Sunday, January 16, 2011

Kisah Sedih - Nilai Sepuluh Ringgit

Malam. Hampir pukul 10. Seorang ayah pulang ke rumah dalam keadaan letih. Kepulangannya disambut oleh anaknya, Amin yang berusia 10 tahun. Sambil mengangkat briefcase ayahnya, Amin bertanya ayahnya.

Amin: Ayah ... ayah ... boleh Amin tanya?
Ayah: Hmmm .... nak tanya apa?
Amin: Ayah ... berapa pendapatan ayah sejam?
Ayah: Itu bukan urusan kamu, buat apa sibuk-sibuk nak tanya gaji ayah? (Si ayah mula meninggikan suara).
Amin: Maafkan Amin, ayah. Amin saja nak tahu. Kalau boleh, tolonglah beritahu Amin? kata Amin sambil tunduk kerana takut melihat ayahnya yang sedang marah.
Ayah: 20 ringgit sejam. Kenapa nak tahu? (Si ayah meninggikan suara lagi).
Amin: Oh ... 20 ringgit. (Perlahan suara Amin. Dia tunduk dan bermuka sedih).
Amin: Ayah ... boleh tak bagi Amin pinjam 10 ringgit daripada ayah? (Amin memandang muka ayahnya dengan harapan).


Si ayah mula berang dan berkata, "Oh, itu sebabnya kamu tanya pasal pendapatan ayah? Kamu nak minta duit! Nak beli mainan lagi?? Ayah penat kerja cari duit, kamu senang-senang nak membazir, ya! Sudah, pergi masuk tidur! Dah pukul berapa ni!"

Amin terdiam. Dia sedih dan hampir menitiskan air mata. Perlahan-lahan dia kembali ke biliknya. Si ayah duduk di sofa sambil memikirkan mengapa anaknya meminta duit 10 ringgit. Tidak lama kemudian, Si ayah kembali tenang dan terfikir kemungkinan besar anaknya benar-benar memerlukan duit untuk keperluan di sekolah. Sebelum ini anaknya tidak pernah meminta wang sebanyak itu.

Dengan rasa kesal dan bersalah, Si ayah melangkah menuju ke bilik anaknya. Amin masih belum tidur. "Kamu benar-benar perlukan 10 ringgit? Nah ... ambil ni."
Si ayah mengeluarkan duit merah. Amin bangun dan dengan tersenyum girang mengambil duit itu daripada ayahnya. "Terima kasih, ayah! Nanti bila Amin ada duit, Amin akan ganti."

Kemudian, Amin mengangkat bantalnya dan mengambil duit 10 ringgit yang sudah kusam dan renyuk terhimpit bantal. Apabila ternampak duit itu, si ayah kembali berang. "Kenapa kamu mintak duit lagi, sedangkan kamu dah ada duit sebanyak itu? Dari mana kamu dapat duit tu?"

Amin tunduk ... tak berani dia merenung ayahnya. Sambil menggenggam kemas duit itu, dengan linangan air mata, dia menerangkan, "Duit ni Amin kumpul. Duit belanja sekolah yang ayah bagi hari-hari. Amin minta lagi 10 ringgit sebab Amin tak cukup duit." Amin terhenti bersuara sambil teresak.

"Tak cukup duit nak beli apa?" jerkah Si ayah lagi.
"Ayah ... sekarang Amin dah ada 20 ringgit. Nah, ayah ambil duit ni. Amin nak beli sejam masa ayah di pejabat tu. Amin nak ayah balik kerja awal esok. Amin rindu nak makan malam dengan ayah. Amin rindu belaian dan suara ayah,” jelas Amin tanpa memandang wajah ayahnya.


* Tunaikanlah tanggungjawab sebagai ibubapa @ penjaga kepada anak-anak jagaan..Kasih sayang dalam keluarga amat penting dalam menjamin keluarga yang bahagia

7 comments:

  1. Saya pernah terbaca coretan ini. memang sedih kalau difikir-fikirkan.

    Sibuk mengejar hal dunia hingga terabai tanggungjawab pada anak-anak.

    Perkongsian yang menarik...

    ReplyDelete
  2. perkongsian yang menarik...itulah bayaran yang mesti dbayar oleh anak2 zamn sekarg demi kemodenan dan kemewahan y dkejar....
    anak2 terabai....bertambah masalh...kerana kekurangan kasih syg dan perhatian drpd ibu bapa

    ReplyDelete
  3. Perkongsian yang menyentuh hati...
    Saya juga pernah membaca coretan ini suatu ketika dahulu...

    Terima kasih atas perkongsia...~

    ReplyDelete
  4. pemerhati dunia>>memang sedih jika difikir2kan...orang kata "duit bukanlah segala-galanya namun untuk melakukan sesuatu memang perlukan duit"...Namun begitu janganlah kita mengabaikan tanggungjawab

    ReplyDelete
  5. missulfah>>sama2lah kita menegur anak2 remaja sekarang yang semakin leka dan lalai dengan kemaksiatan yang semakin berleluasa.Moga2 remaja sekarang dan akan datang terhindar dari dosa dan noda

    ReplyDelete
  6. hadi>>memang menyentuh hati jika dibaca dengan kefahaman yang mendalam. Sama2 berkongsi untuk kemantapan Islam. Insya Allah

    ReplyDelete
  7. Informasinya sangat menarik dan sangat membantu saya yang masih belajar ini,terkait dengan teknik dan share yang anda posting disini,saya memang belum mengetahuinya, dan merupakan ilmu baru yang sangat inspiratif buat saya, mantab dan keep spirit blogging,salam dari Tukang Marmer Tulungagung

    ReplyDelete