Saturday, October 23, 2010

Tengku Mahkota Rasmi Penutup Sukan Air Antarabangsa

KOTA BHARU, 19 Okt: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra diberi penghormatan untuk merasmikan majlis penutup Sukan Air Antarabangsa Kelantan 2010 pada 30 Oktober ini.

Sehari selepas diisytihar sebagai Tengku Mahkota Kelantan, oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V di Istana Negeri tengah hari semalam, baginda diberi penghormatan untuk merasmikan majlis penutup itu.

Sukan air berkenaan diadakan sempena 20 tahun pentadbiran kerajaan Kelantan yang bermula 28 hingga 30 Oktober bertempat di Dataran Sireh, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata majlis perasmian penutup itu bermula 4.30 petang.

“Alhamdulillah, ini merupakan program pertama Tengku Muhammad Fa-iz sehari selepas diisytihar sebagai Tengku Mahkota Kelantan,” ujarnya pada sidang media di Bilik Mesyuarat TIC, di sini hari ini.

Sementara itu, setiap peserta yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara sempena pesta sukan itu bakal membawa pulang RM5,000, RM3,000 dan RM2,000 bagi tempat pertama, kedua dan ketiga.

Menurutnya, sebanyak RM50,000 diperuntukkan oleh penganjur untuk peserta sempena program yang julungkali pernah diadakan itu.

Takiyuddin seterusnya memberitahu, sebanyak empat acara yang dipertandingkan antaranya pertandingan perahu panjang Kelantan, pertandingan jet ski antarabangsa, pertandingan memanjat tiang licin.

Menurutnya, sebahagian acara yang bakal dipertandingkan turut mendapat penyertaan peserta luar negara seperti dari Indonesia, Thailand dan Brunei.

“Insya Allah, kerajaan negeri akan menjadikan program ini sebagai acara tahunan.

“Kita juga menjangkakan jumlah pelancong akan bertambah tahun ini khususnya sempena program Sukan Air Antarabangsa Kelantan 2010,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment