Wednesday, March 30, 2011

PENYUCIAN JIWA MENINGKATKAN PRESTASI KERJA

TAJUK : PENYUCIAN JIWA MENINGKATKAN PRESTASI KERJA

OLEH : DR. HJ MOHD ZAHAZAN MOHAMED

TARIKH : 25/03/2011 BERSAMAAN 20 Rabiul Awwal 1432H

TEMPAT : DEWAN TWINTECH, BANDAR SRI DAMANSARA

Ø Hati umpama raja yang mengarahkan segala kudrat dari segi akal fikiran dan anggota badan untuk melakukan sesuatu.

Ø Luaran Nampak hebat namun hakikatnya dalaman iaitu hati tiada apa-apa

Ø Allah SWT tidak memandang manusia kepada luaran semata-mata namun Dia memandang kepada hati yang suci. Satu contoh yang dapat diambil daripada seorang sahabat yang kita kenali iaitu Luqmanul Hakim. Beliau merupakan seorang yang memiliki warna kulit yang hitam, berambut kerinting halus. Namun hati beliau adalah suci. Sehingga ke hari ini, nama beliau masih menjadi sebutan di kalangan masyarakat kita. Malah dalam al-Quran juga terdapat satu surah yang diberi nama surah Luqman.

Hubungan antara hati dengan luaran

Ø Solat merupakan tiang agama. Namun ada kriteria yang perlu diikuti untuk mendapatkan solat yang sempurna

Ø Perkataan ikhlas amat senang untuk diucap namun ianya sukar untuk dilaksana @ direalisasikan

Ø Jika diperhatikan, apabila kita membaca kisah-kisah sahabat @ kisah-kisah dahulu di zaman Rasulullah dan para sahabat, kita dapat melihat bahawa umat Islam amat kuat sama ada dalam bidang peperangan, ekonomi, pentadbiran dan sebagainya. Ini kerana mereka lakukan sesuatu pekerjaan dengan niat yang IKHLAS.

Bagaimana ingin lahirkan ikhlas dalam hati?

Ø “ Innama al-a’malu binniyyat “ (hadis)

Ø Hati kita penuh dengan sifat2 mazmumah. Sebab itulah ikhlas sukar wujud dalam diri kita. Contohnya jika Ahmad berniaga nasi ayam di sebuah restoran dan memiliki pekerja yang rajin dengan gaji sebulan adalah RM1200 sebulan. Di sebelah kedai Ahmad ialah kedai Aman yang juga berniaga nasi ayam. Aman telah merampas pekerja-pekerja Ahmad dengan cara menawarkan gaji yang lebih lumayan kepada pekerja-pekerja tersebut. Inilah sikap manusia pada hari ini. Umat Islam sendiri tidak boleh melihat saudara seislamnya senang dan bahagia. Sikap inilah yang patut kita hindarkan dalam diri kita

Cara-cara merawat hati / penjagaan hati :

i. Membaca al-Quran setiap masa. Kaedah yang telah dikaji dan senang untuk diamalkan oleh setiap muslim adalah paling kurang seseorang muslim itu membaca 2 muka surat al-Quran setiap kali selepas solat fardu. Maka setiap hari kita akan membaca 10 muka surat. Dalam sebulan kita dapat habiskan sebanyak 10 juzuk al-Quran. Maka dalam masa 3 bulan kita telah dapat khatam al-Quran. Oleh yang demikian, dalam setahun kita dapat khatam al-Quran sebanyak lima kali termasuk sekali pada bulan Ramadhan.

ii. Rajin berpuasa sunat

iii. Banyak beristighfar – sebaik-baiknya 70 – 100X sehari (menurut hadis Bukhari)

iv. Qiamullail – bagi yang masih bujang amat sesuai melakukan qiamullail sebagai salah satu cara memohon jodoh daripada Allah SWT. Manakala bagi yang telah berumahtangga amat sesuai dilakukan qiamullail bagi menjamin kesejahteraan hidup dalam keluarga

v. Selalu berdamping dengan ahli-ahli ilmu dan orang-orang soleh.

*minat merupakan salah satu aspek yang penting bagi kita sebagai seorang muslim untuk mewujudkan ikhlas dalam diri. Setiap perkara yang dilakukan bermula dengan minat adalah amat senang untuk menjadikan pekerjaan itu perbuatan yang ikhlas.

Wassalam

Baca selanjutnya...

Wednesday, March 16, 2011

Suara Seorang Ibu

Assalamualaikum wr. wbt..

Salam perjuangan buat sahabat-sahabat. Ibu, seorang insan yang senantiasa mengambil berat mengenai anak-anaknya. Percaya atau tidak, suara ibu mempunyai satu kuasa yang luarbiasa kepada setiap anak-anaknya.

Ini bukan kajian dari mana-mana pihak namun ianya adalah mengenai diri sendiri. Apa yang aku ingin kongsikan di sini ialah sama ada kita perasan atau tidak, memang suara seorang ibu mempunyai keistimewaan tersendiri.

1 - Ketika mempunyai masalah, tidak kiralah masalah kerja, masalah kewangan, masalah hidup seharian atau apa-apa masalah aku menelefon bonda di kampung..Atau lebih betulnya beliau yang banyak menelefon aku. Selepas mendengar suara bonda, pasti aku merasakan satu ketenangan. Selepas itu masalah yang dihadapi sebelum itu dapat aku selesaikan secara perlahan-lahan.

2 - Di waktu malam, memang waktu malam adalah waktu yang kerap kami berbual di telefon. Ketika mana dapat berbual dengan bonda, pastinya malam itu aku akan tidur lena.

3 - Ketika aku mempunyai masalah, terasa begitu resah gelisah, bonda tetiba sahaja akan menelefon aku bertanya khabar. Itulah naluri seorang ibu..

Cukup tiga perkongsian ini. Terima kasih yang tidak terhingga buat Bonda di kampung kerana telah banyak berkorban untuk anakmu ini. Terima kasih buat Ayahanda juga kerana beliau begitu mengambil berat tentang anaknya ini.

Buat sahabat2, hargailah ibubapa kalian. Bagi mereka yang masih hidup hargailah setiap pengorbanan dan jasa mereka dalam melahirkan, membesarkan, mendidik, mentarbiah, dan memastikan kalian menjadi seorang insan seperti sekarang. Bagi ibubapa kalian yang telah kembali ke Rahmatullah, senantiasalah mendoakan mereka agar ditempatkan di kalangan para mukmin.
Baca selanjutnya...

Guru Perlu Ubah Lanskap Politik

Oleh : Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 16 Mac: Para guru termasuk pesara guru seluruh negara diminta melakukan perubahan drastik terhadap lanskap politik tanah air untuk menghindarkan daripada terus dihinggapi anasir pengkhianatan, kata bekas calon PAS pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Normala Sudirman.

Perubahan itu jelasnya, amat penting kerana negara sekarang seolah-olah hilang kawalan penguasaan ekoran politik yang tidak menentu serta terlalu banyak campur tangan yang membawa kepada tiadanya kebebasan.

"Guru merupakan pendidik yang setia, maka buatlah perubahan ke arah yang lebih baik kerana landkap politik masa kini telah musnah kerana campur tangan pihak tertentu.

“Apa salahnya kita yang dididik mewujudkan keharmonian anak bangsa menjadi lebih dihormati lakukan sedikit lonjakan pembaharuan pada pilihanraya umum ke 13 kelak," terangnya pada majlis pidato bersama Cikgu Mala di perkarangan Pusat Khidmat Dun Permatang Pasir. malam tadi.

Sebelum itu, beliau dijemput memberikan motivasi Menjana Kecemerlangan Pelajar Anak-Anak Ahli PAS di Dewan Haji Zabidi, Permatang Pauh dan sebelah petangnya menghadiri program Sepetang Bersama Cikgu Mala, bertempat di Balai Islam Berapit, Bukit Mertajam.

Pada rangka lawatan selama dua hari ke Pulau Pinang bermula semalam dan berakhir hari ini, beliau juga diajak bersama dalam program menjejaki pejuang muslimat anjuran Dewan Muslimat Permatang Pauh manakala sebelah malam nanti beliau sekali lagi berada di pentas pidato srikandi di Pusat Pendidikan Islam Padang Menora, Tasek Gelugor.

Beliau yakin jika guru yang pernah menjadi pelopor politik satu waktu dulu boleh bangun kembali mengatasi golongan politik yang acapkali menggunakan kesempatan peribadi, masalah negara dapat diatasi.

"Dulu rata-rata golongan guru mempelopori politik di mana sahaja tetapi sekarang seolah lenyap begitu sahaja. Kenapa jadi begitu sebab kewujudan golongan yang tidak amanah sering mencari peluang untuk membina kekayaan," tambahnya.

Katanya, guru perlu membuang semua kerisauan bilamana politik berubah tangan kepada Pakatan Rakyat kerana Pakatan Rakyat nyata berjaya melakukan yang terbaik untuk rakyat contohnya di empat negeri yang dikuasai.

Tambahnya, banyak lagi tuntutan guru masih dibekukan tetapi apabila menjelang pilihanraya kecil, ia dimainkan semula seakan-akan 'durian runtuh' padahal jika disiasat, masih terpahat janji lama.

"Bila ada pilihanraya kecil, pasti terpancul keluar dari mulut Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddn Yassin kononnya jika rakyat atau guru memberikan kemenangan pada BN, masalah mereka akan dselesaikan," katanya.

Turut sama berceramah pada program malam tadi ialah Ketua Dewan Muslimat Permatang Pauh, Puan Suraya Saat dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri, Aida Yusuf Rawa.

Baca selanjutnya...

Tuesday, March 15, 2011

TAHNIAH BUAT KALIAN

Assalamualaikum wr. wbt...

Salam perjuangan buat sahabat-sahabat. Semester baru telah bermula semalam (14-03-2011) di kolej tempat aku bekerja. Masih ramai pelajar yang tidak hadir ke kelas walaupun kelas telah bermula. Ops, bukan agenda ini yang aku ingin bicarakan. Hanya sekadar ingin mengucapkan tahniah buat 2 orang yang penting selepas keluarga.

Pertamanya aku ingin mengucapkan TAHNIAH buat Kak Nie (Nurzahani Omar) yang telah selamat melahirkan seorang putera pada 13-03-2011. Bayi seberat 3.4kg itu selamat dilahirkan walaupun keadaan kesihatan Kak Nie tidaklah begitu baik. Ini merupakan anak sulung beliau. Aku doakan Kak Nie dan baby selamat di samping suami tersayang yang kini berada di Perak..Insya Allah

Kedua, ucapan TAHNIAH aku ucapkan kepada Kak Ina (Yusrina Kadir) yang akan menimang cahaya mata kedua pada akhir Jun nanti.


Wassalam..
Baca selanjutnya...

Thursday, March 10, 2011

Hukum Jual Beli Semasa Azan Jumaat

APABILA sesuatu itu diharamkan dalam Islam, ia juga akan menyebabkan pengharaman perkara-perkara yang boleh mendorong terjadinya perkara haram itu. Maka, Islam menutup pintu-pintu atau perkara yang boleh membawa kepada haram.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Al-Halal Wal Haram Fil Islam menegaskan perkara ini dengan mengemukakan kaedah yang dipersetujui oleh para ulama Fiqh iaitu: "Perkara yang boleh menyebabkan berlakunya sesuatu yang haram, maka perkara itu juga adalah haram."

Maka, kaedah ini boleh kita lihat berlaku kepada pengharaman jalan-jalan ke arah perzinaan, riba, judi dan sebagainya. Demikian juga yang berlaku kepada solat Jumaat.

Haram bagi umat Islam melalaikan diri dengan berlengah-lengah untuk menunaikan solat Jumaat di masjid. Rentetan dari itu, Allah SWT mengharamkan berjual-beli semasa azan Jumaat.

Pengharaman ini adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual- beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (al-Jumuah: 9)Para ulama secara sepakat merumuskan bahawa haram melakukan urusan jual-beli setelah azan Jumaat dikumandangkan. Walaubagaimanapun, pengharaman ini hanya ke atas kaum lelaki sahaja.

