebaliknya yang berlaku di kejiranan tempat tinggalku..khususnya buat diriku sendiri. Seawal pagi, mereka mulakan hari di kelas dengan riuh tawa dan tangis. Seronok yang teramat sangat kerana melalui suara yang meriah merekalah aku bersemangat untuk pergi kerja. Jika jadual kerja aku masuk jam 9.00 pagi, hari itu lagilah seronok kerana lebih banyak manfaat yang aku dapat. Bermula dengan nasyid, asmaul husna, bacaan-bacaan doa, surah-surah lazim dan sebagainya. Itu juga ilmu yang bermanfaat.

Kebanyakan kita (mungkin aku seorang kot) yang sudah dewasa ini, selalu mengabaikan perkara-perkara dan ibadat yang dipandang ringan dan mudah seperti yang dinyatakan itu. Jika kita muhasabah diri, adakan kita selalu membaca doa ketika bangun tidur, masuk tandas, keluar tandas, cuci tangan, keluar rumah, naik kenderaan dan sebagainya. Doa-doa ini dianggap mudah dan senang, namun kita selalu mengabaikannya. Berterima kasihlah aku dengan pelajar-pelajar tadika dan para pengajarnya yang sentiasa mengingatkan aku dengan amalan doa-doa harian. Terima kasih buat warga Tadika Islam al-Humairah (",)


Pengalaman mengajar kanak-kanak tadika masih terpahat di ruangan hatiku. Anak-anak kecil ini yang umurnya lima dan enam tahun begitu tekun untuk belajar dan bermain. Fitrah kanak-kanak seusia ini adalah "belajar sambil bermain". Jadi, buat sahabat-sahabat yang mempunyai adik ataupun anak kecil janganlah menghalang mereka daripada bermain kerana ianya merupakan salah satu kaedah dalam pembelajaran kanak-kanak. Namun perlu diingatkan bahawa belajar sambil bermain hanya sesuai untuk kanak-kanak tadika sahaja dan tidak boleh dipraktikkan dalam pengajaran terhadap pelajar sekolah rendah.



Syila Farhana, Erin, Rakin, Nabil, Aisyah, Eddy, Nisa, Aiman, Firdaus, dan lain-lain pelajar merupakan pelajar yang aku ajar di tadika dua tahun lepas. Walaupun sekejap, tapi kenangan bersama mereka amatlah aku hargai. Inilah antara gambar-gambar mereka pada tahun 2010 (",)

Adam

Aiman

Aisyah

Alif

Syila Farhana

Eddy

Erin

Firdaus

Irfan

Jasmin

Kimi

Nabil

Nisa

Raqin

Sabrina

Sofea





Baca selanjutnya...

Sunday, January 1, 2012

80,000 sertai Countdown 2012 kerajaan Selangor

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Gandingan dua selebriti hebat dari latar belakang berbeza, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus bersama pelakon, pelawak dan pengacara, Zizan Raja Lawak berjaya menarik kehadiran kira-kira 80, 000 orang ke Program Countdown 2012 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, malam tadi.

Difahamkan, jumlah ini jauh lebih memberangsangkan berbanding jumlah kehadiran ke program "Karnival Sayangi Selangor" dan sambutan malam tahun baru anjuran kerajaan BN di I-City yang dianggarkan sekitar 5,000 sahaja, meskipun dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tinjauan rawak ke laman-laman blog bukan politik hari ini juga mendapati rata-rata penulis mengulas mengenai kemeriahan program malam tadi serta memuat naik gambar-gambar dan video sekitar program.

Antara yang diulas adalah mengenai keserasian Ustaz Azhar dan Zizan sewaktu forum soal jawab agama berlangsung dan petikan gitar oleh Ustaz Azhar sendiri.


Kemeriahan program turut diserikan dengan kehadiran bekas gitaris kumpulan Kamikaze, Shamril Salleh atau Sham Kamikaze yang sudah melakukan penghijrahan, pendakwah bebas, Ustaz Syed Nor Hisham Tuan Padang, juara program realiti tv pencarian imam muda, Imam Muda Ashraff serta selebriti Astro Oasis, Akhil Haiyy.

Rata-rata mereka juga mengharapkan program seperti ini yang menampilkan hiburan mendidik jiwa diteruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan juga negeri-negeri lain.

Ini membuktikan rakyat malaysia khususnya anak muda mula meminati program-program mendidik apatah lagi jika ianya ditampilkan "kena dengan caranya".

