Sunday, August 21, 2011

Sekolahku


Assalamuaikum wr. wbt..Hari ini dalam cuaca yang mendung dan sedikit hujan renyai, aku teringatkan sekolah tempat aku menimba ilmu dari tahun 1992-1997...

SEJARAH SEKOLAH

1. ASAL SEKOLAH

Dengan tamatnya Peperangan Dunia Kedua, perkembangan persekolahan telah wujud. Sebelumnya telah ditubuhkan Government English School di Tumpat, beberapa jajahan di Kelantan seperti di Kota Bharu, Pasir Mas dan Kuala Krai telah berbangga dengan sekolah Inggeris masing-masing. Dalam suasana begini sekumpulan kecil kalangan bijak pandai dari Tumpat telah berusaha supaya kerajaan mendirikan sebuah sekolah Inggeris di Bandar Tumpat.

Antara langkah-langkah yang diambil termasuklah usaha mendapat kerjasama dan jasa baik Yang Berusaha Tuan Pegawai Jajahan di mana terdapat usul-usul supaya didirikan bangunan sekolah sementara atau sekolah rakyat.

Di samping desakan penduduk Tumpat, kerajaan juga sedang melaksanakan rancangan bagi mengadakan Sekolah Inggeris di setiap jajahan. Hasilnya dalam tahun 1954, tertubuhlah Sekolah Inggeris dalam Jajahan Pasir Puteh, Bachok, Machang dan Tumpat.

2. NAMA-NAMA SEKOLAH

Pada 10hb. Januari 1954, sekolah ini dibuka dengan rasminya dengan nama Government English School, Tumpat. Setelah Malaysia mencapai kemerdakaan dalam tahun 1957, nama sekolah ini ditukar kepada Tumpat Standard Type Primary English School sehingga tahun 1961 apabila semua Sekolah Standard Type bertukar menjadi National Type dengan nama Tumpat National Type Primary English School. Dalam tahun 1965, berikutan dengan arahan dari pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, nama sekolah ini ditukar kepada nama terjemahan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris Tumpat.

Dengan berakhirnya Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah ini, namanya sekali lagi diubah menjadi Sekolah Rendah Kebangsaan Tumpat, Tumpat Kelantan. Pada awal tahun 1994, Sekolah Rendah Kebangsaan Tumpat dipecah menjadi dua buah sekolah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Tumpat (1) atau SRKT (1) Sekolah Rendah Kebangsaan Tumpat (2) atau SRKT (2). Mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1997, dasar dan peraturan mengenai nama sekolah, nama SRK diubah kepada SK atau Sekolah Kebangsaan. Oleh itu, selaras dengan perubahan nama tersebut maka terhasillah nama baru iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Tumpat (1) (SKST 1). Pada 1hb. Januari 1998, pertukaran nama baru ini dilaksanakan dan namanya diberi oleh Unit Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Sejak sekolah ini mula-mula dibuka lagi, bangunannya adalah dari jenis kekal iaitu bangunan batu. Kerja-kerja pembinaannya diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Kelantan. Apabila ia dibuka pada Januari 1954, bangunan peringkat pertama dibina dari batu dua tingkat telah pun siap. Pada permulaanya, ia dilengkapi dengan sebuah Bilik Guru, Bilik Pejabat, Bilik Setor, tandas dan empat Bilik Darjah beserta dengan perabot (kerusi dan meja).

Pada pertengahan tahun 1956, tambahan empat Bilik Darjah yang disambungkan kepada bangunan asal telah siap dibina menjadikan bangunan ini mempunyai lapan Bilik Darjah.

Pada tahun 1958, sebuah bangunan satu tingkat yang berasingan siap dibina. Sebuah makmal juga dibina pada bangunan asal pada akhir tahun 1961. Dalam tahun 1962, sebuah Sekolah Lanjutan yang dilengkapi dengan dua buah bilik darjah, sebuah bilik masakan, sebuah bilik pertukangan dan dua buah bilik tandas telah dibina di sisi bangunan asal. Pada tahun 1965, Sekolah Lanjutan tersebut telah diberhentikan dan bangunannya diserahkan untuk kegunaan Sekolah Menengah yang masih ditempatkan di sekolah asal.

