Tuesday, October 23, 2012

Anugerah Ilahi - Khutbah Pertama

Khutbah Jumaat: “Anugerah Ilahi”

.
.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “ANUGERAH ILAHI ”.
.
.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Berdasarkan kepada laporan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, bahawa pada ketika ini di anggarkan 9.8 juta (36%) penduduk negara kita terdiri daripada golongan kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun. Golongan ini merupakan anugerah dan nikmat yang terbesar daripada Allah SWT  dan merupakan aset pembangunan negara pada masa depan. Bagi pasangan ibubapa ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan yang berlipat kali ganda sekiranya mereka di didik dan dibentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh. Sebaliknya, jika diabaikan dari segi didikan, tidak mustahil akan menjadi anak yang derhaka, terbiar dan pada masa akan datang akan menjadi sampah kepada masyarakat dan negara. Justeru memiliki anak yang soleh serta baik budi pekertinya menjadi impian setiap ibubapa dan keluarga sebagaimana kisah Nabi Zakaria AS yang memohon dengan berdoa kepada Allah SWT agar di kurniakan anak-anak yang soleh.
Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 38:

 

Bermaksud: Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.
.

Anak-anak sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih dari sebarang kekotoran samada zahir ataupun batin, maka menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mencorakkan samada untuk membentuknya menjadi insan berjaya ataupun tidak. Anak yang soleh akan memberi manafaat yang amat besar kepada kedua ibubapa.
Sabda Rasulullah SAW:

 
Bermaksud: Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedakah jariah, ilmu yang bermanafaat dan anak yang soleh yang mendoakan. (Riwayat Imam Muslim)
.
.

 Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Dalam membina potensi anak anak, maka pendidikan kepada mereka hendaklah dimulakan sejak awal lagi, kerana pada usia itu segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka. Ibnu Sina pernah berpesan, katanya: ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk.

Rasulullah SAW telah menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak-anak iaitu:
Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun) hendakkah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana haiwan menjaga anak.
Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab kepada mereka.
Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.
Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun, hendaklah diberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu-bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.
.
Ibnu Khaldun telah membahagikan tujuan pendidikan kepada tiga bentuk pendidikan:
Pertama: Mempersiapkan seorang anak dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama menurut al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ini akan membina akidahnya dan membentuk peribadi yang beriman.
Kedua: Mempersiapkannya dari segi akhlak, dan
Ketiga: Mempersiapkannya dari segi pemikiran, ini termasuk ilmu-ilmu umum duniawi, kerana dengan memiliki pemikiran dan ilmu yang baik dan tepat seseorang itu akan mampu berdikari dan memiliki ketrampilan untuk melaksanakan tugas dengan baik.
.
Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Berilah nasihat dan teguran kepada mereka dalam hal akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana nasihat dan teguran tidak boleh dibuat setiap hari atau setiap masa kerana anak-anak akan mudah merasa jemu dan bosan. Contohilah apa yang dilakukan oleh Lukman al-Hakim di dalam mendidik anak-anaknya.
Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 13:

 

Bermaksud:  Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.
.
.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sebagai ibu-bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila mereka telah dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang. Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat. Dari itu amat penting pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia. Kerana dengan pendidkan agama, prinsip iman mereka akan teguh. Ini akan membantu mereka menghadapi masalah-masalah sosial serta membantu mereka menghadapi cabaran masa akan datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak-anak kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pemikiran. Sehinggakan ada sebahagian dari mereka sanggup mengadai prinsip kehidupan mereka.
.
Mimbar ingin mengingatkan sidang jemaah dan umat Islam sekalian bahawa kegelojohan nafsu syahwat diperingkat remaja sangat kuat. Jika punca dan tempat yang menaikkan nafsu tidak ditutup dan kelemahan iman serta kedangkalan akal menjadi sifat mereka, maka selagi itulah anak-anak kita terdedah kepada gejala keruntuhan akhlak dan menghancurkan kehidupan. Kehendak nafsu yang berunsur syahwat sentiasa mencabar setiap peringkat kehidupan, ia boleh menjejaskaan kualiti akhlak manusia setaraf dengan binatang.
Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengingatkan sabdanya;

 

Mafhumnya: Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati. (Riwayat : al-Hakim dan Ibnu Majah).
.
Ingatlah bahawa memelihara anggota keluarga dari ancaman neraka tidak bererti kita hanya bersikap pasif dengan hanya mencegah mereka daripada berbagai perbuatan maksiat. Tetapi kita juga mesti bersikap aktif dalam mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka agar pembentukan ini berperanan sebagai kubu dan daya tahan yang dapat menepis dan menapis pengaruh persekitaran yang penuh mencabar. Ingatlah pepatah orang melayu ‘Ampuh bak ikan laut walaupun sepanjang hayat di laut, badannya tetap tidak masin’. Peranan ibu-bapa bukan sahaja menjadi “Tuan” di rumah, tetapi mereka adalah pengurus, pembimbing dan pengasuh. Tanggungjawab ibu-bapa bukan hanya memberi arahan, tetapi perlu menonton, membimbing, mengasuh dan menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani. Barulah pendidikan kita akan memberikan kesan untuk mencapai matlamat pembentukan nilai murni serta prinsip yang kukuh dalam diri anak-anak.
.
.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, Bersempena dengan Sambutan Hari kanak kanak Sedunia pada hari ini, yang bertemakan: KARISMA KANAK-KANAK; SERLAHKAN POTENSI DIRIMU, maka mimbar menyeru marilah kita bersama-sama menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam yang di dokongi oleh ibu bapa. Isilah masa kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manafaat kepada diri mereka. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa anugerah ilahi ini merupakan sebahagian daripada amanah daripada Allah SWT yang akan dipersoalkan di akhirat nanti.
Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72:

 

Bermaksud: Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.


..
.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“Anugerah Ilahi”
(19 Oktober 2012 / 3 Zulhijjah 1433H)
.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

Baca selanjutnya...

Monday, October 15, 2012

Bersama Penulis



Assalamualaikum wr. wbt...

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat Baginda yang memperjuang dan menyebarkan syariat Islam. Sedikit perkongsian pada kali ini.

Kali ini aku ingin berkongsi tentang seorang penulis. Haji Ahmad Sidqi Danial mungkin asing bagi kita. Beliau merupakan seorang yang berperwatakan sederhana. Setelah berkenalan dengan beliau selama tujuh bulan, barulah aku berpeluang untuk bergambar dengan beliau. Alhamdulillah.

Slot "Bersama Penulis" yang diadakan oleh beliau pada hujung bulan September yang lalu, membangkitkan rasa teruja aku terhadap bidang penulisan walaupun aku tidak mahir dalam bidang ini. 

Berkelulusan daripada Universiti al-Azhar, beliau yang merupakan anak kelahiran Perak kini sedang menjalankan kerja dakwahnya di Sandakan, Sabah sebagai Guru Pendidikan Islam, penceramah dan penulis. Lapan tahun berada di sini, beliau dikenali dengan sikapnya yang ramah dengan masyarakat setempat dan berdakwah melalui penulisan. 

Setakat ini, buku-buku yang telah dicetak dan dikeluarkan adalah dua buah iaitu buku pertama Geng Mengaji dan buku keduanya pula adalah Rahsia Dua Surah Penyeri Subuh Jumaat. Insya Allah pada Januari 2013 buku ketiga beliau akan dikeluarkan oleh Galeri Ilmu. Buku ketiga Diq Danial yang bakal dikelurkan adalah berkaitan faraid. Menurut beliau, sasaran buku faraid adalah satu rumah satu buku faraid dan perlaksanaan tersebut dijangka mengambil masa selama empat hingga lima tahun.

 Diq Danial bersama pelajar-pelajar Sk Sibugal Besar ketika program 
Mahrajan J-qaf peringkat Sandakan


 Berkongsi pengalaman dan ilmu dengan orang yang datang..

 Penulis yang hebat...banyak yang aku belajar daripada beliau...masih menuntut dengannya..hehe

 Buku pertama..Januari 2012

Buku kedua....April 2012

Alhamdulillah, dapat jua bergambar dengan penulis...gembira...



Baca selanjutnya...

Thursday, October 11, 2012

Kelebihan 10 Hari Awal Bulan Zulhijjah

Antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya.

Salah satunya ialah 10 hari yang terawal pada bulan Zulhijjah.

Beberapa dalil daripada al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya:

1. Firman Allah SWT maksudnya:

“Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (Al-Fajr: 1-2)

Kata Ibnu Kathir:  “Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya.” HR: Imam Bukhari.

2. Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya;

“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang 10 ini. Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” HR: Ahmad, At-Tirmizi.

3. Firman Allah SWT, maksudnya;

“Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.” (Surah Al-Haj: 28).

Kata Ibnu Abbas RA: Maksudnya ialah hari-hari yang 10 itu.

4. Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;

“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”

5. Adalah Said bin Jubir RA (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. HR Ad-Darimi- Hasan.

6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Amalan-amalan yang baik dilakukan pada hari-hari tersebut:

1. Solat. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana itulah sebaik-baik amalan. Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” HR Muslim. - Ini umum untuk semua waktu.

2. Puasa. Kerana puasa juga termasuk di dalam amalan soleh. Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.” HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei.
Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari 10 adalah sunat yang sangat digalakkan.

3. Takbir, Tahlil dan Tahmid. Hal ini kerana, hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”

Kata Imam Bukhari:  “Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.”

Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.”

Ibnu Umar RA bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah RA.

Adalah patut sekali para muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti  orang-orang soleh yang terdahulu.

4. Puasa Pada Hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit daripada Rasulullah SAW. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya, maksudnya;

”Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” HR Muslim.

PERINGATAN: Ini hanyalah disunatkan untuk orang yang tidak mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.

5. Kelebihan Hari Raya Korban (Yaum An-Nahr), 10 Zulhijjah.

Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdhal dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765], hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari ke-11 Zulhijjah).

Setengah ulama lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT turun menghampiri hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari tersebut.

Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadis telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.

Samada hari Nahr atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.

Cara-cara menyambut musim kebajikan:

1. Setiap muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang menyekat manusia daripada kebaikan dan menjauhkannya daripada Tuhannya.

2. Menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.” (Al-Ankabut: 69).


Perhatian kepada mereka yang ingin melakukan Ibadat korban.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Apabila masuk 10 terawal bulan Zulhijjah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya.” HR Muslim.

Kata Imam Nawawi rhm: “Para ulama berbeza pendapat tentang hukum hadis ini, Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafei mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafie dan ulamanya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang sangat besar dan hampir kepada haram).” Syarah Sahih Muslim.

Maka sebaik-baiknya bagi kita adalah mengelakkan perkara tersebut dan melakukan persediaan pada awalnya lagi untuk menghadapi larangan yang besar ini.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga agar kita dipilih oleh Allah untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

http://www.abuanasmadani.com
Baca selanjutnya...