Sunday, October 31, 2010

KeLaNTaN JuArA BaRu


KETUA pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin bersama rakan sepasukan menjulang Piala Malaysia selepas mengalahkan Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Turut kelihatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri), Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kanan). – MINGGUAN/IDZHAM JAAFAR


KUALA LUMPUR – Sejarah tercipta dan dendam terbalas, malah temasya besar berhak dirayakan oleh Kelantan apabila menjulang anugerah berprestij bola sepak negara, Piala Malaysia buat kali pertama setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir edisi ke-44, semalam.

Malah Wira Merah mengakhiri penantian yang sekian lama selepas dihampakan dalam perlawanan akhir 1955, 1970 dan tahun lalu sekali gus mengekori Perak, Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan sebagai 11 negeri pemilik Piala Malaysia sejak 1967.

Gegak gempita sorakan serta dentuman mercun melanda Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menyambut kejayaan skuad bimbingan B. Sathianathan menebus kehampaan 3-1 kepada lawan dan di gelanggang sama tahun lalu, hasil jaringan Hairuddin Omar dan Badri Radzi.

Sebaliknya Negeri Sembilan terlepas peluang untuk merangkul gelaran berganda musim ini selepas Piala FA, April lalu biarpun mengejutkan lawan dengan sepakan penalti penyerang bidan terjun, Shahurain Abu Samah pada babak pertama.

Malah mereka mampu mendahului lebih awal andainya penyerangnya, Idris Karim lebih kuat menyepak umpanan lambung S. Kunanlan dari sebelah kanan, ketika cuma berdepan Khairul Fahmi Che Mat, yang sempat menyambut tolakannya pada minit keenam.

Dalam satu serangan balas pantas yang dilancarkan Kunanlan minit ke-12, Kelantan tergamam sehingga penjaga golnya, Khairul Fahmi terpaksa membentes sayap kanan Negeri Sembilan dan menghadiahkan sepakan penalti buat juara bertahan.

Biarpun diarahkan pengadil Subkhiddin Salleh supaya mengambil semula sepakan penalti yang berjaya disudahi, Shahurain Abu Samah tetap tenang menolak ke kiri gawang Kelantan untuk mencipta gol pembukaan Si Rusa, seminit kemudian.

Namun, Si Kijang masih tidak mahu mengalah, setelah rembatan jauh Zairul Fitree Ishak tersasar tinggi pada minit ke-11, Badri Radzi pula terlepas menyamakan kedudukan apabila rembatannya sempat disekat bek tengah lawan, Shukor Adan pada minit ke-35.

Enam minit kemudian menyaksikan kehampaan berterusan Idris gara-gara dipersalahkan pengadil ketika cuba menyambut umpanan lambung Ching Hong Aik dengan tandukan walaupun, hanya perlu mengatasi Khairul Fahmi yang sempat mendakap bola.

Tiga minit masa kecederaan turut merakamkan kegagalan percubaan sayap kanan Wira Merah, Nor Farhan Muhammad dalam kotak penalti sementara rembatan jauh ketua pasukan Indra Putra Mahayuddin pula berjaya ditepis penjaga gol Si Rusa, Sani Anuar Kamsani.

Dalam dua minit babak kedua bersambung, Kelantan kian garang memburu gol penyamaan, namun kedua-dua percubaan Badri dan Hairuddin Omar sekadar mencemaskan Sani Anuar tetapi belum dapat menembusi kubu terakhir pasukan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu.

Gol penyamaan idaman Wira Merah tiba juga pada minit ke-57 hasil umpanan lambung Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan yang cukup tepat disudahi dengan tandukan kencang Hairuddin tanpa mampu digapai Sani Anuar lagi.

Bersemangat tinggi dengan gol itu, Kelantan mengasak lagi, lalu Badri menggembirakan dan menghadiahkan majoriti hadirin Stadium Nasional yang membentuk Lautan Merah dengan jaringan kedua minit ke-64 setelah mendapat lorongan Nor Farhan dari belakangnya.

Wira Merah beroleh satu lagi peluang keemasan setelah penyerang gantian, Akmal Rizal Rakhli dikasari Alif Shamsuddin tetapi sepakan bebas Indra Putra menghampakan pasukan dan peminat mereka kerana melewati palang gol pada minit ke-83.

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Daudsu Jamaludin (Akmal Rizal Rakhli), Farisham Ismail, Rizal Fahmi Rosid, Zairul Fitree Ishak, Nor Farhan Muhammad, Badri Radzi, Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha (S. Chanturu), Hairuddin Omar.

NEGERI SEMBILAN: Sani Anuar Kamsani, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, Shukor Adan, Aidil Zafuan Radzak (Firdaus Azizul), Ching Hong Aik (Asyraf Al Japri), Alif Shamsuddin, Idris Karim, Halim Zainal, S. Kunanlan, Shahurain Abu Samah, Qhairul Anwar Roslaini (Shaffik Rahman).

Baca selanjutnya...

Monday, October 25, 2010

Politik Mengikut Manhaj al-Quran & as-Sunnah

KENAPA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?

Kerana kedua-duanya adalah sumber rujukan muktamad bagi umat Islam. Seorang muslim sebenar ialah yang berpegang-teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah dalam segenap aspek kehidupannya termasuk dalam aspek politik. Merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah adalah wajib. Allah berfirman;

”Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuknya kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) Rasul jika kamu bena-benarr beriman kepada Allah dan hari akhirat. Tindakan demikian adalah paling baik (bagi kamu) dan paling elok akibatnya” (Surah an-Nisa’, ayat 59).

Kedua-dua al-Quran dan as-Sunnah adalah penyelamat kaum muslimin dari kesesatan. Rasulullah s.a.w. bersabda;

“Sesungguhnya telah aku tinggalkan kepada kamu sekelian rujukan yang jika kamu perpegang-teguh dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”.(Hadis soheh, riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Lihat hadis ini dalam kitab al-Muntaqa Min Kitab at-Targhib Wa at-Tarhib, Dr. Yusof Al-Qardhawi, m.s. 111.).

APAKAH ADA AJARAN POLITIK DI DALAM AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?

Ya. (Pertama) kerana kitab al-Quran adalah kitab yang syumul. Firman Allah; ”Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran sebagai penjelasan bagi segala perkara”. (Surah an-Nahl, ayat 89). Maksud syumul ialah lengkap, menyeluruh dan sempurna. Jika kita beriktiqad bahawa tidak ada politik di dalam al-Quran, maka kita telah menafikan kesyumulan al-Quran dan iktiqad ini bertentangan dengan ayat tersebut. (Kedua) Jika kita membuka al-Quran, kita akan berjumpa dengan ayat-ayat Allah yang mewajibkan kita melaksanakan Syari’at Allah sepenuhnya, menjauhi kezaliman, menegakkan keadilan, melaksanakan hukum-hukum Jenayah Islam (hudud), membenteras riba, judi, arak dan maksiat, mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran di mana semua tuntutan ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik atau pemerintahan. (Ketiga) Berpolitik adalah sunnah Nabi s.a.w.. Nabi Muhammad s.a.w. telah menjadi Ketua Negara selama 11 tahun di Madinah. Sepanjang 11 tahun tersebut, baginda tidak memerintah rakyatnya melainkan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Selepas kewafatannya, kepimpinan baginda diganti pula oleh Khulafak Rasyidin. Mereka mengganti baginda sebagai Ketua Negara, bukan sebagai Ketua Agama. Jika politik bukan dari agama, sudah tentu Nabi Muhammad s.a.w. dan Khulafak Rasyidin tidak akan melibatkan diri dengan politik, sebaliknya menumpukan hal-hal agama dan kerohanian sahaja.

APA HUKUM ORANG YANG BERKATA; ”POLITIK SUKU, AGAMA SUKU”?

Ucapan tersebut bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Ucapan itu cuba menafikan kesyumulan ajaran Islam yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuklah aspek politik. Ia juga bercanggah dengan Sunnah Nabi s.a.w. yang berpolitik semasa hayatnya. Orang yang mengeluarkan ucapan tersebut adalah jelas berfahaman Sekular. Jika ia seorang pemimpin, wajib umat Islam menolak pemimpin sepertinya. Dalam pengundian, haram ke atas umat Islam mengundinya. Jika ucapan tersebut menjadi pegangan sebuah Parti Politik, haram umat Islam menyertai Parti tersebut dan menyokongnya. Fahaman Sekular (termasuklah dalam aspek politik) telah disepakati oleh sekelian ulamak Islam hari ini sebagai haram, sesat bertentangan dengan Aqidah Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah.

ADAKAH POLITIK SATU IBADAH?

Ya, politik akan menjadi sebahagian dari ibadah jika cara jika cara kita berpolitik adalah mengikut manhaj al-Quran dan as-Sunnah. Jika tidak mengikut al-Quran dan as-Sunnah, maka politik kita tidak akan menjadi ibadah, malah berdosa kerana kita mengenepikan Syariat Allah. Menurut sekelian ulamak; setiap perbuatan kita akan menjadi ibadah jika memenuhi dua syarat; (pertama) dilakukan kerana Allah, (kedua) mengikut Syari’at Allah (yakni al-Quran dan as-Sunnah). Jika kita berpolitik kerana Allah dan semasa berpolitik kita mematuhi Syariat Allah (antaranya tidak memberi dan menerima rasuah politik yang berleluasa hari ini), maka politik kita adalah ibadah dan mendapat pahala.

BAGAIMANA YANG DIKATAKAN BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AS-SUNNAH?