Kesemua bangunan-bangunan tersebut telah dipindahkan di bawah pentadbiran Sekolah Rendah setelah Sekolah Menengah dibina di Kelaboran pada tahun 1966. Pada 1hb. September 1969, sebuah Klinik Pergigian telah ditubuhkan dan ditempatkan di Bilik Rehat Guru. Pada peringkat awal penubuhan, perkhidmatan rawatan pergigian adalah dikhaskan untuk murid-murid sekolah ini sahaja. Pada bulan Julai 1972, perkhidmatannya mula diperluaskan kepada murid-murid daripada sekolah-sekolah di sekitar. Sejak mula-mula dibina lagi, sekolah ini telah dilengkapi dengan kemudahan bekalan elektrik dan air, tandas, pagar dan lima unit Rumah Guru serta sebuah padang yang agak kurang memuaskan kerana ia padang berpasir. Pada 1971, sebuah bangunan kantin turut dibina.

Sekolah ini pernah mengalami pengalaman pahit pada tahun 1967 apabila berlakunya banjir besar yang dialami oleh Negeri Kelantan keseluruhannya. Walaupun tiada kerosakan besar berlaku, kemudahan pam air dan buku-buku juga terjejas. Kali pertama juga lantai tingkat bawah bangunan sekolah ditenggelami air sedalam 2 kaki. Walau bagaimanapun, peristiwa mengejut ini berlaku dalam cuti penggal atau cuti akhir tahun.

Kemudian, sebuah kantin juga telah dibina. Pada awal tahun 1971, kawasan sekolah telah diperluaskan.

PENGASAS SEKOLAH

1. Encik Othman bin Mohd Udin

Pegawai Penerangan Tumpat

2. Encik Basir bin Rashid

Ahli Perniagaan

3. Encik Ab. Rahim bin Abdullah

Kerani Jabatan Keretapi

WAKIL IBU BAPA:

1. Encik Wan Ahmad bin Hj. Wan Daud

2. Encik Awang bin Haji Yunus

3. Encik Hassan bin Haji Johari



3. COGANKATA SEKOLAH

USAHA TANGGA KEJAYAAN

Cogankata tersebut adalah sebagai perangsang kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Tumpat (1), supaya menjadikan USAHA sebagai azimat hidup untuk mencapai kejayaan dalam semua bidang diceburi dan seterusnya beroleh kejayaan dalam kehidupan kelak.

Tanpa USAHA, yang bulat tidak akan bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.

4. LENCANA SEKOLAH

4.1 Lencana SKST 1 berukuran 5 X cm dan berbentuk perisai yang melambangkan sejenis alat mempertahankan diri.

4.2 Di tengahnya terdapat lambang seekor ikan di dasar laut dan dilingkungi oleh bunga padi yang melambangkan pekerjaan utama penduduk setempat adalah sebagai nelayan dan petani.

4.3 Pada bahagian bawah perisai terdapat cogankata ‘USAHA TANGGA KEJAYAAN’ dan diapit oleh angka 19 dan 54 yang melambangkan tahun sekolah ini diasaskan iaitu 1954.

4.4 Warna-warna yang terdapat pada lencana tersebut ialah:

a) MERAH pada nama sekolah dan cogankata adalah melambangkan usaha berani ke arah kebenaran.

b) KUNING pada lambang ikan dan padi melambangkan kemurnian yang disusuli dengan doa agar mata pencarian penduduk sentiasa diberkati oleh Allah.

c) BIRU pada warna air laut melambangkan kecintaan antara warga sekolah yang berada di bawah satu bumbung.

d) MOTO sekolah adalah “Usaha Tangga Kejayaan”.


SENARAI NAMA GURU BESAR

Bil. Nama Tahun

1. Encik Mohd Zain bin Awang 1954

2. Encik M. Sandanasamy 1955

3. Encik Benedict Fair 1957

4. Encik Megat Hussain 1958

5. Encik Yee Gim Hoe Oktober 1958

6. Encik K. Ragavan April 1959

7. Encik Mahinder Singh (Pemangku) 1961

8. Encik Khaw Meng Hua April 1961

9. Encik Mahinder Singh (Pemangku) May 1964

10. Encik Kasim bin Mustapha 1972

11. Encik Abu Bakar bin Abd. Hamid 1980

12. Encik Muhammad Zin bin Yusoff 1989

13. Encik Mat Nordin bin Ali 1993

14. Encik Muhammad Zin bin Yusoff April 1994

15. Tuan Haji Mohamed Noor bin Jaafar April 1998

16. Tuan Haji Che Hashim bin Che Ismail September 2003

No comments:

Post a Comment