Ini kerana, hukum menunaikan solat Jumaat hanya wajib keatas kaum lelaki. Justeru, sekiranya urusan jual-beli itu berlaku di antara wanita dengan wanita, maka ia tidak termasuk dalam pengharaman tersebut.

Tidak termasuk juga dalam pengharaman ini kaum lelaki yang gugur syarat wajib menunaikan solat Jumaat seperti kanak-kanak yang belum baligh, orang gila, orang yang uzur dan sebagainya.

Baca selanjutnya...

Mesir: Kelantan belanja RM2 juta

Oleh : Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 10 Mac: Kerajaan Kelantan membelanjakan sejumlah RM2 juta bagi menampung 939 orang pelajar di negeri ini yang akan meneruskan pengajian mereka di Mesir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood, berkata seramai 70 orang kumpulan pertama akan bertolak bagi meneruskan pengajian mereka bermula 13 Mac ini.

“Ini kerana 60 orang daripada mereka akan menghadapi peperiksaan pada 15 Mac,” ujarnya.

Menurut Fatah lagi, kumpulan kedua, ketiga dan seterusnya masing-masing 100 orang akan bertolak pada 15, 16 dan 17 Mac.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Jelasnya lagi, sebelum ini seramai 1,006 orang telah didaftarkan dengan kerajaan negeri namun hanya 939 orang sahaja yang tinggal memandangkan sebahagiannya ada yang pergi sendiri termasuk mendapat sumbangan JPA dan lain-lain.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pelajar dapat mengikuti pengajian mereka dengan baik dan tenang, terutama yang bakal menghadapi peperiksaan yang terdekat ini.

Baca selanjutnya...

PAS mahu guru sandaran lebih terjamin

Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) mahu Kementerian Pelajaran serius dalam memastikan masa depan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) lebih terjamin.

Beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, meskipun guru-guru sandaran ini tidak menerima latihan secara formal dalam bidang pendidikan, namun mereka mempunyai pengalaman yang berguna untuk menjadi guru tetap.

"GSTT ini walaupun mereka tidak terlatih tetapi mempunyai pengalaman. Adakah kementerian bersedia memberikan keutamaan kepada GSTT memohon untuk memasuki maktab perguruan dan mempunyai diploma dalam bidang tersebut dan ada di antara mereka memang berminat menjadi guru," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Salahuddin dalam soalan asalnya meminta Menteri Pelajaran menyatakan pendirian kerajaan terhadap nasib guru-guru sandaran di negara ini serta jumlahnya.

Beliau juga ingin tahu jaminan kerajaan terhadap masa depan mereka.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, Kementerian Pelajaran Malaysia sedang meneliti dan memuktamadkan kedudukan GSTT dalam tempoh terdekat agar pengalaman dan keupayaan guru-guru ini dapat dimanfaatkan dan seterusnya memberi peluang kepada mereka menjadi guru terlatih.

Baca selanjutnya...

Reka bentuk dalaman Istana Negara diubah?

Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 10 Mac: PAS mahu kerajaan memberi penjelasan berhubung dakwaan berlaku perubahan pada rekabentuk dalaman Istana Negara yang baru di Jalan Duta.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata beliau mendapat maklumat bahawa rekabentuk dalaman istana itu diubah dari konsep Raja-raja Melayu kepada konsep raja Eropah.

"Kenapa boleh berlaku perubahan? Ini satu penghinaan kepada Raja-raja Melayu.

"Dalam suasana titah Tuanku mahu rakyat jangan persoal kedaulatan Raja-raja Melayu, sekarang kerajaan cuba mencemarkannya dengan menukar konsep hiasan dalaman istana negara," katanya kepada Harakahdaily.

Sambil menyifatkan perkara itu tidak wajar berlaku, Mahfuz berkata tindakan itu juga seolah-olah menggambarkan bahawa hiasan dalaman berkonsepkan raja-raja Melayu tidak mempunyai nilai tinggi.

"Sudah tentu perubahan ini menyebabkan penambahan kos.

"Saya nak tanya, berapa penambahan kos baru ini," soalnya lagi.

Sebelum ini, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kos pembinaan Istana Negara bertambah dari RM400 juta kepada RM800 juta.

Ianya termasuk kos menaik taraf jalan dan pembinaan persimpangan bertingkat.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong khoon Seng pada persidangan Jun tahun lalu.

Beliau turut memaklumkan projek Kompleks Istana Negara itu dijangka siap Februari tahun ini.
Baca selanjutnya...

Anak muda bepotensi runtuh kerajaan

Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Kerajaan BN diingatkan agar tidak memperlekehkan suara dan pemikiran generasi muda kerana mereka mempunyai potensi untuk mempertahankan atau meruntuhkan sesebuah kerajaan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, potensi generasi muda khususnya mahasiswa harus dibimbing sebaik mungkin, bukan mencipta undang-undang yang menjatuhkan martabat mereka sebagai mahasiswa.

"Bila berhadapan dengan orang muda jangan diperlekeh keupayaan mereka. Jangan membuat satu undang-undang yang pada zahirnya tidak menampakkan kezaliman terhadap mereka tapi dalam waktu yang sama kita menyaksikan bagaimana undang-undang itu memperbodohkan mereka dan mengheret pemikiran mereka ke zaman batu," kata beliau sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Merujuk kepada pilihan raya kampus yang berlangsung bulan lalu, Salahuddin kesal dengan pihak pentadibiran universiti yang berat sebelah dan mengenakan undang-undang yang menyusahkan mahasiswa.

"Cara pihak universiti melayani mahasiswa dalam pilihanraya kampus baru-baru ini amat menjijikkan dan kembali ke zaman kuno.

"Pihak universiti ugut mereka, susahkan mereka untuk mengisi borang pencalonan kemudian ada kejadian calon mahasiswa diugut dengan sms berunsur jenayah.

"Kenapa berlaku demikian sedangkan potensi mereka untuk menjadi pemimpin harus dididik dengan betul," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Tambahnya, sekiranya kerajaan mengakui Malaysia sebuah negara demokrasi, maka ianya harus disuburkan sejak zaman kampus lagi.

"Ada orang cakap Malaysia tidak mungkin jadi macam Mesir, tetapi jangan bunuh demokrasi orang muda hari ini.

