Wednesday, January 12, 2011

WAHAI DIRIKU ...

Assalamualaikum wr. wbt.. Entri kali ini akan membicarakan luahan hati..WAHAI DIRIKU...Entri ini sebenarnya bukanlah nukilan dan luahan aku sendiri, tetapi berada di dalam simpanan aku. Aku memohon maaf kepada pemilik asal entri ini kerana tidak memasukkan sumbernya kerana aku terlupa copy semasa mengambil artikel ini.


WAHAI DIRIKU…Jangan bermain dengan maksiat kerana ia mengotorkan hati. Hati yang kotor bagaikan cermin gelap yang sukar ditembusi cahaya. Ia terhijab daripada nur Allah swt. Padamnya pelita hati bererti hilanglah kebahagiaan hidup. Keberkatan yang diperolehi akan berlalu bagai angin yang menyapa sekali – sekala. Qadhi Rabbul Jalil yang Maha Adil itu sebenarnya mahu engkau ke syurga, namun apa yang boleh buat engkau lebih suka ke neraka. Hati yang keras dan terhijab tak akan dapat mengubah sifat lahiriah yang terbit dari dirimu. Sifat lahir berhubung rapat dengan kehendak hati. Hati yang seumpama raja itu mengawal seluruh pergerakan lahiriah manusia hatta kerlingan mata sekalipun.

Hati yang cintakan maksiat mengerahkan seluruh anggota menuju jalan maksiat. Akal akan merancang dan mengatuur strategi untuk memenuhi tuntutan hati yang jahat tadi. Mata pula mengawasi kehendak hati terlaksana. Bila anggota lain mengambil peranan maka tercetuslah kejahatan di tengah kehidupan. Menanglah nafsu tewaslah akal. Apakah hati bahagia selepas itu? Tidak, bahkan deritanya bertambah berganda – ganda. Titik noda makin membesar mengambil tempat di ruang hati. Ia bagai dedalu di atas pohon, menumpang tapi menyeksakan.

Hati yang sebegini tidak ada harganya. Ia busuk, buruk dan berulat pada pandangan mata rohani. Inilah hati yang hendak kita bawa berjumpa Tuhan.inilah hati yang kita heret ke hulu dan ke hilir. Hati inikah yang hendak kita terus simpan? Sanggupkah jasad kita menampung hati yang buruk? Sering kali kita mengeluh dan mengadu ibadah yang selalu cuai khususnya sembahyang yang selalu lalai. Pelikkah itu, sedangkan kita mengadu dan memohon dengan hati yang busuk tadi? Mana mungkin rintihan dan doa didengar dan diterima kalau lahirnya dari lebuk yang berulat itu. Cukuplah Malaikat sebagai saksi busuk dan hanyirnya bau hati yang kononya merintih itu. Jangan berpura – pura lagi. Sudah lama kau menipu diri, menipu manusia dan menipu Tuhan. Ceh! Alangkah beraninya engkau. Alangkah kejinya perbuatanmu selama ini. Berpura – pura berlakon di atas pentas dunia. Penonton – penonton pun terpukau, hairan dan takjub menyaksikan lakonan sandiwaramu. Engkau pun mengumpul peminat yang cukup ramai. Tunggulah waktu tirai akan dilabuh, tabir akan disingkap dan ketika itu hakikat dirimu akan terserlah. Engkau akan jadi seperti anjing kurap yang dihina, dihalau, dicaci dan dimaki. Terimalah habuan sumpah - seranah manusia yang kau tipu dulu.

Allah bersumpah demi kebesaran dan keagunngan kerajaanNya, tidak ada seorang pun yang akan terlepas dari Hisab dan Mahkamah Akhirat. Pesalah – pesalah itu akan dibawa dengan tangan yang bergari, dihalau bagai binatang ternak ke kandang perbicaraan. Pendakwaraya akan menyoalmu tanpa belas kasihan. Saksi – saksi memberi bukti tanpa selindung lagi. Terbelalak matamu menyaksikan sejarah hidupmu terpapar dengan terang dan jelas. Manusia ramai turt melihat aib – aibmu selama ini. Kau akan mengeletar,pucat,lumpuh serta merta dan mungkin pengsan. Hari itu tidak ada belas kasihan. Hukuman akan dijatuhkan.

Bersiaplah ujian yang pertama menjadi penentu nasibmu seterusnya. Qadhi Rabbul Jalil yang Maha Adil itu sebenarnya mahu engkau ke Syurga namun apa boleh buat engkau lebih suka ke Neraka. DibantuNya engkau, diingatkanNya engkau dibimbingNya, diasuhNya, dididikNya dan kadang – kadang diugutNya bagi seorang ayah memarahi anaknya. Ingatkah engkau semua itu?

Allah tersangat kasih dan cinta dengan makhluk yang bernama manusia. Namun sekali lagi apa boleh buat, engkau di dunia telah lupa daratan. Kau tolak mentah – mentah dan bulat – bulat cinta yang agung itu. Sebaliknya engkau serahkan jiwa ragamu mengikut hawa nafsu dan ternyata kau gagal dan kecewa. Tewas dan kecundang sebelum sempat bertaubat. Anggapanmu meleset. Angan – anganmu panjang menjangkau usia. Dan mati akan datang tiba – tiba, tidak kira waktu, tempat dan usia. Kau menzalimi dirimu. Ah ……..malangnya engkau.

Apa lagi selepas ini yang dapat menyedarkanmu. Sesudah kau diancam dengan neraka dan diingatkan akan azab dan deritanya di sana. Seksa dan sakitnya timpa menimpa dan kekal selamanya. Masihkah kau ingat dan tentu sudah terbaca tentang ‘zaqqum’ pohon neraka itu. Buahnya itu merobek hancur segala isi perut.

Timah cair yang menghanguskan tengku dan segala – galanya, masihkah belum kau takut? Nah! Tidak ada lagi yang mungkin dapat menyedarkanmu dari lamunan nafsu yang melulu. Bila lagikah hatimu akan tersentak dan segera tersedar? Bila lagi? Cuba kamu katakan.

Kalau benar – benar kamu tidak takut dengan semua ini maka bersiaplah. Kamu dicabar, buatlah dosa dan maksiat setanding Firaun, Namrud, Abu Lahab dan mereka yang terkenal angkuhnya di dunia. Jangan jadi seperti sekarang, baik mahu juga, sedangkan kejahatan pun mahu dicuba. Jangan jadi seperti ini sikap dan pendirianmu biarlah jelas. Berterus – teranglah dalam hidup. Jangan sembunyi – sembunyi, jangan berlakon, hentikan sandiwaramu. Mulai sekarang, tunjukkan hakikat dirimu yang sebenar. Kamu dicabar jika ingin buat jahat, buat jahat betul – betul. Jalan terbuka luas. Jika ingin jadi orang mulia, mujahadahlah dari sekarang. Tidak ada konsep ‘fifty – fifty’ ( 50 – 50 ) dalam hidup. Yang hak jelas, yang batil juga jelas. Masing – masing ada kumpulan dan pengaruh tersendiri. Tentukan kedudukan dirimu dari sekarang. Jika ingin bernaung di bawah bendera yang hak, peganglah kuat – kuat dan kibarkan bendera itu ke seluruh dunia.

Sudah sampai masanya engkau membuat perubahan. Tentukan jalan hidupmu. Jika hendak ke neraka sila, tiada halangan apa – apa, ikutlah nafsu buasmu. Langgar sahaja, apa peduli, peluang hanya sekali. Kalau ingin ke syurga bersiaplah, kamu pasti diuji. Syurga yang indah dan cantik itu mahal harganya. Perlu kau bayar dengan darah dan air mata. Jiwamu itulah tebusan membeli syurga.


*Peringatan kepada diriku

1 comment: