Sunday, August 21, 2011

Sekolahku


Assalamuaikum wr. wbt..Hari ini dalam cuaca yang mendung dan sedikit hujan renyai, aku teringatkan sekolah tempat aku menimba ilmu dari tahun 1992-1997...

SEJARAH SEKOLAH

1. ASAL SEKOLAH

Dengan tamatnya Peperangan Dunia Kedua, perkembangan persekolahan telah wujud. Sebelumnya telah ditubuhkan Government English School di Tumpat, beberapa jajahan di Kelantan seperti di Kota Bharu, Pasir Mas dan Kuala Krai telah berbangga dengan sekolah Inggeris masing-masing. Dalam suasana begini sekumpulan kecil kalangan bijak pandai dari Tumpat telah berusaha supaya kerajaan mendirikan sebuah sekolah Inggeris di Bandar Tumpat.

Antara langkah-langkah yang diambil termasuklah usaha mendapat kerjasama dan jasa baik Yang Berusaha Tuan Pegawai Jajahan di mana terdapat usul-usul supaya didirikan bangunan sekolah sementara atau sekolah rakyat.

Di samping desakan penduduk Tumpat, kerajaan juga sedang melaksanakan rancangan bagi mengadakan Sekolah Inggeris di setiap jajahan. Hasilnya dalam tahun 1954, tertubuhlah Sekolah Inggeris dalam Jajahan Pasir Puteh, Bachok, Machang dan Tumpat.

2. NAMA-NAMA SEKOLAH

Pada 10hb. Januari 1954, sekolah ini dibuka dengan rasminya dengan nama Government English School, Tumpat. Setelah Malaysia mencapai kemerdakaan dalam tahun 1957, nama sekolah ini ditukar kepada Tumpat Standard Type Primary English School sehingga tahun 1961 apabila semua Sekolah Standard Type bertukar menjadi National Type dengan nama Tumpat National Type Primary English School. Dalam tahun 1965, berikutan dengan arahan dari pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, nama sekolah ini ditukar kepada nama terjemahan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris Tumpat.

Dengan berakhirnya Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah ini, namanya sekali lagi diubah menjadi Sekolah Rendah Kebangsaan Tumpat, Tumpat Kelantan. Pada awal tahun 1994, Sekolah Rendah Kebangsaan Tumpat dipecah menjadi dua buah sekolah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Tumpat (1) atau SRKT (1) Sekolah Rendah Kebangsaan Tumpat (2) atau SRKT (2). Mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1997, dasar dan peraturan mengenai nama sekolah, nama SRK diubah kepada SK atau Sekolah Kebangsaan. Oleh itu, selaras dengan perubahan nama tersebut maka terhasillah nama baru iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Tumpat (1) (SKST 1). Pada 1hb. Januari 1998, pertukaran nama baru ini dilaksanakan dan namanya diberi oleh Unit Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Sejak sekolah ini mula-mula dibuka lagi, bangunannya adalah dari jenis kekal iaitu bangunan batu. Kerja-kerja pembinaannya diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Kelantan. Apabila ia dibuka pada Januari 1954, bangunan peringkat pertama dibina dari batu dua tingkat telah pun siap. Pada permulaanya, ia dilengkapi dengan sebuah Bilik Guru, Bilik Pejabat, Bilik Setor, tandas dan empat Bilik Darjah beserta dengan perabot (kerusi dan meja).

Pada pertengahan tahun 1956, tambahan empat Bilik Darjah yang disambungkan kepada bangunan asal telah siap dibina menjadikan bangunan ini mempunyai lapan Bilik Darjah.

Pada tahun 1958, sebuah bangunan satu tingkat yang berasingan siap dibina. Sebuah makmal juga dibina pada bangunan asal pada akhir tahun 1961. Dalam tahun 1962, sebuah Sekolah Lanjutan yang dilengkapi dengan dua buah bilik darjah, sebuah bilik masakan, sebuah bilik pertukangan dan dua buah bilik tandas telah dibina di sisi bangunan asal. Pada tahun 1965, Sekolah Lanjutan tersebut telah diberhentikan dan bangunannya diserahkan untuk kegunaan Sekolah Menengah yang masih ditempatkan di sekolah asal.

Kesemua bangunan-bangunan tersebut telah dipindahkan di bawah pentadbiran Sekolah Rendah setelah Sekolah Menengah dibina di Kelaboran pada tahun 1966. Pada 1hb. September 1969, sebuah Klinik Pergigian telah ditubuhkan dan ditempatkan di Bilik Rehat Guru. Pada peringkat awal penubuhan, perkhidmatan rawatan pergigian adalah dikhaskan untuk murid-murid sekolah ini sahaja. Pada bulan Julai 1972, perkhidmatannya mula diperluaskan kepada murid-murid daripada sekolah-sekolah di sekitar. Sejak mula-mula dibina lagi, sekolah ini telah dilengkapi dengan kemudahan bekalan elektrik dan air, tandas, pagar dan lima unit Rumah Guru serta sebuah padang yang agak kurang memuaskan kerana ia padang berpasir. Pada 1971, sebuah bangunan kantin turut dibina.

Sekolah ini pernah mengalami pengalaman pahit pada tahun 1967 apabila berlakunya banjir besar yang dialami oleh Negeri Kelantan keseluruhannya. Walaupun tiada kerosakan besar berlaku, kemudahan pam air dan buku-buku juga terjejas. Kali pertama juga lantai tingkat bawah bangunan sekolah ditenggelami air sedalam 2 kaki. Walau bagaimanapun, peristiwa mengejut ini berlaku dalam cuti penggal atau cuti akhir tahun.

Kemudian, sebuah kantin juga telah dibina. Pada awal tahun 1971, kawasan sekolah telah diperluaskan.

PENGASAS SEKOLAH

1. Encik Othman bin Mohd Udin

Pegawai Penerangan Tumpat

2. Encik Basir bin Rashid

Ahli Perniagaan

3. Encik Ab. Rahim bin Abdullah

Kerani Jabatan Keretapi

WAKIL IBU BAPA:

1. Encik Wan Ahmad bin Hj. Wan Daud

2. Encik Awang bin Haji Yunus

3. Encik Hassan bin Haji Johari



3. COGANKATA SEKOLAH

USAHA TANGGA KEJAYAAN

Cogankata tersebut adalah sebagai perangsang kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Tumpat (1), supaya menjadikan USAHA sebagai azimat hidup untuk mencapai kejayaan dalam semua bidang diceburi dan seterusnya beroleh kejayaan dalam kehidupan kelak.

Tanpa USAHA, yang bulat tidak akan bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.

4. LENCANA SEKOLAH

4.1 Lencana SKST 1 berukuran 5 X cm dan berbentuk perisai yang melambangkan sejenis alat mempertahankan diri.

4.2 Di tengahnya terdapat lambang seekor ikan di dasar laut dan dilingkungi oleh bunga padi yang melambangkan pekerjaan utama penduduk setempat adalah sebagai nelayan dan petani.

4.3 Pada bahagian bawah perisai terdapat cogankata ‘USAHA TANGGA KEJAYAAN’ dan diapit oleh angka 19 dan 54 yang melambangkan tahun sekolah ini diasaskan iaitu 1954.

4.4 Warna-warna yang terdapat pada lencana tersebut ialah:

a) MERAH pada nama sekolah dan cogankata adalah melambangkan usaha berani ke arah kebenaran.

b) KUNING pada lambang ikan dan padi melambangkan kemurnian yang disusuli dengan doa agar mata pencarian penduduk sentiasa diberkati oleh Allah.

c) BIRU pada warna air laut melambangkan kecintaan antara warga sekolah yang berada di bawah satu bumbung.

d) MOTO sekolah adalah “Usaha Tangga Kejayaan”.


SENARAI NAMA GURU BESAR

Bil. Nama Tahun

1. Encik Mohd Zain bin Awang 1954

2. Encik M. Sandanasamy 1955

3. Encik Benedict Fair 1957

4. Encik Megat Hussain 1958

5. Encik Yee Gim Hoe Oktober 1958

6. Encik K. Ragavan April 1959

7. Encik Mahinder Singh (Pemangku) 1961

8. Encik Khaw Meng Hua April 1961

9. Encik Mahinder Singh (Pemangku) May 1964

10. Encik Kasim bin Mustapha 1972

11. Encik Abu Bakar bin Abd. Hamid 1980

12. Encik Muhammad Zin bin Yusoff 1989

13. Encik Mat Nordin bin Ali 1993

14. Encik Muhammad Zin bin Yusoff April 1994

15. Tuan Haji Mohamed Noor bin Jaafar April 1998

16. Tuan Haji Che Hashim bin Che Ismail September 2003

Baca selanjutnya...

10 Jenis Orang Islam Yang KEJAM

Sufyan Atsauri berkata: "Sepuluh macam daripada kekejaman ialah:

1. Seseorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan kaum mukmin (termasuk keluarganya).

2. Seseorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.

3. Seseorang yang masuk ke dalam masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat.

4. Seseorang yang berjalan melalui kubur tapi tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.

5. Seseorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah.

6. Seseorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.

7. Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu (tidak bertegur sapa).

8. Seseorang yang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang (termasuklah menerima undangan dalam walimatul urus).

9. Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.

10. Seseorang yang kenyang sedangkan dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makanannya itu.

Baca selanjutnya...

Thursday, August 18, 2011

Solat Dalam Keadaan Mengantuk

Assalamualaikum wr. wbt..

Pagi Jumaat yang mulia ini, marilah kita sama-sama merenung dan mengamati sebuah hadith.


Hadith:

DIRIWAYATKAN dari Anas r.a : "Nabi Muhammad SAW pernah bersabda : "Apabila seseorang mengantuk ketika sedang mengerjakan solat hendaklah ia tidur terlebih dahulu hingga ia mengerti apa yang ia katakan (atau ia bacakan)". Riwayat al-Bukhari


Huraian Hadith:

Jika kita merasa sangat mengantuk dan letih eloklah sekiranya kita baring seketika.

Selepas itu bangun dan ambillah wudhu' dan tunaikan solat.

Ingat! Jangan terus tertidur. Sebenarnya seseorang itu hendaklah bersembahyang dengan kekuatan yang ada pada dirinya.

Tidak secara terpaksa hingga tidak sedar tentang bacaan dalam solat mahupun bilangan rakaat yang telah dikerjakan.

Solat seperti ini boleh membawa kepada batal.

Malah adalah lebih baik sekiranya setiap kali merasa mengantuk kita memperbaharui wudhu' semula kerana dengan cara membasuh muka dan mengenakan air kepada anggota tubuh itu akan dapat menyegarkan semula badan kita dan kita menjadi bersemangat untuk mengerjakan solat.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Baca selanjutnya...

Tuesday, August 16, 2011

Khatam al-Quran 100 kali di Qaryah Ramadan


KOTA BHARU, 17 Ogos: Kerajaan Kelantan yang menjunjung syariat dalam pentadbirannya, meneruskan lagi program tadarus al-Quran sempena bulan Ramadan tahun ini.

Malam tadi, selepas solat sunat tarawikh sempena nuzul al-Quran sekali lagi sejarah tercipta apabila pengunjung Qaryah Ramadan berjaya mengkhatam al-Quran sebanyak 100 kali melalui 3,000 peserta yang terdiri dari pelajar-pelajar sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik), golongan profesional, kakitangan kerajaan negeri serta individu.

Sebanyak 3,200 naskah al-Quran disediakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) untuk menjayakan program itu di mana 1,500 pesertanya terdiri dari pelajar sekolah Yik.

Dr Asri diundang khas

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohammad Asri Zainal Abidin telah diundang khusus untuk mengulas bacaan al-Quran yang dibaca oleh peserta di Qaryah Ramadan.

Bacaan al-Quran beramai-ramai dimulakan oleh imam Qaryah Ramadan, Sheikh Hisham Abdul Bari dengan membaca al-Fatihah dan kemudiannya diteruskan oleh peserta mengikut juz yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Sementara itu, Bank Islam Malaysia Bhd, turut menyampaikan sumbangan juadah berbuka kepada orang ramai bagi memenuhi program kebajikan yang dianjurkan setiap tahun.

Gimik penyerahan telah disampaikan oleh pengurus Cawangan Jalan Sultan Ibrahim, Wan Mohd Faizul Wan Mohd Zain kepada anggota exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan sebanyak 3,000 bag.


Rujuk agama, bukan politik

Dr Asri ketika berucap pada majlis itu melahirkan rasa kesal sikap individu yang tidak memahami kehendak Islam sebenar.

Katanya, perkara ini berlaku berikutan mereka hanya memahami pengertian Islam mengikut fahaman mereka sendiri bukan kerana Allah dan al-Quran itu sendiri.

Menurutnya, isu yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini berlaku kerana adanya sifat manusia sedemikian.

"Apabila kerajaan Pulau Pinang melalui jabatan agama Islamnya melarang menyiarkan bacaan al-Quran dengan kuat ramai yang mengritik serta menyifatkan kerajaan negeri itu menentang al-Quran,"ujarnya.

Menurutnya, Islam sendiri tidak menggalakan perkara itu berlaku kerana ianya boleh mengganggu keselesaan orang lain.

