Sunday, January 16, 2011

Kisah Sedih - Nilai Sepuluh Ringgit

Malam. Hampir pukul 10. Seorang ayah pulang ke rumah dalam keadaan letih. Kepulangannya disambut oleh anaknya, Amin yang berusia 10 tahun. Sambil mengangkat briefcase ayahnya, Amin bertanya ayahnya.

Amin: Ayah ... ayah ... boleh Amin tanya?
Ayah: Hmmm .... nak tanya apa?
Amin: Ayah ... berapa pendapatan ayah sejam?
Ayah: Itu bukan urusan kamu, buat apa sibuk-sibuk nak tanya gaji ayah? (Si ayah mula meninggikan suara).
Amin: Maafkan Amin, ayah. Amin saja nak tahu. Kalau boleh, tolonglah beritahu Amin? kata Amin sambil tunduk kerana takut melihat ayahnya yang sedang marah.
Ayah: 20 ringgit sejam. Kenapa nak tahu? (Si ayah meninggikan suara lagi).
Amin: Oh ... 20 ringgit. (Perlahan suara Amin. Dia tunduk dan bermuka sedih).
Amin: Ayah ... boleh tak bagi Amin pinjam 10 ringgit daripada ayah? (Amin memandang muka ayahnya dengan harapan).


Si ayah mula berang dan berkata, "Oh, itu sebabnya kamu tanya pasal pendapatan ayah? Kamu nak minta duit! Nak beli mainan lagi?? Ayah penat kerja cari duit, kamu senang-senang nak membazir, ya! Sudah, pergi masuk tidur! Dah pukul berapa ni!"

Amin terdiam. Dia sedih dan hampir menitiskan air mata. Perlahan-lahan dia kembali ke biliknya. Si ayah duduk di sofa sambil memikirkan mengapa anaknya meminta duit 10 ringgit. Tidak lama kemudian, Si ayah kembali tenang dan terfikir kemungkinan besar anaknya benar-benar memerlukan duit untuk keperluan di sekolah. Sebelum ini anaknya tidak pernah meminta wang sebanyak itu.

Dengan rasa kesal dan bersalah, Si ayah melangkah menuju ke bilik anaknya. Amin masih belum tidur. "Kamu benar-benar perlukan 10 ringgit? Nah ... ambil ni."
Si ayah mengeluarkan duit merah. Amin bangun dan dengan tersenyum girang mengambil duit itu daripada ayahnya. "Terima kasih, ayah! Nanti bila Amin ada duit, Amin akan ganti."

Kemudian, Amin mengangkat bantalnya dan mengambil duit 10 ringgit yang sudah kusam dan renyuk terhimpit bantal. Apabila ternampak duit itu, si ayah kembali berang. "Kenapa kamu mintak duit lagi, sedangkan kamu dah ada duit sebanyak itu? Dari mana kamu dapat duit tu?"

Amin tunduk ... tak berani dia merenung ayahnya. Sambil menggenggam kemas duit itu, dengan linangan air mata, dia menerangkan, "Duit ni Amin kumpul. Duit belanja sekolah yang ayah bagi hari-hari. Amin minta lagi 10 ringgit sebab Amin tak cukup duit." Amin terhenti bersuara sambil teresak.

"Tak cukup duit nak beli apa?" jerkah Si ayah lagi.
"Ayah ... sekarang Amin dah ada 20 ringgit. Nah, ayah ambil duit ni. Amin nak beli sejam masa ayah di pejabat tu. Amin nak ayah balik kerja awal esok. Amin rindu nak makan malam dengan ayah. Amin rindu belaian dan suara ayah,” jelas Amin tanpa memandang wajah ayahnya.


* Tunaikanlah tanggungjawab sebagai ibubapa @ penjaga kepada anak-anak jagaan..Kasih sayang dalam keluarga amat penting dalam menjamin keluarga yang bahagia

Baca selanjutnya...

Malaysia kekurangan guru j-Qaf


MASALAH kekurangan guru j-Qaf semakin membimbangkan dalam bidang pendidikan Islam di negara ini. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Guru-guru untuk program pembelajaran jawi al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain (j-Qaf) semakin berkurangan di semua sekolah rendah di Malaysia.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenainya.

"Purata biasa untuk tiga kelas ialah seorang guru j-Qaf tetapi di Pahang, contohnya, seorang guru terpaksa mengajar enam kelas berseorangan," jelasnya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Mohamed Sabri, kekurangan guru-guru itu membimbangkan kerana matlamat untuk program itu tidak akan tercapai sekiranya jumlah guru yang dibekalkan semakin berkurangan.

"Bayangkan, pada tahun ini hanya 1,500 orang guru j-Qaf ada di seluruh negara sedangkan saya dapat maklumat di Perak sahaja 400 guru diperlukan. Mana cukup dengan jumlah 1,500 orang itu untuk tahun ini?"katanya.

Mohamed Sabri berkata, masalah itu mula berlaku sejak tahun 2009 dan ia semakin berlarutan sehingga kini.

Sejak tahun j-Qaf mula diperkenalkan pada 2004, ia telah diterima baik murid-murid di sekolah dan ia merupakan satu pembelajaran yang bermanfaat tetapi jika perkara ini terus berlarutan program itu akan jadi sia-sia.

Katanya lagi, pihak kesatuan berharap Kementerian Pelajaran mengambil berat soal kekurangan guru itu agar pembelajaran murid-murid tidak terjejas.


* Kenyataan akhbar ini mungkin akan membuka mata banyak pihak seterusnya membuka ruang kepada para siswazah dalam bidang pengajian Islam yang akhir2 ini sangat2 mengharapkan J-QAF sebagai tempat mereka mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari. Senyumlah kawan2 yang sedang menantikan J-QAF..

Baca selanjutnya...

TiTiK MuLa PeRjuaNGaN MAHASISWA 2011


Oleh : Muhammad Hafizuddin

Dalam era tahun baru 2011 ini, mahasiswa-mahasiswa bakal berdepan pilhanraya kampus (PRK). PRK yang berlangsung setiap tahun menyaksikan pelbagai rentak politik kampus yang dicaturkan oleh mahasiswa yang menarik tumpuan banyak pihak untuk dianalisa.

Kumpulan-kumpulan mahasiswa yang sentiasa terlibat dengan PRK akan menjadi kayu ukur intelektual dan kematangan mahasiswa kepada masyarakat umum samada kumpulan Pro-Mahasiswa ataupun Pro-Aspirasi. Menjadi aktiviti normal bagi masyarakat melabelkan Pro-M sebagai kumpulan berorientasikan Pro-Pembangkang dan Pro-A sebagai Pro-Kerajaan.

Pro-Mahasiswa seperti Pro-M UM, GMUKM, WUFI (UIAM), GMS KUIS dan sebagainya merupakan kumpulan yang dianggap agresif dan berani dalam mempertahankan pendirian mereka. Namun, pendekatan diplomatik tetap menjadi strategi utama melihat keadaan dan kondisi yang sesuai mengikut kampus masing-masing. Bagaimana pun, Pro-M berusaha untuk mengambil kerajaan mahasiswa di kampus semata-mata bertujuan untuk mengembalikan hak-hak mahasiswa dan ingin menegakkan kebenaran di kampus.

Pro-Aspirasi pula selalu dimomokkan sebagai kambing hitam pihak pentadbiran universiti dek kerana hubungan Pro-A dengan pihak atasan yang terlalu rapat. Mereka menggelarkan kumpulan Pro-A sebagai penjunjung aspirasi universiti dengan merealisasikan visi dan misi sesuatu universiti tersebut.

Ada pun kedua-dua kumpulan mahasiswa ini, sehingga hari ini masih tidak jemu untuk meneruskan agenda masing-masing. Tahun 2010 menjadi saksi pelbagai aksi daripada kedua-dua pihak termasuk campur tangan pihak pentadbiran boleh dilihat. Hanya mahasiswa yang boleh menilai kumpulan yang sepatutnya mereka sokong dan dokong dalam memilih pimpinan mahasiswa.

Justeru, PRK yang semakin dekat ini bakal menjadi pemula dan titik awal kepada kebijaksanaan gerakan mahasiswa di setiap kampus dalam mengatur strategi untuk menjayakan agenda besar, bukan 'berjalan di atas angin'.

Mahasiswa dicadangkan supaya melihat kriteria-kriteria utama untuk memilih pemimpin:

1- Agenda utamanya adalah Islam

2- Menyeru kebaikan dan mencegah kemunkaran adalah kewajipan

3- Kebajikan mahasiswa diutamakan

4- Hubungan dengan manusia sekitarnya berakhlak

5- Kepimpinannya dirasai bukan dibenci

6- Keberanian mencetus solusi

Kriteria di atas bukanlah dicadang atas dasar fakta dan bersifat pokok, ia hanyalah cadangan penulis yang mendambakan pemimpin mahasiswa Islam yang hebat.

Kesimpulannya, mahasiswa hari ini tidak perlu tergopoh-gapah dalam berjuang kerana Rasulullah sendiri bersabar dalam menyampaikan seruan Islam. Hal ini bukanlah bermaksud mahasiswa hari ini perlu duduk bersahaja menantikan 'bulan jatuh ke riba'. Kebenaran dan hak mestilah diperjuangkan secara bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Semoga pendidikan politik dalam kalangan mahasiswa hari ini terus menyubur dari semasa ke semasa. Universiti adalah tempat melahirkan pemimpin yang berjiwa kepimpina bukan melahirkan pelajar yang bekerja.

WE UNITE FOR ISLAM

Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor

Mahasiswa UIAM

Baca selanjutnya...

Gembleng Blogger Pakatan hadapi PRU 13

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Tidak ada satu perkara yang paling diharapkan daripada dunia blogger Pakatan Rakyat melainkan untuk melihat BN dan Umno disungkurkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang dan PRU 13 akan datang.

Justeru, Drs Khalil Idham Lim mengucapkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dengan kejayaan kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan Majlis Mesra Menteri Besar Kelantan Bersama Blogger Pakatan yang diadakan di Kuala Lumpur malam tadi.

“Sebenarnya saya adalah antara orang yang sentiasa menunggu program seumpama ini bagi memastikan orang seperti kami yang duduk di hadapan komputer di mana sahaja kami berada dihargai bukan dengan kalimat yang tinggi menggunung namun sanggup dipanggil untuk bertatap muka dan diberikan sedikit makanan pengalas perut walaupun setahun sekali, itu rasa sudah memadai,” ujarnya yang mengendalikan blog Cina Islam.

Sebab itu, beliau pernah mengeluarkan pandangan menyokong saudara blogger Milosuam bahawa blogger Pakatan Rakyat semacam tidak digembleng tenaga mereka secara terancang dan bersepadu untuk menghadapi gelombang blogger Umno yang nampak terancang dan dirancang.

“Sebenarnya bagi saya dunia seorang blogger tidak lepas dari sifat keikhlasan dan kejujuran semasa mengeluarkan berita, apa matlamat sebenar pemberitaan dan seperti yang dikatakan oleh Tuan Guru Datuk Nik abdul Aziz Nik Mat malam tadi ada dosa dan pahala dan ada kaitan dengan syurga dan neraka serta ditanya kelak di akhirat dengan apa yang ditulis dalam blog masing-masing,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Kerana itu, baginya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak sentuhan kerajaan negeri Kelantan dalam pertemuan malam tadi sangat bernilai bagi seorang blogger dan mereka bukan mahukan sanjungan, pujian dan upah.

Katanya, keiklasan mereka datang pada malam tadi dengan biaya poket sendiri dengan meninggalkan kerja masing-masing menuju ibu negara demi memenuhi jemputan dari Kerajaan Negeri Kelantan.

Tambahnya, tanpa disedari di sana ramai yang hadir boleh membuat tuntutan perjalanan dan sebagainya, namum para blogger sudah melupakan itu demi penghargaan yang lebih besar dari nilai wang ringgit.

Menurutnya, yang penting hak dan tanggungjawab yang dilakukan oleh masing-masing mengikut kedudukan.

“Bila ada pengumuman mengenai program tersebut saya cepat-cepat mendaftar diri untuk hadir dan mengosongkan jadual yang lain yang diatur lebih awal.

“Apabila saya menerima jawapan dari email Tarmizi Mat Jam yang mendaftar kehadiran, saya rasa sangat berbangga dan tidak sabar untuk hadir bersama dan memastikan berada di Kuala Lumpur malam tadi walaupun saya sepatutunya sudah di China untuk urusan perniagaan,” katanya.

Masa berjalan dengan cepat sekali, kerana itu beliau menyarankan perkara yang sama dilakukan oleh kerajaan negeri yang lain di bawah Pakatan Rakyat seperti Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang mestilah melakukan program seumpama dilakukan Kelantan malam tadi.

Walaupun cuma datang tanpa makan dan minum, beliau yang juga Adun Titi Serong akan berusaha untuk hadir sekiranya mereka menganjurkan dalam masa terdekat.

“Kalaulah saya di luar negara dan sibuk dengan jadual yang diatur lebih awal, saya akan susun kembali untuk pastikan dapat hadir bersama.

“Selain bertemu pimpinan kerajaan negeri Kelantan, saya juga merasakan keseronokan bertemu dengan rakan-rakan media dan blogger sempena pertemuan malam tadi,” ujarnya.

Baginya, ternyata ia menjadi medan untuk merapatkan silaturrahim sesama blogger dan dengan pimpinan.

“Kamilah yang sedang mempertahankan Kerajaan Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang dengan pemberitaan di dalam dunia blogger.

“Oleh itu berilah sedikit kredit kepada kami sebagaimana yang dilakukan oleh Kelantan malam tadi,” ujarnya lagi.

Baca selanjutnya...

Nik Aziz mujaddid abad ini - Dr Dzulkefli

SHAH ALAM, 16 Jan: "Saya yakin, selepas Tuan Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) tiada nanti, umat Islam akan menggelarkan dia mujaddid abad ini," kata anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmad.

Dr Dzulkefli berkata demikian dalam program forum 'Bedah Buku Tokoh-tokoh Besar Gerakan Islam Dalam Sejarah' yang diadakan di Masjid Saujana Utama dekat sini malam semalam.

Penulis buku itu, Saari Sungib yang juga Adun Hulu Klang turut serta di samping moderatornya adalah Zulkifli Sulong, Ketua Editor Harakahdaily.

Nik Aziz adalah penulis pandangan sisi untuk buku ini.

Bagi Dr Dzulkefli, kehebatan yang ditunjukkan Nik Aziz adalah berjaya menyesuaikan tuntutan Islam dengan tuntutan semasa iaitu dalam konteks hubungan antara Islam dan orang bukan Islam.

"Mungkin orang tidak sedar sekarang tetapi saya yakin selepas dia (Nik Aziz) tiada nanti baru orang akan sedar Tok Guru sebenarnya mujaddin abad ini," kata beliau.

Sementara itu, di majlis bersama bloggers yang dibuat di sebuah hotel dekat ibu negara, Nik Aziz terus memperingatkan betapa Islam telah tertinggal dalam mengendalikan satu perkara iaitu orang bukan Islam.

"Di Kelantan, kita bina pondok, bina sekolah tetapi orang Cina yang tinggal di sebelah masjid Muhammadi Kota Bharu terus tidak Islam sejak lebih 20 tahun dahulu hingga kini.

"Apa tidaknya, anak-anak mereka hendak bermain di kawasan tanah lapang di masjid pun kita larang, kita kata haram. Padahal Rasulullah dahulu, orang kafir ini kencing dalam masjid pun dia tidak halau mereka," katanya.

Menurut Nik Aziz, beliau telah mengambil pendekatan berbeza.

"Hatta dalam majlis kenduri kahwin anak bungsu saya baru-baru ini, saya jemput 40 sami untuk sama-sama meraikan majlis itu. Apa orang nak kata," kata beliau di majlis itu.

Bagi Dr Dzulkifli, Tuan Guru Nik Aziz terkenal kerana kesungguhan beliau untuk meluaskan sayap Islan ini kepada orang bukan Islam dalam konteks sekarang.

Kalau dahulu, dakwah Islam ini disebarkan kepada orang luar dari kawasan Islam melalui dakwah dan juga peperangan, tetapi orang Islam sekarang seolah-olah meminggirkan orang bukan Islam.

Antaranya dengan cara menghalang mereka memasuki masjid dan majlis orang Islam.

"Dalam dunia moden ini, Tok Guru Nik Aziz antara tokoh yang membuat pendekatan untuk merapati orang bukan Islam ini," kata Dr Dzulkefli.

Baca selanjutnya...

Friday, January 14, 2011

KERANA SATU KLIK MALAPETAKA BERTERUSAN DITERIMA HINGGA HARI KIAMAT

Oleh: Ismail Abu Bakar


Di zaman ICT dan Globalisasi ini kemudahan komputer dan email hampir ada pada setiap orang yang bekerja di sektor swasta juga kerajaan termasuk kepada pelajar-pelajar di sekolah, di kolej dan universiti. Kemudahan internet yang disediakan dengan kadar yang semakin munasabah menyebabkan kemudahan email ini menjadi semakin popular.Pernahkah kita terfikir dengan satu “KLIK” sahaja akan menyebabkan mencurah-curah dosa yang di terima secara berterusan hingga hari kiamat.

Apa yang penulis akan bincangkan adalah berdasarkan dua buah Hadis Sahih berikut.
Mahfumnya::

Ibnu Mas’ud r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w. : “Tiada suatu jiwa yang terbunuh dengan penganiayaan, melainkan putera Adam yang pertama dahulu itu mendapat bahagian dari penumpahan darah itu, kerana ia yang pertama membuka jalan untuk penumpahan darah.” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah kisah pembunuhan Qabil terhadap Habil kerana Qabil dengki terhadap Habil yang berkahwin dengan kembarnya yang lebih cantik.

Mahfumnya:
Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayah, maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala) pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun. (Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Bagi memudahkan kefahaman akan maksud hadis-hadis di atas dan berkaitan dengan konteks kehidupan kita pada zaman ICT ini, mari kita ambil iktibar dari kisah berikut. Zack baharu tamat belajar di sebuah universiti kemudian di terima bekerja di sebuah syarikat ICT. Setiap pekerja dibekalkan dengan komputer, alamat email dan internet akses bagi memudahkan urusan kerja seharian.Zack mempunyai ramai kawan dan mereka berhubung melalui email setiap hari. Masa lapang Zack diisi dengan melayari laman web lucah. Kegemarannya ialah memuat turun (download) gambar-gambar lucah itu kemudian berkongsi dengan kawan-kawannya melalui email. Dia mempunyai “email group” dan ada 50 alamat email kawan-kawannya di dalam “emailgroup” tersebut.
Sekali menghantar email, dia akan menghantar kepada “emailgroup” tersebut. Selain daripada itu dia juga suka menghantar semula email yang diterima daripada rakan yang lain ke “emailgroup”. Di antara kandungan email itu adalah kisah-kisah yang mengaibkan seseorang seperti video klip bercium di dalam lif, kisah seluar dalam yang dijumpai di dalam periuk di restoran mamak dan seumpamanya lagi yang kebanyakannya adalah perkara-perkara yang nafsu kita seronok membacanya dan melihatnya tetapi hukumnya adalah jelas haram di sisi syariat Islam.

Pada suatu hari ketika pulang dari tempat kerja Zack terlibat dengan kemalangan jalan raya dan kembali ke rahmatullah di tempat kejadian.

Di dalam Islam telah sepakat ulama’ bahawa hukum melihat gambar-gambar lucah, menyebarkan fitnah, membuka aib dan seumpamanya adalah haram serta berdosa kepada mereka yang melakukannya dan menyebarkannya.Untuk memudahkan kefahaman, katakan Zack telah mendapat satu dosa kerana menghantar gambar-gambar lucah kepada kawan-kawannya. Gambar tersebut diterima oleh 50 orang kawan-kawannya melalui email. Kesemua kawan-kawannya seronok dengan gambar tersebut dan meredai perbuatan Zack maka setiap kawannya mendapat satu dosa manakala dosa setiap kawannya itu juga diberikan kepada Zack jadilah sekarang dosa Zack 1+50 = 51. Setiap kawan-kawan Zack itu pula menghantar gambar tersebut kepada 10 orang lagi,maka sekarang dosa Zack akan bertambah lagi menjadi 1+50+500=551 dosa. Kemudian setiap sepuluh orang itu menghantar lagi kepada 10 orang yang lain, bertambahlah dosa Zack menjadi 1+50+500=5551. Begitulah seterusnya.

Zack telah meninggal dunia, emailnya masih lagi tersebar, maka akan berterusanlah dia mendapat dosa selagi email itu berlegar di ruang cyber hingga hari kiamat. Begitulah iktibar yang boleh diambil daripada apa yang berlaku kepada Qabil, setiap jiwa yang mati dibunuh kerana hasad dengki manusia, maka dosa membunuh itu akan juga sampai kepada Qabil hingga hari kiamat. Bayangkanlah berapa ramaikah jiwa yang telah dibunuh dengan zalim sejak dari zaman Nabi Adam hingga sekarang? Dan berapakah dosa yang terpaksa ditanggung oleh Qabil di akhirat kelak?

Berbalik kepada kisah Zack, katakan sebelum meninggal dunia, Zack telah sempat bertaubat, insya’Allah dosa manusia terus dengan Allah, seperti meninggalkan puasa, zakat dan solat fardu akan Allah ampunkan tetapi dosa kita sesama manusia hanya Allah akan ampunkan bila insan tersebut mengampunkan kita. Zack telah menyebarkan perkara yang menyebabkan orang lain berdosa, bagaimanakah dia nak minta ampun dengan semua yang menerima email tersebut? Selagi mereka semua tidak mengampunkan Zack maka selagi itulah dia akan terima dosa hingga kiamat kelak.

Inilah malapetaka yang sangat besar pada zaman ICT ini. Dengan sekali klik sahaja saham dosa akan mencurah-curah sampai kepada kita. Sebab itu setiap kali apabila kita menerima email, hendaklah berhati-hati, jika kandungan email itu adalah gambar lucah atau yang mengaibkan seseorang muslim lain atau sesuatu fitnah hendaklah segera dibuang dan jangan ada sedetik pun di dalam hati untuk seronok dengan benda yang haram bagi mengelakkan kita dan pengirim dari berdosa.

Yang sebaiknya jika yang diterima itu haram, nasihatkanlah pengirim supaya bertaubat dan berhati-hati di masa-masa akan datang.

Sebaliknya jika kita menyebarkan perkara-perkara yang baik dan diredai oleh Allah SWT yang pastinya ganjaran pahala yang di terima pasti mencurah-curah selagi ia masih terus di sebarkan.
Wallahhu’alam


*Gunakan kemudahan sebaiknya.Penyalahgunaan bahan termasuk email, facebook, twitter, tagged, hatta blog sekalipun dan lain2 sumber menyebabkan kita terdedah dengan dosa. Renung2kanlah wahai sahabat

Baca selanjutnya...

Wednesday, January 12, 2011

WAHAI DIRIKU ...

Assalamualaikum wr. wbt.. Entri kali ini akan membicarakan luahan hati..WAHAI DIRIKU...Entri ini sebenarnya bukanlah nukilan dan luahan aku sendiri, tetapi berada di dalam simpanan aku. Aku memohon maaf kepada pemilik asal entri ini kerana tidak memasukkan sumbernya kerana aku terlupa copy semasa mengambil artikel ini.


WAHAI DIRIKU…Jangan bermain dengan maksiat kerana ia mengotorkan hati. Hati yang kotor bagaikan cermin gelap yang sukar ditembusi cahaya. Ia terhijab daripada nur Allah swt. Padamnya pelita hati bererti hilanglah kebahagiaan hidup. Keberkatan yang diperolehi akan berlalu bagai angin yang menyapa sekali – sekala. Qadhi Rabbul Jalil yang Maha Adil itu sebenarnya mahu engkau ke syurga, namun apa yang boleh buat engkau lebih suka ke neraka. Hati yang keras dan terhijab tak akan dapat mengubah sifat lahiriah yang terbit dari dirimu. Sifat lahir berhubung rapat dengan kehendak hati. Hati yang seumpama raja itu mengawal seluruh pergerakan lahiriah manusia hatta kerlingan mata sekalipun.

Hati yang cintakan maksiat mengerahkan seluruh anggota menuju jalan maksiat. Akal akan merancang dan mengatuur strategi untuk memenuhi tuntutan hati yang jahat tadi. Mata pula mengawasi kehendak hati terlaksana. Bila anggota lain mengambil peranan maka tercetuslah kejahatan di tengah kehidupan. Menanglah nafsu tewaslah akal. Apakah hati bahagia selepas itu? Tidak, bahkan deritanya bertambah berganda – ganda. Titik noda makin membesar mengambil tempat di ruang hati. Ia bagai dedalu di atas pohon, menumpang tapi menyeksakan.