Iaitu dengan kita menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan kita dalam berpolitik. (Pertama) Dari sudut tujuan dan matlamat kita berpolitik, hendaklah selari dengan matlamat politik al-Quran dan as-Sunnah. (Kedua) Dalam melantik pemimpin, hendaklah kita melantik pemimpin yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. (Ketiga) Seorang pemimpin apabila telah dilantik, wajiblah ia memimpin rakyatnya berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. (Keempat) Rakyat hendaklah sentiasa memuhasabah pemimpinnya dengan menilainya berpandukan kehendak al-Quran dan as-Sunnah. (Kelima) Kedua-dua pemimpin dan rakyat hendaklah menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan.

APAKAH MATLAMAT BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?

Iaitu untuk menegakkan Syari’at Allah (yakni peraturan dan hukum-hakam Allah) di dalam negara dan memimpin rakyat berdasarkan Syari’at tersebut. Dalam pengertian yang lain, untuk menegakkan sebuah kerajaan yang melaksanakan Syari’at Islam. Matlamat ini menepati tugas Khalifah (penguasa) yang ditegaskan Allah kepada Nabi Daud di dalam al-Quran;

“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah (penguasa) di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum Syari’at) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah kamu menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah”. (Shad; 26)

KENAPAKAH MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH AMAT PENTING DI DALAM NEGARA?

Agar negara kita sentiasa dijaga oleh dilimpahi barakah oleh Allah. Negara yang diberkati Allah ialah negara yang penduduknya bertakwa dan makna takwa ialah mematuhi perintah Allah (yakni Syari’atNya) dan menjauhi maksiat serta munkar. Firman Allah;

”Sekiranya penduduk suatu negeri atau negara itu, mereka beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu kurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi, akan tetapi mereka mendustakan (ajaran Rasul kami), maka Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (al-A’raf; 96)

APA AKIBAT PENGABAIAN HUKUM SYARIAT DI DALAM NEGARA?

Pengabaian Syari’at Allah yang berterusan menyebabkan kita berdosa kepada Allah. Di dalam al-Quran, Allah telah memperingatkan kita bahawa kehancuran umat-umat terdahulu adalah kerana dosa-dosa yang mereka lakukan walaupun negara mereka makmur dan mewah. Firman Allah;

“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi-generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka karena dosa mereka sendiri, dan kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain”. (al-An’am; 6)

Kebinasan dari Allah tidak semestinya dalam bentuk gempa bumi, ribut taufan, penyakit dan sebagainya. Ia boleh berlaku dalam bentuk keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah, tekanan hidup yang melampau, porak-perandanya institusi keluarga dan pelbagai lagi musibah maknawi yang merosakkan ketenteraman hidup walaupun kita selesa dan mewah dari sudut kebendaan. Hari ini kita sedang berhadapan dengan bibit-bibit kebinasaan dalam bentuk yang kedua tersebut. Jika kita lambat menyedari kesilapan kita dan lambat kembali kepada Allah, tidak mustahil kita akan melihat kebinasaan yang lebih teruk dalam masyarakat kita.

KENAPAKAH PERLU KUASA POLITIK UNTUK MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH?

Kerana Syari’at Islam bukan sahaja menyentuh hal-ehwal peribadi dan rohani (seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya), tetapi juga menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara seperti membenteras kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, pengharaman riba, arak, judi, penzinaan, perlaksanaan hudud (hukuman bagi pencuri, penzina, perompak yang disebut di dalam al-Quran dan sebagainya) dan mencegah maksiat dan kemungkaran yang amat dititik-beratkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Hukum-hakam yang menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara di atas mustahil dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik. Hari ini kita melihat dalam negara kita maksiat dan munkar berleluasa (ada di antaranya diluluskan oleh undang-undang), tv dan media masa tidak terkawal mengikut Syariat Islam, perlembagaan negara tidak mengikut prinsip al-Quran, undang-undang negara juga tidak berdasarkan Syari’at Islam (termasuk dalam hal jenayah) dan pemimpin-pemimpin juga tidak mengikut akhlak Islam (rasuah, pecah amanah, hidup bermewah-mewah, membazir). Kenapa hal ini berlaku? Jawapannya kerana pemerintahan negara kita hari ini tidak tertegak atas dasar politik Islam, iaitu politik yang bermatlamatkan untuk menegakkan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam.

BENARKAH ALLAH MEMERINTAHKAN NABI MUHAMMAD S..A.W. SUPAYA BERDOA MEMOHON KUASA POLITIK?

Ya. Kerana pentingnya kuasa politik untuk melaksanakan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam, maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. agar berdoa memohon diberikan kuasa. Allah berfirman;

“Dan pohonkanlah (wahai Muhammad dengan berdoa): wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku”. (al-Isra’; 80)

Menurut ulamak-ulamak Tafsir (antaranya Imam Qatadah, Ibnu Jarir dan Ibnu Katsir), Allah menyuruh Nabi Muhammad memohon kekuasaan kerana hanya dengan kekuasaan baginda akan dapat melaksanakan Kitab Allah, hudud-hududNya, perkara-perkara yang difardhukanNya dan membantu menegakkan agama Allah. (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Isra’, ayat 80)
Baca selanjutnya...

Khutbah Abu Bakkar As-Siddiq

(Panduan untuk siapa yang ingin jadi pemimpin)

Bahagialah rakyat jika memiliki pemimpin yang soleh, takutkan Allah dan tahu kewajipan terhadap rakyat. Namun jika sebaliknya yang mereka perolehi, sengsaralah hidup mereka. Islam adalah agama politik dan pemerintahan, sebagaimana ia juga agama aqidah, ibadah dan kekeluargaan. Islam tidak hanya ingin melahirkan ahli ibadah (‘abid) dan ahli ilmu (‘alim atau ulama’), tetapi juga ingin melahirkan ahli politik dan pemerintah mengikut acuan wahyu dan hidayah Allah. Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi lambang kesempurnaan agama Islam, kecemerlangan sakhsiah baginda bukan pada ibadah dan akhlaknya sahaja, tetapi juga pada keadilan dan kebijaksanaannya dalam politik dan pemerintahan.

Islam ingin melahirkan pemimpin yang bukan sekadar berjiwa rakyat tetapi lebih dari itu ia mampu membimbing rakyatnya. Ia mengetahui dengan baik landasan mana yang harus dikutinya selama ia memerintah rakyatnya. Dalam setiap keputusannya, dipastikan untuk kemaslahatan rakyat, bukan diri sendiri. Ia menyedari di bawahnya adalah rakyatnya dan di atasnya adalah Tuhannya yang sentiasa memerhati dan menghisab segala tindak-tanduk serta perlakuannya. Pemimpin yang memiliki ciri dan akhlak sebegini bukan hanya menjadi suatu idea di dalam Islam, malah Islam telah melahirkannya ke alam realiti. Contoh terunggul ialah Nabi Muhammad s.a.w.. Selain baginda ialah Saidina Abu Bakar r.a., khalifah pertama di dalam Islam. Keperibadian Abu Bakar sebagai pemimpin Islam sejati dapat dilihat dari awal lagi dalam pidato sulungnya sebaik diangkat menjadi Khalifah.

Ibnu Sa’ad meriwayatkan dalam Tabaqatnya; “Semasa Abu Bakar diangkat menjadi Khalifah, beliau berpidato di hadapan rakyatnya. Setelah bertahmid kepada Allah dan memuji kebesaranNya, beliau berkata; “Wahai sekelian manusia! Aku telah diangkat untuk menguruskan urusan kamu sedangkan aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Namun al-Quran telah turun kepada kita dan Nabi Muhammad s.a.w. telah meninggalkan sunnahnya untuk kita di mana dia telah mengajarnya kepada kita sehingga kita mengetahuinya. Sedarilah bahawa sebaik-baik kebijaksanaan ialah takwa dan sebodoh-bodoh kebodohan ialah fujur (dosa dan maksiat). Sesungguhnya bagiku orang yang lemah adalah paling kuat di kalangan kamu kerana aku akan membantunya untuk mengembalikan haknya (yang dirampas oleh orang lain). Sementara yang kuat pula bagiku adalah paling lemah kerana aku akan mengambil darinya hak (orang lain yang dirampasnya). Wahai sekelian manusia! Aku adalah pengikut (ajaran Nabi s.a.w.), bukan pembid’ah (yakni yang mereka-reka ajaran baru). Maka jika aku berbuat baik, bantulah aku dan jika aku tersesat, betulkanlah aku”. (Thabaqat Ibnu Sa’ad, bab Zikr Bai’ati Abi Bakr)

Perhatikan bagaimana Abu Bakar telah menggariskan dasar-dasar bagi pemerintahannya dalam ungkapan yang begitu ringkas. Tidak banyak perkataan yang digunakan, namun pengertiannya amat luas dan mendalam. Abu Bakar memulakan pidatonya dengan merendah diri kepada rakyatnya. Walaupun berada di jawatan tertinggi dalam Negara, ia merasakan dirinya bukanlah yang terbaik. Begitulah seharusnya seorang pemimpin. Perlu ada perasaan rendah diri kerana dengan perasaan itulah Allah akan membantunya dan ia akan disayangi rakyat. Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa merendah diri kerana Allah, Allah akan mengangkatnya”.[1] Diriwayatkan juga dari baginda; “Rendah dirilah kepada manusia, duduklah bersama orang-orang miskin, nescaya kamu akan menjadi orang-orang besar di sisi Allah dan kamu akan keluar dari perasaan takbur”.[2]

Perasaan rendah diri bukan bertujuan menzahirkan kelemahan diri di hadapan rakyat. Akan tetapi untuk meraih simpati rakyat agar dapat bersama mencari kekuatan untuk membina Negara. Kerana itu, Abu Bakar menegaskan; “Aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu, namun al-Quran telah turun kepada kita dan Nabi Muhammad s.a.w. telah meninggalkan sunnahnya untuk kita di mana dia telah mengajarnya kepada kita sehingga kita mengetahuinya”. Bagi Saidina Abu Bakar, al-Quran dan as-Sunnah adalah sumber kekuatan bagi beliau untuk memimpin rakyatnya. Kerana itu, walaupun berasa diri lemah tetapi beliau yakin dengan kekuatan wahyu al-Quran dan ilmu as-Sunnah yang diwarisi dari Nabi Muhammad s.a.w.. Wahyu al-Quran dan ilmu as-Sunnah inilah yang menjadi titik kesatuan antara beliau dan rakyatnya dan dari titik kesatuan itulah beliau yakin akan mendapat dokongan penuh dari rakyatnya untuk menerajui Negara.