"Andainya kita melarang seseorang sedang membaca al-Quran dalam masjid kerana mengganggu seseorang yang lain, adakah wajar kita menuduhnya menentang al-Quran?,"soalnya.

Menurutnya, menghukum sesatu perkara tidak boleh mengikut sentimen sendiri apa lagi politik, sebaliknya wajib berlandaskan Islam.
Baca selanjutnya...

Gua Madu, Tarikan Istimewa Ke Gua Musang


Gua Madu. - Foto THE STAR Oleh SAZUKI EMBONG

GUA MUSANG: Gua Madu yang terletak di Kampung Batu Papan di pinggir bandar Gua Musang kini semakin terkenal kerana inap desanya mendapat sambutan baik terutama daripada pelancong luar.

Adalah menjadi kemestian kepada pengusaha inap desa di kampung itu membawa pelancong melawat gua batu kapur untuk menyingkap sejarah dan keunikannya.

Gua Madu mendapat namanya kerana terdapat banyak sarang lebah yang menghasilkan madu dalam gua berkenaan. Adalah dipercayai Gua Madu adalah guayang menjadi tempat terbesar bagi lebah membuat sarang di negeri ini.

Pelancong boleh melihat sendiri beberapa sarang lebah dan bekas lilin yang terhasil daripada madu, dipercayai berusia puluhan tahun yang masih melekat didinding gua berkenaan.

Sarang lebah yang terdapat di Gua Madu yang menjadi tarikan utama pelancong ke Kampung Batu Papan. Gua Madu mendapat namanya kerana terdapat banyak sarang lebah yang menghasilkan madu dalam gua berkenaan. Adalah dipercayai Gua Madu adalah gua yang menjadi tempat terbesar bagi lebah membuat sarang di negeri ini. - Foto BERNAMA

MADU MENITIK

Menurut penduduk, jika bernasib baik, pelancong akan dapat melihat madu yang menitik daripada sarangnya dan kesan pencari madu terutama di beberapa pokokbesar di sekeliling gua sebagai tempat memanjat untuk mendapatkan sarang lebah.

"Kerana begitu banyak sarang lebah, maka dipanggil penduduk setempat sebagai Gua Madu dan kerana sukar untuk mendapatkan madu di dinding gua yang bahaya,ramai pencari madu sudah tidak ke sini lagi," kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKP) Batu Papan, Zamri Zakaria.

Wartawan Bernama yang berkesempatan melawat gua berkenaan turut teruja melihat beberapa sarang lebah itu yang tergantung tinggi di batuan gua berkenaanserta kesan lilin lebah di sekitarnya.

GUA MADU TEMPAT PERSEMBUNYIAN KOMUNIS

Gua Musang pada satu ketika dahulu sememangnya terkenal sebagai tempat persembunyian komunis berdasarkan kepada keadaan geografinya yang banyakterdapat gua batu kapur yang sangat strategik untuk bersembunyi.

Gua Madu adalah satu lokasi persembunyian anggota komunis yang dijadikan markas mengatur strategi.

Seorang penduduk, Latiff Awang, 64, yang juga antara penduduk terawal di Kampung Batu Papan itu pernah beberapa kali terserempak dengan anggota komunisberhampiran gua berkenaan.

"Mereka tidak pernah menakutkan penduduk sekitar dan menjadikan Gua Madu sebagai tempat bersembunyi atau transit sebelum meneruskan perjalanan ke tempatlain," katanya.

Sebuah surau di dalam Gua Madu yang terletak di Gua Musang.

Latiff berkata, pernah pada satu ketika beliau terserempak dengan beberapa anggota komunis berkenaan dan diminta oleh mereka untuk membeli barangantermasuk ubat.

"Saya pernah terserempak dengan anggota komunis, paling ramai ketika itu adalah tujuh orang. Masa itu anggota komunis berkenaan tidak bertindak ke atassaya, cuma meminta bantuan untuk membeli ubat-ubatan di bandar lama," katanya.

Dalam Gua Madu itu sebenarnya terdapat beberapa ruang yang dijadikan tempat menyimpan barangan, tempat bermesyuarat dan tempat penginapan.

"Nak masuk ke dalam gua ini memang sukar dan terdapat beberapa tingkat ruang yang dijadikan seperti bilik kepada anggota komunis," katanya.

Beliau berkata disebabkan faktor keselamatan pelawat atau pelancong tidak dibenar memasuki ruang dalam gua berkenaan kecuali di satu bahagian gua yangkini dijadikan sebagai surau untuk bersolat.

Di pintu masuk gua itu kini dipasang pagar besi bagi mengelakkan pengunjung memasukinya selain dikhuatiri boleh dijadikan tempat menagih dadah dan maksiat.

Surau itu juga dilengkapi ruang mengambil wuduk dan lantainya dipasang jubin bagi memudahkan pengunjung untuk bersolat.

Kedinginan air melalui celahan batu gua itu begitu menyegarkan bila membasuh muka atau mandi manda di tempat yang disediakan oleh penduduk kampung.

KAMPUNG BATU PAPAN KINI SEMAKIN TERKENAL

Gua Madu.

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan dengan kerjasama pendudukkampung telah bekerjasama untuk menjadikan Kampung Batu Papan sebagai lokasi persinggahan utama pelancong ke Gua Musang.

Sejak awal 1980 lagi, beberapa peruntukan telah disalurkan oleh Kesedar seperti menjaga Gua Madu dengan dilengkapi prasarananya terutama tandas awam dankedai makan.

JPS pula telah membina satu jambatan gantung merentasi sungai untuk ke gua berkenaan serta pengindahan tebing sungai bagi mencantikkan lagi suasana ke guaberkenaan.

Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan pula menyalurkan peruntukan melalui Kementerian Pelancongan bagi menarik minat seberapa ramai pendudukkampung itu menjadikan rumah mereka sebagai inap desa.

Jambatan gantung merentasi sungai untuk ke Gua Madu.

Kini terdapat 180 buah rumah dijadikan inap desa dan dijadikan lokasi hampir lebih 1,000 pelancong asing seperti Jerman, Amerika Syarikat, Jepun dan rantauASEAN untuk berkunjung ke kampung itu.

"Harga yang kami tawarkan kepada pelancong sangat istimewa dan anda boleh berunding untuk kadar sewa termasuk makan dan minum serta pakej merasai hidup diperkampungan," kata Zamri.

Kampung itu juga pernah dinobatkan sebagai Inap Desa Terbaik Kelantan beberapa tahun lepas dan disenaraikan dalam kalendar pelancongan sebagai tempatutama untuk dilawati di Kelantan terutama jika ke Gua Musang.

Di kampung itu juga terdapat beberapa buah kolam ikan yang dibina oleh penduduk kampung bagi menarik minat pelancong.

"Alhamdulillah Kampung Batu Papan dan Gua Madu ini semakin terkenal dan dapat menjana pendapatan kepada penduduk kampung ini," katanya.

Mereka yang berminat untuk menerokai kawasan ini boleh menghubungi Zamri di talian 019-9123400. - BERNAMA

Baca selanjutnya...

Friday, August 12, 2011

Perginya Tak Kembali...

Bismillah walhamdulillah...

Sebentar tadi aku ziarah blog sahabat2 blogger. Hari ini, Jumaat, di bulan yang penuh barakah iaitu Ramadhan al-mubarak, seorang sahabat blogger telah kembali ke rahmtullah. Aku mendapat berita ini daripada blogger http://tishanurinsani.blogspot.com/. Sungguh beruntung arwah kerana meninggal dunia pada hari Jumaat dan pula dalam bulan Ramadhan ini. Sama2lah kita berdoa agar arwah ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah buat arwah Afez (http://cinsed.wordpress.com/author/organichem/)
Baca selanjutnya...

Wednesday, August 10, 2011

Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum wr. wbt...

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat Baginda, para sahabat Baginda dan seluruh umat Islam yang berjihad di jalan Allah SWT.

Hari ini umat Islam telah menjejaki hari yang ke-11 di bulan yang penuh barakah iaitu Ramadhan al-mubarak. Macam mana sahabat2 dengan 10 hari yang lepas? Jom kita sama2 muhasabah diri masing-masing. Sepanjang 10 hari berlalu, adakah kita :

1. Puasa
Menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa merupakan rukun puasa. Melalui rukun-rukun ini, mari kita sama2 menilai tahap puasa kita. Adakah puasa kita diterima oleh Allah SWT? Semasa kita berpuasa, adakah kita menjaga percakapan, penglihatan dan perbuatan kita dari segala kemaksiatan??Atau kita dapat melalui puasa dengan baik. Jika kita berjaya mengatasi segala dugaan tersebut, Alhamdulillah dan sama-sama kita berharap agar kita dapat teruskan dengan jayanya sehingga akhir Ramadhan nanti...dan sehingga ke akhir..

Sedikit perkongsian yang aku alami semalam (10-08-2011). Semalam aku
punch card jam 5.45 petang kerana aku masuk kerja jam 9.00 pagi. Sewaktu ke tempat parking, aku terhidu bau asap rokok. terus terlintas di fikiranku bahawa ada orang yang tidak puasa. Aku pun mula mencari dari mana datangnya bau asap rokok tersebut. Sah, memang ada beberapa pelajar yang sedang asyik menghisap rokok. Aku terus sergah mereka dan mereka terus berlari menyelamatkan diri konon2nya. Namun azab Allah mereka ingat boleh lepas begitu juga kot. Salah seorang pelajar yang bersama-sama mereka tidak sempat melarikan diri. Aku terus memegang pelajar tersebut. Pelajar tersebut yang panik berkata beliau hanya lepak di tempat tersebut dan tidak menghisap rokok. Aku mendekati pelajar tersebut dan setelah berada dekat dengannya memang tiada bau rokok pada mulutnya. Aku bertanya tentang kawan2nya yang melarikan diri tersebut. Setelah mendapat maklumat nama mereka, dari fakulti mana dan semester berapa, aku melepaskan pelajar tersebut. Aku pun baalik ke rumah dan ketika di rumah aku masih memikirkan tentang kelakuan pelajar2 tersebut yang tidak berpuasa. Terlintas di fikiran aku, bagaimanakah keadaan masyarakat Islam kita ini ketika melalui bulan Ramadhan ini. Yang masih tidak berpuasa masih ramai yang berleluasa, namun apakah peranan kita??

2. Solat lima waktu secara berjemaah
Islam telah menggariskan kepada umat Islam terutamanya kaum adam agar solat lima waktu secara berjemaah. Malah ianya menjadi wajib kepada kaum muslimin yang telah akil baligh. Jadi sepanjang 10 hari berlalunya Ramadhan 1432H ini, dimanakah kita solat lima waktu. Adakah kita berjemaah di masjid, di surau, atau solat secara bersendirian, ataupun tidak cukup solat lima waktu atau juga masih tidak reti untuk mendirikan solat yang wajib ini. Ramai di kalangan kita umat Islam di Malaysia terutamanya hanya mengamalkan adat, bukannya mengikuti ajaran Islam yang sebenar. Contohnya ketika tibanya bulan Ramadhan ini, ramai yang datang untuk solat tarawih berjemaah, namun yang tidak betulnya adalah solat Maghrib dan Isyak hanya dilakukan di rumah secara sendirian. Betulkah iobadat sebegini??

3. Khatam al-Quran
Al-Quran merupakan kalam Allah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia. Kita tahu bahawa al-Quran merupakan kitab agung dan suci, namun mengapa kita perlu mengotorkan kesucian al-Quran, mengapa kita hendak menjatuhkan martabat al-Quran yang dibawa oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAw?? Di sebalik keghairahan dalam mencari pahala yang berganda, kita tidak harus melupakan tujuan diadakan bulan Ramadhan ini. Kita berlumba-lumba untuk menghabiskan(khatam) al-Quran sebanyak mungkin sepanjang bulan Ramadhan, namun adakah bacaan kita betul, adakah kita bertadarus dengan sahabat2 @ dengan kariah2 masjid untuk sama2 membetulkan bacaan al-Quran tersebut. Paling tidak kena, adalah dalam bulan Ramadhan ini, ada yang tidak pernah untuk menyentuh al-Quran.

4. Zakat fitrah
Zakat fitrah merupakan zakat yang wajib ke atas setiap umat Islam. Satu trend yang terjadi dalam masyarakat kita di Malaysia adalah membayar zakat fitrah pada saat2 akhir bulan Ramadhan. Hal ini menyebabkan kaunter2 zakat sepanjang 3hari sebelum Syawal menjelang menjadi padat dan menyebabkan pemungut zakat sama ada di masjid, atau di mana2 sahaja mengalami rasa tidak selesa kerana terlalu letih melayan pembayar2 yang "degil" ini. Apalah susahnya untuk membayar zakat fitrah yang harganya sekitar RM5 hingga RM7.50 sahaja. Aku bukan persoalkan tentang jumlah bayaran, namun sikap sambil lewa masyarat Islam di Malaysia ini. Senang untuk membayar zakat fitrah ini. Lihat sahaja di bazaar Ramadhan umpamanya, telah kaunter mini untuk membayar zakat fitrah. Sudah tentu kita yang pergi ke bazaar Ramadhan tersebut membawa duit kan?? Apalah salahnya jika kita terus membayar zakat di kaunter yang disediakan itu?

5. Sedekah.
Sempena bulan yang mulia ini, bagaimanakah amalan kebaikan dan ibadah kita? Sedekah yang setiap masa terbuka luas adalah sangat mudah untuk melakukannya. Cuma yang payahnya adalah untuk kita memulakannya. Sebagaimana perkara2 kebaikan yang lain, untuk memulakannya memang sukar, namun jika kita telah memulakannya dan yakin dengan ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT, kita tidak akan teragak-agak untuk bersedekah. Bukan angka yang menjadi ukuran, namun niat yang ikhlas adalah kunci kepada segala-galanya. 7hb lepas, seorang mudir dari pondok di Kelantan telah datang ke masjid di tempat aku solat tarawih. Tujuan beliau datang adalah untuk memohon sumbangan bagi tujuan pembinaan masjid yang dianggarkan bernilai RM6 juta, di samping sumbangan untuk maahad tahfiz yang beliau kendalikan. Wakaf juga disediakan kepada mereka yang ingin menginfakkan wang ringgit ke atas pembinaan masjid tersebut. Apa yang aku ingin katakan di sini adalah sedekah @ sumbangan seumpama inilah yang kita perlu berikan untuk menampung ibadah yang kita lakukan.

6. Solat sunat tarawih
Tibanya Ramadhan adalah penantian yang amat ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Ada yang menunggu ketibaan Ramadhan adalah kerana ingin meningkatkan amalan, menambahkan ketaqwaan, berniaga di bazaar2, bersedekah dan sebagainya. Solat sunat tarawih yang selalu dibahaskan adakah ianya dilakukan 8 rakaat atau 20 rakaat seharusnya tidak menjadi isu. Apa yang penting, kita lakukan ibadah dengan penuh ketaqwaan sambil memohon rahmat dari Allah SWT. Sepanjang bulan Ramandhan ini, sama2lh kita mengimarahkan masjid2 dan surau2 dengan solat tardu dan juga solat sunat tarawih. Begitu juga dengan ibadah solat sunat yang lain. Rasulullah SAW memenuhi waktu malamnya dengan Qiamullail melalui solat sunat seperti tahajjud, hajat, taubat, witir dan sebagainya.

Sekadar ini sahaja sedikit perkongsian daripada aku pada kali ini..

*Peringatan untuk diri sendiri



Baca selanjutnya...

Monday, August 8, 2011

Semangat Perang Badar di Bulan Ramadhan

IBADAT puasa pada bulan Ramadan diwajibkan bermula pada tahun 2 Hijrah, bersama dengan kewajipan membayar zakat.

Pada 2 Hijrah juga berlaku satu peristiwa yang amat signifikan dalam sejarah Islam. Perang Badar yang berlangsung pada 17 Ramadan adalah perang pertama di antara umat Islam dengan puak kafir musyrikin dari Mekah. Ia berlaku di satu kawasan lembah bernama Badar yang menjadi persimpangan perjalanan kabilah-kabilah perdagangan antara Madinah, Mekah dan Syria.

Pertempuran itu melibatkan dua pihak yang saling mengenali kerana hubungan kekeluargaan dan persahabatan sebelum kedatangan Islam. Misalnya di pihak kafir musyrikin terdapat bapa saudara Rasulullah SAW, Al Abbas bin Abdul Mutallib dan anak Saidina Abu Bakar yang bernama Abdul Rahman.

Sudah tentulah faktor ini merupakan satu ujian keimanan yang amat hebat kepada orang-orang Islam yang dipimpin Rasulullah dan disertai oleh para sahabat yang ternama termasuk Abu Bakar. Bukan sahaja soal kekeluargaan dan persahabatan yang menguji keimanan, malah kekuatan dari segi bilangan perajurit dan kelengkapan yang amat kurang berbanding pasukan musyrikin juga amat mencabar keyakinan pasukan Islam.

Menurut catatan sejarah, bilangan perajurit Islam adalah antara 300 hingga 316, berbanding kira-kira 1,000 anggota pasukan musyrikin. Mereka menunggang dua ekor kuda dan 70 ekor unta secara bergilir dari Madinah. Bukan sahaja kurang dari segi keanggotaan dan kelengkapan, malah perajurit-perajurit Islam juga sedang menjalani ibadat berpuasa Ramadan yang pertama dalam hidup mereka. Namun di sebalik pelbagai kekurangan itu, mereka mempunyai satu kelebihan.

Kelebihan mereka ialah iman atau keyakinan bahawa Allah SWT akan memberikan pertolongan dan kemenangan. Sungguhpun begitu, ada juga yang asyik bertanya kepada Rasulullah: "Bila Allah akan memberikan kita kemenangan?"

Lantaran pertanyaan-pertanyaan mereka, Rasulullah berasa terdesak dan tidak henti-henti memanjatkan doa kepada Allah agar diberikan kemenangan dalam peperangan yang pertama ini. Di antara kata-kata baginda dalam doanya sebelum berperang ialah "Ya Allah, andainya orang-orang Muslim tewas pada hari ini, mereka tidak akan lagi menyembah-Mu."

Memendekkan cerita, dengan pertolongan Allah yang memerintahkan para malaikat membantu tentera Islam, mereka mencapai kemenangan. Kemenangan mereka disambut dengan takbir yang bergema lantang, syahdu dan bertali arus di Madinah apabila tibanya Aidilfitri pertama pada 1 Syawal berikutnya

Sesungguhnya semangat tentera Islam yang berperang pada bulan Ramadan dengan kekurangan serba-serbi wajar menjadi inspirasi perjuangan kepada kita umat Islam pada hari ini. Apalah sangat perjuangan kita sekadar melawan nafsu makan dan nafsu syahwat berbanding mereka yang terpaksa berjalan kaki beratus-ratus kilometer ke medan perang sambil berpuasa dan hanya mampu bergilir-gilir menunggang kuda dan unta, yang pasti amat mencabar keupayaan fizikal mereka.

Sebaliknya ramai di antara kita pada hari ini begitu mudah berasa lesu apabila tiba waktu tengah hari pada bulan Ramadan. Ada yang terus tertidur di surau atau masjid selepas menunaikan solat zohor. Malah ada yang bangun hanya apabila kedengaran azan solat Asar.

Jika ditanya, mereka ini akan memberikan pelbagai alasan. Ada yang berbangga menyatakan mereka bertadarus selepas solat terawih 20 rakaat. Ada pula yang bangun tengah malam untuk bersolat tahajud. Pendek kata, segala solat sunat mahu dilakukan sepanjang malam Ramadan kerana mahu mengejar pahala. Akibatnya apabila sampai waktu tengah hari, ramai yang tidak produktif lagi dalam urusan kerja mereka.

Ada yang tidak boleh memberikan tumpuan apabila bermesyuarat. Ada yang melakukan banyak kesilapan dalam mencatat dokumen. Malah ada yang ponteng kerja kerana tertidur di surau dari selepas solat Zohor hingga terlajak ke waktu Asar. Bukankah mereka ini sudah melanggar amanah dengan majikan mereka. Orang beriman pastinya beramanah?

Tidakkah mereka ini pernah terbaca atau mendengar hadis popular yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosa mereka."

Memang lumrah manusia mengantuk apabila kurang tidur, tetapi siapakah yang menyuruh kita berjaga sepanjang malam pada bulan Ramadan? Sebab itulah Rasulullah hanya menunaikan solat tarawih lapan rakaat secara berjemaah di masjid dan yang lebih sehingga 20 rakaat dilakukan bersendirian di rumah. Sebabnya baginda tidak mahu umatnya melakukan perkara yang mereka tidak berupaya melakukan dengan ikhlas.

Pernah baginda berpuasa tanpa berbuka sehingga keesokan harinya dan cuba diikuti oleh para sahabat. Tetapi baginda melarang dengan penjelasan bahawa beliau sentiasa "diberi makan dan minum oleh Allah." Ertinya baginda tidak sama dengan umatnya dari banyak segi.

Mengimarah

Pada hari ini, kebanyakan masjid dan surau di bandar-bandar besar berlumba-lumba mempamerkan siapakah yang lebih hebat mengimarahkan Ramadan. Lalu dipanggil hafiz untuk menjadi imam supaya dapat khatam Quran melalui bacaan solat Tarawih. Ada juga yang dengan bangganya mengumumkan bahawa solat tarawih mereka akan dipimpin oleh imam dari Mekah. Yang tidak memperoleh hafiz akan menggunakan sebesar-besar Quran dengan kanta yang diletakkan di depan imam. Kusyukkah si imam apabila membaca dengan menatap Quran? Dan adakah kita bersolat kerana Allah atau mahu mendengar bacaan sedap imam Mekah.

Sama ada betul atau tidak, apa yang kita lakukan dalam konteks beribadat pada bulan Ramadan, boleh dicerminkan dengan memperhalusi maksud hadis nabi di atas. Kunci kepada hadis itu ialah 'berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan.' Tidak pula disebut beserta solat Tarawih 20 rakaat atau bermakmumkan imam khatam Quran? Apakah dengan membaca surah-surah lazim yang pendek semasa solat Tarawih tidak melayakkan seseorang mendapat keampunan Allah?

Wajar difahami maksud 'keimanan dan keikhlasan' yang Rasulullah tegaskan dalam hadis itu. Seseorang yang melakukan ibadat dengan ikhlas tidak mengharapkan balasan daripada Allah. Kita bukan pekerja tetapi hamba kepada-Nya. Pekerja meminta upah bagi setiap yang dikerjakan, tetapi hamba melakukan segala suruhan atas dasar ketaatan atau ketakwaan, iaitu sifat-sifat orang beriman.

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." - Al Baqarah 2: 183

Jauh sekali daripada hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain yang kita ini kuat beribadat pada bulan Ramadan. Menunjuk-nunjuk atau berlumba-lumba mempamerkan kelebihan adalah sifat riak yang Allah benci.

Maka lakukanlah puasa dan iringi dengan ibadat-ibadat sunat dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Janganlah menghitung pahala kerana itu sifat pekerja, bukannya sifat hamba. Allah menilai segala ibadat kita bukan sekadar daripada apa yang kita zahirkan, tetapi lebih kepada apa yang tersemat di hati kita. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Bersolat Tarawihlah mengikut kemampuan dan keikhlasan, sama ada 8, 10, 12...hatta 20 rakaat. Jika tidak sempat berjemaah di masjid, lakukan di rumah bersama isteri adalah memadai. Bacalah Quran dan dalami maksudnya, bukan sekadar bertadarus tanpa memahami apa yang dibaca. Lebih baik membaca sekadar 10 ayat dan menjiwai kandungannya, daripada membaca 100 ayat tanpa memahami maksudnya.

Bersedekahlah dengan ikhlas sekalipun sedikit. Sedekah RM10 bagi orang yang berpendapatan RM1,000 sebulan adalah lebih besar pahalanya daripada sumbangan RM100 seorang jutawan kerana nilai sedekah terletak pada rasa sayang dan berharganya sesuatu barang itu kepada orang yang bersedekah. Bersedekahlah dengan ikhlas sekalipun hanya RM1.

Yang paling pokok, tingkatkan kualiti rohaniah kita. Ujian sebenar ialah bagaimana kita dapat mengawal nafsu, emosi dan melawan sifat-sifat buruk mazmumah ketika diri dalam keadaan lapar, dahaga, letih dan lesu. Perbanyakkan doa memohon keampunan-Nya, minta kemaafan ibu bapa, kaum keluarga dan orang- orang di sekeliling kita. Mudah-mudahan kita akan tampil sebagai orang yang lebih beriman dan bertakwa setiap kali berakhirnya Ramadan.
Baca selanjutnya...

Kelebihan Menyegerakan Berbuka Puasa

Hadith:

DARIPADA Sahal bin Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya akan mendapat kebaikan yang berterusan". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Huraian Hadith:

1. Orang yang berpuasa disunatkan segera berbuka setelah diyakini masuknya waktu Maghrib, sebaliknya makruh hukumnya jika sengaja dilewat-lewatkan tanpa sebarang sebab yang munasabah.

2. Antara hikmah disunatkan agar segera berbuka puasa ialah supaya kita tidak tergesa-gesa dalam mengejar waktu solat di mana ia memberi kesempatan untuk kita rehat seketika sebelum mengerjakan solat Maghrib dan sebelum bergegas menunaikan solat Isyak dan terawih pula selepasnya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Baca selanjutnya...

Friday, August 5, 2011

Banyak negeri kekal kadar zakat fitrah




KUALA LUMPUR - Dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak menaikkan kadar zakat fitrah negeri masing-masing pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Kadar zakat di Sarawak pada kadar RM6.20 berbanding sebelumnya iaitu RM5.20 dengan perbezaan sebanyak RM1. Ia diikuti oleh Sabah yang naik 0.20 sen kepada harga baharu iaitu RM7.

Bagaimanapun, Melaka dan Kelantan masih mengekalkan pada kadar RM6.50 dan RM7 seperti tahun lepas.

Bagi Johor, pada tahun ini mengekalkan dua kadar berasingan berdasarkan jenis beras dan kemampuan pembayar iaitu RM5 dan RM7.50 seperti tahun lalu.

Tetapi bagi Terengganu, negeri itu masih mengekalkan tiga kadar zakat fitrah seperti tahun lepas mengikut jenis beras dan kemampuan pembayar iaitu RM5, RM7 dan RM8.

Bagi Kedah, Perak, Selangor, Pahang dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) pula, masing-masing mengekalkan kadar lama iaitu RM7.

Kadar zakat fitrah di Perlis dan Negeri Sembilan kekal dengan kadar RM6 dan RM6.50.

Bagi umat Islam di ibu kota, mereka boleh membayar zakat fitrah di Pejabat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan yang dibuka setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini dari jam 8.15 pagi sehingga 4.30 petang.

Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian zakat 1-300-88-5757 atau layari www.zakat.com.my atau www.facebook.com/zakat.my.

Menerusi laman web yang sama, pengguna juga boleh membayar pelbagai jenis zakat lain secara online dan laman sesawang itu turut dilengkapi dengan pelbagai maklumat dan aktiviti terkini mengenai pusat zakat dan kemudahan yang disediakan sepanjang bulan Ramadan.

Baca selanjutnya...

Thursday, August 4, 2011

Bila dan siapa layak peroleh Lailatulqadar

Oleh DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

ALLAH SWT berjanji akan meningkatkan gandaan pahala kepada setiap orang Islam yang bersungguh-sungguh dalam mengerjakan ibadat sepanjang kehidupan. Setiap hari adalah hari beribadat malah bekerja juga termasuk dalam kategori ibadat. Dengan bekerja, seseorang itu dapat memperoleh rezeki yang halal bagi menyara kehidupan dan tanggungannya.

Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, Allah SWT memberikan peringatan bahawa bulan Ramadan adalah bulan yang paling banyak gandaan pahalanya. Antara celahan bulan Ramadan, terdapat satu malam yang amat besar ertinya kepada orang Islam kerana pada malam tersebut dijadikan penuh keberkatan dan kebaikan.

Malam tersebut dikenali sebagai Lailatuqadar. Lailatulqadar adalah malam yang amat agung kerana dipilih Allah sebagai malam permulaan Nuzul Quran atau permulaan Allah melimpahkan cahaya agama Allah ke seluruh alam, di samping melimpahkan kesejahteraan dan kedamaian yang memancar dari hidayat Allah (al-Quran) ke atas hati dan kehidupan manusia.

Gambaran keberkatan pada malam itu ialah dalam nilaian ia lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan, ertinya ialah selama 83 tahun dan 4 bulan. Maknanya, sesiapa yang dapat menikmati malam tersebut akan memperolehi ganjaran pahala dalam gandaan seribu bulan.

Beruntunglah bagi mereka yang dapat mengerjakan ibadat sepanjang malam tersebut. Kelebihan dan kemuliaan malam tersebut disebut oleh Allah SWT dalam satu surah khusus, iaitu Surah al-Qadr.

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadr. Adakah kamu tahu (wahai Muhammad) apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu bulan." (al-Qadr:1-3).

Bilakah malam Lailatulqadar itu? Rasullullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada satu malam. Amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia hilang semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah SWT." (Riwayat Ibnu Majah).

Mengenai tarikh sebenar malam tersebut, para ulama tidak mempunyai kesepakatan. Bagaimanapun kesemua ulama bersetuju bahawa Lailatulqadar hanya berlaku pada bulan Ramadan, terutamanya pada sepuluh malam terakhir.

Manusia perlu mencari hikmah di sebalik misteri tarikh tepat malam tersebut. Allah SWT sengaja menyembunyikan rahsia pada malam tersebut dengan harapan manusia tidak akan menyempadankan diri hanya untuk beribadat secara terhad pada malam itu sahaja.

Allah SWT sengaja melakukannya kerana mengharapkan setiap umat Islam dapat melakukan persediaan yang lebih baik, sehinggalah boleh menikmatinya dengan kesungguhan dan penuh keimanan.

Dalam satu hadis, Aisyah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: (Riwayat Tarmizi, Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad).

Kenapa Lailatulqadar itu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW? Menurut Imam Malik, Rasullullah SAW tersentak apabila memikirkan umur umatnya tidaklah sepanjang umat-umat sebelumnya. Menyedari mengenai keadaan tersebut, Nabi Muhammad SAW memohon pertolongan daripada Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW memohon agar diberikan peluang beribadat sepanjang yang mungkin sebagaimana peluang itu telah diberikan kepada umat-umat sebelumnya. Akhirnya, Allah SWT mengabulkan permintaan tersebut dengan menurunkan Lailatulqadar.

Menurut Syeikh Muhammad Abduh, sebab kenapa malam tersebut diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW adalah kerana ia adalah ketentuan Allah SWT. Pada malam tersebut, Allah SWT mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintah nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang benar. Agama yang dapat melepaskan manusia daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Imam Nawawi pula berhujah, sebahagian ulama memberikan pandangan bahawa malam itu datangnya secara bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya, jika pada tahun ini berlaku pada 29 Ramadan, maka pada tahun akan datang ia akan datang pada malam yang berbeza.

Pendapat tersebut turut diterima oleh Ibn Hazam dengan menjelaskan malam itu adakalanya berlaku pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan, ia berlaku dalam posisi kiraan ganjil.

Ada juga ulama membuat kesimpulan setiap tahun Lailatulqadar berlaku pada tarikh yang sama, iaitu pada tanggal 27 Ramadan. Pendapat tersebut bersandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud: Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatulqadar itu pada malam 27.

Menurut Ibnu Abbas, kerana surah al-Qadr mengandungi 30 kalimah dan kata salamun hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah ke-27, maka malam tersebut adalah malam ke-27.

Ulama yang lain berpendapat, kalimah Lailatulqadar terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr, kalimat tersebut diulang-ulang sebanyak tiga kali, maka tentunya ia akan berlaku pada malam ke-27, iaitu sembilan didarabkan dengan tiga.

Ada ulama menetapkan malam tersebut akan berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Pendapat ini dikemukakan oleh Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. dan seterusnya diriwayatkan oleh Imam Bukhari: "Carilah sedaya upaya kamu Lailatulqadar itu pada 10 malam ganjil pada akhir Ramadan."

Pendapat para U'bbad menyatakan ia mengikut hari permulaan awal Ramadan, bila awal puasa pada hari Ahad atau Rabu maka, malam Lailatulqadar ialah pada malam 29 Ramadan.

Bila awal puasa pada hari Jumaat atau Selasa, maka malam Lailatulqadar ialah pada malam 27 Ramadan. Bila awal puasa pada hari Khamis, malam Lailatulqadar pada malam 25 Ramadan.

