Saturday, April 30, 2011

Batas-Batas Bergurau

AGAMA Islam menggalakkan umatnya mengeratkan silaturahim sesama manusia agar kehidupan ini penuh dengan kasih sayang, perpaduan dan harmoni.

Kita juga digalakkan untuk menyenangkan hati sesama saudara kita. Salah satu cara untuk menyenangkan hati itu ialah dengan bergurau senda.

Adapun gurau senda itu suatu yang diharuskan dalam Islam kerana naluri dan fitrah manusia memerlukan hiburan untuk memperoleh ketenangan dan kesejahteraan. Bahkan boleh membebaskan diri daripada keresahan dan ketegangan.

Nabi Muhammad SAW menjalankan kehidupan bersama para sahabat dan ahli kerabat baginda seperti manusia biasa. Baginda berkongsi kesedihan, kesusahan dan musibah dan baginda juga pernah bergurau senda.

Antara senda gurauan Rasulullah SAW ialah sebagaimana yang diceritakan oleh Al-Hasan: "Seorang perempuan tua telah datang kepada Nabi Muhammad SAW, lalu berkata 'Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah SWT supaya aku dapat masuk syurga."

Maka Rasulullah SAW bersabda: "Wahai ibu polan! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga."

Lalu menangislah si perempuan tua itu. Dengan segera Rasulullah SAW bersabda: "Khabarkan kepada perempuan itu bahawa sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua."

Lalu dibacakan firman Allah yang tafsirnya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa serta Kami jadikan mereka sentiasa dara, yang tetap menjadi jodohnya serta yang sebaya umurnya.

Dalam senda gurauan Rasulullah SAW yang lain lagi ialah sebagaimana dalam sebuah hadis yang maksudnya: "Daripada Anas bin Malik, bahawa seorang lelaki meminta kenderaan Rasulullah SAW lalu baginda bersabda: Sesungguhnya aku akan membawamu di atas anak unta betina. Lalu orang itu berkata: Apa yang dapat saya buat di atas anak unta betina? Baginda menjawab: Bukankah yang melahirkan Al-Ibbal (unta jantan tua) itu hanya unta betina iaitu ibunya dan unta jantan tua itu ialah anaknya". (riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Daripada kisah-kisah tersebut dapat kita lihat bagaimana Rasulullah SAW bergurau tetapi dalam perkara yang benar, bukan perkara yang dusta.

Bahkan ia adalah disunatkan untuk menyenangkan hati orang lain. Walau bagaimanapun Islam melarang kita daripada bergurau terhadap perkara yang sia-sia kerana gurauan itu membuat orang ketawa berlebihan dan boleh menyebabkan keras hati serta melalaikan daripada mengingati Allah.

Nabi Muhammad SAW berpesan dalam sebuah hadis maksudnya: "Daripada Abi Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati". (riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Berkata Imam Al-Nawawi: "Gurauan yang ditegah itu ialah gurauan yang melampaui batas dan sering dilakukan sehingga melalaikan daripada mengingati Allah."

Sesungguhnya jika gurauan kita itu bermaksud untuk menyenangkan hati orang lain terutama mereka yang dalam kesusahan, maka Allah SWT akan memberi ganjaran kepada mereka.

Bagaimanapun, jika gurauan itu boleh membawa kemudaratan, kesusahan atau mengakibatkan perkara buruk kepada orang lain, kita akan mendapat dosa.

Oleh yang demikian, berwaspadalah dengan senda gurauan yang melampaui batas atau berlebihan. Janganlah dalam gurauan itu ada unsur-unsur menghina, mencerca, mengolok-olokkan dan menyakiti orang lain kerana ia boleh mencetuskan permusuhan dan kemarahan sehingga menyebabkan terputus silaturrahim.

Jangan juga dijadikan senda gurauan itu suatu kebiasaan atau amalan kerana kesan yang tidak baik daripada gurauan itu mungkin akan terjadi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula sesuatu puak daripada daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan buruk sesudah dia beriman dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Hujurat: 11)

Baca selanjutnya...

Guru takmir umpama cahaya pada masyarakat

Oleh : Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 28 April: Jasa dan pengorbanan guru takmir yang senantiasa memberikan ilmu di surau dan masjid seluruh Negeri Pulau Pinang tidak pernah dilupakan malahan selalu diingati kerana mereka ibarat cahaya yang menjadi pedoman kepada masyarakat.

Itulah antara kata-kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam (Maipp), Ustaz Saleh Man ketika merasmikan Ijtimak Guru-Guru Takmir Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Takmir Peringkat Negeri Pulau Pinang tahun 2011 di Auditorium Dewan Millenium Kepala Batas, kelmarin.

Baginya peranan yang dimainkan oleh guru takmir di surau mahupun di masjid tidak ternilai dengan wang ringgit walaupun wang merupakan sumber yang perlu ada untuk kehidupan masa sekarang.

"Jasa para Guru Takmir seluruh Pulau Pinang kita amat hargai maka hari ini Unit Takmir Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) meraikan mereka sekali lagi pada majlis ijtimak yang diadakan setiap tahun, " ujarnya.

Menurut beliau, walaupun pendapatan guru takmir tidak setinggi mana namun pengorbanan masa dan tenaga amat penting semata-mata untuk memastikan masyarakat Islam terus beriman, bertaqwa dan hidup dalam keberkatan.

Tidak dinafikan, teguran mereka menerusi kuliah yang diberikan kadang-kadang tidak boleh diterima oleh segelintir masyarakat tetapi hasil ketekunan serta berhemah rata-rata yang tidak faham mengenai ilmu Islam dapat menerima dengan ikhlas.

"Sebenarnya ramai lagi orang Islam sendiri yang tidak mahu hayati Islam secara menyeluruh, maka timbul konflik berkaitan sesuatu perkara. Setelah diberikan secara berhemah kini dah ramai faham," tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir.

Guru Takmir Cemerlang Peringkat Negeri Pulau Pinang 2011 jatuh kepada Tuan Guru Haji Abdul Aziz Haji Abdul Rahim.

Selain itu Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau cemerlang, Ustaz Farid Mohd Zaki, Penyelaras Masjid dan Surau Contoh Daerah Kepala Batas, Ustaz Haji Mohd Noor Husin dan Pembantu Takmir yang tidak putus-putus berusaha meningkatkan prestasi para Guru Takmir, Cik Asmah Musa juga dihargai.

Baca selanjutnya...

Friday, April 22, 2011

Perkongsian ....

Assalamualaikum wr. wbt...

Salam perjuangan buat sahabat2 pada hari Jumaat yang penuh barakah ini. Selawat dala salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dan kaum keluarga dan sahabat baginda yang teguh dalam memperjuangkan Islam sehingga kita dapat menikmati agama yang suci ini pada ketika dan waktu ini.