Seterusnya Abu Bakar menjelaskan dasar-dasar kepimpinannya kepada rakyatnya;

Pertama; Dasar yang digunakan dalam menilai rakyat. Abu Bakar menegaskan kepada sekelian rakyatnya bahawa beliau menilai mereka berdasarkan ketaatan kepada Allah, bukan pangkat, keturunan, harta dan sebagainya. Baginya, rakyat terbaik ialah yang paling tinggi takwanya. Jelas sekali beliau menghayati prinsip al-Quran yang menegaskan; “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling tinggi taqwanya di antara kamu” (Surah al-Hujurat, ayat 13). Berdasarkan prinsip ini, para ulamak menegaskan; “Sebarang jawatan dalam kerajaan Islam sama ada berkaitan dengan kehakiman, kementerian, pentadbiran atau sebagainya tidak harus diserahkan kepada mana-mana orang melainkan yang memenuhi syarat-syarat berikut:[3]
1. Mempunyai keimanan dan ketakwaan.
2. Mempunyai kelayakan ilmu berkaitan jawatan yang hendak diisi.
3. Ia tidak melobi untuk mendapatkannya kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Sesungguhnya kami demi Allah tidak akan menyerahkan kerja ini kepada seseorang yang memintanya atau bercita-cita ke atasnya”.[4]

Kedua; Dasar keadilan dan kesaksamaan untuk rakyat. Saidina Abu Bakar meletakkan satu prinsip yang tegas berhubung keadilan dan kesaksamaan di antara rakyatnya. Beliau seolah-olah memberi amaran; jangan ada sesiapa pun di kalangan rakyatnya yang cuba menindas orang lain kerana beliau pasti akan menggunakan kuasanya –sebagai pemimpin- untuk membela orang tertindas itu. Dirinya diletakkan sebagai pengimbang antara rakyatnya yang kaya dan yang miskin, antara yang menindas dan yang ditindas. Rakyat yang dizalimi akan dibela sehingga ia menjadi kuat di tengah masyarakat dengan pengaruh khalifah. Sementara yang menzalimi pula akan dikekang dan diancam sehingga pengaruhnya menjadi lemah kerana ditenggelamkan oleh kuasa khalifah.

Ketiga; Dasar pemimpin berperlembagaan, yang tertakluk dengan undang-undang Syarak. Di dalam ucapannya tadi, Saidina Abu menegaskan; “Aku adalah pengikut (ajaran Nabi s.a.w.), bukan pembid’ah (yakni yang mereka-reka ajaran baru)”. Saidina Abu Bakar ingin memberitahu rakyatnya bahawa; walaupun berada di kedudukan paling atas dalam Negara, beliau tetap terikat dengan undang-undang Syari’at yang ditinggalkan Nabi Muhammad s.a.w.. Sebagai pemimpin Islam, beliau menyedari bahawa tanggungjawab beliau ialah meneruskan kesinambungan politik Islam yang dipelopori oleh Nabi Muhammad s.a.w., bukan membawa ajaran politik baru yang berlawanan dengan sunnah baginda. Kerana itu, beliau meminta rakyatnya agar mengawasinya. Beliau berpesan kepada mereka; “Jika aku berbuat baik, bantulah aku dan jika aku tersesat, betulkanlah aku”.

Kepada pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini, kita nasihatkan; jadikanlah pidato Saidina Abu Bakar di atas sebagai panduan dalam pemerintahan. Jika kamu berlaku adil, kamu akan disanjung dan dikasihi oleh rakyat sebagaimana Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Umar dan pemimpin-pemimpin soleh yang lain. Namun jika kamu zalim dan menyeleweng, kamu akan menjadi seperti Fir’aun, Namrud dan sebagainya yang dicela dan dicaci rakyat.

Nota Kaki;

[1] HR Abu Nu’aim dalam al-Hilyah dari Abu Hurairah r.a., kata as-Suyuti; hasan (al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 8605).
[2] HR Abu Nu’aim dari Ibnu ‘Umar r.a. (al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 3380. Menurut Syeikh Nasiruddin al-Albani; hadis ini dhaif).
[3] Lihat: Ad-Dustur Al-Islami, Abu Bakar al-Jazairi, m.s 19-20, cet. Al-Maktab Al-Islami Damsyik/Beirut (1391H))

Baca selanjutnya...

Saturday, October 23, 2010

Kelantan, NS ulangi final



KUALA LUMPUR - Bagaikan ulangan perlawanan akhir tahun lalu, Kelantan dan Negeri Sembilan sekali lagi bertemu pada pentas akhir bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia edisi ke-84 di Stadium Bukit Jalil, 30 Oktober ini.

Jaringan tunggal daripada pemain kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-78 ekoran kesilapan penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Elias sudah cukup buat skuad Red Warriors menyingkirkan Kedah dalam aksi di Stadium Sultan Muhammed IV.

Gol tersebut membawa Kelantan ke pentas perlawanan akhir untuk dua musim berturut-turut menyebabkan stadium bertukar menjadi gegak gempita dengan sorakan padu lebih 20,000 penyokong fanatik tuan rumah.

Kehadiran semula Norshahrul dalam kesebelasan utama Kelantan ternyata membawa masalah kepada pasukan pelawat apabila merencanakan hampir setiap serangan Red Warriors.

Norshahrul hanya memerlukan tempoh empat minit untuk menguji gawang Kedah, namun percubaannya pada minit ke dua terkena tiang gol sebelum satu lagi rembatan kaki kirinya melebih palang gol, Mohd. Helmi Eliza Elias.

Percubaan pertama Kedah hadir seawal minit ke-11 melalui Mohd. Faizal Abu Bakar, namun sepakan leret diambilnya singgah di sebelah kanan gawang penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Selepas asakan bertali arus, Norshahrul akhirnya menjadi pemusnah apabila sepakan sudut yang diambilnya melencong masuk ke dalam gawang dan gagal dibaca dengan baik oleh Mohd. Helmi yang tertumbuk ke dalam gawang sendiri.

''Kemenangan ini saya hadiahkan kepada semua penyokong setia Kelantan yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada kami.

''Mungkin ketiadaan saya dalam dua perlawanan ekoran penggantungan memberikan kelebihan kepada saya untuk beraksi baik membantu Kelantan mendapatkan gol,'' katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, Negeri Sembilan bangkit menebus maruahnya yang tercalar di Paroi minggu lalu untuk mengatasi Johor FC 2-0 di gelanggang lawan apabila mara dengan kelebihan agregat 2-1.

Kemenangan itu melayakkan pasukan Negeri Sembilan ke Bukit Jalil buat kali kedua berturut-turut sekali gus menghancurkan harapan Sang Lebah untuk beraksi buat pertama kali.

Jaringan pertama disumbangkan oleh Mohd. Shukor Adan pada minit ke-36 melalui satu tandukan yang menerjah gawang lawan.

Gol kedua dijaringkan oleh Shahurain Abu Samah pada minit ke-60 separuh masa kedua melalui tendangan penalti selepas S. Kunalan dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Skuad Lebah semakin hilang punca apabila pemain pertahanan mereka, Mohamad Izuan Jarudin dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua.

Perlawanan juga tergendala selama dua minit pada minit ke-84 apabila penyokong tuan rumah membaling botol ke dalam padang gara-gara membantah keputusan pengadil, namun pasukan keselamatan dapat mengawal keadaan.

Baca selanjutnya...

Tengku Mahkota Rasmi Penutup Sukan Air Antarabangsa

KOTA BHARU, 19 Okt: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra diberi penghormatan untuk merasmikan majlis penutup Sukan Air Antarabangsa Kelantan 2010 pada 30 Oktober ini.

Sehari selepas diisytihar sebagai Tengku Mahkota Kelantan, oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V di Istana Negeri tengah hari semalam, baginda diberi penghormatan untuk merasmikan majlis penutup itu.

Sukan air berkenaan diadakan sempena 20 tahun pentadbiran kerajaan Kelantan yang bermula 28 hingga 30 Oktober bertempat di Dataran Sireh, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata majlis perasmian penutup itu bermula 4.30 petang.

“Alhamdulillah, ini merupakan program pertama Tengku Muhammad Fa-iz sehari selepas diisytihar sebagai Tengku Mahkota Kelantan,” ujarnya pada sidang media di Bilik Mesyuarat TIC, di sini hari ini.

Sementara itu, setiap peserta yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara sempena pesta sukan itu bakal membawa pulang RM5,000, RM3,000 dan RM2,000 bagi tempat pertama, kedua dan ketiga.

Menurutnya, sebanyak RM50,000 diperuntukkan oleh penganjur untuk peserta sempena program yang julungkali pernah diadakan itu.

Takiyuddin seterusnya memberitahu, sebanyak empat acara yang dipertandingkan antaranya pertandingan perahu panjang Kelantan, pertandingan jet ski antarabangsa, pertandingan memanjat tiang licin.

Menurutnya, sebahagian acara yang bakal dipertandingkan turut mendapat penyertaan peserta luar negara seperti dari Indonesia, Thailand dan Brunei.

“Insya Allah, kerajaan negeri akan menjadikan program ini sebagai acara tahunan.

“Kita juga menjangkakan jumlah pelancong akan bertambah tahun ini khususnya sempena program Sukan Air Antarabangsa Kelantan 2010,” ujarnya.
Baca selanjutnya...

Friday, October 22, 2010

TerJemaHaN HaDitH sHaHiH BuKhaRi



1) Dari Umar al-Khattab r.a. , katanya. Beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah SWT dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan baraangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehinya atau kerana wanita yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya, untuk apa dia hijrah".





Baca selanjutnya...

Thursday, October 21, 2010

20 TAHUN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

OLEH : TUAN GURU DATO' BANTERA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

UCAPAN SEMPENA MAJLIS : SAMBUTAN 20 TAHUN PENTADBIRAN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM NEGERI KELANTAN

Pada 12 Zulkaedah 1431 bersamaan 20 Oktober 2010, jam 9.00 malam di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu.

Firman Allah SWT, (Surah Al Hasyr Ayat 18) bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri, melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). (Sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha meliputi pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”

Alhamdulillah segala syukur dan pujian itu hanya bagi Allah S.W.T., selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga baginda serta sekalian sahabat dan pendukung perjuangan baginda.

Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V, Al-Sultan bagi Negeri Kelantan Darulnaim.

Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.

Di kesempatan yang bermakna ini, patik bagi pihak diri patik dan seluruh warga pentadbiran Negeri Kelantan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih diatas kesudian Tuanku, untuk berangkat mencemar duli, merasmikan Majlis Sambutan 20 Tahun Pentadbrian Membangun Bersama Islam, pada malam yang penuh berbahagia ini. Semoga dengan keberangkatan Tuanku menambahkan keserian majlis ini. Harapan patik, agar Tuanku sentiasa dilimpahkan keberkatan oleh Allah S.W.T. di dunia dan di akhirat.

Untuk pengetahuan Tuanku, pada hari ini, 20 Oktober 2010 genaplah dua dekad atau 20 tahun Kerajaan Negeri Kelantan diterajui dengan dasar Membangun Bersama Islam. Alhamdulillah, dan segala puji bagi Allah S.W.T. yang telah memberikan kekuatan kepada patik dan seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri, untuk terus cekal, mengharungi segala pahit-maung yang ditempuhi selama menerajui kerajaan ini. Semoga dengan limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, menambahkan lagi kekuatan bagi patik sekalian, untuk terus memikul amanah, yang telah dipertanggungjawabkan ini.

Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.

Sekali lagi patik merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tuanku, diatas kesudian berangkat mencemar duli, hadir ke majlis ini. Semoga dengan kehadiran Tuanku, bertambahlah kasih dan sayang rakyat Kelantan, khususnya, dan akan sentiasa mengutuskan doa, agar Kerajaan Tuanku disirami rahmat oleh Allah S.W.T., Patik mohon izin limpah perkenan Tuanku, untuk menyampaikan kata-kata pesanan kepada pacal rakyat sekalian.

Sesungguhnya ingat mengingati dan tegur menegur adalah merupakan kerja agama. Al-Quranul karim menggunakan pelbagai bahasa bertujuan untuk menegur manusia. Ada yang dimulakan dengan berkataan “wa iz” iaitu ingatlah olehmu. Ada yang terang-terang menggunakan “Wazkur” Atau “wazakkirhum”. Demikian juga Al-Quran itu sendiri dinamakan dengan tazkirah menunjukkan bahawa ingat memperingati adalah merupakan salah satu daripada ajaran agama. Justeru, apa yang kita lakukan pada hari ini iaitu mengingati dua puluh tahun Kelantan Membangun Bersama Islam adalah kerja agama. Ia bukan dilakukan hanya sekadar untuk bersuka-suka semata-mata.

Dua puluh tahun yang lampau, pada tarikh ini 20 Oktober, rakyat Kelantan telah membuat keputusan yang terpahat selama-lamanya di dalam sejarah. Pilihan yang termaktub lewat Pilihan Raya Umum pada tahun 1990 telah menjadi bahan perhatian bukan sahaja di seluruh negara bahkan seluruh dunia. Bolehkah sebuah negeri, ditadbir dengan dasar-dasar Islam? Lebih jauh lagi, bolehkah dasar yang diperkenalkan, iaitu Membangun Bersama Islam, dapat diterima di dalam sebuah masyarakat majmuk?

Persoalan demi persoalan muncul, bukan sahaja di kalangan non muslim. Bahkan umat Islam sendiri pun, yang tidak memahami dengan baik dasar-dasar pentadbiran secara Islam, mempertikaikan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan, pada masa itu. Segala pujian bagi Allah S.W.T. tempoh tiga bulan yang diberikan sesetengah pihak, berjaya kita lalui, bulan demi bulan, tahun demi tahun, kita berdepan dengan tekanan yang tidak menghormati amalan demokrasi dan federalisme. Dan hari ini Alhamdulillah, Membangun Bersama Islam sebagai dasar utama pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan, kini sudah berusia 20 tahun.

Memerintah dan mentadbir negara, pada hakikatnya termasuk di dalam urusan agama. Ini dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W. sendiri yang juga merupakan Perdana Menteri Negara Islam Pertama berpusat di Madinah Al-Munawarrah telah setiap hari mengurus tadbir urusan negara. Ini sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pentadbiran negara, ialah urusan yang berasingan dengan agama. Rasulullah S.A.W. telah membuat perjanjian bertulis dengan musuh tradisi iaitu Yahudi di Madinah. Baginda juga turut mengirim surat-surat kepada Raja-Raja yang ada di sekitar Semenanjung Arab serta mempunyai cop mohornya sendiri. Ini menunjukkan asas-asas pentadbiran negara telah diletakkan oleh baginda.

Kita menyaksikan bagaimana usia dakwah Rasulullah S.A.W. ialah selama dua puluh tiga tahun; tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah. Tempoh yang begitu panjang ini, sangatlah mustahil dijadikan oleh Allah S.W.T. hanya untuk mengajar solat dan puasa semata-mata, tanpa sebarang aktiviti yang lain khususnya pengurusan negara. Melalui Perlembagaan Langit yang namanya Al-Quran, Allah S.W.T. menyampaikan wahyuNya yang bukan sekadar memerintah supaya bersolat dan berpuasa, bahkan terdapat padanya urusan hukum-hukum jenayah, jihad, urusan pembahagian harta pusaka, mengurus rampasan perang, melantik al-ummal, umara al ajnad, menjawab persoalan-persoalan rumah tangga dan menyelesaikan kekusutan jenayah seks dan mal. Alangkah salahnya jika wujud dakwaan bahawa Islam dan Al-Quran langsung tidak berbicara mengenai pemerintahan walhal ia telah menyusun semua urusan hidup manusia semenjak seribu empat ratus tahun sebelum wujudnya Perlembagaan Lord Reid. Allah S.W.T sendiri menjanjikan pahala di sebalik setiap amalan yang dilakukan asalkan selari dengan syariat Allah. Bagaimana pahala boleh dianugerahkan kiranya ianya tidak dikira agama? FirmanNya (Surah At Taubah Ayat 120) bermaksud:

“Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan musuh; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh – semua itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. Bahkan diantara tujuh golongan yang dijemput berteduh di bawah naungan Arasy-Nya ketika mana tidak ada sebarang teduhan lain di Padang Mahsyar ialah Imam adil.”

Menyedari hakikat itulah, dasar Membangun Bersama Islam kita perkenalkan apabila diberikan mandat oleh rakyat pada tahun 1990. Membangun Bersama Islam dengan maksud kita akan terus memacu pembangunan selari dengan landasan yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Pembangunan perlu terus dilaksanakan kerana dunia ini dijadikan oleh Allah S.W.T. untuk manusia, bukan untuk malaikat atau makhluk lain. Namun pembangunan yang kosong rohaninya hanyalah umpama pokok besar yang akarnya buruk dan reput. Daunnya sekalipun merimbun tidak akan lama menaungi, masanya tersemban jatuh sangat mudah. Di antara ajaran penting dalam Islam ialah dunia ini bersambung dengan akhirat dan ini tidak ada di dalam ajaran ideologi yang lain selain Islam. Oleh yang demikian, sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular. Orang-orang Mukmin melihat jauh ke akhirat berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja. Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu yang berfikir lebih jauh, pemikiran ibu berkisar kepentingan sekeluarga, apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, ia tidak lebih umpama seorang anak kecil yang hanya berfikir untuk alatan permainannya semata-mata!

Alhamdulillah, dengan amanah diberikan oleh Allah S.W.T. ini, kita melaksanakan apa yang selama ini hanya dapat disebut di dalam masjid sahaja. Sudah lama kita menyebut tentang haramnya judi, arak, riba, pendedahan aurat dan sebagainya. Namun ia hanya dapat dikuatkuasakan bila kita ada kerajaan. Kita telah mengharamkan riba dan kita wujudkan Ar-Rahn apabila ada kerajaan dan menggalakkan perbankan Islam dengan memindahkan semua wang kerajaan ke perbankan Islam. Di dalam bidang pendidikan, kita wujudkan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat dan Maahad Tahfiz Sains yang dulunya dianggap mustahil. Di dalam pentadbiran, kita namakan teras UMI atau Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan. Tenaga urus tadbir diajar bahawa kerja yang dilakukan ini dikawal oleh CCTV Allah S.W.T. melalui Polis Rahsia Allah yang namanya Malaikat.

Hasilnya, dalam masa 20 tahun, kita tidak dengar warga tadbir Kerajaan Negeri Kelantan didapati bersalah atas tuduhan rasuah di mahkamah. Untuk keselesaan tenaga pekerja, kita perkenalkan cuti dua hari seminggu. Masih tergiang-giang tuduhan yang menyatakan rakyat Kelantan akan menjadi pemalas dengan perubahan ini. Namun kini tanpa segan silu ia ditiru oleh seluruh negara. Rupanya untuk memperkenalkan dasar semudah itupun, tidak terlintas di benak pemikiran mereka kerana terlampau bergantung kepada telunjuk barat.

Di samping itu, kebajikan rakyat tidak dilupa, kita wujudkan Skim Takaful Kifaalah untuk warga emas tanpa mengira fahaman politik, Ladang Rakyat diwujud yang kini ditiru oleh sesetengah negeri di samping kita menjaga kebajikan armalah atau ibu tunggal. Alhamdulllah, budi yang ditabur ini saya yakin dapat dinikmati setelah Kelantan mempunyai kerajaan berlandaskan Islam. [Pantun]

Di sana padi di sini padi

Baru sempurna bernama bendang

Di sana budi di sini budi

Baru sempurna bernama orang

Perubahan dan pembaharuan selama 20 tahun tentunya tidak dapat diceritakan di dalam masa yang singkat. Apa yang pasti, Kelantan Alhamdulillah terus membangun. Rakyat Kelantan menikmati arus pembangunan tanpa terjejas dengan gangguan-gangguan yang dibuat-buat. Bezanya, pembangunan ini dipasak di atas asas yang namanya rohani. Pembangunan rohani inilah yang sering kali tidak dipedulikan. Yakinlah, manusia jika hanya membangun jasmaninya tetapi mengenepikan rohaninya, ia akan pincang. Umpama kapal terbang yang mempunyai dua sayap dipaksa terbang dengan satu sayap, bagaimana jadinya? Manusia diciptakan menggunakan dua bahan mentah satunya jasmani manakala satu lagi rohani. Kedua-duanya dicampur dan bercantum seperti kembar siam yang tidak boleh dipisahkan. Firman Allah S.W.T. (Surah al-Hijri Ayat 29) bermaksud:

“Kemudian apabila Kami sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.”

Kerana itu, Allah S.W.T. menjanjikan di sebalik kesenangan di dunia dan kemewahannya itu, disediakan satu lagi ganjaran abadi di akhirat, sekiranya hidup itu dilandaskan di atas iman dan taqwa kepada Allah dalam semua bidang hidup.

Firman Allah S.W.T. (Surah Muhammad Ayat 36) bermaksud: “Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Tetapi jika kamu beriman dan bertaqwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu di akhirat dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu.”

Akhir kata, besarlah harapan saya agar benih yang kita tanam pada hari ini dapat dijaga sebaik mungkin oleh generasi yang akan datang. Nakhoda bahtera boleh bertukar ganti, namun kemudinya biarlah sentiasa terarah ke destinasi yang betul, iaitu arah “Siratal lazi na an am ta alaihim, Minan nabi yiin wassa diqin wasyuhada’ wassalihin” seperti yang setiap masa kita pohon dalam sembahyang. Semoga Negeri Kelantan terus dipayungi dengan rahmat dan keberkatan oleh Allah S.W.T. dan terus membangun bersama Islam. Junjung kasih patik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan yang sudi berangkat mencemar duli merasmikan majlis ini pada malam ini. Sekian, saya sudahi dengan “aqu lu qau li wastaghfirullah al azim li wa lakum, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.”
Baca selanjutnya...

Nik Aziz: Tokoh 20 Tahun Membangun Bersama Islam

KOTA BHARU, 21 Okt: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dinobatkan Tokoh 20 Tahun Membangun Bersama Islam sempena ulang tahun kerajaan Kelantan ke-20, malam tadi.

Sempena penganugerahan itu, Tuan Guru menerima cenderahati daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, pada acara yang penuh bersejarah itu.

Penganugerahan itu juga sebagai simbolik beliau menjadi tunjang pada pentadbiran Kelantan yang kini Menerajui Perubahan.

Saat biodatanya dibaca oleh penyair terkenal Kelantan, Abdul Hadi Yusof, Tuan Guru tidak dapat menahan sebaknya.

Turut hadir berangkat pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Terdahulu, Sultan Kelantan telah berkenan merasmikan ulang tahun pentadbiran kerajaan Kelantan tepat jam 10.30 malam pada program yang diadakan di Kelantan Trade Cantre (KTC).

Tuan Guru sewaktu berucap pada majlis tersebut mengimbau kembali sejarah kemenangan kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990 sehingga ianya turut menjadi perhatian dunia.

Katanya, Kelantan tiba-tiba sahaja menjadi perhatian dunia bukan hanya kerana menang bersih pada pilihan raya 1990, sebaliknya berusaha mengamalkan dasar Islam dalam pentadbiran.

“Ramai yang mencela, ramai yang menyindir kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan hanya tiga bulan, kemudian akan bankrap dan jatuh.

“Namun hari ini tuan-tuan dapat saksikan sendiri dengan pertolongan Allah yang tidak pernah menzalimi hamba-Nya sentiasa membantu dan terus membantu kerajaan negeri hingga berjaya sampai kini,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Mohd Hanif Wan Mohammad, memenangi pertandingan mencipta logo sempena sambutan ulang tahun ke-20 itu.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Nasharuddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Adun dan ahli Parlimen.

Secara umumnya, sambutan program itu penuh dengan aktiviti keagamaan yang bermula dengan menunaikan solat Maghrib, solat sunat hajat yang diimamkan sendiri oleh Tuan Guru.

Baca selanjutnya...

Tuesday, October 19, 2010

Pendidikan Akidah

Oleh Wan Mohd Hujjatullah Ghazali

Pendahuluan

Pendidikan akidah merupakan asas kepada pembinaan Islam pada diri seseorang. Ia merupakan inti kepada amalan Islam seseorang. Seseorang yang tidak memiliki akidah menyebabkan amalannya tidak mendapat pengiktirafan oleh Allah swt. Ayat-ayat yang terawal yang diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw di Makkah menjurus kepada pembinaan akidah. Dengan asas pendidikan dan penghayatan akidah yang kuat dan jelas maka Nabi Muhammad saw telah berjaya melahirkan sahabat-sahabat yang mempunyai daya tahan yang kental dalam mempertahan dan mengembangkan Islam ke seluruh dunia. Bilal bin Rabah tidak berganjak imannya walaupun diseksa dan ditindih dengan batu besar di tengah padang pasir yang panas terik. Demikian juga keluarga Amar bin Yasir tetap teguh iman mereka walau berhadapan dengan ancaman maut. Dari sini kita nampak dengan jelas bahawa pendidikan akidah amat penting dalam jiwa setiap insan muslim agar mereka dapat mempertahan iman dan agama Islam lebih-lebih lagi di zaman globalisasi yang penuh dengan cabaran dalam segenap penjuru terutamanya internet dan teknologi maklumat yang berkembang dengan begitu pesat sekali.

2.0 Matlamat dan Objektif Pendidikan Akidah

2.1 Mengakui keesaan Allah swt

Matlamat utama pendidikan akidah Islam ialah mendidik manusia supaya mengakui keesaan dan ketunggalan Allah swt sebagai tuhan yang wajib disembah. Tiada sekutu bagiNya. Ini dijelakan oleh Allah swt dalam firmanNya yang bermaksud :


ayat01.gif (3227 bytes)


"Katakanlah (wahai Muhammad) Dia ialah Allah Yang Maha Esa. Allah menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak dan tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa yang setara denganNya"
(al-Ikhlas : 1-4)

Ayat di atas mendidik manusia supaya mengaku keesaan dan kekuasaan Allah swt. Ayat ini diturunkan di Makkah di awal perkembangan Islam. Oleh kerana akidah merupakan asas kepada kekuatan dan pembinaan Islam sebagai al-Din maka wahyu-wahyu yang terawal yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw menjurus kepada pendidikan Akidah bagi menanam keyakinan yang teguh dalam jiwa manusiatentang keesaan Allah swt.

2.2 Melahirkan manusia yang patuh dan tunduk kepada Allah swt .Pendidikan akidah juga penting untuk mendidik manusia supaya patuh dan tunduk kepada kebesaran dan keagongan Allah swt.

2.3 Membentuk keperibadian insan

Sebagaimana acuan dapat membentuk dan mencorakkan air kandungannya maka demikianlah akidah dapat membentuk dan mendidik orang yang mengambilnya menepati dengan hakikat dan tabiat kemanusiaan yang tulen dan asli seperti yang dikehendaki oleh penciptanya. Pendidikan akidah dapat membentuk sifat-sifat nalurinya, akal fikirannya, iradahnya dan perasaannya. Ringkasnya pendidikan akidah bermatlamat untuk membentuk nilai akhlak dan keperibadian seseorang insan yang akan mencorakkan suluk amali atau gerak laku amal perbuatan selaras dengan peranan dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah swt di muka bumi ini. Menurut Mohd Sulaiman Yasin (1987), Akidah Islam ialah akidah yang bersumberkan ketuhanan (akidah Rabbaniyyah) yang tetap, syumul, menyeluruh dan fitrah. Tabiat akidah yang demikian ialah akidah yang kukuh dan teguh. Hanya akidah yang teguh sahaja dapat membentuk manusia yang teguh dan kukuh. Kekukuhan dan keteguhan akidah ialah kerana kekukuhan dan keteguhan ciri-ciri yang menjadi kandungan akidah itu, yang merangkumi segala hakikat iaitu hakikat ketuhanan, hakikat alma semesta dan hakikat kemanusiaan serta nilai-nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan. Kekukuhan akidah inilah yang akhirnya menjadi sumber kekuatan Islam. Itulah hakikat kekuatan umat Islam, kekuatan jiwa dan rohani serta peribadinya yang menjadi asas kepada kekuatan jasmaninya. Di dalam sejarah kegemilangan umat Islam yang silam kita mendapati bahawa umat Islam di masa itu telah dibentuk dan dididik oleh akidah yang akhirnya melahirkan kekuatan yang sungguh kental dan luar biasa. Kita lihat sahaja kepada Bilal, bahawa akidah telah memberikan kekuatan kepadanya. Abdul Rahman bin Auf dan Osman bin Affan sanggup membelanjakan hartanya kerana mempertahankan Islam sehingga tiada apa lagi yang dimiliki melainkan Allah swt dan Rasul. Ali bin Abi Talib sanggup mempertaruhkan nyawanya kerana Rasulullah saw dan banyak lagi contoh-contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah saw hasil dari pendidikan akidah yang mantap.

2.0 Definisi Akidah

Perkataan akidah berasal dari perkataan bahasa Arab iaitu "aqada yang bererti ikatan atau simpulan. Perkataan ini juga digunakan pada sesuatu yang maknawi seperti akad nikah dan akad jual beli. Dari ikatan atau simpulan yang maknawi ini maka lahirlah akidah iaitu ikatan atau simpulan khusus dalam kepercayaan. Sementara dari segi istilah, akidah bermaksud kepercayaan yang terikat erat dan tersimpul kuat dalam jiwa seseorang sehingga tidak mungkin tercerai atau terurai. Akidah menurut istilah syara" pula bermaksud kepercayaan atau keimanan kepada hakikat-hakikat atau nilai-nilai yang mutlak, yang tetap dan kekal, yang pasti dan hakiki, yang kudus dan suci seperti yang diwajibkan oleh syara" iaitu beriman kepada Allah swt, rukun-rukun Iman, rukun-rukun Islam dan perkara-perkara ghaibiyyat.

3.2 Hakikat Iman

Dalam menjelaskan definisi akidah ada disebut perkataan kepercayaan atau keimanan. Ini disebabkan Iman merupakan unsur utama kepada akidah. Iman ialah perkataan Arab yang bererti percaya yang merangkumi ikrar (pengakuan) dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mempraktikkan dengan perbuatan. Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud : "Iman itu ialah mengaku dengan lidah, membenarkan di dalam hati dan beramal dengan anggota".
(al-Hadis)

Walaupun iman itu merupakan peranan hati yang tidak diketahui oleh orang lain selain dari dirinya sendiri dan Allah swt namun dapat diketahui oleh orang melalui bukti-bukti amalan. Iman tidak pernah berkompromi atau bersekongkol dengan kejahatan dan maksiat. Sebaliknya iman yang mantap di dada merupakan pendorong ke arah kerja-kerja yang sesuai dan secucuk dengan kehendak dan tuntutan iman itu sendiri.

Firman Allah swt yang bermaksud:


ayat02.gif (3738 bytes)

"Sesungguhnya orang-orang mukmin yang beriman kepada Allah swt dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu".
(al-Hujurat : 15)

Firman Allah swt lagi yang bermaksud:



ayat03.gif (5982 bytes)

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah swt maka terasa gerunlah hati mereka dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayat Allah swt, bertambahlah iman mereka dan kepada tuhan sahaja mereka bertawakkal. Mereka mendirikan solat, membelanjakan daripada apa yang kami beri rezki kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya".
(al-Anfal : 2-4)

Perkara yang menjadi asas atau pokok keimanan dalam Islam juga dikenali sebagai rukun-rukun Iman iaitu sebanyak enam perkara :

  • Pertama : Beriman kepada Allah swt.
  • Kedua : Beriman kepada Malaikat.
  • Ketiga : Beriman kepada kitab-kitab.
  • Keempat : Beriman kepada Rasul-Rasul.
  • Kelima : Beriman kepada Hari Kiamat.
  • Keenam : Beriman kepada Qada" dan Qadar.

Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam hadisnya yang bermaksud :

"Iman itu bahawa kamu mempercayai kepada Allah swt, malaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari kumudian dan kamu beriman kepada takdir baik dan buruknya".
(Riwayat Muslim)


3.3 Hubungan Iman dan Islam
Iman dengan makna tasdiq juga dinamakan akidah di mana rahsianya tidak diketahui sesiapa melainkan orang berkenaan dan Allah swt. Namun demikian manusia mempunyai sifat-sifat lahiriah yang dapat dilihat melalui tingkah laku manusia sama ada melalui percakapan atau perbuatan. Inilah yang menjadi ukuran keimanan seseorang. Adapun segala yang tersirat di dalam hatinya terserah kepada Allah swt. Iman yang melahirkan penyerahan diri kepada Allah itu juga disebut sebagai Islam. Ini bermaksud seseorang yang beriman hendaklah menyerah diri kepada Allah swt dengan menerima segala hukum dan syariat yang diturunkan Ilahi. Penyerahan dan penerimaan ini berlaku dengan dua perkara iaitu

(i) dengan kepercayaan dan pegangan hati yang dinamakan Iman (akidah) dan

(ii) melalui sifat-sifat lahiriah iaitu melalui perkataan dan perbuatan (amalan) dinamakan Islam. Nabi Muhammad saw telah juga menunjukkan penggunaan kalimah Iman dalam pengertian amal sebagaimana sabdanya yang bermaksud : "Iman terbahagi lebih enam puluh bahagian, yang paling tinggi ialah mengucap kalimah "Lailahaillallah" dan yang paling rendah ialah membunag benda-benda yang boleh menyakitkan orang di jalan".
(Riwayat Muslim)

Oleh yang demikian jelas di sini Iman dan Islam mempunyai hubungan yang rapat dan tidak mungkin dipisahkan. Islam umpama pohon sementara Iman umpama akar sesepohon kayu. Kesuburan dan kekuatan akar pokok tersebut dapat dilihat dengan kesuburan pokok pada daun, ranting dan dahannya. Dalam menjelaskan tentang hubungan Iman dan Islam ini kita petik sebuah hadis sabda Nabi saw kepada rombongan Abdul Qias yang bermaksud:
"Aku menyuruh kamu beriman kepada Allah swt yang Maha Esa. Apakah kamu mengerti apa dia yang dikatakan beriman kepada Allah swt yang Maha Esa ". Iaitu penyaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah swt yang Maha Esa, tiada sekutu baginya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menunaikan satu perlima daripada harta rampasan perang".
(Muttafaqun "alaih)

Hadis di atas menjelaskan betapa adanya hubungan yang erat di antara iman dan Islam di mana Islam itu menjadi salah satu daripada perinsip Iman dan Iman pula dilahirkan melalui Islam secara amali, dengan iqrar syahadah dan melaksanakan hukum syariat dalam segala amalan. Sekiranya berlaku iqrar syahadah dan menunaikan fardhu sedangkan hatinya tidak yakin atau tidak percaya serta ragu-ragu terhadap hukum hakam Allah swt maka seseorang itu dihukum tidak beriman walaupun masih dinamakan Islam sebagaimana yang berlaku kepada sesetengah orang-orang Badwi di zaman Rasulullah saw.

Firman Allah swt yang bermaksud


ayat04.gif (4778 bytes)

"Orang Arab berkata : Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) : Kamu belum beriman (janganlah berkata demikian, tetapi sementara Iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu) berkatalah sahaja : Kami telah Islam". (al-Hujurat : 14)

Kesimpulannya Iman itu melambangkan sesuatu yang batin sementara Islam melambangkan sesuatu yang zahir. Oleh itu iman dan Islam tidak boleh dipisahkan. Islam umpama pokok sementara Iman umpama akar. Ibadat solat merupakan batang kepada pokok itu sementara beriman kepada Allah swt merupakan akar tunjangnya di mana ia menjadi teras keimanan seseorang. Pemisahan Iman dan Islam samalah kita memisahkan pokok dari akarnya.

3.4 Konsep Ihsan dan Hubungannya dengan Iman dan Islam

Ihsan bermaksud bekerja dengan baik dan tekun. Dari segi syara" bermaksud mengelokkan perbuatan zahir dengan ibadat dan mengelokkan perbuatan batin dengan ikhlas. Menurut kamus bahasa, Ihsan bermaksud membuat sesuatu yang baik. Al-quran menerangkan dengan meluas ciri-ciri Ihsan dan mereka yang bersifat muhsinin (berbuat kebaikan).

Antaranya firman Allah swt yang bermaksud :


ayat05.gif (4450 bytes)

"Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedah kebaikan yang kamu lakukan ialah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga".
(al-Isra" : 7)

Kedudukan Ihsan adalah tinggi di sisi Islam dalam konteks melengkapkan ciri-ciri keimanan dan keislaman individu dan masyarakat Islam seluruhnya. Al-Quran menerangkan bahawa Ihsan wajib menjadi tabiat manusia. Allah swt telah memberi ni"mat kepada manusia dengan IhsanNya, maka manusia perlu Ihsan dengan ni"mat ini kepada makhluk.