"Jika kita mengakui negara kita mempunyai demokrasi maka suburkan demokrasi itu. Jangan buat demokrasi di kampus sebagai suatu tempat kita menahan ledakan dan potensi anak muda.

"Orang muda boleh mengubah sejarah, boleh meruntuhkan empayar dan boleh menggunakan ruang siber yang ada untuk mereka mencapai tujuan mereka," katanya.

Beliau turut mempersoal tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak pentadbiran universiti melarang mahasiswa membuat tinjauan di pilihan raya sedangkan universiti mempunyai fakulti sains politik.

"Kalau ada fakulti sains politik di universiti kenapa tidak izinkan mereka turun ke pilihan raya. Kita sekat mereka, gantung mereka daripada pengajian, gantung biasiswa, ini cara apa?" soalnya.

Tegasnya, mahasiswa harus diberi peluang mengkaji sesuatu fakta tanpa kongkongan mana-mana pihak.

"Sebagai contoh hari ini kalau kita nyatakan dengan fakta bahawa Felda Plantation itu adalah satu yang kita anggap bertentangan dengan matlamat asal DEB iaitu untuk membasmi kemisikinan dan menyusun kembali masyarakat, kenapa tidak harus universiti dengan fakulti sains politik menghantar pelajar mereka untuk menyiasat, melihat dan mengkaji kebenaran fakta ini.

"Ini cara kita menyuburkan pandangan dalam iklim politik yang sihat kalau kita ingin jauhi politik fitnah," katanya. 

Baca selanjutnya...

PAS mahu tempoh berkempen 3 minggu

Oleh : Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 10 Mac: PAS dengan tegas tidak bersetuju dengan cadangan SPR untuk mengenakan peraturan baru berkempen hanya selama 7 hari sahaja bagi pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sebaliknya, PAS mendesak agar tempoh kempen pilihan raya diadakan sehingga tiga minggu atau paling kurang dua minggu seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli menegaskan, dengan tempoh kempen sependek itu, pihak pembangkang tentunya tidak dapat melakukan persiapan yang sewajarnya dan ia jelas akan memberikan keuntungan kepada BN.

Menurut beliau, dengan itu juga akan menyaksikan ketidakadilan SPR sebagai badan bebas dalam mengendalikan pilihanraya di negara ini akan lebih ketara, setelah ia dipersoalkan oleh pelbagai pihak dalam pelbagai aspek.

Katanya, oleh itu, beliau berharap agar pihak SPR akan melihat perkara itu dengan lebih jauh dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk rasional atau tidaknya apa yang hendak dilakukan itu dari sudut keadilan dan perjalanan demokrasi.

"Pilihanraya negeri Sarawak itu juga penting bagi PAS dan Pakatan Rakyat. Kalau diadakan dalam masa yang dekat, ini boleh dijadikan ukuran bagi kekuatan kita," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Mengenai alasan SPR yang mengatakan untuk melaksanakan tempoh kempen sependek itu bagi menghalang provokasi dari pihak pembangkang, beliau menegaskan, dakwaan itu ternyata tidak berasas.

"Yang cetuskan provokasi bukan pihak pembangkang, tetapi pihak Umno atau BN sendiri. Kalaulah pula penduduk di kawasan itu yang baling batu, itu bukan perbuatan pihak pembangkang, tetapi penduduk di kawasan itu yang melakukannya atas sebab-sebab tertentu yang dilakukan oleh penduduk di kawasan itu.

"Jadi, tak bolehlah itu yang dijadikan alasannya. Tetapi tentu ada sebab-sebab lain yang bertujuan untuk memberikan keuntungan atau kemenangan kepada BN," katanya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan tindakan SPR dalam melaksanakan undi pos yang kini semakin bertambah, apabila isteri-isteri tentera pula turut diberikan peluang untuk membuang undi secara pos.

"Ini macam cabar kita (pihak pembangkang) pula. Ketika kita sedang menuntut supaya dikurangkan undi pos, isteri-isteri tentera pula boleh undi pos. Ini jelas satu ancaman pada pilihanraya di negara ini," tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan SPR yang melarang parti-parti bertanding mengadakan pondok panas dan pemasangan bendera parti pada kenderaan ketika hari mengundi.

"Sebenarnya yang menyebabkan SPR melarang diadakan pondok panas itu kerana ia merugikan Umno BN. Dulu pondok panas itu merupakan tempat Umno BN mengumpulkan kekuatan. Tetapi apabila pondok panas itu bertukar kepada tempat PAS, Pakatan Rakyat atau pihak pembangkang pula mengumpulkan kekuatan, pondok panas terus ditiadakan oleh SPR.

"Sebagai gantinya, SPR pula yang ada barun (pondok panas). Pada hal SPR tak perlu ada barun. SPR badan yang mengendalikan pilihanraya. Parti-parti bertandinglah yang patut ada barun. Tetapi kenapa pula SPR yang ada barun, kita pula tak dibenarkan buat barun?" katanya.

Kini, apa yang berlaku menyebabkan SPR semakin menyimpang dari tanggungjawabnya yang sebenar. Beliau berharap agar SPR memandang perkara itu dengan lebih jauh bagi perjalanan pilihanraya yang adil di negara ini.

Baca selanjutnya...

Facebook palsu Muslimat PAS Kelantan

Oleh : Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 11 Mac: Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan mendedahkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah membuka akaun facebook dengan menyamar sebagai milik dewan berkenaan.

Setiausahanya, Zainiah Abdul Halim ketika memberitahu Harakahdaily berkata, individu atau pihak tersebut telah menyamar menggunakan nama "Muslimah Pas Negeri Kelantan".

Katanya, bukan sahaja membuka facebook sebaliknya telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan serta tidak sejajar dengan dasar perjuangan PAS.

Sehubungan itu, menurutnya, DMPN Kelantan dengan tegas meminta pihak yang tidak beretika itu menutup akaun facebook tersebut dengan segera.

Zainiah juga turut berpendapat, facebook itu diwujudkan bertujuan untuk memburukkan imej PAS di samping memberi gambaran buruk pada masyarakat berhubung dasar perjuangan parti yang kini semakin diterima pelbagai bangsa dan rakyat di negara ini.

“Facebook rasmi Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan adalah "Dewan Muslimat Pas Kelantan",” ujarnya pada satu kenyataan.

Baca selanjutnya...

Wednesday, March 9, 2011

Meniti Mimpi

Meniti Mimpi

Album : Cahya Ilahi
Munsyid : Hijjaz
http://liriknasyid.com


Kau terdengar kicauan beburung
Yang menyanyi di dada pelangi
Kau menggapai awan dilangit memutih
Dirimu lebur dimamah mentari

Kau impikan harapan menggunung

Di lorong hanyir kehidupanmu
Kau hirup sari madu bunga beracun
Mewarnai dunia misteri mimpimu

Kau calari setangkai hati ibunda

Yang meniti di bilahan hari-hari
Kau hitamkan wajah ayahanda
Yang mengharapkan sinar kehidupan

Apalah yang hendak diharapkan lagi

Semua kini sudah jadi tak pasti
Bangkitlah segera dari mimpi ngeri
Pulihkan kembali sebuah harga diri

Sinar hidupmu tiada nyalaan api

Berlabuhlah di muara ini
Pasrahkanlah hidupmu ke lorong ilahi
Di sana menanti syurga yang abadi
Di sana menanti syurga yang hakiki


*Renungan bersama untuk tatapan sahabat2 dan peringatan diri sendiri
Baca selanjutnya...

Tuesday, March 8, 2011

Apabila maut datang menjemput

DIKISAHKAN bahawa malaikat maut (Izrail) bertemu dengan Nabi Sulaiman a.s. Dia datang dengan bentuk manusia sehingga tidak seorang pun yang mengetahui kedatangannya selain baginda.

Pada ketika itu Nabi Sulaiman sedang berkumpul dengan beberapa orang sahabatnya. Semasa malaikat maut hendak pergi dia memandang salah seorang sahabat Nabi Sulaiman dengan pandangan yang aneh, lalu pergi.

Setelah malaikat maut pergi, sahabat Nabi Sulaiman itu bertanya: "Wahai Nabiyullah, mengapa ia memandang ku seperti itu?" Jawab Nabi Sulaiman: "Ketahuilah, dia itu adalah malaikat maut".

Kemudian sahabat Nabi Sulaiman itu berkata, "Wahai nabi, tiupkanlah angin dengan kencang, sehingga angin itu membawaku ke puncak negeri India, sesungguhnya aku berfirasat buruk".

"Apakah engkau akan lari dari takdir jika maut akan menjemputmu?" tanya Nabi Sulaiman.

"Sesungguhnya Allah memerintahkan kita untuk mencari sebab-sebabnya. Dan, aku yakin bahwa engkau akan mengkabulkan permintaanku," kata sahabat Nabi Sulaiman itu.

Kemudian, Nabi Sulaiman memerintahkan kepada angin untuk membawanya ke tempat yang diinginkan.

Selang beberapa saat malaikat maut datang, Nabi Sulaiman bertanya: "Apa urusanmu dengan salah seorang sahabatku, mengapa engkau pandang dia seperti itu?"

Malaikat maut menjawab, "Aku memandangnya kerana tercatat didaftar kematian bahawa dia akan mati di sebuah negeri di India. Aku hairan, bagaimana dia dapat pergi ke sana sedangkan dia ada bersamamu? Kemudian, di tempat yang telah ditentukan, pada waktu yang telah digariskan aku lihat dia datang kepada aku dan aku cabut nyawanya".

Kisah di atas mengingatkan kepada kita bahawa malaikat maut akan selalu mengintai sesiapa saja yang masa perjanjiannya akan berakhir di dunia ini. Jika masa perjanjian itu berakhir maka tiada sesiapa pun dapat melarikan diri daripada maut.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan, maka apabila telah datang tempohnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mempercepatkannya. (al-A'raaf: 34)

Dalam ayat lain, Allah SWT menegaskan, Dan apabila (sampai ajal seseorang) datanglah 'sakaratul maut' dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya. (Qaf: 19)

Kita berjumpa doktor apabila sakit menimpa, kita makan apabila datang rasa lapar dan minum apabila haus, tetapi apabila kematian datang menjemput tiada tempat yang boleh kita lari atau meminta pertolongan.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh...(an-Nisaa': 78)

Sebab itu, mari kita hayati dan renungkan pesan Rasulullah SAW agar kita tidak mensia-siakan peluang hidup yang diberi oleh Allah kepada kita semasa di dunia ini.

Janganlah kita dilalaikan oleh urusan dunia sehingga lupa membuat persiapan bekalan untuk mengadap Allah SWT.

Ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati". (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Justeru, janganlah kita bertangguh-tangguh dalam berbuat kebaikan dan rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara.

Beribadatlah, dan perbanyakkanlah ibadat sunat di samping ibadat fardu semasa sihat sebelum datangnya kesakitan.

Bersedekahlah semasa masih kaya (berharta) sebelum ditimpa kemiskinan.

Berzikirlah sewaktu masih mempunyai kelapangan sebelum dilanda kesibukan, misalnya di waktu pagi sebelum melakukan kerja-kerja harian dan di waktu petang setelah selesai bekerja.

Atau kita boleh sahaja berzikir sambil memandu ke tempat kerja terutama sewaktu kita terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di bandar utama khasnya Kuala Lumpur.

Carilah keperluan dunia dan akhirat semasa masih muda dan mempunyai kekuatan tenaga sebelum datangnya tua dan tidak mempunyai kekuatan.

Beramallah di sini (semasa berada di dunia) semasa hidup kerana ia berguna selepas kematian nanti (semasa di akhirat). Di sana kita tidak lagi dapat beramal.

Baca selanjutnya...

Zaid Ibn Thabit tokoh penulis al-Quran


Khalifah Uthman Ibn Affan adalah orang yang bertanggungjawab mengarahkan al-Quran ditulis dalam bentuk mushaf sebagaimana yang ada pada hari ini. - Gambar hiasan


SETIAP kali al-Quran diturunkan, Rasulullah SAW memanggil penulis wahyu untuk menulis ayat al-Quran. Zaid Ibn Thabit meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengimla' al-Quran.

Selesai sahaja ditulis, Rasulullah SAW meminta supaya dibaca kepadanya. Jika terdapat kesilapan seperti tertinggal huruf atau kalimah, baginda akan membetulkannya.

Kemudian barulah ayat tersebut dibawa keluar untuk dibaca kepada sahabat yang lain.

Zaid telah memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan tulisan al-Quran.

Perbuatan beliau menulis wahyu di hadapan Rasulullah SAW dianggap sebagai hujah yang kuat bahawa penulisan al-Quran adalah Tauqifi.

Perbuatan menulis di hadapan Nabi SAW dan pengesahan daripada baginda adalah satu pengakuan atau disebut taqrir, di mana ia adalah sama dengan sunnah perkataan dan perbuatan Rasulullah SAW.

Semasa pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq r.a, antara sumbangannya adalah mengumpul al-Quran di satu tempat. Tenaga utama yang menjayakan usaha itu ialah Zaid dan Umar Ibn al-Khattab.

Kedua-duanya telah kepercayaan sepenuhnya untuk mengumpul dan menulis seluruh al-Quran. Namun bagi Zaid, dia menganggap bahawa rancangan menulis semula al-Quran adalah satu tugasan yang amat berat

Antara pujian dan kepercayaan yang diberikan oleh khalifah Abu Bakar kepada Zaid ialah beliau seorang pemuda yang tidak melakukan penipuan.

"Kamu adalah seorang yang adil, beramanah dan berilmu. Amanah yang diterimanya dari khalifah yang pertama untuk satu tugas yang amat berat itu telah dijalankan dengan jayanya," kata Abu Bakar.

Semasa pemerintahan Uthman Ibn Affan, berlaku pertelingkahan antara tentera Islam tentang bacaan al-Quran.

Jika tidak dibendung ia mungkin membawa mudarat yang lebih besar kepada umat Islam.

Bagi menyelamatkan keadaan, Uthman telah mengambil satu tindakan iaitu menulis beberapa mushaf dan dihantar ke kota-kota Islam ketika itu.

Tenaga yang diberi tanggungjawab yang mencabar itu sudah tentu mempunyai kemahiran dan pengalaman yang luas dalam ilmu penulisan al-Quran.

Orangnya ialah tidak lain dan tidak bukan ketua yang mengetuai pasukan penulisan al-Quran itu ialah Zaid.

Namun, tugasnya bukan hanya berhenti setakat itu, Uthman juga telah melantiknya sebagai pengajar al-Quran di Kota Madinah.

Kesimpulannya, khidmat Zaid dalam menulis al-Quran amat besar, bermula pada zaman Rasulullah SAW. Bahkan ada yang menyatakan bahawa beliau hadir dalam perbentangan al-Quran terakhir Rasulullah di hadapan Jibril a.s pada Ramadan sebelum baginda wafat.

Beliau juga diberi tanggungjawab mengumpul al-Quran pada zaman Abu Bakar dan sekali lagi diberi amanah menyalin semula al-Quran pada zaman Uthman yang merupakan titik tolak penyebaran al-Quran secara meluas ke kota-kota Islam.

Baca selanjutnya...

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz mohon penjelasan Harussani

Oleh : Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR, 8 Mac: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar surat rasmi memohon penjelasan dari Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ekoran penyataan 'undi PAS masuk syurga'

Surat itu dihantar pagi tadi oleh pejabat Nik Aziz kepada Harussani.

Tulisan mufti itu disiarkan akhbar Mingguan Malaysia 6 Mac lalu, iaitu hari pengundian bagi PRK Kerdau dan Merlimau.

"Hari ini saya telah menghantar surat rasmi kepada sohibus samahah Tan Sri Harussani, mufti Perak memohon penjelasan di atas tulisan beliau di dalam Mingguan Malaysia 6 Mac 2011.

"Saya memohon supaya beliau menjelaskan bilakah saya menyatakan bahawa undi PAS masuk syurga," katanya melalui Facebook pagi ini.

Jika benar, pertemuan kedua-dua tokoh yang sering bercanggah pendapat melalui media ini adalah kali pertama berlaku.

"Semoga beliau memberikan respon,"tambah Tuan Guru lagi.

Semalam juga Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah menghantar surat jemputan kepada Harussani berhubung paerkara sama.

Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi merialisasikan pertemuan tersebut.

Menurut mereka, sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Mereka berpendapat, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

Pemuda PAS Perak juga sebelum ini antara yang tidak senang dengan beberapa pandangan mufti itu khususnya dalam isu ancak membabitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Baca selanjutnya...

Perang persepsi menjelang PRU13

Oleh : Majdan Dagang

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Merlimau dan Kerdau yang memihak kepada Umno-BN jelas menunjukkan bahawa mood pengundi sejak Pilihan Raya Umum ke-12 2008 (PRU12) dulu tidak banyak berubah.

Hal ini kerana sejak PRK pertama pada 16 Ogos 2008 di Permatang pauh yang dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga ke PRK Kerdau yang dimenangi oleh Syed Ibrahim Syed Ahmad – menunjukkan kedua-dua pihak PR dan BN mempertahankan kawasan masing-masing.

Jika ada perubahan pun lebih kepada kehendak semasa, faktor calon dan kawasan itu pernah bersilih ganti pemenangnya seperti di Sibu, Galas, dan Kuala Terengganu. Yang lain-lain terus kekal dengan status quo asal. Keadaan ini boleh disifatkan sebagai PAS-PR tidak kalah sementara Umno-BN pula tidak menang.

Namun, jika dianalisis pola pengundian sejak merdeka sehingga PRU12 yang lalu banyak perkembangan dan perubahan yang dapat dilihat. Pola pengundian PRU12 telah banyak berubah bentuk sokongan tradsional kepada yang lebih terbuka. Jika dahulu, setiap kumpulan mempunyai penyokong tegar yang begitu setia dengan parti masing-masing, Kini keadaan itu mula berubah sedikit demi sedikit, terutama apabila generasi kedua dan ketiga memainkan peranan. Walaupun kumpulan penyokong tegar ini masih kekal tetapi generasi kedua dan ketiga tidak lagi terikat dengan apa-apa budi dan sentimen.

Sedikit demi sedikit generasi baru mengubah pola pengundian ini membentuk pola yang baru. Kini pengundi daripada generasi kedua dan ketiga mula membentuk pola pengundi bandar dan pinggir bandar. Kebanyakan mereka mempunyai pendidikan dan berhijrah keluar dan terdedah kepada kepada sumber maklumat.

Kelompok ini mula memberikan undi mereka kepada parti pembangkang kerana cara berfikir dan bertindak tidak lagi terikat kepada mana-mana pihak. mereka lebih bebas memilih dan menentukan hak. Kumpulan ini sukar untuk dijinakkan dengan rasuah wang, kebendaan dan pangkat. Mereka juga lebih celik maklumat dan tidak mudah menerima bulat-bulat apa-apa yang disampaikan oleh pihak kerajaan.

Sementara kelompok kedua ialah kumpulan pengundi luar bandar, pedalaman dan tanah rancangan. sebahagian besar yang berada di kawasan ini berada di bawah paras kemiskinan, banyak bergantung kepada media asas televisyen dan akhbar; mereka kurang terdedah dengan maklumat maya yang lebih terbuka.

Dalam hal ini, Umno menyedari bahawa talian hayat mereka yang sebenar ialah kelompok kedua iaitu pengundi luar bandar, pedalaman dan tanah rancangan. Serta jangan lupa satu lagi talian hayat tambahan bagi Umno-BN ialah undi pos.

Bagi mengekalkan dan mengembalikan kuasa mereka yang hampir kecundang dalam PRU12 yang lalu Umno-BN dijangka merangka dan telah melaksanakan beberapa polisi. Perancangan ini berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada terang-terangan atau secara tertutup.

Antara perancangan yang paling besar dan penting ialah membentuk persepsi. Untuk membentuk persepsi yang positif kepada Umno-BN, kuasa media digunakan sepenuhnya. Media elektronik, media cetak dan media maya disusun atur agar membentuk persepsi bahawa Umno baik dan pembangkang tidak baik. Usaha ini dilakukan secara berterusan dan terancang. Media juga berjaya digunakan sebagai “pembunuhan watak”.

Pada masa yang sama pihak pembangkang agak lemah dalam mengendalikan perang media ini, tambahan pula mereka kekurangan sumber kewangan dan menghadapai sekatan daripada kerajaan melalui KDN.

Ada yang memandang sinis propaganda milik Umno-BN ini, namun PR perlu menyedari bahawa sasaran mereka adalah pengundi kumpulan kedua ini. Pengundi kategori ini perlu dipastikan terus mengundi mereka dan pada masa yang sama kaedah lain perlu dia dicari untuk mendapatkan kembali kawasan bandar dan pinggir bandar.

Ternyata, taktik ini berjaya digunakan dan pengundi kumpulan kedua terus kekal bersama Umno-BN walau apa isu pun. Sementara pengundi atas pagar ada yang berjaya dipengaruhi untuk kembali kepada Umno-BN

Dalam suasana begini adalah dijangkakan PRU13 nanti tidak banyak perubahan yang berlaku kecuali ada isu besar yang membentuk gelombang rakyat atau Umno-BN merancang taktik lain melalui pelbagai agensi kerajaan yang ada di bawahnya.

Umno-BN sedar mereka perlu melakukan lebih daripada itu untuk memperoleh majoriti 2/3 diparlimen dan merampas kembali beberapa negeri yang jatuh ke tangan PR. Media massa sahaja tidak cukup, maka kedengaranlah tentang kewujudan pengundi hantu walaupun sehingga kini tidak ada suatu bukti yang sahih dikemukakan. Peningkatan pemberian MyKad sejak kebelakangan ini menimbulkan spekulasi bahawa mereka bakal digunakan untuk mengundi Umno-BN.

Dalam usaha mengimbangi serangan dan perangkap Umno-BN, PR wajar bertindak pantas membetulkan persepsi dan salah faham yang dimainkan oleh media pemerintah. PR tidak boleh membiarkan rakyat sendiri mencari jawapan dan kebenaran. Hal ini kerana perkara yang betul tetapi jika diulang setiap hari dan mengatakannya salah, fikiran rakyat terutamanya golongan atas pagar akan berubah.

Perang persepsi adalah tentera barisan hadapan dalam proses untuk memperoleh kuasa pada hari ini. jika sesuatu pihak berjaya dalam peringkat ini bermakna mereka telah menang sebahagian dalam perang tersebut. Dalam konteks demokrasi pada hari ini, pembentukan persepsi penting untuk menentukan hala tuju strategi seterusnya.

Oleh sebab media PR agak terhad daripada pelbagai segi, maka tanggungjawab perlu dimainkan juga oleh peringkat jawatankuasa yang lebih rendah. Jawatankuasa PR peringkat daerah/kawasan perlu memainkan peranan dengan mengedarkan risalah-risalah ringkas untuk menangkis setiap tohmahan. Setiap mereka wajar mendekati seramai mungkin golongan atas pagar.

Strategi “M2M” atau mulut ke mulut yang sering digunakan oleh syarikat pemasaran boleh digunakan dalam perang persepsi sebagai penerangan yang berkesan. Sebagai contoh seorang pengguna barangan A memberitahu kawannya bahawa barang A ini bagus dan berkualiti. setelah kawannya menggunakan barangan A dan terbukti berkualiti, dia akan mengesyorkan pula barangan tersebut kepada pengguna lain. konsep yang sama boleh digunakan dalam perang persepsi ini, cuma mungkin perlu memerlukan kebijaksanaan untuk menyesuaikan dengan suasana politik.

Sebagai contoh cuti dua hari seminggu merupakan salah satu produk yang dimulakan oleh kerajaan Kelantan yang dikuasai PAS. Perkara ini boleh menjadi sesuatu yang besar jika PR bijak menggunakannya. Begitu juga produk air percuma oleh kerajaan Selangor. Produk yang sedemikian baik jika tidak dipasarkan dan dipromosikan akhirnya kan tenggelam begitu sahaja.

Pada masa yang sama produk pesaing, walaupun tidak berkualiti tetapi berjaya dipromosikan, dipasarkan dan dicanangkan dengan baik mampu mengalahkan produk lain yang lebih berkualiti.

Hakikatnya perang persepsi ini akan terus berlanjutan selagi ada pesaingan.
Baca selanjutnya...

Media gambarkan PRK pertandingan satu penjuru

Oleh : Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 8 Mac:
Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata, Umno BN tidak perlu mendabik dada dengan kemenangan yang diperolehi pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Kerdau.

Beliau menambah, hakikatnya BN belum lagi memenangi hati rakyat kerana kemenangan tersebut disifatkan sebagai hanya mempertahankan kerusi mereka dengan sekian banyak pencabulan terhadap demokrasi dilakukan dalam kedua-dua PRK tersebut.

“Umno BN bersungguh-sungguh menyampaikan khabar gembira kepada media bahawa kemenangan tersebut adalah petanda bahawa mereka telah memenangi semula hati pengundi Melayu di kawasan tersebut, tindakan ini mengelirukan dan bohong.

"Saya menafikan bahawa orang Melayu sudah kembali menyokong BN. PRK bukan gambaran yang sebenar dan kita tunggu PRU ke 13," katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak berkata, BN tetap menafikan bahawa mereka menentang demokrasi yang lebih bebas di Malaysia namun dalam masa yang sama Pakatan Rakyat langsung tidak diberi peluang berkempen di TV mahupun radio walaupun seminit.

"Harapan saya rakyat pandai menilai pemberitaan yang sangat berat sebelah setiapkali ada PRK.

“Di TV3 dan RTM, rakyat hanya akan melihat calon BN sahaja yang berkempen, seolah-olah pertandingan satu penjuru sedang berlaku.

“Ini satu amalan pelik BN di kancah politik tanah air. Saya pasti rakyat yang punyai pertimbangan yang waras boleh menilai penipuan ini,” jelasnya.

Menurut Khalil Idham lagi, BN bakal mengulangi penipuan seperti itu pada PRU 13 nanti.

Beliau juga mengingatkan kepada rakyat supaya jangan memberi peluang terhadap sebarang bentuk pembohongan yang melibatkan hak warga Malaysia.

Katanya, rakyat berhak memilih pemimpin mereka berdasarkan perinsip demokrasi yang tulen dalam isu perjalanan pilihan raya yang adil dan saksama.

“PRU 13 semakin hampir, gerakkan tenaga untuk menyebar maklumat serta fakta mengenai salah laku BN tersebut,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Baca selanjutnya...

Hari Wanita: Kembali kepada syariah Islam

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Umat Islam di negara ini perlu kembali kepada syariah Islam sepenuhnya dalam menjalani kehidupan agar kesejahteraan sosial, ekonomi dan politik dapat dinikmati dalam erti kata sebenar.

Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ustazah Maznah Daud membuat saranan itu sempena sambutan 100 tahun Hari Wanita Sedunia 2011, hari ini.

Di samping itu, katanya perjuangan pembelaan hak wanita pula hendaklah selaras dengan apa yang digariskan oleh syarak iaitu untuk memartabatkan kedudukan wanita yang benar-benar sejahtera merangkumi kehidupan dunia dan akhirat.

“Keadaan ini akan hanya dapat dikembalikan apabila syariah Islam itu dilaksanakan sepenuhnya dan manusia menjalani kehidupan mengikut apa yang telah disusun oleh Allah SWT,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, pembangunan potensi wanita mesti berasaskan kepada satu sistem nilai yang menyeluruh meliputi pengukuhkan jati diri yang juga merangkumi aspek aqidah dan pegangan hidup, akhlak, jasadiah dan insaniah.

Semua pihak, katanya perlu terus memberikan sokongan kepada kaum wanita untuk memajukan diri dalam bidang pendidikan agar wanita dapat sama-sama menyumbang dalam sektor pekerjaan.

Namun, tambahnya pada masa yang sama tidak mengambil kesempatan dan mengeksploitasi wanita dari sudut ekonomi dan kewangan.

Beliau turut menyatakan penilaian secara sepintas lalu dalam situasi Malaysia, menunjukkan bahawa kedudukan wanita di negara ini sudah jauh ke hadapan dari segi penglibatan mereka di dalam kerjaya dan pembangunan masyarakat serta negara.

Beliau berkatanya, ianya juga sekali gus menggambarkan polisi pendidikan negara dalam memberi peluang yang sama rata kepada kaum wanita untuk mendapat pendidikan, telah berjaya mendapat respon serta kesan yang positif daripada kalangan kaum wanita bagi membolehkan mereka meningkatkan keupayaan diri dan berdaya saing dalam kehidupan.

Katanya, jika kesaksamaan menjadi kayu ukur kejayaan yang diperjuangkan, dapat dilihat bahawa wanita di Malaysia telah berupaya menceburi dalam hampir kesemua bidang yang diceburi oleh kaum lelaki.

Namun demikian, ujarnya pada masa yang sama gejala sosial seperti penderaan, penindasan, keganasan, penipuan dan ketidakadilan terhadap wanita serta kanak-kanak terus berlaku dengan meluasnya.

“Tidak kurang juga mereka yang berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi yang turut terjebak di dalam gejala-gejala ini.

“Keadaan ini memberi gambaran bahawa kemajuan dan kejayaan material yang dicapai oleh kaum wanita masa kini yang tidak disertai dengan pembangunan spiritual tidak dapat menjamin dan tidak berupaya untuk melindungi diri mereka khususnya dan ahli masyarakat amnya dari segala bentuk ketidakadilan dan kekejaman,” katanya..

Menurutnya, walaupun wanita telah maju dari sudut pendidikan tetapi dalam banyak hal masih banyak indeks kesejahteraan wanita yang lemah.

Sekali gus, ujarnya ini menunjukkan bahawa perjuangan wanita yang hanya menekankan kesaksamaan gender di dalam semua bidang semata-mata berdasarkan pencapaian material, bagi meningkatkan martabat wanita dan mencapai keadilan tidak mencukupi untuk menjadi penyelesaiaan menyeluruh kepada isu yang dihadapi oleh wanita masa kini.

“Apa yang jelas, adalah kehidupan ummah pada masa kini dilihat makin jauh menyimpang dari landasan hidup syariah yang telah disusun oleh Allah SWT,” katanya lagi.

Baca selanjutnya...