Antara pimpinan Pakatan Rakyat Selangor yang hadir malam tadi ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr. Halimah Ali, Haniza Talha dan Yaakob Safari serta Pesuruhjaya PAS Shah Alam, Khalid Samad.

SUMBER : HARAKAHDAILY
Baca selanjutnya...

Coretan di Awal Tahun 2012

Hari ini hari yang pertama dalam tahun 2012 kalendar Masihi. Saya membaca dalam akhbar bagaimana kemeriahan sambutan tahun baru ini dan juga azam baru yang ditanam pada awal tahun. Alhamdulillah, Allah SWT masih memberikan kita nafas yang panjang dan mengizinkan kita untuk terus hidup di bumiNya sementara kita dijemput untuk mengadapNya dan pergi buat selama-lamanya.

Cuma ingin saya menukilkan sedikit rasa terkilan kerana umat Islam kini seolah-olah terpaksa menggunakan dua kalendar yang berlainan. Baru saja pada bulan lepas kita menyambut awal Muharram yang merupakan sambutan tahun baru 1433 H dan hari ini kita menyambut pula tahun 2012 yang merupakan tahun baru mengikut kiraan kalendar Masehi. Saya sering tertanya-tanya, kenapa perlunya untuk kita menggunakan dua kalendar ini dalam kehidupan kita pada hari ini? Apakah salahnya jika hanya menggunakan kalendar Hijrah dalam semua urusan hidup kita sehari-hari?

Penetapan awal tahun Hijrah berdasarkan kepada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Yathrib yang kemudiannya ditukar nama menjadi Madinah. Menggunakan kalendar hijrah bererti menyegarkan semula ingatan kita kepada perjuangan hijrah Rasulullah SAW. Ia bukannya sekadar satu catatan sejarah semata-mata, tetapi ia satu pengajaran kepada umat Islam agar berusaha terus-menerus untuk melaksanakan tuntutan dakwah. Menggunakan kalendar hijrah bererti mengingatkan kita semula kepada pahit maung perjuangan Rasulullah SAW di dalam menyebarkan dakwah.

Adakah generasi muda kita pada hari ini arif dengan sejarah Rasulullah SAW dan Bani Hasyim yang pernah menghadapi pemulauan ekonomi dan sosial selama tiga tahun? Adakah generasi muda kita tahu bagaimana sejarah Rasulullah SAW yang pernah berdakwah ke Taif bersama-sama Zaid bin Harithah namun dilempar dengan batu? Inilah sebenarnya mutiara-mutiara yang berharga dalam khazanah sirah Rasulullah SAW yang jarang sekali diperdengarkan di kalangan kita pada hari ini. Justeru, apabila kalendar hijrah digunakan, ingatan terhadap sirah ini pasti akan segar semula dan masyarakat pastinya tidak terada asing dengan sejarah Rasulullah SAW.

Sayangnya hari ini, kalendar hijrah hanya menjadi satu maklumat sampingan semata-mata diatasi oleh kalendar masihi sebagai kalendar yang utama. Paling tidakpun, pada bulan Ramadhan dan Syawal kalendar hijrah menjadi terkenal tetapi selepas itu, ia hanya tinggal tulisan yang kecil sahaja di tajuk-tajuk akhbar. Oleh yang demikian, sangatlah besar cita-cita saya untuk melihat kalendar hijrah ini dijadikan sebagai kalendar utama khususnya di dalam kehidupan umat Islam. Apatah lagi kalendar masihi inipun asalnya dari penjajah dan dibawa masuk ke dalam pentadbiran pada era penjajah. Saya tidak melihat sebarang sebab yang boleh menghalang kalendar hijrah ini digunakan sebagai kalendar utama dalam pentadbiran.

Apapun, saya berharap agar lembaran tahun baru ini menjadikan kita hamba yang lebih tunduk kepada Allah SWT. Sesungguhnya dunia hanyalah tempat kita menumpang, tiba masanya kita perlu pergi jua dari tempat kita menumpang sekarang. Jika hari ini kita bermusafir tetapi masih mampu untuk balik kampung, maka satu masa nanti kita bermusafir kea lam barzarkh dan seterusnya ke alam mahsyar pada hari kiamat, tiada lagi peluang untuk kita pulang ke kampung halaman kita di dunia ini.

Salam hormat.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.
Baca selanjutnya...