Firman allah swt yang bermaksud :

"Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah swt) sebagaimana Allah swt berbuat baik kepadamu (dengan pemberian ni"matNya yang melimpah-limpah".
(al-Qasas : 77)


Seseorang yang melakukan Ihsan akan merasa tenang yang tidak dapat dirasakan oleh orang lain dan orang yang menerima Ihsan itu sendiri merasa senang. Kasih sayang kepada pelaku Ihsan akan memberi kebahagiaan jiwa. Mereka yang membuat keburukan tidak akan mendapat ketenangan hidup. Oleh itu Allah swt telah memberi galakan supaya berbuat Ihsan sebagaimana firmanNya yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah swt menyuruh kamu berlaku adil, dan berbuat ihsan (kebaikan), serta memberi bantuan kepada kaum karabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan keji dan mungkar serta zalim".
(al-Nahl : 90)


Al-Quran mengangkat martabat Ihsan dengan begitu tinggi lebih-lebih lagi jika turut disertakan dengan ikhlas kepada Allah swt dan kedua-dua ini dianggap sebagai sifat yang paling tinggi dan mulia yang patut ada pada diri setiap muslim. Kesimpulannya kalau Iman itu umpama akar, Islam umpama pokok maka Ihsan pula umpama buah yang baik. Demikianlah hubungan di antara Iman, Islam dan Ihsan.

3.5 Peringkat-peringkat Iman

Iman itu boleh bertambah dan berkurang. Malah Iman seseorang boleh dihinggapi penyakit. Ada Iman sentiasa bertambah iaitu Iman para Nabi dan Rasul. Ada Iman yang tidak bertambah atau berkurang iaitu Iman para Malaikat. Ada Iman yang kadang-kadang bertambah dan ada ketikanya menurun iaitu Iman kebanyakan orang mukmin. Terdapat juga jenis Iman yang jarang-jarang bertambah tetapi banyak menurun iaitu Iman orang-orang yang fasik lagi jahat.

Iman terbahagi kepada lima peringkat:

  • Iman Taqlid iaitu Iman ikutan. Orang yang beriman secara taqlid beramal semata-mata mengikut orang lain. Iman jenis ini merbahaya dan terdedah kepada kesesatan.
  • Iman Ilmu iaitu Iman yang berdasarkan semata-mata kepada ilmu dan fikiran semata-mata dan ia tidak terpahat di dalam hati. Iman pada tahap ini juga terdedah kepada bahaya dan penyelewengan.
  • Iman A'yan iaitu Iman yang dapat dihayati sehingga ke lubuk hati. Iman pada tahap ini dimiliki oleh orang-orang soleh. Seseorang yang beriman pada tahap ini amalannya bertolak dari hati yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah swt. Iman kita juga sekurang-kurangnya berada pada tahap ini.
  • Iman Hak iaitu Iman yang hakiki yang terlepas dari godaan nafsu dan syaitan. Iman pada tahap ini dimiliki oleh golongan muqarrabin. Iman Hakikat iaitu Iman peringkat yang paling tinggi yang boleh dicapai oleh manusia. Mereka yang memiliki Iman pada tahap ini hidup semata-mata untuk Allah swt.

3.6 Rukun Iman

Perkara yang menjadi asas atau pokok keimanan dalam Islam dikenali sebagai rukun-rukun Iman ialah enam perkara sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:


ayat06.gif (4723 bytes)

"Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah swt, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya dan Rasul-RasulNya".
(al-Baqarah : 285)

Sabda Nabi saw yang bermaksud: "Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah swt, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat, Qadar baik dan buruk".
(Riwayat Muslim)

3.6.1 Beriman kepada Allah swt
Beriman kepada Allah swt bermaksud mengetahui, percaya dan beri"tikad dengan teguh, perkara-perkara yang wajib, mustahi dan harus bagi Allah swt. Seseorang itu hendaklah beri"tikad secara ijmal dan sungguh-gungguh bahawa Allah swt bersifat dengan sifat-sifat yang sumpurna dan sesuai dengan ketuhananNya. Mustahil Allah swt bersifat dengan sifat-sifat kekurangan dan harus bagi Allah swt melakukan semua perkara atau meninggalkannya.

Iman dan tauhid kepada Allah swt tegak di atas dua asas iaitu

    Tauhid Rububiyyah

    Tauhid Rububiyyah bermaksud mengimani dan yakin bahawa Allah swt sahaja Tuhan yang mencipta alam ini. Mentauhidkan Allah swt sebagai pencipta, pengurus, pentadbir, pengatur, pemerintah, pendidik, pemelihara dan pengasuh sekelian alam. Banyak ayat-ayat al-Quran yang menyebut tentang tauhid Uluhiyah ini. Antaranya firman Allah yang bermaksud:


    "Tidakkah engkau perhatikan bahawa Allah swt menciptakan langit dan bumi dengan sebenarnya". Jika ia mengkehendaki, kamu dimusnahkanNya dan digantiNya dengan makhluk yang baru".
    (Ibrahim 14 : 19)

    Firman Allah swt lagi yang bermaksud:


    "Dia menciptakan beberapa langit tanpa tiang yang kamu lihat, dan Dia mengadakan gunung-ganang di muka bumi supaya jangan ia bergoyang-goyang bersama kamu dan Dia menyebarkan di muka bumi bermacam-macam haiwan. Kami turunkan air hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan di muka bumi bermacam-macam tumbuhan yang baik".
    (Luqman 31:10)

    Dalam beberapa ayat yang lain Allah swt menyebut bahawa orang-orang kafir juga percaya kepada Rububiyah Allah swt dengan mengaku bahawa Allah swt adalah pencipta langit dan bumi. Firman Allah swt yang bermaksud:


    "Dan jika kamu bertanya kepada mereka (orang-orang kafir yang menyembah berhala itu) siapa yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab: Allah swt! maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan".
    (al-Zukhruf : 87)

    Maksud firman Allah swt lagi:


    "Dan jika kamu menanyakan kepada mereka : Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya". Tentulah mereka akan menjawab : Allah swt".
    (al-Ankabut : 63)

    Tauhid Uluhiyyah

    Beriman kepada Uluhiyyah Allah swt bermaksud yakin bahawa Allah swt sahaja Tuhan yang patut disembah, dipohon segala doa, dipatuhi, dicintai, ditakuti, dan tawakkal kepadaNya. Seterusnya mnerima segala hukumNya dengan yakin dan redha. Ringkasnya Tauhid Uluhiyyah ini menuntut seseorang meyakini kemutlakan kekuasaan Allah swt yang menjadi tempat tumpuan segala makhluk sama ada dari segi sembahan atau memohon segala doa dan hajat. Keyakinan ini menetapkan bahawa hanya Allah swt sahaja yang berkah menentukan hukum dan peraturan bagi seluruh makhluk di alam ini. Di antara ayat al-Quran yang membicarakan tentang Uluhiyyah Allah swt adalah seperti berikut. Firman Allah swt yang bermaksud:


    "Katakanlah (wahai Muhammad) Dialah Allah swt yang Maha Esa. Allah swt tempat meminta (tumpuan). Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesuatupun yang meneyrupaiNya".
    (al-Ikhlas : 1-4)

    Firman Allah swt lagi yang bermaksud:

    "Engkaulah yang memasukkan malam ke dalam siang dan siang ke dalam malam. Engkau juga mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Engkau jugalah yang memberi rezki kepada sesiapa yang dikehendaki dengan tiada hitungan hisab".
    (Al-Imran : 27)


    Sesungguhnya kebanyakan manusia sejak dahulu hingga kini mengakui Tauhid Rububiyyah Allah swt dengan mengakui bahawa Allah swt menciptakan langit dan bumi serta sekelian alam ini. Tetapi mereka ingkar secara perkataan dan perbuatan terhadap Uluhiyyah Allah swt seperti beribadat kepada yang lain dari Allah swt serta tidak melaksanakan syariat dan hukum Allah swt dalam kehidupan ini. Keselarasan di antara Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyyah adalah penting untuk memastikan keimanan yang sejati terhadap Allah swt. Ini adalah kerana Tauhid Rububiyyah adalah adalah merupakan pengakuan bahawa Allah swt adalah sumber cipta. Sementara Tauhid Uluhiyyah ialah suatu pengakuan bahawa Allah swt adalah Tuhan yang wajib disembah dan tempat tumpuan sekelian makhluk.

3.6.2 Beriman kepada Malaikat

Beriman kepada malaikat bermaksud percaya dan yakin tentang wujudnya makhluk yang digelar malaikat. Jumlah malaikat hanya Allah swt sahaja yang mengetahui. Di antara ciri-ciri malaikat yang disebut di dalam al-Quran dan al-Hadis antaranya ialah:

  • Malaikat merupakan makhluk yang taat kepada Allah swt.
  • Diciptakan dari nur.
  • Tidak mempunyai hawa nafsu.
  • Tidak makan dan minum
  • Memiliki akal yang terbatas untuk melaksanakan perintah Allah swt.
  • Tiada jantina tertentu (tidak lelaki, tidak perempuan, bukan khunsa).
  • Malakikat mempunyai sayap.
  • Memiliki kekuatan dan kepantasan yang luar biasa.

Malaikat merupakan makluk yang tidak dapat dikesani dengan penyelidikan dan pemikiran tentang kewujudannya. Kita tidak boleh menafikan adanya malaikat semata-mata kerana ia tidak dapat dilihat atau dikaji oleh akal manusia. Beriman kepada malaikat adalah termasuk di dalam beriman kepada perkara-perkara ghaib kerana ia tidak dapat disaksikan oleh pancaindera. Hakikatnya amat sukar difahami oleh akal fikiran manusia. Perkhabaran tentang malaikat dan perkara-perkara ghaibini diketahui melalui al-Quran dan al-Hadis. Yakin dan beriman kepada perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka, roh merupakan salah satu daripada ciri-ciri orang bertaqwa kepada Allah swt. Di antara dalil berkenaan dengan malaikat adalah seperti berikut:

Firman Allah swt yang bermaksud:

"Dan tidaklah ada yang mengetahui siapa tentera Tuhan itu melaikan Dia".
(al-Mudasir : 31)


Firman Allah swt lagi yang bermaksud:

"Dan mereka mengerjakan apa yang diperintahkan".
(al-Nahlu : 50)


Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Dijadikan malaikat daripada cahaya dan dijadikan jin daripada percikan api".

(Riwayat Muslim)

Firman Allah swt yang bermaksud:
"Miraj yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (menerima dan menyempurkan tugas) pada satu hari tempohnya lima puluh ribu tahun".
(al-Ma"rij : 4)


Firman Allah swt yang bermaksud:

"Segala puji bagi Allah swt yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan maalaikat utusan-utusan yang brsayap dua, tiga dan empat". (al-Fath : 1)


Dalam perkembangan kepercayaan manusia terhadap perkara ghaib sejak zaman purbakala telah ada kepercayaan kepada dewa-dewa. Orang Greek di zaman purba mempercayai adanya dewa-dewa. Demikian juga orang Tionghoa dan Mesir. Kadang-kadang kepercayaan kepada dewa-dewa ini dihubungkaitkan dengan bintang-bintang. Contohnya orang Greek (Yunani) mempercayai bintang Mars adalah dewa peperangan. Demikian juga ada yang mempercayai bahawa malaikat itu adalah anak perempuan Tuhan.

Setelah fahaman "ketauhidan" menjadi jelas di dalam Islam, maka tegaklah kepercayaan bahawa persembahan dan pemujaan hanyalah kepada Allah semata-mata. Malaikat-malaikat bukanlah Tuhan dan tiada kuasa. Ia tidak dapat memakbulkan permohonan makhluk. Kita tidak perlu takut kepada malaikat kerana ia tidak dapat berbuat apa-apa melainkan dengan izin Allah swt. Demikianlah halusnya pokok kepercayaan dalam Islam sehingga memuja malaikat adalah termasuk dalam perbuatan syirik yang membatalkan akidah seseorang.

Menurut athar Said bin al-Musayyib bahawa malaikat itu bukan lelaki dan bukan perempuan, mereka tidak makan atau minum dan tidak tidur. Bilangan malaikat amatlah ramai. Tidak diketahui jumlahnya melainkan Allah swt. Setiap orang wajib beriman kepada malaikat secara ijmal kecuaili sepuluh malaikat sahaja diwajibkan kita beriman secara tafsil sebagaimana berikut:

Jibril

Malaikat pertama yang dianggap sebagai penghulu sekelian malaikat. Dia juga bernama Namus, Ruh al-Amin (roh yang diberi keperrcayaan) dan Ruh al-Qudus (roh yang suci). Tugasnya yang utama ialah menerima perintah Allah swt untuk disampaikan kepada para Nabi dan Rasul. Oleh kerana ruh Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul itu telah mendapat latihan yang cukup dan istimewa sehingga memudahkan hubungannya dengan alam ghaib. Maka dapatlah mereka melihat dan berhubung nyata dengan Malaikat Jibril itu. Nabi Muhammad saw pertama kali berjumpa dengan Jibril ialah semasa menerima wahyu pertama di gua Hira" di atas bukit Nur. Datang berupa seorang lelaki berpakaian serba putih. Demikian juga semasa Isra dan Mi"raj Nabi saw ditemani oleh Jibril alaihissalam.

Jibril pernah merupakan dirinya sebagai seorang sahabat Nabi saw yang muda dan pantas sikapnya iaitu Dahiyah al-Kalbi. Menurut hadis Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan oleh Saidina Omar al-Khatab menyatakan bahawa Jibril merupa seorang lelaki datang ke majlis Rasulullah saw mengemukakan pertanyaan berkaitan dengan Iman, Islam dan Ihsan. Semua sahabat Rasulullah saw yang hadir melihatnya.

Di waktu Rasulullah saw menghembuskan nafasnya yang penghabisan Jibril turut hadir di sisi Baginda saw. Sebab Rasulullah saw berkata "Jibril ! Jibril ! Dekatlah kepadaku". (Hamka, 1988).

Kitab-kitab suci dan suuf yang diturunkan kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul iaitu Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran diturunkan melalui perantaraan Jibril as.

Mikail

Malaikat Mikail tugasnya mengurus hal ehwal penghidupan. Mengatur rezki, hujan dan sebagainya. Mengatus perjalanan matahari, bumi, bulan dan cakrawala ini. Peredaran matahari dan bintang menyebabkan berlakunya siang dan malam. Ia menjaga perjalanan alam ini sehingga segala sesuatu itu berjalan dengan lancar di dalam peraturan yang ditentukan. Yang berat turun ke bawah, yang ringan terapung ke atas dan tenaga tarik menarik yang ada semuanya dalam lingkungan tugas Mikail.

Izrail

Izrail terkenal denganpanggilan "Malaikat Maut". Bertugas mencabut nyawa segala makhluk yang bernyawa di alam ini apabila tiba masanya. Izrail tidak akan datang kalau kita belum "dipanggil". Walaupun di kiri kanan kita bergelimpangan mayat-mayat, kita tidak akan mati kalau belum tiba giliran. Dan kalau tiba giliran ke mana kita menyembunyikan diri Izrail tetap menunggu kita. Walaupun kita berada dalam perti besai yang kukuh sekalipun.

Kita tidak tahu bila Izrail akan datang kepada kita. Kita juga tidak boleh cemas kerana dia pasti datang. Kecemasan boleh dihilangkan dengan memenuhi hidup kita melakukan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran.

Tugasnya meniup sangkakala (Shur). Tiupan pertama memusnahkan seluruh alam ini melainkan perkara-perkara yang tidak diizinkan Allah swt musnah.

Kesan Akidah Islam

Akidah Islam akan melahirkan seseorang atau masyarakat yang mempunyai kepribadian yang unggul yang akhirnya akan dijelmakan melalui tingkah-laku, percakapan dan gerak-geri hati seseorang atau sesebuah masyarakat. Akidah Islam yang telah meresap ke dalam jiwa dan lubuk hati sesseorang akan menimbulkan kesan-kesan positif di antaranya dapat kita gariskan seperti berikut:

3.7.1 Akidah Islam melahirkan seorang yang yakin kepada Allah swt yang maha esa. Lantaran itu menggerakkan seluruh tingkah-lakunya, percakapannya dan gerak-gerinya untuk mencari keredhaan Allh swt.

3.7.2 Akidah Islam melahirkan Insan Soleh. Insan yang melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala jenayah dan kemungkaran.

509 3.7.3 Akidah Islam melahirkan Insan yang mempunyai akhlak cemerlang dan terpuji.

Mengikis sifat-sifat yang buruk dan melahirkan manusia yang bertaqwa, tawadhu", ikhlas, redha, amanah dengan segala sifat terpuji yang lain di samping menyingkirkan sifat-sifat yang buruk seperti dengki, sombong, ria", takabur dan seumpamanya yang boleh membawa masalah sosiol dalam masyarakat.

3.7.4 Akidah akan melahirkan seseorang atau sesebuah masyarakat yang optimis dan yakin kepada diri sendiri untuk bekerja bagi mencapai kejayaan di dunia di samping tidak lupa mencari keredhaan Allah swt supaya mendapat kebahagian di akhirat.

3.7.5 Akidah Islam melahirkan Insan dan masyarakat yang teguh pendiriannya, mempunyai perinsip dan tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran yang mengancam nilai dan akhlak manusia terutama dengan pelbagai pengarauh hasil kemajuan teknologi maklumat di zaman ini. Ia mampu membeza dan memilih nilai-nilai yang positif dan menolak nilai-nilai yang negatif yang boleh merosakkan keperibadian Insan dan masyarakat.

3.7.6 Akidah Islam yang teguh mampu membawa manusia dan masyarakat maju ke hadapan dalam segala bidang. Sejarah membuktikan masyarakat Arab telah berubah daripada satu masyarakat yang tidak dikenali kepada sebuah masyarakat yang digeruni. Akidah Islam telah mengangkat darjah mereka. Mereka menguasai hampir separuh dari bumi ini. Mereka menguasai pentadbiran dan maju dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan.

3.7.7 Akidah Islam membentuk manusia berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan dan mencegah dari kemungkaran. Ini akan melahirkan masyarakat yang harmoni dan aman tenteram. Tiada jenayah atau pencerobohan ke atas sesiapa disebabkan mereka yakin kepada hari pembalasan.

3.7.8 Akidah Islam akan melahirkan manusia yang tidak mudah putus asa atau hilang harapan. Iman di dalam hati akan memberi ketenangan yang luar biasa.

3.7.9 Akidah Islam akhirnya melahirkan manusia yang sanggup berjihad ke jalan Allah swt walaupun harta dan nyawa menjadi taruhan. Bilal bin Rabah sanggup mati kerana mempertahankan akidahnya. Kelaurga Amar bin Yasir demikian juga. Demikianlah para sahabat sanggup mengorbankan harta dan nyawa untuk mempertahan dan menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Ini adalah kesan dari Akidah Islam yang meressap di dalam jiwa dan lubuk hati mereka.

Akidah Islam yang ada dalam hati umat Islam kini mungkin tidak begitu mantap menyebabkan mereka tidak dapat mencapai kegemilangan sebagaimana umat Islam di zaman Nabi saw dan para Sahabat. Umat Islam pada hari ini begitu rapuh akidahnya. Lantaran itu mereka amat mudah terpengaruh dengan berbagai-bagai unsur negatif. Kemunduran umat Islam kini kerana mereka semakin jauh dari menghayati Akidah Islam yang sebenar.

Baca selanjutnya...