Hati yang sebegini tidak ada harganya. Ia busuk, buruk dan berulat pada pandangan mata rohani. Inilah hati yang hendak kita bawa berjumpa Tuhan.inilah hati yang kita heret ke hulu dan ke hilir. Hati inikah yang hendak kita terus simpan? Sanggupkah jasad kita menampung hati yang buruk? Sering kali kita mengeluh dan mengadu ibadah yang selalu cuai khususnya sembahyang yang selalu lalai. Pelikkah itu, sedangkan kita mengadu dan memohon dengan hati yang busuk tadi? Mana mungkin rintihan dan doa didengar dan diterima kalau lahirnya dari lebuk yang berulat itu. Cukuplah Malaikat sebagai saksi busuk dan hanyirnya bau hati yang kononya merintih itu. Jangan berpura – pura lagi. Sudah lama kau menipu diri, menipu manusia dan menipu Tuhan. Ceh! Alangkah beraninya engkau. Alangkah kejinya perbuatanmu selama ini. Berpura – pura berlakon di atas pentas dunia. Penonton – penonton pun terpukau, hairan dan takjub menyaksikan lakonan sandiwaramu. Engkau pun mengumpul peminat yang cukup ramai. Tunggulah waktu tirai akan dilabuh, tabir akan disingkap dan ketika itu hakikat dirimu akan terserlah. Engkau akan jadi seperti anjing kurap yang dihina, dihalau, dicaci dan dimaki. Terimalah habuan sumpah - seranah manusia yang kau tipu dulu.

Allah bersumpah demi kebesaran dan keagunngan kerajaanNya, tidak ada seorang pun yang akan terlepas dari Hisab dan Mahkamah Akhirat. Pesalah – pesalah itu akan dibawa dengan tangan yang bergari, dihalau bagai binatang ternak ke kandang perbicaraan. Pendakwaraya akan menyoalmu tanpa belas kasihan. Saksi – saksi memberi bukti tanpa selindung lagi. Terbelalak matamu menyaksikan sejarah hidupmu terpapar dengan terang dan jelas. Manusia ramai turt melihat aib – aibmu selama ini. Kau akan mengeletar,pucat,lumpuh serta merta dan mungkin pengsan. Hari itu tidak ada belas kasihan. Hukuman akan dijatuhkan.

Bersiaplah ujian yang pertama menjadi penentu nasibmu seterusnya. Qadhi Rabbul Jalil yang Maha Adil itu sebenarnya mahu engkau ke Syurga namun apa boleh buat engkau lebih suka ke Neraka. DibantuNya engkau, diingatkanNya engkau dibimbingNya, diasuhNya, dididikNya dan kadang – kadang diugutNya bagi seorang ayah memarahi anaknya. Ingatkah engkau semua itu?

Allah tersangat kasih dan cinta dengan makhluk yang bernama manusia. Namun sekali lagi apa boleh buat, engkau di dunia telah lupa daratan. Kau tolak mentah – mentah dan bulat – bulat cinta yang agung itu. Sebaliknya engkau serahkan jiwa ragamu mengikut hawa nafsu dan ternyata kau gagal dan kecewa. Tewas dan kecundang sebelum sempat bertaubat. Anggapanmu meleset. Angan – anganmu panjang menjangkau usia. Dan mati akan datang tiba – tiba, tidak kira waktu, tempat dan usia. Kau menzalimi dirimu. Ah ……..malangnya engkau.

Apa lagi selepas ini yang dapat menyedarkanmu. Sesudah kau diancam dengan neraka dan diingatkan akan azab dan deritanya di sana. Seksa dan sakitnya timpa menimpa dan kekal selamanya. Masihkah kau ingat dan tentu sudah terbaca tentang ‘zaqqum’ pohon neraka itu. Buahnya itu merobek hancur segala isi perut.

Timah cair yang menghanguskan tengku dan segala – galanya, masihkah belum kau takut? Nah! Tidak ada lagi yang mungkin dapat menyedarkanmu dari lamunan nafsu yang melulu. Bila lagikah hatimu akan tersentak dan segera tersedar? Bila lagi? Cuba kamu katakan.

Kalau benar – benar kamu tidak takut dengan semua ini maka bersiaplah. Kamu dicabar, buatlah dosa dan maksiat setanding Firaun, Namrud, Abu Lahab dan mereka yang terkenal angkuhnya di dunia. Jangan jadi seperti sekarang, baik mahu juga, sedangkan kejahatan pun mahu dicuba. Jangan jadi seperti ini sikap dan pendirianmu biarlah jelas. Berterus – teranglah dalam hidup. Jangan sembunyi – sembunyi, jangan berlakon, hentikan sandiwaramu. Mulai sekarang, tunjukkan hakikat dirimu yang sebenar. Kamu dicabar jika ingin buat jahat, buat jahat betul – betul. Jalan terbuka luas. Jika ingin jadi orang mulia, mujahadahlah dari sekarang. Tidak ada konsep ‘fifty – fifty’ ( 50 – 50 ) dalam hidup. Yang hak jelas, yang batil juga jelas. Masing – masing ada kumpulan dan pengaruh tersendiri. Tentukan kedudukan dirimu dari sekarang. Jika ingin bernaung di bawah bendera yang hak, peganglah kuat – kuat dan kibarkan bendera itu ke seluruh dunia.

Sudah sampai masanya engkau membuat perubahan. Tentukan jalan hidupmu. Jika hendak ke neraka sila, tiada halangan apa – apa, ikutlah nafsu buasmu. Langgar sahaja, apa peduli, peluang hanya sekali. Kalau ingin ke syurga bersiaplah, kamu pasti diuji. Syurga yang indah dan cantik itu mahal harganya. Perlu kau bayar dengan darah dan air mata. Jiwamu itulah tebusan membeli syurga.


*Peringatan kepada diriku
Baca selanjutnya...

Kabilah Pertama Beriman Dengan Nabi

Oleh : TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT

Nabi Muhammad s.a.w. telah mendedahkan dirinya kepada orang ramai di Makkah setiap musim haji, baginda merebut peluang untuk membacakan Kitab Allah (al-Quran) di khalayak ramai dengan maksud mengajak manusia mentauhidkan Allah SWT. Tetapi dukacita tidak ada orang yang sudi menyahut seruan Nabi s.a.w.. Arab jahiliyyah menolak ajaran Nabi bukan kerana salah atau benar, sebaliknya mereka mendakwa ajaran tersebut bercanggah dengan kepercayaan yang mereka anuti dari nenek moyang mereka sejak beribu-ribu tahun.

Al-Imam Ibnu Sa'ad, seorang tokoh sejarah menyatakan dalam kitabnya berjudul Tobaqat Ibnu Sa'ad katanya; bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah melepaskan peluang pada setiap kali musim haji bagi menyampaikan dakwah Islam, Nabi s.a.w. sentiasa mengikuti para hujjaj hingga ke tempat penginapan masing-masing. Tidak ketinggalan dipasar Uqaz di mana diadakan pertandingan syair di antara kabilah-kabilah di kalangan para hujjaj, bagi mendapatkan syair-syair yang terbaik dan terindah pada tahun itu.

Di pasar Uqaz itu Nabi s.a.w. mengambil peluang berucap, merayu kepada orang ramai agar sudi membantu untuk menyekat dari sebarang gangguan, agar Nabi s.a.w. dapat menyampaikan risalah Allah SWT. Kepada mereka yang menghalang dakwah Nabi s.a.w.. Sekiranya para hujjaj itu sudi membantu Nabi maka Allah SWT menjanjikan kepada mereka balasan syurga di akhirat kelak.

Malangnya Nabi s.a.w. tidak menemui walau seorang pun dari kalangan mereka yang bersedia membantu, dan mereka tidak tertarik hati terhadap tawaran syurga. Kerana mereka tidak pernah dengar dan tidak tahu setakat mana keindahan dan kebahagiaan hidup di dalam syurga, menyebabkan mereka memandang remeh kata-kata Nabi s.a.w. itu.

Sabda Nabi s.a.w.: "Wahai manusia, katakanlah; tiada tuhan melainkan Allah, nescaya kamu sekalian akan mendapat kejayaan hidup, dengan demikian kamu semua akan dapat menguasai sekalian bangsa Arab. Sekiranya anda semua beriman dengan apa yang saya katakan ini, nescaya anda akan menjadi raja di dalam syurga.

Abu Lahab yang sentiasa mengekori Nabi s.a.w. telah mendengar semua ucapan tersebut, lantas Abu Lahab menyeru orang ramai supaya jangan mempercayai kata-kata Muhammad, kerana dia adalah seorang yang sesat dan pendusta. Demikian ujar Abu Lahab. Sesungguhnya orang ramai ketika itu bukan saja telah menolak dakwah Nabi s.a.w. secara total, bahkan mereka telah menimpakan pelbagai kesusahan kepada diri Nabi. mereka melontarkan kata-kata menghina kepada Nabi, sebagaimana Abu Lahab kata kepada Nabi s.a.w. sebagai "sesat dan pendusta." Demikianlah Imam Ibnu Saad mencatatkan dalam kitabnya Tobaqat Ibnu Saad mengenai dakwah Nabi s.a.w. di Makkah.

Selain itu, seorang tokoh sejarawan Islam, bernama Ibnu Ishaq telah menukilkan riwayat dari Zuhri katanya: Nabi s.a.w. telah pergi bertemu kaum kerabat Amir bin Sha'shaah, Nabi telah mengajak keluarga tersebut supaya kembali kepada Allah, kembali mengikuti ajaran Allah dalam setiap lapangan hidup. Nabi s.a.w. memperkenalkan dirinya sebagai seorang Rasul Allah, di samping berharap keluarga besar dari Amir bin Sha'shaah supaya dapat menjadi pelindung agar Nabi dapat melaksanakan tugas dakwah dengan lebih lancar.

Seorang dari anak cucu Amir bin Sha'shaah bernama Baikharah bin Firaz adalah orang yang mempunyai cita-cita untuk menjadi pemimpin Arab, pada pendapatnya, jika dia berbai'ah dengan Muhammad, maka peluang untuk menjadi pemimpin Arab selepas Mauhammad adalah cerah, dia telah bangun dalam majlis tersebut lalu bertanya kepada Nabi s.a.w.: Wahai Muhammad, jika aku berjanji-setia denganmu, apabila kita menang, semestinya engkau yang menjadi pemimpin. Tetapi setelah engkau tiada lagi siapakah yang akan menjadi penggantimu? Jawab Nabi s.a.w.: " Sesungguhnya perkara tersebut adalah urusan Allah.".

Demikian jawab Nabi dengan tegas, walaupun dalam saat-saat baginda memerlukan kerjasama dan bantuan dari kaum kerabat Amir bin Sha'shaah, namun Nabi tetap memberikan jawapan tegas. Apa-apa yang menjadi urusan Allah SWT, Nabi tidak akan mencampurinya. Sekiranya sokongan diberikan oleh Baikharah kepada Nabi dengan tujuan tertentu, maka Nabi s.a.w. mesti bercakap benar bahawa dia tidak akan melantik Baikharah sebagai pengganti sekalipun dia telah memberikan bai'ah kepada Nabi.

Kata Bakhairah lagi: "Jika aku membantumu ketika orang-orang Arab memusuhimu, tetapi apabila engkau menjadi orang ternama lalu jawatan penggantimu diserah kepada orang lain? Kalau begitu aku tidak berhajat untuk membantu kamu," ujar Baikharah yang memutuskan untuk tidak akan menolong Nabi s.a.w. setelah keinginan untuk menjadi orang ternama tidak tercapai.

Nabi s.a.w. sejak tahun pertama selepas menerima wahyu, sentiasa mengambil peluang untuk bertemu dengan para jamaah haji pada setiap datangnya musim haji, meskipun dakwahnya tidak pernah mendapat perhatian dari jamaah haji itu. Nabi s.a.w. tetap berbuat demikian selama satu dekad.

Pada tahun ke sebelas, Nabi s.a.w. mengorak langkah baru dengan menemui kabilah-kabilah di desa-desa dan perkampungan, pada lazimnya setiap lembah yang menjadi perkampungan itu akan dihuni oleh satu keluarga dari suku tertentu Arab.

Pada tahun ke sebelas ketika musim haji, Nabi s.a.w. pergi ke Aqabah dan telah bertemu dengan rombongan haji dari kalangan kaum Hazraj Madinah. Nabi s.a.w. bertemu dan saling berkenalan dengan mereka. Nabi juga mendapat tahu bahawa suku kaum Hazraj di Madinah terbahagi kepada dua puak, satu puak menentang Yahudi, yang bertemu dengan Nabi s.a.w. adalah mereka yang berkawan rapat dengan Yahudi.

Nabi s.a.w. duduk semajlis dengan mereka dalam keadaan ramah mesra, dan sebagaimana biasa Nabi s.a.w. mengambil peluang menyeru mereka supaya kembali kepada Allah SWT, kemudian Nabi s.a.w. membacakan ayat-ayat al-Quran yang telah diwahyukan kepada Nabi sepanjang sebelas tahun itu. Kaum Hazraj telah terbuka hati menerima seruan Nabi s.a.w. dan beriman dengan al-Quran yang dibacakan oleh Nabi s.a.w. dalam pertemuan itu.

Antara faktor yang memudahkan kaum Hazraj beriman dengan Nabi s.a.w. dan beriman dengan kitab al-Quran, ialah disebabkan pengalaman mereka bergaul dan berguru dengan orang-orang alim Yahudi ahli Kitab di Madinah. Dalam pengajian yang dihadiri oleh puak Arab suku Hazraj itu telah diberitahu tentang munculnya Nabi akhir zaman, maklumat mengenainya di dalam kitab Taurat yang diwahyukan Allah kepada Nabi Musa a.s.. Masanya telah tiba bagi kelahiran Nabi akhir zaman itu, ulama' Yahudi memberi tahu puak Hazraj, bahawa mereka akan bersama Nabi akhir zaman itu.

Puak Hazraj telah mendapat penjelasan yang sangat nyata tentang Nabi akhir zaman itu, justeru itu apabila mereka bertemu secara bersemuka dengan orang yang dimaksudkan di Aqabah itu, mereka penuh keyakinan bahawa mereka telah bertemu dengan Nabi akhir zaman seperti yang diajar oleh ulama' Yahudi di Madinah itu. Inilah kesempatan yang sebaiknya bagi mereka untuk menyatakan keimanannya yang tidak berbelah bagi kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan juga dengan kitab al-Quran yang telah dibacakan kepadanya.



Baca selanjutnya...