Jika awal puasa pada hari Sabtu, malam Lailatulqadar ialah malam 23 Ramadan dan jika awal puasa pada hari Isnin maka, malam Lailatulqadar pada malam 21 Ramadan.

Menurut Syeikh Abu Hassan, beliau tidak pernah luput dari malam Lailatul Qadar mengikut kaedah ini.

Pengalaman mendapatkan Lailatulqadr adalah sebuah pengalaman spiritual yang paling puncak bagi orang yang bersungguh-sungguh berusaha menyempurnakan keimanannya. Maka, setiap orang Islam perlu melakukan ibadah dan ibadat dengan bersungguh-sungguh sepanjang kehidupannnya bagi mendapat keberkatan. Kemanisan keimanan akan menjadi berlipat ganda sekiranya manusia itu mampu meraih malam Lailatulqadar.

Dalam masyarakat Melayu, malam Lailatulqadar turut dikenali sebagai malam tujuh likur. Meskipun ada banyak cerita yang berkisar dalam masyarakat Melayu mengenai malam tersebut, sebahagian besarnya adalah cerita yang tidak bersandarkan petunjuk yang jelas.

Malah pada malam tersebut turut diceritakan banyak keganjilan berlaku - air berhenti mengalir, pokok sujud menyembah bumi atau malaikat turun ke bumi dalam bentuk manusia - kerana tidak semua manusia boleh menemuinya dalam bentuk nyata.

Imam Thabari menjelaskan untuk menemui malam itu, tidak disyaratkan dengan melihat sesuatu atau mendengarnya. Maka amalan sesetengah orang Melayu menunggu air paip menjadi beku pada malam tersebut perlu digantikan dengan memperbanyakkan amal ibadat yang lebih berfaedah.

Jika kita ingin mendapatkan Lailatulqadar, kita seharusnya dapat melakukan 'kiam' Ramadan. Sepanjang bulan tersebut kita hidupkan suasana ingin belajar (taklim) sepanjang masa, siang dan malam dengan beribadah, zikir, solat sunat dan qiraah (tadarus dan telaah) al-Quran.

Seluruh indera kita dipusatkan kepada pintu keampunan bagi melenyapkan diri kita daripada dosa dan dinyahkan syak wasangka.

Sepanjang bulan Ramadan, sebenarnya bulan kita bermuhasabah dan membersihkan diri daripada segala kekotoran malah ada yang mentafsirkan bulan kesembilan itu sebagai bulan penuh kebajikan.

Lailatulqadar yang kita impikan itu adalah sebuah titik yang perlu kita cari, kerana pencarian itu membawa kita kepada kemuncak kehidupan, agar amal dan ibadah kita akan diterima oleh Allah SWT, kita akan dimasukkan sebagai senarai orang yang beriman dan beramal soleh.
Baca selanjutnya...

Wednesday, August 3, 2011

Diet ketika berpuasa

`SYURGA makanan’. Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba bulan Ramadan. Bukan sahaja bagi umat Islam, bahkan kaum lain di negara ini terutama dengan adanya bazar Ramadan.

Selagi tidak penuh makanan di pinggan, seperti tidak lengkap menu berbuka puasa. Golongan wanita pula tidak perlu penat memasak. Semuanya seperti sudah tersedia dengan pelbagai juadah yang ada di bazar Ramadan. Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman boleh dibeli untuk hidangan keluarga. Ada yang bertanya, “cukup tak makanan kita hari ni?”. Ada pula yang berkata, “tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk.”

Selain keletihan, yang mana lebih kerap berlaku kepada anda? Adakah berat badan berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadan. Ramai yang membeli makanan tidak menilai keperluan makanan tetapi lebih kepada selera.

Hakikatnya, ketibaan Ramadan bukan saja memberi peluang kepada kita mempertingkatkan amalan kerohanian malah amat berfaedah untuk kesihatan.

“Puasa dapat membantu individu untuk mengawal pemakanannya. Ia dapat membantu dalam pengawalan berat badan di samping melatih individu untuk lebih berdisiplin pada makanan. Pemilihan makanan semasa bersahur dan berbuka penting kerana ia akan memberikan kesan terhadap peningkatan atau penurunan berat badan. Pengambilan makanan yang manis, berlemak atau bergoreng boleh menyebabkan peningkatan berat badan,” ujar Pakar Diet Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Nor Lizawati Che ‘ Lah.

Untuk bersahur, disarankan mengambil makanan yang dihadamkan secara perlahan termasuklah makanan yang mengandungi fiber .

Ini kerana makanan ini dapat bertahan selama lebih kurang lapan jam dan ini dapat mengurangkan rasa lapar selepas bersahur sehingga waktu berbuka.

“Makanan yang dihadamkan secara perlahan adalah makanan atau produk bijirin dan bijian seperti barli, gandum, oat, sekoi, tepung suji, tepung penuh mil, kacang dan kekacang, nasi perang dan sebagainya (dikenali sebagai karbohidrat kompleks). Makanan yang mengandungi serat (juga dapat bertahan agak lama) adalah makanan yang mengandungi bran, gandum penuh mil, bijirin dan bijian, oat, nasi ulam, sayur-sayuran seperti kacang hijau, kacang pis, bayam, pucuk ubi, buah-buahan dengan kulit, buah kering terutama aprikot, buah tin, kurma dan prun, kacang seperti badam dan sebagainya.

Makanan yang cepat dihadam dapat bertahan 4 jam sahaja. Makanan yang cepat hadam ialah makanan yang mengandungi gula, gula putih dan sebagainya (dipanggil karbohidrat ringkas).

Contoh makanan termasuklah kuih manis, minuman sirap, kordial dan minuman tin,” tambahnya.

Menurut Nor Lizawati, pengambilan makanan ini secara berlebihan boleh mengakibatkan seseorang berasa letih atau lesu sejurus selepas makan.

Justeru itu, kurangkan mengambil makanan yang tinggi kandungan garam atau masin kerana ini boleh mengakibatkan rasa dahaga pada siang hari.

Misalnya untuk berbuka, orang ramai dinasihatkan untuk mula dengan makanan yang ringan dan mudah dihadam seperti buah-buahan atau jus buah-buahan, diikuti dengan makanan yang sederhana dan kemudiannya snek secara berkala.

“Puasa boleh melatih individu lebih berdisiplin pada makanan. Untuk mereka yang cuba mengurangkan berat badan, jangan abaikan keperluan nutrien oleh badan kerana ini boleh menyumbang kepada risiko untuk mendapat masalah kesihatan dan badan akan cepat lesu. Ini akan memberikan kesan kepada aktiviti seharian. Jangan terlalu obses untuk menurunkan berat badan tetapi kesihatan diabaikan. Amalkan diet yang seimbang,” nasihatnya.

Baca selanjutnya...