SHAH ALAM, 12 April: Para pengetua sekolah di Selangor diingatkan agar memantau kantin-kantin sekolah mereka secara terperinci untuk mengelakkan peristiwa keracunan makanan kepada para pelajar berulang kembali.
Mereka juga diingatkan agar mengambil tindakan ke atas sebarang aduan oleh para pelajar atau ibu bapa kerana tidak ada aduan yang seharusnya dipandang ringan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Iskandar Abdul Samad, ketika mengingatkan perkara itu berkata, para pengetua sekolah juga mestilah mengutamakan kepentingan para pelajar dan bukan kepentingan pengusaha kantin.
(Gambar: Iskandar melawat mangsa keracunan makanan)
Menurut beliau, Adun-Adun dan Penyelaras-Penyelaras Dun Pakatan Rakyat juga sentiasa bersedia menerima aduan-aduan para ibu bapa di dalam usaha untuk memastikan kebajikan para pelajar terpelihara.
"6 April lalu, kejadian tidak diingini telah berlaku apabila 16 pelajar di Sekolah Kebangsaan Pandan Indah mengalami keracunan makanan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Sebelum ini, beliau yang juga Adun Chempaka berkata, beberapa buah sekolah termasuk di luar Selangor juga pernah mengalami kejadian yang sama, pada hal kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku.
"Kejadian seperti itu tidak mungkin berlaku jika para pengetua sekolah sentiasa memantau keadaan di kantin-kantin sekolah mereka terutama dari segi kebersihan dan penyediaan makanan," katanya.
Beliau turut kesal kerana terdapat aduan pihak tertentu kepadanya yang mengatakan terdapat pengetua sekolah tertentu yang tidak mengambil serius aduan para pelajar dan ibu bapa mengenai keadaan yang tidak memuaskan di kantin-kantin sekolah mereka.
Kealpaan seperti itu tidak seharusnya berlaku terhadap para pengetua sekolah, katanya, kerana mereka sememangnya bertanggungjawab penuh mengenai kejadian seperti itu di sekolah masing-masing.
"Mengenai para pelajar di Sekolah Kebangsaan Pandah Indah yang keracunan itu pula, adalah didoakan pelajar-pelajar yang dimasukkan ke hospital 6 April lalu akan kembali sihat secepat mungkin," ujarnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Hospital Ampang yang telah menerima rombongannya melawat 16 orang pelajar di sekolah itu yang keracunan makanan ketika dirawat di hospital tersebut, 7 April lalu.
No comments:
Post a Comment