Sedikit perkongsian tentang khutbah yang disampaikan oleh khatib pada khutbah Jumaat tadi. Tajuk yang dibicarakan adalah berkaitan Peranan Masyarakat Terhadap Islam Pada Masa Kini. Apa yang aku ingin kongsikan di sini adalah berkaitan satu jumlah berkaitan anak luar nikah yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mana jumlah ini adalah diambil dari JPN sendiri. Dari tahun 2004-2009 jumlah anak luar nikah yang didaftarkan di JPN adalah seramai 230 000. Nauzubillah...Majoritinya adalah Melayu yang memegang status agama ISLAM. Apa kena dengan umat Islam di negara kita sekarang????

Siapa sebenarnya yang patut dipersalahkan dalam situasi yang sedang meruncing ini?? Sama2 kita muhasabah...Itu adalah setakat tahun 2009, belum lagi dikeluarkan jumlah untuk tahun 2010. Dan masih lagi tidak dicampurkan dengan bilangan buang anak, gugur anak dalam kandungan, membunuh bayi dan agenda2 yang sama dengan perlakuan syaitan itu.

Seringkali aku berfikir bagaimanakah keadaan masyarakat di negara kita 5 tahun akan datang, 10 tahun akan datang, 20 tahun akan datang jika masalah sebegini semakin berleluasa dan mendapat sokongan secara tidak langsung dari pihak2 yang tidak bertanggungjawab.

Usah difikirkan jauhlah. Aku lebih fikirkan keadaan sekitar. Maksudnya kita patut fikirkan bagaimana dengan adik-beradik perempuan kita, sepupu2 perempuan kita, saudara mara perempuan kita, jiran2 sekeliling, dan barulah masyarakat keseluruhannya dengan keadaan yang membimbangkan ini.

Aku bagi contoh yang lebih dekat ialah di tempat aku bekerja sendiri. Mengajar orang-orang yang besar merupakan satu cabaran. Cabaran dari segi pergaulan mereka, percakapan mereka, pemakaian mereka dan rakan2 yang sesama dengan keadaan itu. Pelajar lelaki dengan gayanya yang tersendiri. Berambut pacak, diwarnakan dengan pelbagai warna, memakai gelang, subang dan merokok. Itu adalah kehidupan pelajar2 lelaki. Bagi pelajar perempuan pula memakai ketat sendat, tidak memakai tudung, make-up yang entah apa-apa, dll. Cara pergaulan mereka terlalulah sosial. Dengan berpimpin tangan lelaki dan perempuan adalah perkara biasa, bertepuk tampar dan cubit-menyubit perkara lumrah...itulah kehidupan pelajar2 yang aku lihat di tempat aku mengajar ini.


Mesti kalian persoalkan kenapa aku tidak tegur @ beri nasihat kan?? Tegur sudah, nasihat pun sudah namun mereka tidak mengendahkan. Ada juga yang akan menjawab aku ni tidak mengajar mereka, jadi buat apa aku sibuk???Bagus jawapan tu. Kalau aku tidak terikat dengan peraturan jawabnya pelempang yang hinggap di muka tu..he3

Aku hanya dapat menasihati pelajar2 yang aku mengajar, itu pun dengan cara tersendiri. Di tempat aku mengajar ni diadakan mentor mentee. Jadi aku ambik peluang itulah untuk menyindir dan menasihati pelajar2. Ada satu cara aku lakukan adalah setelah habis mengajar, masa yang masih berbaki, aku akan keluarkan Majalah SOLUSI dan aku akan baca tajuk2 yang berkaitan dengan masalah sosial, kehidupan dan agama. Jumaat lepas kebetulan dalam majalah tersebut ada taajuk yang membicarakan "kenapa manusia sukar mendapat jodoh", dan faktor2 yang dinyatakan dalam majalah tersebut memang kenalah pada pelaku yang selalu melakukan perkara sumbang. Bukan niat aku untuk aku menyindir namun itulah satu cara yang aku dapat fikir untuk tidak menegur secara terus kerana banyak masalah yang timbul jika tegur secara demikian. Aku bukan takut untuk berdakwah secara lebih berani namun dengan status tempat ini adalah kolej antarabangsa yang kebanyakan pelajar adalah dari China, dan negara timur tengah, sukar untuk berbuat demikian.

Mungkin ia mengambil sedikit masa kerana aku pun baru setahun bekerja di sini. Diharap agar sahabat2 seperjuangan dapat sama2 mendoakan agar aku dapat mendidik anak bangsa di tempat aku mengajar ini dengan cara hidup Islam yang sebenar.
Baca selanjutnya...

Tuesday, April 19, 2011

PAS Tempa Kejayaan Bermakna di Sebuyau

Oleh : Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 18 April: Walaupun tewas dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10, PAS tetap menempa kejayaan besar di Dun Sebuyau apabila berjaya mengislamkan seorang lelaki berketurunan Iban di kawasan itu.

Kejayaan tersebut ditempa 8 April lalu di kawasan pedalaman Sebuyau, apabila Jelani yang berusia 40-an datang menemui petugas-petugas PAS dari Perak yang berjumlah 7 orang yang bertugas di kawasan itu untuk diislamkan.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Haji Adam Ahid (gambar) menjelaskan, majlis pengislaman Jelani dilakukan oleh para petugas PAS dari Perak di rumah sewaan mereka dalam suasana penuh kesyukuran.

Menurut beliau, lelaki tersebut yang telah mempunyai seorang isteri dan seorang anak kini akan terus dibimbing oleh pihaknya bagi membolehkan beliau memperdalami ajaran Islam dan menjalani hidup secara islamik.

Katanya, selain itu, pihaknya juga akan turut membantu Jelani menguruskan beberapa perkara lain termasuk pendaftarannya secara sah sebagai penganut Islam.

"Dari segi namanya memang dah cukup baik. Secara kebetulan, nama asalnya memang Jelani yang sudah dikira memenuhi ciri-ciri nama yang baik dalam Islam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pengislaman Jelani, menurut beliau, adalah hasil kempen yang dijalankan oleh PAS yang memperkenalkan tentang Islam kepada penduduk tempatan termasuk menerusi ceramah.

"Inilah kejayaan kita. Walaupun tewas dalam pilihanraya, kita amat berbangga kerana berjaya mengislamkan seseorang. Walaupun seorang, tetapi ia sememangnya cukup bermakna kepada kita.

"Ini juga jelas membuktikan kepada kita bahawa ceramah-ceramah yang kita adakan telah berjaya menyerap ke jiwa orang bukan Islam, sehingga menyebabkan mereka tertarik dengan Islam dan akhirnya salah seorang daripada mereka dengan rela mengucap dua kalimah syahadah," tegasnya.

Dalam hubungan ini, beliau amat kesal dengan sikap sesetengah orang Islam sendiri di kawasan itu yang mengaku beragama Islam tetapi tidak pula menjalani kehidupan sebagai orang Islam.

"Antaranya yang boleh dilihat adalah sesetengah anak-anak muda di kawasan ini. Walaupun mereka Islam dan ibu bapanya juga Islam, tetapi banyak yang minum arak.

"Pelik, ketika orang bukan Islam tertarik kepada Islam dan mahu menjalani kehidupan sebagai orang Islam yang sebenar, mereka yang sudah beragama Islam pula yang tidak menjalani hidup sebagai orang Islam seperti yang dituntut oleh Allah ke atas kita," katanya.

Beliau juga turut kesal dengan tindakan pihak BN dalam kempen mereka bagi menghadapi pilihanraya 16 April lalu, apabila para pemimpin mereka sanggup mengadakan pelbagai konsert di kawasan itu bagi menarik perhatian anak-anak muda supaya menyokong mereka, walaupun ia jelas akan lebih melalaikan lagi muda-mudi terbabit.

Menyentuh tentang kekalahan yang diterimanya dalam pilihanraya itu, beliau kesal kerana bukan sekadar berhadapan dengan parti lawan, tetapi kerajaan Malaysia, apabila pihak lawan menggunakan segala kemudahan kerajaan untuk menghadapinya.

Menjelang pilihanraya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri turut turun ke Sebuyau, sehingga membawa perlaksanaan pelbagai projek segera di kawasan itu termasuk pembinaan jalanraya, balairaya dan sebagainya yang kesemua itu adalah dengan menggunakan wang rakyat.

Selain itu, beliau juga kesal kerana pihak BN turut menggunakan pelbagai ancaman dan ugutan kepada orang ramai agar tidak menyokong PAS dalam pilihanraya itu.

"Antara ancaman dan ugutan yang dilakukan kepada orang ramai termasuk akan menarik bantuan persekolahan anak-anak, biasiswa dan bantuan kebajikan kepada golongan tua jika menyokong PAS," ujarnya.

Pada setiap program yang diadakan oleh PAS, katanya, pihak BN turut menghantar polis dari unit Special Brand (SB) untuk merakamkan sebarang aktiviti, ucapan para pemimpin dan ceramah yang diadakan.

"Para petugas PAS tidak pula menghalang kedatangan SB ke dalam program-program kita kerana tidak mengenalinya dan sesetengahnya kerana percaya kepada mereka. Tetapi di sebaliknya, SB-SB itulah yang membuat hal dengan menghantar rakaman program yang kita adakan itu kepada pihak BN untuk diadakan tindak balas dari apa yang telah kita adakan," katanya.

Di samping itu, beliau turut kesal kerana para pemimpin BN turut menghalang kemasukan orang dari Semenanjung ke kawasan itu untuk membantu PAS, dengan memberikan amaran menerusi kain-kain rentang yang dipasang di merata kawasan.

"Tetapi di pihak mereka, tidak pula ada halangan untuk orang dari Semenanjung ke Sebuyau untuk berkempen bagi pihak mereka.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab itu walaupun dapat diatasi oleh pihak PAS kemudiannya menjelang hari-hari akhir kempen, tetapi ia amat dikesalkan kerana tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang mengamalkan demokrasi seperti di negara kita," tegasnya.

Dalam PRN Ke-10 yang berlangsung 16 April lalu, Haji Adam yang bertanding atas tiket PAS bagi Dun Sebuyau, yang terletak dalam kawasan Parlimen Batang Lupar, berjaya memperolehi 1,769 undi, manakala calon BN, Julaihi Narawi memperolehi 4,045 undi dan calon Bebas, Ali Semsu memperolehi 67 undi serta hilang wang pertaruhan.
Baca selanjutnya...

Friday, April 15, 2011

Seni pisau belati Empayar Mughal



PISAU BELATI hulu dan sarung berhias enamel India abad ke 18-19M/ abad ke 12-13H.


PISAU belati merupakan satu senjata yang kurang digunakan pada hari ini. Belati membawa maksud datang dari negara luar. Pisau belati empayar Islam Mughal di India mempunyai pelbagai bentuk yang menarik dan dihasilkan dengan penuh berseni.

Terdapat dua nama pisau belati yang digunakan dalam empayar Mughal iaitu katar dan khanjar yang merujuk kepada dua jenis pisau belati yang mempunyai reka bentuk berlainan. Khanjar mempunyai lebih banyak pilihan reka bentuk berbanding katar.

Keunikan reka bentuk pisau belati India terletak pada bahagian hulunya. Khanjar mempunyai beberapa jenis hulu yang sering digunakan antaranya yang berbentuk kepala kuda, kuntuman bunga, lurus dan berbentuk 'T'.

Setiap pisau belati mempunyai sarung yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu dan kemudiannya di balut dengan kain baldu, kepingan logam dan hiasan lain.

Hulu pisau belati empayar Mughal sering dihias dengan pelbagai jenis hiasan yang terdiri daripada beberapa bahan utama seperti batu jed, kristal, nephrite, kepingan emas, dan sebagainya. Teknik hiasan terdiri daripada ukiran bentuk tiga dimensi seperti kepala kuda, teknik tatahan yang menggunakan batu permata dan juga teknik hiasan enamel. Batu permata yang sering ditatah di atas hulu khanjar ialah seperti batu zamrud dan delima.

Khanjar yang mempunyai hulu berbentuk lurus, silinder dan bersaiz kecil selalunya diikat dengan tali dan di gantung di pinggang. Cara pemakaian pisau belati ini berlainan berbanding khanjar yang lain kerana selalunya ia berbentuk leper dan boleh di selit pada tali pinggang.

Bagi bahagian bilah, khanjar mempunyai dua bentuk bilah yang utama iaitu bilah meleding dan bilah lurus. Bilah khanjar mempunyai saiz yang agak lebar, tirus dan kadang-kadang meleding sedikit di bahagian hujung. Bilah khanjar sering diperbuat daripada keluli dan mempunyai dua mata pisau di bahagian kiri dan kanan bilah.

Satu lagi jenis pisau belati empayar Mughal ialah katar atau jamadhar. Katar mempunyai reka bentuk hulu yang unik. Secara amnya, hulu pisau belati katar berbentuk 'H' yang memerlukan pemegangnya menggenggam di bahagian tengah ketika menggunakannya.

Bentuk 'H' yang dihasilkan berkemungkinan mengikut saiz tangan pemilik kerana ia perlu mempunyai saiz yang sesuai dengan tangan pengguna supaya ia tidak mendatangkan kecederaan. Ia mempunyai sarung yang berbentuk leper dan tirus untuk bilahnya.

Bilah katar bersaiz lebar, leper dan berbentuk tirus. Ia juga diperbuat daripada keluli dan mempunyai dua mata pisau di bahagian kiri dan kanan. Jika dunia Melayu sinonim dengan keris, katar adalah senjata yang sinonim dengan masyarakat Mughal India.

Katar sering dipakai oleh maharaja Mughal, putera raja dan golongan bangsawan seperti yang ditunjukkan dalam kebanyakan lukisan mini India.

Dalam segi hiasan hulu, katar juga menggunakan bahan yang sama dengan khanjar. Batu permata delima dan berlian ditatah di atas hulu yang diperbuat daripada batu jed atau kepingan emas. Hasil kerja tangan seniman empayar Mughal amat terkenal dengan ukiran batu permata dan emas. Batu permata yang ditatah di atas hulu pisau belati diukir halus sama ada menunjukkan kelopak bunga atau urat daun.

Bagi tatahan emas, hulu keluli yang digunakan mempunyai alur ukiran yang dalam mengikut corak yang dikehendaki. Setelah siap diukir, alur hiasan akan diisi dengan cecair emas dan dibiarkan sejuk dan keras sebelum diketuk supaya rata dan dikemaskan hiasannya.

Warna emas yang kuning memberikan perbandingan warna yang menarik di atas keluli yang berwarna hitam. Kadangkala teknik hiasan ini juga digunakan di atas permukaan bilah katar dan khanjar.

Dalam salah sebuah lukisan mini empayar Mughal di galeri India Muzium Kesenian Islam Malaysia menunjukkan Maharaja Shah Jahan memakai katar yang diselitkan dipinggang sewaktu duduk di atas kerusi dan di layan oleh dua orang pembantu istana yang turut memakai katar.

Katar dipakai sewaktu di dalam istana dan jika di luar istana, katar dipakai bersama kelengkapan senjata yang lain seperti pedang dan bekas anak panah. Kelengkapan sebegini sering digunakan untuk persiapan dalam peperangan.


* Teringat kembali sewaktu belajar di UKM di mana pada tahun akhir (sem 5 & 6) aku banyak mengkaji berkaitan Perkembangan Islam di India (",)

Baca selanjutnya...

Wednesday, April 13, 2011

17 kerusi dalam tangan, 11 jadi rebutan?

Oleh : Nazri Abdullah

KUCHING, 13 April: Sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak didakwa sudah dalam genggaman Pakatan Rakyat manakala 11 kerusi lagi boleh jatuh bila-bila masa kepada Pakatan.

Dari 71 kerusi yang dipertandingkan, BN pula setakat ini didakwa hanya selesa di 43 kerusi, kata Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS, di Matang Jaya di sini.

Menurut Malaysiakini pula, kerusi selamat untuk BN hanya 28 sahaja manakala 19 sudah dimenangi pembangkang manakala 24 kerusi lagi sedang menjadi rebutan.

Dr Dzulkefli yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP) berkata, biarpun maklumat itu hanya sekadar pandangan pemerhati politik, namun ianya sesuai dengan sokongan masyarakat terhadap Pakatan Rakyat setakat ini.

Maka tidak hairanlah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak begitu bimbang sehingga beliau terpaksa turun sendiri berkempen di Sarawak.

"Najib memang tergugat, saya mendapat maklumat BN hanya boleh menang 43 kerusi yang mana mereka rasa betul-betul selamat. 17 kerusi milik pembangkang manakala 11 lagi jadi pertarungan sebenar," katanya.

Turut serta pada sidang media itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.

Keadaan itu juga jelas beliau menyebabkan Najib kini seperti hilang kepercayaan kepada timbalannya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi jentera pilihan raya BN.

Ianya juga ditambah dengan faktor kebencian rakyat terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Hampir seluruhnya kekayaan negeri ini dibolot secara rakus bukan sahaja oleh dirinya (Taib), tetapi juga oleh suku sakatnya, abang, adik, ipar dan menantu.

"Maka amat wajar Najib kalau berani menyatakan siapa pengganti Taib Mahmud dalam masa terdekat ini.

"Ataukah ini mainan Najib, atau mainan Muhyiddin dengan Taib Mahmud untuk mensabotaj Najib,"soalnya lagi.

Kebangkitan rakyat pada pilihan raya Sarawak kali ini dapat dilihat dengan jelas apabila penyertaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini disambut bagai menatang minyak yang penuh.

Ceramah-ceramah Pakatan Rakyat juga turut mendapat sambutan luar biasa khususnya masyarakat Cina, apatah lagi dengan kehadiran pemimin utama PAS, PKR dan DAP seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Keadaan itu menyebabkan BN kini tidak senang duduk dan mula menumpukan kepada kawasan pedalaman yang mempunyai penduduk majoriti Melayu, Melanau dan Iban.

"BN kini sedang memperkemas bala tentera, bukan jentera tetapi wang ringgit mereka,"kata Dzulkefly lagi.

Pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, semua kerusi ditandingi pembangkang termasuk Pakatan Rakyat iaitu PKR 47 kerusi, DAP 15 dan PAS 5, manakala Snap bertanding di 27 kerusi.

Baca selanjutnya...

Selepas tipu, 'ustaz' ugut bunuh pula

Oleh : Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 13 April: Pasangan suami isteri bergelar ustaz dan ustazah dan dari kalangan aktivis Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Kelantan, kini bertindak lebih melampau dengan melakukan ugutan bunuh kepada orang yang meminjamkan wang kepadanya.

Ugutan tersebut dibuat untuk menakutkan orang yang meminjamkan wang kepadanya agar tidak terus menuntut hutangnya, sekali gus untuk menutup mulut individu terbabit supaya tidak menceritakan kejahatan mereka kepada orang lain termasuk kepada ibu bapa mereka.

Seorang mangsanya, Ikwan Ariffin, 25, yang tinggal di Dungun, Terengganu ketika mendedahkan perkara itu berkata, ugutan tersebut sememangnya serius dan ia turut dialami oleh beliau sendiri ketika beliau menuntut hutangnya buat kesekian kalinya daripada mereka, 6 April lalu.

Menurut beliau, kejadian tersebut berlaku di hadapan ibu kepada ustaz itu sendiri, setelah beliau sampai di rumah ibunya untuk bertanyakan sama ada ustaz tersebut datang ke rumah ibunya atau tidak.

Katanya, ugutan tersebut dibuat menerusi telefon mudah alih, sebaik beliau menghubungi ustaz tersebut di hadapan ibunya untuk menuntut hutangnya sebanyak RM7,000 yang dipinjamkan sejak bulan Oktober tahun lalu.

"Sejurus selepas ugutan itu dibuat dengan kata, "awak jangan mintak hutang awak lagi, aku tak ada wang nak bayar. Kalau kau terus mintak hutang kau tu, aku akan bunuh kau" datang pula sebuah kereta yang dinaiki dua orang lelaki berusia antara 40 ke 50 tahun.

"Tak lama kemudian, datang pula seorang lelaki lain dengan menaiki motorsikal. Kedatangan mereka bertiga adalah untuk memukul saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ikhwan yang datang ke rumah ibu kepada ustaz tersebut di Kota Baharu, Kelantan bersama adik dan seorang temannya bagaimanapun berjaya melepaskan diri dari ancaman ketiga-tiga lelaki itu dengan melarikan diri dengan keretanya.

"Ketika itu waktu Maghrib. Kami bertiga terus melarikan diri dengan kereta menuju ke bandar Kota Bharu untuk mendirikan solat Maghrib tanpa dapat dikesan lagi oleh mereka," katanya.

Ketika dalam perjalanan ke bandar Kota Bharu, beliau menerima panggilan telefon menerusi telefon mudah alihnya berkali-kali daripada ustaz tersebut dan tiga orang lelaki itu dengan ancaman keras untuk membunuhnya.

Ancaman berkali-kali yang dibuat dengan nada suara keras dan marah itu juga turut menegaskan yang beliau pasti akan dicari oleh mereka walau di mana pun mereka berada secara berterusan, selagi beliau tidak dibunuh oleh mereka.

"Saya benar-benar terancam dengan ugutan dan ancaman mereka itu. Ternyata, ia bukanlah sekadar ugutan dan ancaman, tetapi pasti akan benar-benar terjadi jika mereka dapat mengesani kami pada ketika itu," tegasnya.

Menyedari hakikat itu, Ikhwan mengambil keputusan untuk membuat laporan polis bagi melindungi dirinya. Sebelum itu, selepas mendirikan solat Maghrib di sebuah masjid di bandar Kota Bharu, beliau terlebih dahulu mengunjungi ayah angkatnya di Lata Rek, Kubang Kerian untuk bermalam di rumahnya.

Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Laloh, Kuala Krai, jam 11.00 pagi keesokan harinya, 7 April, sebelum bertolak pulang ke kampungnya di Dungun. (Gambar atas)

Disebabkan kejadian itu, Ikhwan kini mula tidak keruan dan hidup dalam ketakutan. Ustaz tersebut yang sebelum ini cukup dihormatinya kini telah bertukar menjadi orang yang memusuhinya, setelah beliau menolongnya begitu banyak termasuk meminjamkan wang kepadanya sebanyak itu.

Menurut Ikhwan, sebelum kejadian itu berlaku, beliau terlebih dahulu telah menelefon ustaz tersebut jam 8.00 pagi, 6 April lalu dan dijawab oleh isteri kepada ustaz tersebut.

Menerusi panggilan itu, beliau berpura-pura hendak membeli minyak Habbatus Sauda' yang dijual oleh mereka dengan jumlah yang agak banyak untuk mengetahui sama ada beliau mempunyai wang atau tidak.

Beliau berpura-pura hendak membeli 100 botol minyak tersebut yang setiap sebotol berharga RM130.00 menjadikan jumlah keseluruhannya RM130,000.

"Menerusi panggilan itu, isteri kepada ustaz itu sendiri mengaku mereka memang ada menyimpan stok sebanyak itu. Ini menunjukkan mereka sememangnya mempunyai wang, tetapi sengaja tidak mahu membayar hutangnya kepada saya.

"Tetapi apabila beliau dapat mengesani suara saya, beliau terus memutarbelitkan kenyataan dengan mengatakan mereka sememangnya tidak mempunyai stok minyak itu sebanyak itu, tetapi hanya sekadar 10 botol sahaja," katanya.

Disebabkan putarbelit itu, beliau terpanggil untuk menemui mereka bagi mendapatkan hutangnya kerana ustaz tersebut sebenarnya sememangnya mempunyai banyak wang. Tetapi sebelum ke rumah pasangan tersebut, Ikhwan terlebih dahulu ke rumah ibunya untuk mengetahui perkembangan mengenainya.

"Ketika saya menelefonnya di hadapan ibunya, dia begitu marah kepada saya kerana menceritakan kejahatannya itu kepada ibunya. Beliau dan isterinya amat malu setelah kejahatan mereka diketahui ibunya memandangkan beliau orang yang faham dalam agama yang merupakan lulusan universiti Al-Azhar," katanya.

Lanjutan itulah, jelas Ikhwan, yang membawa kepada ancaman bunuh daripada ustaz tersebut dengan dibantu tiga orang rakannya itu terhadap beliau.

11 April lalu, Harakahdaily atas tajuk "Awas Ustaz dan Ustazah Umno Kaki Tipu" telah melaporkan, sepasang suami isteri yang bergelar ustaz dan ustazah dan dari kalangan aktivis Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Kelantan, telah dikenal pasti sebagai kaki tipu, dengan menjalankan kegiatannya menerusi internet bagi memperdayakan orang ramai.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dengan mereka agar tidak turut menjadi mangsanya, memandangkan mereka mempunyai pelbagai cara untuk memperdayakan orang ramai dengan memperalatkan ilmu yang dimilikinya dalam agama.

Dalam laporan itu antara lain dinyatakan, Ikhwan sendiri telah menjadi mangsa mereka sehingga menyebabkan beliau kehilangan wang RM7,000 yang dipinjamkan secara berperingkat-peringkat pada 27, 29 dan 31 Oktober tahun lalu menerusi transaksi Maybank2u.

Menurut beliau, ustaz dan ustazah tersebut yang dikenalinya menerusi online sejak tahun 2005 lalu mempunyai laman web tersendiri yang menyediakan ceramah agama dan perkhidmatan kaunseling kepada pelayar-pelayar internet.

Menerusi laman web itu, pasangan yang berusia 35 tahun itu kini bukan sekadar menyampaikan ceramah agama dan memberikan perkhidmatan kaunseling menerusi internet, tetapi turut mempergunakan websitenya untuk menjalankan perniagaan lain iaitu berniaga minyak wangi, pelbagai ubat kecantikan dan baju dari Mesir.

"Hasil dari penyelidikan saya, ternyata, pasangan itu adalah orang kuat Umno. Saya juga mendapat tahu, rumah yang diduduki oleh pasangan itu (kini) juga adalah kepunyaan Umno," jelas Ikhwan.

Selain menipu dengan cara meminjam wang, pasangan tersebut turut menjual e-book Penghapus Saka kepada orang ramai dengan mengaku e-book itu adalah kepunyaan mereka, pada hal e-book itu sebenarnya adalah kepunyaan kawan Ikhwan sendiri.

"Penipuan lain pula yang dilakukannya, mereka juga turut membuat satu website lain yang menjalankan usaha tarik duit. Website tarik duit itu dibuka oleh ustaz itu pada tahun 2007 lalu dan cukup aktif sekitar tahun 2008," jelas beliau yang mengakui berada "atas pagar" dalam politik ketika menghubungi Harakahdaily.

"Menerusi website itu, ustaz tersebut melakukan penipuan dengan menjual ibu duit kepada orang ramai untuk digunakan dalam usaha menarik duit oleh mereka yang melakukan pekerjaan itu," ujar beliau.
Baca selanjutnya...

Selepas beberapa minit dipasang dibuang semula

Oleh : Nazri Abdullah

SADONG JAYA, 13 April: Seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) di Kampung Ensengei Melayu di sini kecewa selepas meter elektrik yang tak sampai 24 jam di pasang, dicabut semula.

Kediaman penghulu tersebut, Tuan Haji Wahab Johari didakwa didatangi dua juruteknik Sarawak Electricity Supply Corporation (Sesco) lebih kurang jam 3 petang semalam.

Mereka memasang meter elektrik sehingga selesai dan kemudiannya menjalankan ujian sebelum mengesahkan ianya berfungsi.

Namun beberapa minit selepas itu, seorang pegawai Sesco didakwa datang dan memaklumkan nama penghulu tersebut tiada dalam senarai.

Beliau kemudiannya mengarahkan meter yang siap dipasang itu ditanggalkan semula.

Difahamkan Haji Wahab ada merayu kepada pegawai tersebut agar tidak mencabut semula meter elektrik itu, namun tidak dilayan.

Jam 12 sebelum itu, AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar ada berkunjung ke rumah beliau dalam siri kempen rumah ke rumah sempena pilihan raya kecil Sarawak kali ini.

Dalam pertemuan kira-kira 20 minit itu, Haji Wahab ada menceritakan salasilah keturunannya yang memang berasal dari kampung tersebut.

Selepas pertemuan itu pula, petugas PAS dari Selangor turut berkunjung ke rumah sama.

Difahamkan Haji Wahab adalah penyokong PBB sejak sekian lama.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada penarikan semula meter elektrik di rumahnya itu ada kaitan dengan dua kunjungan dari PAS sebelum itu.

Calon PAS, Abang Eddy Abang Fauzi ditentang calon BN, Aidel Lariwoo dan seorang lagi calon bebas, Mahayudin Bin Wahab.

Baca selanjutnya...

Taib bakal sempurnakan igauan buruk Najib

Oleh : Ahmad Lutfi Othman

Mulanya, tidak ramai yang meletakkan harapan bahawa perubahan besar bakal berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak. Tumpuan hanya difokuskan kepada beberapa kerusi majoriti pengundi Cina. Masyarakat Melayu-Melanau dan Dayak dianggap sukar untuk mencetuskan reformasi, apatah lagi tsunami politik.

Bumi Kenyalang ini masih dianggap "simpanan tetap" yang selamat buat BN mempertahankan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Isu lebih terpusat kepada personaliti Ketua Menteri, Taib Mahmud, yang sudah 30 tahun bertakhta, dengan kisah menarik tentang kekayaan luar biasa kaum keluarga dan suku-sakatnya.

Turut dibicarakan adalah penindasan berlarutan dalam isu tanah hak adat Bumiputera (NCR), selain persoalan khazanah negeri yang kaya-raya tetapi tidak mampu menyelesaikan tuntutan mendesak mengenai kemudahan asas dan kemiskinan yang membelit majoriti rakyat Sarawak. Elit penguasa sesuka hati membolot hasil buminya, manakala rakyat, khususnya Orang Asal terus merempat. Pembalakan memusnahkan kampung halaman mereka. Cukup menyedihkan.

Itu suasana sebelum hari penamaan calon, ketika kempen secara rasmi tidak dibenarkan lagi. Bukan sahaja BN dijangka menang mudah, malah tidak sukar untuk mempertahankan majoriti dua pertiga dan meneruskan "kerja zalim" mereka. Untuk memperolehi 24 kerusi pun, bagi menafikan kemenangan selesa BN, Pakatan Rakyat tidak diberikan harapan tinggi.

Selepas lima hari berkempen, tiba-tiba realiti di Sarawak seperti memberikan harapan baru yang lebih segar. Arus perubahan bukan sekitar masyarakat Tionghua. Perdana Menteri, Najib Razak dilaporkan terpaksa bekejar ke Kuching, menyelamatkan BN yang kian goyah, dengan berkempen di sana sehingga hari mengundi. Selalunya hanya Timbalan Perdana Menteri yang berkampung dan mengetuai kempen.

Najib sebenarnya sudah melanggar tradisi apabila turut berkempen dalam pilihan raya kecil Sibu, Mei 2010. Hasilnya, DAP mencipta kejutan. BN terduduk kalah. Sejak pilihan raya negeri 2006, protes pengundi Cina tidak dapat disembunyikan lagi. Ia kemudiannya berjangkit ke Semenanjung dalam PRU12, Mac 2008. Tidak dipastikan apakah Najib mampu mempertahankan kedudukan BN atau menambah-parahkan lagi keadaan.

Antara tugas penting Najib menjelang hari mengundi adalah untuk meyakinkan pengundi Sarawak bahawa Taib memang akan benar-benar berhenti selepas pilihan raya ini. Jaminan itu bagaimanapun disambut dingin, apatah semasa dilafazkan Taib tidak kelihatan pun di sebelah Taib. Pada November 1995, Taib mengumumkan akan berundur dalam masa lima tahun, tetapi sehingga 2011, iaitu 16 tahun selepas itu, beliau masih berkuku, ceria dan gagah di samping isteri mudanya.

(Dalam tulisannya, pensyarah kanan Unimas, Dr Awang Azman Awang Pawi menukilkan: "Pada suatu majlis rasmi parti, beliau (Taib) memakai baju batik yang lengan bajunya disingsing ke siku, bingkas bangun dan bergerak laju ke rostrum dengan penuh semangat. Dari tempat duduk di barisan bawah menuju ke pentas, beliau seakan-akan melompat. Khalayak dari luar Sarawak khususnya dari media Semenanjung Malaysia agak terkejut dengan kelincahannya.").

Menerusi gambar yang disiarkan Utusan Malaysia, Isnin lalu, semasa Najib berkempen di Stadium MBKS, Kuching, sambutan nampak cukup tidak menggalakkan. Banyak kerusi kosong. Pesertanya pula kelihatan memakai t-shirt yang sama, menandakan mereka bukannya "rakyat jelata" tetapi "penganjur bersama".

Esoknya, dalam program konsert 1Malaysia, di Padang Merdeka, Taib menegaskan hanya akan berundur dalam masa "beberapa tahun lagi". Menarik juga jika mahu dianalisis berapa lama sebenarnya tempoh "beberapa tahun lagi" itu, dalam kiraan Taib? Apatah lagi tahap kesihatan dan kecergasannya, terutama selepas beristeri muda, begitu menakjubkan!

Fokus utama Najib bukan sekadar Sarawak tetapi jauh menjangkaui impak buruk buat BN jika Pakatan sekali lagi mencipta kejutan. Kalaupun tsunami belum mampu membadai pantai Sarawak pada 16 April nanti, namun apa jua momentum yang dihasilkan Pakatan nanti dijangka berupaya membangkitkan semangat baru rakyat Malaysia untuk mempercayai bahawa mereka boleh melakukan perubahan besar dalam PRU13.

Najib pastinya sudah bertungkus-lumus untuk mematahkan keyakinan rakyat yang cukup berbahaya itu. Segalanya telah diperkakaskan untuk menimbus segala momentum PRU12; soalnya, apakah Najib akan melihat begitu saja Taib bakal menjadikan beliau sebagai perdana menteri terakhir daripada BN?
Baca selanjutnya...

Najib disambut dingin di Pekan Pusa

BETING MARO, 13 April: Dua hari lagi menjelang pilihan raya negeri Sarawak, Barisan Nasional (BN) kelihatan semakin terdesak apabila isu membabitkan Tan Sri Taib Mahmud terpaksa dijawab satu persatu.

Namun isu bila Ketua Menteri itu akan meletak dan siapa pengganti nampaknya belum mampu dirungkai BN. Ini menyebabkan aktiviti kempen
jentera BN kurang mendapat sambutan.

Hari ini terbukti lagi apabila kehadiran Datuk Seri Najib Razak di Pekan Pusa disambut tidak lebih 100 penyokong BN.

Lebih memalukan lagi apabila program kempen Najib yang diadakan sejurus selepas itu semakin kurang bilangan pendengar. Kalau hendak dihitung 50 orang pun sukar.

Perdana Menteri datang menggunakan helikopter (gambar). Pemimpin BN tidak serik menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan biar pun seorang terbunuh pada kemalangan helikopter kelmarin.

Najib difahamkan terpaksa berkempen di Beting Maro memandangkan terdapat bayangan BN sukar mempertahankan kerusi berkenaan pada
pilihan raya kali ini.

Isu calon yang tidak dipersetujui akar umbi penyokong BN kini sukar ditangani. Keputusan Taib mengenepikan Bolhassan Di, penyandang
sebelum ini juga makin payah diselesaikan.

Selain itu dan kemenangan kecil Bolhassan pada pilihan raya sebelum ini dengan 895 undi menyebabkan situasi cemas melanda BN.

Menurut krew Kelantantv yang berada di Beting Maro sejak Ahad lalu, kedatangan Najib turut disambut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru
Abdul Hadi Awang.

Katanya, Presiden PAS turut tampil bersalam dengan Najib ketika Perdana Menteri datang ke Pasar Pusa.

Ketika itu pemimpin PAS dan sebahagian daripada Kelantan sedang minum pagi bersama calon PAS Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

”Sambutan penduduk Pusa terhadap Najib amat dingin sekali. Tidak ramai sebagaimana dijangka walaupun BN buat pengumuman termasuk melalui TV
meminta rakyat Pusa keluar menyambut Perdana Menteri.

”Kekecewaan jelas terpancar di wajahnya. Ketika ucapannya beliau menghentam Presiden PAS apabila menyebut ’orang PAS bila sambut, peluk
kita nampak baik tapi politiknya jahat," kata jurucakap Kelantantv.

Najib difahamkan tiba di Kuching malam tadi. Beliau dijangka menghabiskan masa berkempen di bahagian Selatan Sarawak iaitu Pusa, Sebuyau dan Batang Sadong sehingga esok.

Dua hari lalu beliau berkempen di Beladin, salah satu Daerah Mengundi di Dun Beting Maro yang hanya boleh dihubungi melalui feri menyeberangi Sungai Saribas.

Turut berkempen membantu calon BN di Beladin, semalam Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom.

”Tinggal dua hari kempen sebelum hari pengundian Sabtu ini ternyata BN berada dalam keadaan tersepit apabila pelbagai isu membabitkan Taib
terutamanya tanah adat langsung tidak disentuh Najib semasa melawat
Beladin,” katanya.

Penduduk di Beladin juga dikatakan menuntut janji yang tidak ditunaikan sehingga kini termasuk membayar pampasan tanah.

Malam tadi Ustaz Abdul Hadi berceramah di Pusa Tengah bersama anggota jawatankuasa PAS pusat, Mohamad Sabu; Senator Mumtaz Nawi, dan
Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim.

Sambutan penduduk Pusa terhadap ceramah PAS begitu menggalakkan sekali di mana jauh lebih positif berbanding pilihanraya negeri Sarawak pada
2006.

Malah anak-anak muda tidak kekok melaungkan kata-kata 'Hidup PAS' dan didapati mereka memberi sokongan padu terhadap Abang Mat.

Jentera pembantu kempen dari Dewan Pemuda Kelantan diketuai Abdul Latif Abdul Rahman turut mengadakan acara sukan bersama belia dan anak
muda di Kampung Pusa Tengah semalam.

Sementara itu pegawai penyelidik dari Pusat Kajian Strategik Kelantan, Zainal Abidin Husien berkata, momentum yang berlaku di semenanjung
pada 2008 ternyata telah hanyut ke Sarawak.

”Sebelum ini kita boleh lihat gerak kerja kempen parti selain BN sukar mendapat tempat di kalangan penduduk tempatan.

”Kempen PAS di Beting Maro pada pilihan raya negeri lalu pun berdepan dengan pelbagai kesukaran. Namun sekarang berubah 360 darjah. Penduduk boleh menerima PAS dan Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini.

(Gambar: Abdul Hadi dan Najib bertemu sewaktu sama-sama berkempen di Pasar Pusa)

Menurutnya juga isu yang paling penting BN sehingga kini belum mampu memecah benteng keutuhan Pakatan Rakyat biar pun cuba membawa isu
video lucah dengan andaian Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak rakyat Sarawak.

Sebaliknya kata beliau apa yang berlaku sekarang, kehadiran pemimpin Pakatan mendapat sambutan hangat.

Ceramah Muryidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin utama DAP di bandar Kuching malam 10 April lalu mendapat sambutan luar jangka.

”Apa pun keputusan pilihan raya Sarawak ini akan mempengaruhi sentimen politik di semenanjung. Semangat Pakatan sudah diterima rakyat, kata
orang boleh jalan sekarang.

”Kalau dahulu orang masih ragu-ragu, sekarang tidak lagi. Malah usaha media pro BN menghodohkan wajah pemimpin Pakatan nampak belumberjaya,” ujarnya.

Beliau yang mempunyai kelulusan dalam Sains Politik berkata, keputusan pilihan raya Sarawak menjadi petunjuk kepada pilihan raya umum ke-13.

Baca selanjutnya...

Tuesday, April 12, 2011

Mahmudah VS Mazmumah

MAHMUDAH

MAZMUMAH

SOLEH ( صالح)

TOLEH ( طالح)

Soleh didefinisikan sebagai taat pada perintah Allah. Dalam al-Quran, perkataan soleh biasa dikaitkan dengan iman. Allah berfirman dalam beberapa ayat dan surah yang berlainan, maksudnya : “ Dan orang Mukmin yang beramal soleh ……”

Bugarkan ciri soleh dalam diri dengan kelebihan dan kebaikan yang dijanjikan Allah buat orang soleh. Antaranya :

1. Dijanjikan syurga dan kenikmatannya yang tidak terbayang oleh manusia.

2. Diampunkan dosa-dosa

3. Diberikan ganjaran yang besar

4. Diberikan kesudahan yang baik

Ciri-ciri kesolehan ini amat penting dititikberatkan dalam pemilihan sahabat, pasangan hidup, pemimpin dan sebagainya. Teman yang baik misalnya akan membawa kebaikan dan mampu berperanan mengingatkan kita kepada Islam. Malah Rasulullah SAW sendiri pernah mengumpamakan teman yang soleh itu ibarat penjual minyak wangi, wangian yang yang dijualnya boleh melekat pada sahabatnya walau tidak menggunakan wangian itu.

Bergaul dengan orang yang soleh amat dituntut dalam Islam. Perilaku orang soleh boleh dicontohi, kata-katanya berupa nasihat yang membina, hatinya tiada sekelumit pun sifat mazmumah terhadap orang di sekitarnya malah melihat wajahnya mengingatkan betapa indahnya menjadikan Islam sebagai cara hidup secara tuntas.

Seorang hukama’ ada menyatakan bahawa seseorang yang duduk bersama dengan orang soleh pasti akan mendapat berkat. Lagikan anjing yang setia menemani tuannya dalam kisah Ashab al-Kahfi pun diabadikan kisahnya dalam al-Quran, apatah lagi manusia. Manfaat tersebut meliputi manfaat duniawi dan ukhrawi.

Toleh pula antonim bagi perkataan soleh. Tindak-tanduk si toleh selalu bercanggah dengan ajaran al-Quran dan sunnah.

Si toleh biasanya tidak akan bertahan lama andai bergaul dengan orang soleh. Ibarat minyak dan air, walau masih berada dalam satu bekas, hakikatnya unsure kedua-duanya terpisah. Terasa ingin menjauhkan diri, tidak selesa berada dekat malah pelbagai sifat mazmumah bersarang dalam hati.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “ Roh-roh itu ibarat tentera yang saling berpasangan, yang saling mengenali sebelumnya akan bersatu dan yang saling mengingkari akan berselisih”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Riwayat hidup orang yang toleh atau ingkar termaktub segar dalam sejarah terutamanya sejarah yang disampaikan melalui al-Quran. Jejak-jejak mereka masih boleh ditelusuri atas peta geografi mahupun dalam al-Quran dan buku-buku. Kisah mereka mempunyai kesudahan yang sama, “ganjaran” yang setimpal dengan keingkaran mereka.

Berbeza dengan orang soleh, orang toleh amat busuk hatinya. Dia bukan sahaja berasa lazat bergelumang dengan maksiat, bahkan orang yang ada di sekitarnya turut dijemput sama untuk melakukan maksiat. Hidupnya dipenuhi dengan agenda amar mungkar nahi makruf.

Ali bin Abi Thalib r.a. berkata : “Hati-hatilah kalian dalam memilih teman. Sesungguhnya teman adalah bekal di dunia dan akhirat”.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada pengaruh sahabat toleh, yang bangga mencanang dan tidak segan silu mempromosikan maksiat

Sumber : SOLUSI (Isu : 30) Mukasurat : 13

Baca selanjutnya...

Jenazah Sahimi selamat di semadikan di Kota Bharu

(Jenazah Allahyarham Kapten Sahimi disolatkan di rumahnya. Turut sama adalah Datuk Husam Musa, Exco kerajaan negeri Kelantan)


Oleh : Rizal Tahir

KOTA BHARU, 13 April: Kepulangan jenazah Allahyarham Kapten Sahimi Ghazali juruterbang helikopter yang ditimpa kemalangan di Dataran Perbandaran Sibu petang Ahad lalu disambut dengan kesedihan oleh anggota keluarganya.

Turut serta menyambut jenazah beliau adalah pemimpin kerajaan negeri yang diketuai Datuk Husam Musa jam 7.20 malam tadi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

Sahimi meninggal selepas kemalangan helikopter yang dipandunya sebaik sahaja selesai menghantar para pembantu Timbalan Perdana Menteri yang berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

Jenazah allahyarham Sahimi, 38 yang juga bekas anggota polis tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 7.20 malam dengan pesawat khas jenis Nomed 20A milik Layang-Layang Air.

Pesawat yang diterbangkan khas dari Sibu itu mula berlepas dari lapangan terbang Sibu kira-kira jam 1.45 petang dan kemudiannya mendarat di Lapangan Terbang Senai, Johor Bharu untuk mengisi minyak sebelum meneruskan penerbangan ke Kota Bharu.

Solat jenazah allahyarham Sahimi diimamkan Pengarah Jabatan Pembangunan Islam Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Ustaz Ropein Hasan, di rumah saudara mangsa di Kampung Wakaf Mek Zainab, di sini selepas solat Isyak. Turut serta menyembahyangkan jenazah allahyarham adalah Husam sendiri.

Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Pohon Tanjung, Wakaf Mek Zainab. Turut menguruskan jenazah allahyarham adalah 15 anggota Unit Amal Kota Bharu yang diketuai Mohd Aliman Ismail.

Allahyarham ditimpa nasib malang apabila helikopter jenis Bell 206 milik Sabah Air yang dipandunya terhempas sejurus berlepas dari Dataran Sibu jam 1.50 tengah hari, setelah menurunkan tiga penumpang termasuk pembantu khas kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk terus dikejarkan ke Hospital Sibu oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), tetapi meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam, tujuh jam selepas nahas.

Husam ketika ditemui berharap Allahyarham tergolong pada golongan orang yang syahid dalam menjalankan tugasnya.

“Saya juga berharap anggota keluarga tenang menerima takdir dan ketentuan Allah,”ujarnya.

Sempena kunjungan itu, Husam turut menghulurkan sumbangan peribadi kepada anggota keluarga dan akan mencadangkan pada kerajaan negeri untuk memberi sumbangan lain yang sewajarnya.

Abang allahyarham, Mohd Bizanuddin Ghazali, 45, menyifatkan allahyarham seorang adik yang baik, warak serta pendiam.

“Apa yang berlaku itu ada hikmahnya dan Allah lebih tahu tentang ketentuan itu, kami sekeluarga redha,”ujarnya.

Isteri allahyarham Suriani Mohammad, 38 yang begitu tenang ketika ditemui juga turut redha di atas apa yang berlaku.

“Dia seorang suami yang baik dan saya redha pemergiannya,”ujarnya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu serta empat cahayamata, Salman, 13 yang kini sedang belajar di salah sebuah sekolah tahfiz, Mohd Helmi, 9, Yasmin Salsabila, 7 dan Iskandar, 4.

* al-fatihah buat allahyarham
Baca selanjutnya...