Thursday, February 24, 2011

9/10 Rezeki

Assalamualaikum wr. wbt..

Salam ukhwah buat sahabat semua. Pada kali ini aku ingin membicarakan sedikit perkongsian berkaitan dengan perniagaan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, 9/10 daripada rezeki adalah daripada perniagaan. Contoh yang paling senang dilihat dan dicontohi adalah junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Baginda merupakan seorang peniaga yang berjaya. Sebentar tadi aku menonton rancangan Tanyalah Ustaz di TV9. Tajuk yang diutarakan adalah berkaitan perniagaan. Di sini ada sedikit input yang aku ingin kongsikan setelah menonton rancangan tersebut.

Ciri-ciri Seorang Peniaga Islam :-

1 - JUJUR : seseorang peniaga haruslah mempunyai sifat jujur dalam dirinya. Melalui sikap jujur dalam perniagaan, akan berolehlah keberkatan daripada Allah SWT. Keberkatan inilah yang amat penting kerana tanpa keberkatan, perniagaan yang diusahakan tidak akan bertahan lama

2 - BERTOLAK-ANSUR : sikap bertolak-ansur perlu wujud dalam diri peniaga kerana ia akan mendatangkan kelancaran dalam perniagaan. Contoh yang dapat kita lihat adalah semasa proses jual beli wujudnya tawar-menawar antara pembeli dan penjual. Maka penjual haruslah bertolak ansur dengan pembeli dalam proses tawar-menawar harga barangan tersebut

3 - SEDEKAH : Sedekah semestinya sikap yang mulia yang perlu ada pada diri setiap mukmin. Dalam perniagaan, peniaga boleh menggunakan cara bersedekah. Contoh ynag kita dapat lihat ialah dalam urusan jual beli buah-buahan. Timbangan bagi buah-buahan oleh peniaga perlulah dilebihkan timbangannya agar tidak berlaku was-was dalam timbangan.



Tips2 Melariskan Perniagaan :

1 - Jangan tinggalkan solat lima waktu kerana solat merupakan tiang agama dan tiang dalam segala amal yang kita kerjakan.

2 - Solat sunat Dhuha setiap hari. Ini kerana solat sunat Dhuha merupakan salah satu pintu rezeki umat Islam

3 - Membaca surah al-Waqiah pada setiap malam kerana melalui amalan surah ini Insya Allah pembacanya tidak akan berada dalam kepapaan

4 - Banyakkan istiqhfar

5 - Produk yang dijual mestilah memenuhi pasaran @ kehendak masyarakat/pengguna

6 - Senantiasa senyum ketika berniaga kerana senyuman itu juga merupakan sedekah.



Baca selanjutnya...

Tuesday, February 22, 2011

Anak tukang sapu memperoleh 5A dalam STPM

PASIR MAS, KELANTAN 21 Feb. - Sedih melihat ibunya yang terpaksa bekerja sebagai tukang sapu di sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di sini, telah mendorong Attarmizi Ramli, 19, mencapai kejayaan cemerlang 5A dalam STPM yang diumumkan hari ini.

Kejayaan itu membolehkannya muncul pelajar tunggal di negeri ini mendapat 5A dalam peperiksaan tersebut.

Menurut anak keempat dari tujuh beradik itu, dia sungguh terharu apabila saban hari melihat ibunya, Nor Aizan Mohd. Nor, 46, 'mengusung' penyapu membersihkan kawasan sekolahnya yang terletak kira-kira enam kilometer dari rumahnya di Kampung Kelar Tok Pukang dekat sini.

Jelasnya, ibunya bekerja sebagai tukang sapu di sekolah berkenaan sejak 2003 lagi dengan pendapatan kira-kira RM450 sebulan untuk menambah pendapatan keluarga bagi membolehkan dia dan tiga lagi adiknya berusia antara 17 hingga 12 tahun bersekolah.

"Saya sungguh terharu kerana ibu sanggup bekerja untuk menyenangkan kami bersekolah dan semangat ibu itu amat dihargai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Attarmizi, kejayaan cemerlang tersebut merupakan hadiah istimewa untuk ibu dan bapanya, Ramli Che Hussin, 51, seorang peniaga yang turut mengerah kudrat mencari rezeki bagi mereka sekeluarga.

Jelasnya, kejayaan tersebut turut didorong oleh kejayaan dua abangnya yang kini bertugas sebagai guru dan kakak, seorang jururawat.

Mengenai kaedah pembelajaran yang diamalkannya selama ini, Attarmizi yang tinggal di asrama memberitahu, dia sering mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan sejak awal tahun bersama 15 lagi rakannya.

Jelasnya, dia bertindak sebagai 'seorang guru' kepada kepada rakan-rakannya itu semasa proses mengulang kaji mata pelajaran Geografi, Sejarah, Pengajian Am, Sastera dan Bahasa Malaysia.

"Kebiasaannya kami membaca antara pukul 9 hingga 11 malam, seterusnya menyertai perbincangan 'berguru' sehingga 2 pagi," katanya.

Attarmizi berkata, berkat usaha yang mereka lakukan itu turut menyaksikan 10 daripada rakannya itu memperoleh sekurang-kurangnya 3A dalam peperiksaan tersebut.

Katanya, dia tidak menyangka mampu memperoleh keputusan cemerlang tersebut kerana hanya memperoleh 3A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu.

Jelasnya, walaupun ada menerima tawaran ke matrikulasi ketika itu, tetapi dia telah membulatkan tekad untuk menjadi seorang guru dan mahu meneruskan pelajaran ke tingkatan enam seterusnya memasuki pusat pengajian tinggi.

"Harapan saya sekarang adalah untuk memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim bagi meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan," katanya.

- UTUSAN
Baca selanjutnya...

Umrah Menghapus Dosa , Haji Dibalas Syurga

Hadith:

DARIPADA Abu Hurairah r.a. lagi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, Mengerjakan umrah ke satu umrah yang lain menjadi penutup dosa yang dilakukan di antara kedua umrah itu. Manakala haji yang mabrur pula akan dibalas dengan syurga kepada orang yang mengerjakannya.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith:

1. Ibadat Haji difardhukan sekali seumur hidup bagi setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan.

2. Ibadat umrah pula sunat hukumnya dan jika seseorang itu dapat mengerjakannya dengan sempurna nescaya ia akan mendapat pahala yang besar malah menjadi penghapus kepada dosa-dosa telah yang dilakukan.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Baca selanjutnya...

Pro-M UTHM nafi majoriti 2/3 Pro-A

Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menafikan dua pertiga majoriti Pro-Aspirasi (Pro-A) meskipun kalah secara keseluruhannya.

Pro-M tewas selepas mendapat 13 daripada 30 kerusi yang dipertandingkan iaitu enam dari sepuluh kerusi umum dan tujuh daripada 20 kerusi fakulti.

Manakala pro-A mendapat 17 kerusi.

Mengulas kekalahan yang disifatkan 'kalah bergaya' itu, jurucakap Pro-M UTHM, Muhammad Syafiq Abdul Rahman berkata, pihaknya berpuas hati kerana berjayameningkat dua kali ganda dari sebelum ini. Sebelum ini kami hanya menang tujuh kerusi, tetapi sekarang 13 sementara Aspirasi 17.

"Kami sudah berjaya menafikan dua pertiga majoriti. Kami berpuas hati dengan peningkatan momentum ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Muhammad Syafiq menambah, kekalahan itu berpunca daripada gangguan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang mengganggu proses kempen.

Ini berikutan pembatalan keseluruhan proses penamaan calon yang telah berlangsung pada 17 Februari lalu.

Kesemua 56 calon-calon yang layak bertanding merebut 30 kerusi yang ditawarkan dalam kabinet MPP UTHM telah dibatalkan pencalonan mereka atas alasan masalah teknikal.

"Episod pembatalan kesemua calon pada 18 Februari lalu sedikit sebanyak telah merencatkan gerak kerja kempen kami.

"Antara faktor kekalahan yang lain adalah jumlah calon yang tidak mencukupi," katanya lagi.

Namun ujarnya, Pro-M menjadikan keputusan tersebut sebagai semangat untuk menawan UTHM pada sesi akan datang.

Sementara itu di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), pro-M mengekalkan kemenangan sebelum ini dengan menguasai 23 daripada 26 kerusi yang dipertandingkan.

Hanya satu kerusi dimenangi pro-A. Dua dimenangi calon bebas.

Kemenangan ini juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu di mana mereka menang 15 kerusi.

Baca selanjutnya...

Angin Perubahan Pada Pilihanraya Kampus

Prestasi kumpulan pro-Mahasiswa disifatkan jauh lebih baik tahun ini dengan kejayaan merampas beberapa universiti pada pilihan raya kampus yang diadakan semalam.

Angin perubahan dikatakan melanda di kampus beberapa menara gading setelah sekian lama dikuasai oleh kumpulan Pro- Aspirasi atau Pro-A.

Ini termasuk Majlis Perwakilan Pelajar atau MPP di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan dan Universiti Malaysia Kelantan.

NONEPaling signifikan, kejayaan mereka di UM, - universiti pertama negara ini di mana calon-calon pro-M memenangi 23 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Mereka juga berjaya menyapu bersih semua sembilan kerusi kampus yang dipertandingkan dan 14 daripada 32 kerusi fakulti.

Ini adalah kejayaan besar bagi kumpulan itu sejak kumpulan Aspirasi menang pada pilihan raya kampus tahun lalu.

Ketika itu, mereka cuma mampu meraih 17 kerusi.

NONEKumpulan pro-M adalah pergerakan mahasiswa yang sering kali dikaitkan dengan mereka yang agak kritikal terhadap kerajaan dan menuntut mahukan pembabitan yang lebih menyeluruh di kalangan pelajar dalam pentadbiran kampus.

Seteru mereka melabelkan diri mereka sebagai pro-Aspirasi (pro-A) kerana dikatakan cuba mempertahankan "aspirasi kerajaan", dan secara tradisionalnya adalah penyokong pihak berkuasa.

UM secara tradisional adalah kubu bagi aktiviti perjuangan pelajar tetapi kumpulan pro-A sejak kebelakangan khususnya sedekad lalu dikatakan berjaya mendapat pengaruh.

NONEDi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kumpulan pro-Mahasiswa juga berjaya mengakhiri kemarau tujuh tahun bagi menguasai universiti kebangsaan itu.

Mereka menang 22 kerusi manakala kem Aspirasi mendapat 15. Antara lain, kumpulan pro-Mahasiswa mendakwa pelajar mengundi mereka kerana tidak berpuas hati dengan bekalan air yang tidak menentu di asrama serta perkhidmatan Internet yang tidak stabil.

"Mahasiswa UKM keluar mengundi atas inisiatif bahawa mereka peka dengan pilihan raya kampus dengan kesedaran politik.

"Ia (adalah) kebangkitan mahasiswa UKM kerana pada tahun lalu jelas memperlihat banyak perkara penindasan dan kezaliman.

"Ia menjadikan mahasiswa matang dengan (selepas) mengetahui siapa yang memperjuangkan isu-isu mahasiswa," kata ahli Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) Mohd Hilman Idham dalam sidang media hari ini.

Di Universiti Sains Malaysia (USM), kumpulan pro-Mahasiswa tidak memenangi kebanyakan kerusi tetapi berjaya memperbaiki kedudukan dengan merampas 14 kerusi, meningkat daripada 7 yang dimenangi tahun lalu. Kem pro-A masih selesa dengan 24 kerusi manakala seorang calon bebas menang satu lagi.

NONEDi Universiti Putra Malaysia (UPM), kem pro-Mahasiswa mengekalkan kedudukan mereka dengaan 11 kerusi, seperti pada tahun sebelumnya.

Mereka dibelasah teruk oleh kumpulan pro-A yang memenangi 31 kerusi.

Sebuah lagi kerusi dimenangi calon bebas.

Sementara itu, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), prestasi pro-Mahasiswa bertambah buruk berbanding tahun sebelumnya, mereka hanya mendapat 12 kerusi berbanding 18 sebelumnya.

NONEKumpulan Aspirasi menang 38 kerusi manakala lima lagi diboloti calon bebas.

Mengulas faktor kekalahan mereka dalam pilihan raya itu, jurucakap pro-M UTM Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid berpendapat kekurangan calon dan kekurangan sumber kewangan adalah antara punca kekalahan mereka.

"Rentak pilihan raya kampus lebih kepada perang poster, pro-M tidak semewah pro-Aspirasi yang gantung banyak poster. (Kita juga) kurang calon di peringkat fakulti," katanya.

Sehubungan itu, kumpulan tersebut akan mengadakan sesi bedahsiasat berhubung kekalahan dan kemerosotan prestasi mereka malam ini.

Dalam perkembangan terbaru di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) lewat petang ini, pro-M mengekalkan kemenangan sebelum ini dengan menguasai 23 daripada 26 kerusi yang dipertandingkan.

Hanya satu kerusi dimenangi pro-A. Dua dimenangi calon bebas.

Tahun lalu mereka menang 15 kerusi. Ini bermakna pro-M tahun ini berjaya menambah cengkamannya di universiti itu.

Sementara itu di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pro-M tewas selepas mendapat 13 daripada 30 kerusi yang dipertandingkan. Manakala pro-A mendapat 17 kerusi.

Baca selanjutnya...

5,774 calon STPM lulus penuh di Kelantan

KOTA BHARU 21 Feb. - Sebanyak 5,774 pelajar atau 96.23 peratus daripada 6,000 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di seluruh negeri ini mendapat kelulusan penuh.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, daripada jumlah itu, 3,365 calon atau 56.08 peratus mendapat empat dan lima prinsipal berbanding 3,245 pada tahun lalu.

Beliau berkata, dengan keputusan tersebut, peratusan calon STPM di Kelantan yang lulus penuh telah mengatasi keputusan peringkat nasional iaitu 92.49 peratus.

"Pada tahun ini sekali lagi negeri Kelantan mempunyai pelajar terbaik peringkat nasional.

''Pelajar itu ialah Ahmad Syakirin Johari dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa, Pasir Puteh dianugerahkan salah seorang pelajar cemerlang peringkat kebangsaan kategori calon istimewa dengan keputusan tiga prinsipal A, satu prinsipal A- dan satu prinispal B-.

"Seorang lagi calon kurang upaya dari sekolah yang sama iaitu Mohd. Hanif Hafizi yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah turut mencatatkan keputusan cemerlang dengan 5 prinsipal iaitu 1A, 3A- dan 1D," katanya pada sidang akhbar di Jabatan Pelajaran Negeri di sini hari ini.

Hussain berkata, 18 buah sekolah daripada 59 buah sekolah bantuan kerajaan di negeri ini berjaya mencapai keputusan 100 peratus dalam peperiksaan STPM tahun 2010.

Sekolah-sekolah tersebut ialah, SMK Sultan Ismail, SMK Dato' Ahmad Maher; SMK Kubang Kerian (2); SMK Agama Naim Lilbanat; SMK Zainab (1); SMK Ismail Petra; SMK Badak; SMK Agama Falahiah, Pasir Pekan; SMK Bachok dan SMK Tanah Merah (2).

SMK Perempuan Pasir Mas; SMK Mahmud Mahyiddin, Pasir Pekan; SMK Pahi; SMK Kampung Laut; SMK Tanah Merah (1); SMK Kubang Bemban; SMK Kamil; SMK Dato' Perdana dan SMK Ismail Petra.

Tambahnya, seramai 18 calon sekolah bantuan kerajaan telah memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 iaitu enam di Kota Bharu, tiga calon di Pasir Mas, dua calon di Pasir Puteh dan satu calon di Tumpat.

"Saya mewakili warga pendidik seluruh negeri Kelantan mengucapkan tahniah kepada semua calon yang telah berjaya dan kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen semua pihak terutama para pendidik, ibu bapa dan masyarakat amnya," katanya.

Baca selanjutnya...

Rabun bukan halangan Ahmad Syakirin dapat 4A 1B dalam STPM


Ahmad Syakirin Johari (kanan) menunjukkan keputusan STPM kepada datuk dan neneknya di Kampung Kolam Tembesu di Pasir Puteh, semalam.


PASIR PUTEH 22 Feb. - Masalah rabun penglihatan yang dialaminya sejak dilahirkan tidak menghalang Ahmad Syakirin Johari, 20, mendapat keputusan cemerlang 4A 1B dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan semalam.

Kejayaan itu juga membolehkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa dekat sini, dianugerahkan pelajar terbaik kategori rabun penglihatan STPM 2010 peringkat kebangsaan di ibu negara semalam.

Ahmad Syakirin yang terkejut dengan anugerah diberikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dan Kementerian Pelajaran itu menganggap, kecacatan yang dialami anugerah istimewa Allah kerana kekurangan itu memberinya kesedaran dan perangsang untuk berusaha lebih gigih.

"Saya terkejut dan tidak menyangka akan mendapat penganugerahan setinggi itu. Ia satu pengiktirafan kepada pelajar senasib dengan saya yang perlu berdaya maju untuk menempa kejayaan dalam pelbagai bidang diceburi. Kita tidak boleh mengalah dan putus asa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kolam Tembusu, Kedai Menanti di sini hari ini.

Ahmad Syakirin semalam menerima sijil penghargaan dan cek RM1,000 daripada Pengerusi MPM, Prof. Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak.

Dalam peperiksaan itu, dia memperoleh A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu, Sejarah dan Geografi, sementara B dalam Pengajian Am.

Menurut Ahmad Syakirin, memandangkan dia menghadapi masalah penglihatan yang teruk, guru-gurunya sentiasa memberikan perhatian yang lebih termasuk menempatkannya di barisan hadapan.

"Pada hakikatnya, saya masih tidak dapat melihat dengan jelas apa yang ditulis oleh guru di papan hitam kecuali mendengar penerangan dan melihat buku tulis rakan bersebelahan.

"Saya terpaksa menggunakan 'mata hati' satu lagi pancaindera yang tidak nampak dilihat tetapi dianugerahkan oleh Allah kepada saya sehingga saya mampu memahami setiap pengajaran guru dengan pantas," katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu tinggal bersama datuk dan neneknya iaitu Tuan Ismail Tuan Soh, 70, dan Tuan Nab Tuan Abdullah, 60, yang bekerja kampung selepas kedua orang tuanya bercerai.

Ahmad Syakirin berkata, walaupun menghadapi kesukaran dia tidak pernah patah semangat dan tidak mahu menjadikannya alasan, sebaliknya terus berazam untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

"Semua masalah keluarga saya tidak pernah fikirkan kerana itu adalah suratan takdir dan bersyukur dengan apa yang ada. Alhamdulillah selepas mendapat keputusan, perasaan gembira tidak dapat dibayangkan hanya Allah saja yang tahu," katanya.

Dia yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan sama ada di Universiti Malaya atau Universiti Sains Malaysia merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan serta guru-guru yang banyak membantunya mencapai kejayaan tersebut.


* Ini merupakan contoh yang terbaik bagi kita. Ilmu dicari tanpa mengenal putus asa. Insya Allah sama2 kita mencontohi sahabat kita ini yang gigih belajar walaupun rabun.

Baca selanjutnya...

Thursday, February 17, 2011

Hukum penggunaan minyak wangi beralkohol dalam solat

Mohon penjelasan hukum penggunaan minyak wangi beralkohol dalam solat. Adakah ia najis dan bolehkah jika kita memakai minyak wangi sebegini di luar solat?.
Justify Full

JAWAPAN

Harus dan sah solat, walaupun menggunakan minyak wangi beralkohol. Ini kerana bukan semua alkohol adalah najis. Para Ulama menyebut alkohol najis berdasarkan hadith nabi yang memberi isyarat bahawa arak itu najis. Ia diambil dari ayat al-Quran yang menyebut :

"Arak, tenung dan tilik nasib, lemparan kayu nasib adalah kekotoran ('rijs') dari hasil kerja Syaitan " (Al-Maidah; 90).

Dan dari hadith oleh Abu Tha`laba al-Khushani di dalam sohih al-Bukhari dan Muslim:

"Wahai Nabi Allah, kami tinggal di tanah Ahli Kitab, bolehkah kami makan & minum di dalam bekas mereka?" Nabi membalas : "Sekiranya kamu mendapati bekas selain bekasan mereka, maka jangan menggunakannya, sekiranya kamu gagal mendapatkan selainnya, maka hendaklah kamu basuh bekas itu dahulu dan kemudian makanlah menggunakannya "

Imam An-Nawawi (Syarah Sohih Muslim 13/14:86) dan Imam As-Shawkani ( Naylul Awtar, 1/71) menyebut "Maksud larangan makan menggunakan bekas-bekas mereka menunjukkan apa yang mereka masak dan minum menggunakan arak adalah kernana ia dihukum sebagai najis"

Hasilnya kesemua ulama empat mazhab sebelum itu pun telah menyebut bahawa arak adalah Najis. Pun begitu tidak dinafikan terdapat khilaf dalam menanggapi kenajisan arak dan juga alkohol. Namun bagi tidak mengelirukan orang awam dengan perbahasan ilmiah, saya kira cukup untuk kita berpegang dengan ijtihad majoriti ulama.

1) Mazhab Hanafi, menurut kitab al-Fiqh al-Islami wa adillatuh (6/158) menyebut bahawa jika terdapat setitik arak sebesar syiling di baju seseorang, maka solatnya menjadi batal.

2) Mazhab Maliki, disebut oleh Ibn Rushd dalam Bidayat al-mujtahid (2/125); "Tiada satu jenis pun dari alkohol, bangkai dan najis boleh digunakan kecuali untuk tujuan perubatan"

3) Mazhab Shafi`i, arak disebut najis sebagaimana disebut oleh Imam An-nawawi di dalam al-Majmu` 2/569-570 (dipetik dari Imam al-Ghazali);

4) Demikian juga menurut mazhab Hanbali ( Ibn Quddama, al-Mughni, 9/152).

Benar 70 % atau lebih dalam arak adalah alkohol, tetapi ia jenis "Denatured alcohol" yang telah diproses untuk tujuan memberikan kemabukkan. Sila rujuk Denatured Alcohol . Adapun, alkohol yang ada di dalam minyak wangi adalah bukan jenis ethanol yang sama dengan apa yang ada di dalam arak, ia menggunakan ‘Absolute ethanol' iaitu satu jenis alkohol dengan hanya sedikit air dan campuran lain (maka kesannya juga berbeza dari kesan arak, malah ia tidak lagi digelar arak, barangsiapa yang meminumnya pula, ia mungkin boleh membawa seseorang itu ke ALAM BARZAKH dengan segera ! dan bukannya mabuk.

KESIMPULAN

Menggunakan minyak wangi beralkohol adalah dikira suci dan tidak menjejaskan solat seseorang. Itulah pendapat saya berdasarkan hujjah di atas dan demikian juga pandangan yang diberi oleh guru-guru saya seperti Prof. Dr Abd Fatah Idris melalui kitabnya dan Syeikh Prof Dr Fadhal Hassan Abbas melalui kuliahnya.

BAGAIMANAPUN, AKHIR-AKHIR INI SAYA MENDAPAT INFOMASI TIDAK RASMI BAHAWA TERDAPAT PERFUME DARI BARAT YANG JUGA MEMPUNYAI ELEMEN 'LARD' ATAU BABI DI DALAMNYA. JIKA BENAR, MAKA ia adalah diharamkan dan tidak sah di bawa di dalam solat.

Cuma sumber yang menyatakannya adalah masih tidak kukuh dan saya tidak menumpukan kajian terhadap hal babi dalam minyak wangi. jawapan saya hanya menumpukan isu hukum alkohol.

Tetapi WAJIB DIINGAT, WANITA DIHARAMKAN untuk memakai wangian ketika berada di khalayak lelaki yang bukan mahramnya, sama ada ada alkohol atau tidak ada, sama ada di ketika berada di tempat kerja atau lainnya. Pengharaman ini telah disebutkan dengan jelas oleh nabi s.a.w.

Nabi SAW mengingatkan kaum wanita dengan sabdanya :


أيما امرأة استعطرت , فمرت على قوم ليجدوا ريحها فهي زانية , وكل عين رأت زانية

Ertinya : "Mana-mana wanita yang berwangian dan kemudian lalu dikhalayak lelaki bagi menarik lelaki dengan wangiannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang (tertarik lalu) memandangkan adalah mata yang berzina" ( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Albani : Hasan Sohih)

Jika ada wanita yang bertanya "adakah Islam suruh wanita-wanitanya busuk di luar rumah?", sila baca jawapan dan ulasan saya di artikel lain di sini. http://www.zaharuddin.net/content/view/296/99/



Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Baca selanjutnya...

Wangian

Assalamualaikum wr. wbt...

Pagi Jumaat yang indah, namun hakikatnya setiap hari sama ada hari Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu merupakan hari yang indah semuanya kerana semua hari tersebut adalah ciptaan Yang Esa.

Sempena hari Jumaat ini, moleklah kiranya aku berkongsi sedikit info berkaitan wangi-wangian. Kebiasaannya pada setiap hari Jumaat, kaum Adam terutamanya akan memakai wangi-wangian ( minyak attar) untuk memasuki masjid bagi menunaikan Solat Jumaat. Terdapat perbahasan yang ketara dalam pemakaian minyak attar ini. Perbahasan tersebut lebih terarah kepada minyak attar yang mempunyai kandungan alkohol tidak dibenarkan dipakai untuk solat Jumaat atau dengan erti kata lain tidak boleh dipakai ketika ingin solat.

Terdapat beberapa riwayat yang jelas tentang perkaitan antara wangi-wangian itu dengan nikmat di syurga. Iman Ibnu Qayyim rah pernah menulis,

"Sesungguhnya Allah swt telah memperlihatkan kepada para hambaNya di dunia ini akan beberapa kesan yang berupa ciri-ciri syurga, Sebagai contohnya bau-bauan yang wangi dan sedap, kedinginan, pemandangan yang indah, buah-buahan yang baik-baik, segala nikmat kesukaan dan kesenangan."


Abu Sufyan dan Jabir r.a memberitakan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

"Allah s.w.t berfirman kepada Syurga, Wangilah untuk penghuni engkau!, lalu Syurga pun bertambah mewangi. Maka demikianlah bahawa hawa dingin(serta keenakan baunya) yang dirasai manusia (di dunia) dikala dinihari. Iaitu sebagaimana juga Allah menjadikan api di dunia dan kepedihannya, juga kegelisahan dan dukacitanya sebagai peringatan tentang api di Akhirat."

(Hadis Riwayat Abu Nu’aim)


Disini bagaimana dikaitkan syurga, satu nikmat dan anugerah Allah s.w.t kepada hambaNya yang paling bernilai dan tinggi pemberianNya kepada mereka yang bertakwa dengan sifat wangi. Malah terdapat banyak lagi riwayat-riwayat yang dikaitkan nikmat dan anugerah Allah s.w.t dengan sifat wangi. Wangi-wangian juga adalah merupakan kegemaran Rasulullah SAW,di mana beliau pernah bersabda yang bermaksud,

"Sesungguhnya Allah menyukai setiap yang berbau harum (wangi) dan suka pada pakaian yang bagus-bagus"

(Hadis Riwayat Ad-Dailami)


Rasulullah SAW sangat berminat dan memakai wangi-wangian, sebaliknya membenci bau-bauan yang busuk dan keji. Keadaan ini dirakamkan oleh sahabat Nabi SAW, iaitu Anas bin Malik r.a,

Sesungguhnya Nabi SAW tidaklah beliau menolak (apabila diberikan) wangi-wangian)


Kembali kepada persoalanan minyak wangi, bagaimana pandangan Islam terhadap penggunaan minyak wangi terutama bagi kaum wanita? Berikut beberapa penjelasan yang diambil dari buku al-Masaail Jilid 2 hal. 151 karya Ustadz Abdul Hakim bin Amir Abdat. Semoga dapat kita ambil hikmahnya dan tentunya dapat diamalkan oleh kita semua:-

  1. Nabi SAW bersabda "Barangsiapa yang diberi harum-haruman, maka janganlah ia menolaknya, kerana sesungguhnya ia ringan bebannya (ringan dibawa) dan harum baunya." (Shahih riwayat Ahmad, Nasa’i, Muslim, dan Abu Dawud dari Abu Hurairah).

  2. Nabi SAW bersabda "Diberi kecintaan kepadaku dari (urusan) dunia kamu, ialah wanita, harum-haruman/wangi-wangian, dan dijadikan kesejukan mataku di dalam solat." (Shahih riwayat Ahmad, Nasa’i, Hakim dan Baihaqi dari Anas bin Malik).

  3. Nabi SAW bersabda "Sebaik-baik harum-haruman (buat kamu) ialah : misk/kasturi." (Shahih riwayat Ahmad, Muslim, Abu Dawud, Nasa’i dari jalan Abu Said al Khudriy).

  4. Nabi SAW bersabda "Apabila salah seorang dari kamu (kaum wanita) menghadiri (solat) ‘Isya (di masjid) maka janganlah ia memakai wangi-wangian." (Shahih riwayat Muslim, Ahmad, Nasa’i dari jalan Zainab).

  5. Nabi SAW bersabda "Siapa saja perempuan yang memakai harum-haruman, maka janganlah ia menghadiri (solat) ‘Isya (di masjid) bersama kami." (Shahih riwayat Ahmad, Muslim, Abu Dawud, dan Nasa’i dari Abu Hurairah).

  6. Nabi SAW bersabda "Apabila seorang perempuan keluar ke masjid, maka hendaklah ia mandi (membersihkan diri) dari wangi-wangian sebagaimana ia mandi janabat." (Shahih riwayat Nasa’i dari Abu Hurairah).

  7. Nabi SAW bersabda "Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut)." (Shahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah).

  8. Nabi SAW bersabda "Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian ia keluar, lalu ia melewati suatu kaum (orang banyak) supaya mereka mendapati (mencium) baunya, maka dia itu adalah perempuan zina." (Hasan riwayat Ahmad, Nasa’i, Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Hibban, Hakim, Ibnu Khuzaimah, dan Thahawi dari Abu Musa).


Keterangan :

Hadis 1, 2, dan 3 di atas dengan jelas telah mengatakan : sangat disukainya kita memakai harum-haruman/ wangi-wangian. Dan hukum ini bersifat umum, yakni terkena kepada kaum lelaki dan wanita, kerana di hadis itu tidak dibezakan sama sekali di antara lelaki dan wanita. Bahkan dalam hadis pertama itu, ada larangan menolak pemberian harum-haruman. Sedangkan hadis ke-2 menunjukkan bahawa Nabi SAW amat menyukai wangi-wangian dan hadis ke-3 menyatakan bahawa ‘misk’ (minyak kasturi) adalah harum-haruman yang paling baik untuk kita pakai.

Hadis ke-4 & 5 itu menegaskan : haram hukumnya bagi kaum wanita keluar ke masjid untuk menghadiri solat Isya’ dengan memakai harum-haruman. Disebutnya lafaz Isya’ di sini tidak bererti menghadiri solat-solat lainnya adalah dibolehkan. Tidak sama sekali! Ini kerana, hadis ke-6 dan 7 itu bersifat umum mencakup seluruh aktiviti solat, baik solat fardhu mahupun solat-solat sunat (seperti solat tarawih dan solat hari raya). Disebutnya solat Isya’ dalam hadis ke-4 & 5 itu boleh jadi kerana fitnahnya lebih besar kerana solat Isya’ itu dikerjakan di waktu malam.

Hadis ke-6 itu menunjukkan : wajib hukumnya bagi kaum wanita yang hendak keluar masjid membersihkan dirinya dari wangi-wangian sebagaimana halnya ia mandi janabat (mandi hadas besar).

Hadis ke-7 itu mengandung hukum : Siapa saja perempuan yang keluar ke masjid dengan memakai wangi-wangian, maka solatnya tidak diterima oleh Allah SWT. Demikianlah secara zahirnya sabda Nabi SAW. Hendaklah hadis ini jadi perhatian betul-betul, kerana telah kita saksikan, umumnya kaum wanita pada zaman ini, jika mereka keluar ke kawasan yang lapang untuk solat hari raya atau aktiviti lainnya, maka kebanyakan mereka memakai wangi-wangian yang baunya tersebar ke mana-mana.

Dari hadis 4, 5, 6, & 7 serta keterangan-keterangannya dapatlah dengan mudah kita ketahui : Jika keluar ke tempat-tempat ibadah saja telah dilarang keras bagi kaum wanita memakai wangi-wangian, apatah lagi ke tempat-tempat lain seperti pergi ke pesta perkahwinan dan lain sebagainya. Sudah barang tentu larangannya bersifat lebih keras lagi.

Hadis ke-8 mengandung hukum : Kaum wanita telah dilarang keluar dari rumahnya dengan memakai wangi-wangian, meskipun bukan untuk atas niat menunjuk-nunjuk, tetapi sudah barang tentu orang di sekeliling akan mencium dan tertarik akannya. Jika perempuan tetap saja melanggar larangan tersebut, Nabi SAW menegaskan bahawa mereka adalah perempuan zina.


Bukan setakat itu sahaja, dalam kehidupan seharian pun apabila kita sesuatu perkara itu dikaitkan dengan wangi-wangian maka sudah semesti ianya adalah sesuatu yang mempunyai nilai yang tinggi. Contohnya apabila kita ingin memberikan hadiah atau sesuatu maka adalah lebih baik jika barang/hadiah diletakkan sedikat wangi-wangian agar lebih dirasai nilai pemberian itu. Jelaslah disini menunjukkan bahawa semua perkara yang baik dikaitkan dengan wangi-wangian manakala sesuatu perkara yang tidak baik dikaitkan dengan sesuatu perkara yang busuk. Terdapat banyak kitab-kitab oleh ulamak-ulamak terkenal yang menjelaskan bahawa malaikat menyukai wangi-wangian manakala iblis menyukai sesuatu perkara yang busuk.


Pernahkah kita terfikir, jika wangian tersebut tidak boleh dipakai ketika solat, adakah ianya HARAM? Jika haram, kenapa pula kita boleh memakainya ketika tidak solat? Adakah haram itu hanya sementara? Inilah sebenarnya kesalahfahaman pemikiran di kalangan umat Islam. Bila mendengar perkataan ALKOHOL, terus nampak kepada benda yang haram seperti alkohol dalam minuman keras dan terus menghukum haram pemakaiannya. Sebenarnya kandungan yang dinamakan alkohol dalam wangian adalah sejenis bahan kimia.

Jadi, kepada sahabat semua, sama-samalah kita membuka pemikiran kita ini dengan lebih luas agar perkara sebegini tidak menimbulkan isu. Mungkin ada di kalangan sahabat yang tidak bersetuju dengan pandangan aku ini. Oleh itu, sila2kanlah kalian memberi pandangan bersama.

* Haramnya wangi-wangian adalah kepada wanita yang memakainya di luar rumah dengan tujuan menarik perhatian ataupun tidak kerana wangian itu salah satu perhiasan wanita untuk suaminya sahaja.
Baca selanjutnya...

Tuesday, February 15, 2011

Pendekatan Mendidik Akhlak Kanak-kanak oleh Imam al-Ghazali (Part 2)



3 – Ta’lim (Mengajar)

Asal perkataan ta’lim ialah allama yang bermaksud menjadikan individu berilmu pengetahuan atau mengajar ilmu kepada individu supaya ilmu itu menjadi kekal dalam akalnya. Ta’lim berbeza dengan ta’dib kerana ta’lim merujuk kepada pengajaran dan aspek kognitif, manakala ta’dib merangkumi aspek pengajaran, kognitif, emosi, fizikal dan spiritual.

Mengikut al-Ghazali, ta’lim adalah salah satu cara manusia mendapatkan ilmu yang menaikkan martabat manusia daripada tahap kehaiwanan kepada tahap kemanusiaan yang sempurna. Terdapat dua cara bagi mendapatkan ilmu, iaitu melalui proses pengajaran-pembelajaran dan ajaran terus daripada Allah. Al-Ghazali berpendapat, ilmu pengetahuan sedia ada dalam diri setiap manusia berdasarkan surah al-A’raf ayat 172 yang bermaksud, “Allah bertanyakan kepada roh, Tidakkah aku Tuhanmu?” Roh menjawab : “Benar”.

Proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan ilmu pengetahuan, pelajar dan guru adalah proses bagi mengeluarkan segala potensi yang sedia ada dalam diri kanak-kanak bagi direalisasikan supaya kanak-kanak dapat menunjukkan akhlak yang baik. Justeru itu, guru memainkan peranan penting di samping ibubapa bagi menyucikan jiwa kanak-kanak. Ciri-ciri guru yang baik mengikut al-Ghazali adalah mempunyai akhlak yang baik, ilmu yang mendalam, ikhlas menyampaikan ilmu, perasaan belas kasihan kepada para pelajar dan sentiasa mengamalkan ilmu yang dimilikinya.

4 – Tarbiyyyah (Pengasuhan)

Asal perkataan tarbiyyah adalah daripada perkataan rabba. Rabba pula bermaksud memelihara, membela, menjadi besar, dan mengasuh walaupun tanpa ilmu pengetahuan. Al-Ghazali mengandaikan proses tarbiyyah seperti benih kurma yang disemai, kemudiannya membesar menjadi pokok kurma, bukannya pokok epal walaupun pertumbuhan pokok kurma itu tidak diberi perhatian khusus. Namun begitu, oleh kerana roh manusia dijadikan dengan fitrah semulajadi yang sentiasa cenderung kepada kesempurnaan dan ilmu pengetahuan, maka proses tarbiyyah sentiasa memerlukan penyucian jiwa dan ilmu pengetahuan supaya dapat berkembang dengan sempurna. Ilmu yang utama dan pertama diajar kepada anak-anak adalah ilmu agama dan al-Qur’an.

5 – Tahzib (Penyucian)

Tahzib bermaksud membersih, menyuci, dan mengemaskan sesuatu daripada sebarang kekotoran. Apabila dikaitkan dengan jiwa manusia, tahzib merujuk kepada penyucian akhlak. Definisi tahzib mengikut al-Ghazali ialah penilaian kendiri dalam usaha meningkatkan diri ke tahap yang lebih sempurna. Contohnya, tanda orang yang sabar adalah apabila perlakuan baik dapat dipamerkan secara semulajadi tanpa ada paksaan atau apabila orang yang mulia sentiasa menjadikan sedekah sebagai amalan biasa.

Konsep penyucian akhlak melibatkan keupayaan roh mengawal entity marah dan kehendak dengan baik melalui pelbagai usaha seperti bersungguh-sungguh dan disiplin kendiri yang tinggi. Apabila entity marah dan kehendak dapat diseimbangkan, jiwa manusia menjadi bersih dan dapat menzahirkan tingkah laku dan akhlak yang baik. Oleh itu, tujuan tahzib adalah menyucikan roh dan akhlak supaya individu dapat memahami ilmu ketuhanan dengan mudah. Empat asas kesempurnaan akhlak ( ummahat al-akhlak) mengikut al-Ghazali adalah :

i. Kebijaksanaan (hikmah) – iaitu dapat memahami kebenaran daripada kesilapan atas tindakan yang dipilihnya.

ii. Keadilan (‘adl) – iaitu jiwa yang dapat menahan marah dan hawa nafsu bagi membimbing manusia kea rah keselamatan dan kesejahteraan.

iii. Keberanian (syaja’ah) – ialah keteguhan hati bagi mempertahankan kebenaran, walaupun dicela dan tidak lupa diri walaupun dipuji.

iv. Memelihara diri daripada perkara negatif atau maksiat (‘iffah)

Kanak-kanak yang dididik melalui proses tahzib mudah bagi memahami konsep hikmah apabila mereka mencecah usia baligh. Pada peringkat ini, anak mempunyai kematangan akal, memahami konsep yang abstrak seperti hidup dan mati, serta memahami konsep sebab dan akibat pada hari akhirat. Oleh itu, proses tahzib perlu ditekankan semasa anak masih belum mencapai usia baligh.

Al-Ghazali menekankan kelima-lima elemen ini dalam pendidikan awal kanak-kanak bagi membentuk akhlak yang terpuji supaya mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.


Dipetik dari buku : Pendidikan Kerohanian dan Moral Prasekolah

Pengarang : Nik Rosila Nik Yaacob

Terbitan : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Tahun keluaran : 2010

Baca selanjutnya...

3 Amalan yang BERKAT

Hadith:

Dari Ibnu Mas'ud RA bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: "Manakah amal yang lebih utama?" Beliau menjawab: "Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah."

Riwayat Bukhari

Huraian Hadith:

Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa setiap amal perbuatan atau amal ibadah walau sekecil zarah sekalipun pasti dibalas dengan pahala oleh Allah SWT. Bayangkan, jika kita melakukan amal perbuatan atau amal ibadah yang paling utama tentulah jumlah pahalanya luar biasa banyaknya.

Beruntunglah orang yang dapat melakukan amalan-amalan seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas yang sememangnya amat besar ganjarannya. Hal ini disebabkan setiap sesuatu kebaikan itu sesungguhnya amat susah untuk dilakukan lantaran terlalu banyak godaan dan halangan khususnya daripada syaitan.

Berbeza pula halnya dengan kejahatan yang senang sahaja berlaku kerana ini tidak dihalang bahkan dibantu khusus oleh syaitan.

Oleh yang demikian, sebagai benteng yang kukuh, manusia mestilah mempunyai keimanan yang teguh bagi melawan hasutan syaitan tersebut kerana kebiasaannya orang yang selalu tewas dan malas dalam melakukan kebajikan adalah orang yang meremehkan pembalasan daripada Allah SWT sama ada ia merupakan pembalasan baik atau pembalasan buruk (neraka).

Baca selanjutnya...

Monday, February 14, 2011

Perutusan Maulidur Rasul 1432 Hijrah

Bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berada di dalam bulan Rabiul Awwal untuk tahun 1432 ini. Rabiul Awwal sebagaimana yang kita umat Islam sedia maklum merupakan bulan menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Sekalipun seringkali saya ulangi, peristiwa kelahiran baginda tidaklah sebesar peristiwa perlantikan baginda sebagai rasul, kerana kelahiran adalah peristiwa yang berlaku kepada semua manusia. Namun tidaklah dinafikan bahawa pada bulan inilah umat Islam, termasuk di Malaysia keseluruhannya memperbaharui kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW dengan mengadakan majlis-majlis maulud di sana sini khususnya di Kelantan ini.

Sehubungan dengan itu, sukalah saya mencadangkan agar pengisian Maulidur Rasul pada tahun ini dapat ditumpukan kepada topik semasa yang sedang berlaku di sekitar umat Islam pada hari ini. Topik-topik semasa amat perlu diketengahkan memandangkan al-Quran sendiri sebagai sumber hukum di dalam Islam diturunkan selama 23 tahun. Tujuan penurunan al-Quran selama 23 tahun ini antara lainnya bertujuan untuk menyesuaikan penurunan ayat-ayatnya dengan peristiwa semasa yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Kedua, para penceramah (kalangan pemimpin atau pendakwah serta pakar motivasi) perlulah mengingatkan masyarakat, khususnya umat Islam bahawa dunia ini milik Allah SWT. Setinggi manapun pangkat yang kita miliki, kita hanyalah penumpang di bumi Allah SWT. Sebagaimana kita menumpang di rumah orang lain, kita tidak bebas melakukan perkara yang kita ingini jika tidak dengan persetujuan tuan rumah. Di bumi ini, kita hanya boleh melakukan perkara yang dikehendaki oleh Tuan Punya bumi iaitu Allah SWT. Justeru, tidak ada kuasa yang akan kekal selama-lamanya melainkan kuasa Allah. Di Mesir dan Tunisia, kita baru menyaksikan kebangkitan besar-besaran rakyat menentang rejim yang berkuasa begitu lama menunjukkan bahawa setiap penguasa pasti akan sampai saatnya, kuasa mereka akan diambil balik oleh Allah SWT.

Ketiga, kehebatan Rasulullah SAW sebagai pentadbir negara ditonjolkan undang dijadikan tauladan kepada mana-mana penguasa yang menjalankan amanah Allah SWT. Baginda mentadbir negara Islam Madinah dengan mengutamakan pembersihan kalbu terlebih dahulu. Sesuai dengan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang ahli politik yang dipandu oleh Allah SWT, baginda tidak meletakkan agenda pembangunan fizikal sebagai agenda utama sehingga mengenepikan pembangunan rohani. Justeru, kita boleh menyaksikan bagaimana sepanjang 10 tahun baginda menjadi ketua negara Islam Madinah, hanya sebuah sahaja bangunan yang didirikan iaitu masjid baginda sendiri. Ini kerana, baginda membangunkan hati dan roh. Lahirlah generasi sahabat yang hebat hasil dari tarbiyyah dan asuhan baginda. Melalui asuhan inilah, manusia mengenali halal, haram, dosa, pahala, syurga dan neraka. Hakikatnya, pembangunan modal insan yang kini disebut-sebut semula oleh sebahagian daripada kalangan kita telah lama disebut oleh Allah SWT (Al-Quran, Surah al-Alaq ayat 1-7)

bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. Ketahuilah, sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, apabila dia merasakan dirinya cukup (sebagai satu penyakit qalbu). Sekali-kali tidak, (penawarnya ialah meyakini) sesungguhnya kamu akan kembali kepada tuhanmu.

Perhatikanlah ayat-ayat di atas yang mengulangi perkataan al-insan yang bermaksud manusia sebanyak tiga kali. Inilah aspek yang perlu diberikan keutamaan pada hari ini. Apabila pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Islam, tidak akan berlaku lagi budaya khianat, pecah amanah, salah guna kuasa dan sebagainya di kalangan rakyat termasuklah pemimpin. Masyarakat pula khususnya remaja yang terdidik dengan rasa takut terhadap azab Allah SWT akan menjauhi pergaulan bebas, zina, sumbang mahram, buang bayi dan sebagainya. Sekalipun perbuatan dosa ini tidak diketahui oleh manusia, ia tetap dihitung oleh Allah SWT. Inilah kejayaan asuhan Rasulullah SAW dan ini terbukti apabila pernah seorang wanita datang kepada baginda mengaku bahawa dirinya telah berzina serta memohon untuk dihukum hudud dengan segera ekoran ketakutannya menghadapi azab Allah SWT di akhirat kelak. Agenda pembersihan kalbu seperti inilah yang langsung tidak ada di dalam sistem sekular. Sekular yang hanya mengutamakan pembangunan fizikal semata-mata pastinya tidak akan berbicara walaupun sepatah mengenai pembersihan kalbu.

Keempat, perlulah diingatkan bahawa Islam datang selari dengan fitrah manusia. Maulidur Rasul ini perlulah dijadikan satu kesempatan untuk menonjolkan kebaikan Islam kepada non-muslim bukan sekadar sambutan seperti perarakan besar-besaran sahaja, tetapi hendaklah juga menonjolkan nilai Islam yang bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia. Oleh itu, wajar sekali ditonjolkan bagaimana Islam melarang perkara-perkara mungkar yang sememangnya tidak diterima oleh fitrah manusia. Mencuri, merompak, berzina, rasuah, pecah amanah, khianat dan semua perkaranya dilarang oleh Islam dan hakikatnya juga tidak diterima oleh fitrah manusia. Demikianlah juga perkara-perkara maaruf seperti kerjasama, bantu membantu di dalam sebarang kerja amal kebajikan dan muafakat menjaga keharmonian hidup beragama amat yang digalakkan oleh Islam juga pada hakikatnya diakui oleh fitrah manusia sebagai amal maaruf yang baik untuk kerukunan hidup bermasyarakat.

Firman Allah SWT (Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 148)

Bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Akhir kata, saya mengharapkan sambutan Maulidur-rasul pada kali ini benar-benar memberikan manfaat untuk semua khususnya di dalam meningkatkan kefahaman kita kepada Islam yang syamil (komprehensif) yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.
Sekian.


TUAN GURU DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
MENTERI BESAR KELANTAN MERANGKAP
AL-MURSYIDUL AM PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

Baca selanjutnya...

Teladan politik Islam pada diri Rasulullah

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Pada diri Rasulullah s.a.w. itu adanya teladan politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ianya membuktikan sesuatu kaum khususnya Arab tidak selama-lamanya menjadi pemimpin.

"Rasulullah s.a.w. telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini.

"Teladan Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat," ujarnya dalam perutusan sempena Maulidur Rasul 1432H.

Berikut perutusan penuh beliau.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sambutan Maulidur Rasul s.a.w. yang diadakan saban tahun, mestilah diutamakan dengan memulakan azam baru bagi mengikuti teladan Nabi Muhammad s.a.w. yang diutuskan oleh Allah SWT, untuk membebaskan manusia daripada belenggu jahiliah.

Jasa besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah, membawa Islam yang menerangi manusia, yang memerdekakan manusia daripada diperhambakan sesama manusia, dijajah sesama manusia, dizalimi dan menzalimi sesama manusia, kepada manusia yang merdeka dan mempunyai hak yang dihormati.

Kejayaan besar penjajah barat ialah memesongkan umat Islam daripada politik Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Hasilnya lahirlah umat Islam yang menerima sahaja siapa sekalipun menjadi pemerintah mereka, walaupun zalim kepada rakyat, kerana bagi mereka urusan politik tidak ada kaitan dengan agama.

Sedangkan pada diri Rasulullah s.a.w. itu adanya teladan politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas itu, yang membuktikan sesuatu kaum khususnya Arab tidak selama-lamanya menjadi pemimpin.

Rasulullah s.a.w. telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini. Teladan Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat.

Kita melihat bagaimana kehidupan masyarakat Arab jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. yang penuh dengan perhambaan dan kezaliman, tetapi semuanya berubah selepas kedatangan Islam.

Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya, supaya memulakan tekad baru, menolak jahiliah moden yang menjadikan rakyat sebagai hamba, yang harta negara berlegar sesama mereka, yang rasuah dan zalim, kepada perjuangan yang lebih syumul iaitu Islam sebagaimana dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

12 Rabiul Awal 1432H/15 Februari 2011

Baca selanjutnya...

Sunday, February 13, 2011

Pendekatan Mendidik Akhlak Kanak-kanak oleh Imam al-Ghazali (Part 1)

Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali lahir pada 1058M / 450H di Tusi, Khurasan. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang kuat berpegang kepada ajaran Islam. Bapanya berketurunan Parsi, bekerja sebagai pemintal benang dan mempunyai sebuah kedai. Sejak kecil, al-Ghazali suka mendalami ilmu pengetahuan dan belajar dengan ulama-ulama terkemuka. Pada zaman Nizam al-Muluk, beliau menjadi pensyarah di Universiti Baghdad selama empat tahun. Kemudian beliau menetap di Syam dan menghabiskan masanya dengan menulis kitab-kitab agung yang masih wujud hingga kini. Antara karya agungnya ialah Ihya' Ulumuddin, Mizan al-Amal, Tahafut al-Falasifah, Mishkat al-Anwar, Risalah al-Laduniyyah dan Munqidh min al-Dalal.

Pendekatan Mendidik Akhlak oleh al-Ghazali

Al-Ghazali menggunakan pendekatan tertentu dalam mendidik kanak-kanak sesuai dengan kehendak al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad SAW. Terdapat lima pendekatan yang digunakan oleh beliau iaitu mendidik (ta’dib), disiplin kendiri (riadah), megajar (ta’lim), pemeliharaan atau asuhan yang baik (tarbiyyah) dan penyucian (tahzib).

1 – Ta’dib (Mendidik)

Ta’dib berasal daripada perkataan adab yang bermaksud mengeluarkan fakulti atau tenaga dalaman yang terpendam dan secara semulajadinya cenderung kepada hakikat kebenaran supaya dimanifestasikan dalam bentuk tindakan atau tingkah laku. Al-Ghazali berpendapat, “ Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah dan kedua-dua ibubapanya bertanggungjawab bagi mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Kristian atau Majusi”.

Fitrah merujuk kepada naluri bagi mengenal, mentauhidkan Allah dan mencari hakikat kebenaran. Setiap kanak-kanak dilahirkan mempunyai pelbagai entiti yang terdiri daripada unsur intelek, emosi, material (tubuh badan), dan roh. Walaupun manusia pada hakikatnya baik, tetapi apabila berinteraksi dengan perkara-perkara yang bersifat kebendaan, ia mendorong berlakunya kejahatan. Ada anak yang dilahirkan dengan kecenderungan akhlak yang baik, tetapi ada juga yang dilahirkan dengan kecenderungan akhlak yang buruk. Oleh itu, kedua-dua unsur positif dan negatif wujud dalam diri manusia. Al-Ghazali berpandangan, ibu bapa perlu menerapkan akhlak yang baik dalam diri anak melalui agen sosialisasi utama sama ada pendidikan, amalan kebiasaan dan pergaulan dengan orang-orang yang berbudi pekerti mulia.

Akhlak terhasil akibat daripada wujudnya interaksi antara roh dan tindakan. Beliau berpandangan, kualiti roh sama ada cenderung ke arah baik atau jahat dipamerkan melalui perlakuan seorang anak. Dalam hal ini, kualiti merujuk kepada akhlak, manakala perlakuan merujuk kepada aktiviti anggota tubuh yang dapat dilihat. Konsep ta’dib pada kaca mata al-Ghazali adalah proses bagi mendisiplinkan aspek fizikal dan spiritual anak supaya transformasi dapat dilakukan sekiranya kualiti roh lebih cenderung kepada domain negatif. Anak-anak perlu dididik dengan perkara-perkara yang mudah dahulu sehingga mereka mampu menguasainya diikuti perkara-perkara yang lebih kompleks. Hal ini sesuai dengan perkembangan kognitif kanak-kanak yang belum mampu menguasai dan memahami perkara yang bersifat abstrak. Oleh itu, ilmu dan kemahiran yang disampaikan kepada anak-anak perlu sesuai dan selaras dengan kemampuan anak-anak.

Di samping mendidik kognitif, aspek fizikal kanak-kanak juga perlu dititikberatkan. Al-Ghazali berpendapat, kanak-kanak perlu diberi masa bagi bermain dan melakukan aktiviti-aktiviti pergerakan fizikal supaya tubuh badan menjadi sihat dan dapat menceriakan emosi mereka. Kestabilan fizikal dan emosi mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan kognitif kanak-kanak. Bermain juga adalah sifat semulajadi kanak-kanak. Apabila bermain, aspek-aspek nilai moral dapat diterapkan secara tidak langsung. Oleh itu, guru dan ibu bapa perlu member peluang kepada kanak-kanak untuk bermain bagi merehatkan minda dan menjauhkan diri daripada sifat malas.

2 – Riadah (Disiplin kendiri)

Al-Ghazali mendefinisikan riadah sebagai latihan kepada rih, bermula dengan latihan yang mudah kepada yang lebih kompleks melalui usaha yang bersungguh-sungguh dan berkala, sehingga tahap yang sukar dapat dicapai dan diamalkan dengan mudah. Riadah adalah salah satu cara bagi membentuk akhlak yang baik selain daripada cara-cara lain seperti mujahadah. Contohnya, bagi menjadikan anak yang baik, ibu bapa perlu sentiasa mempamerkan tingkah laku baik sama ada dari segi perbuatan, percakapan, atau naluri dalaman. Al-Ghazali membahagikan riadah kepada dua iaitu :

  • Penerapan adab dikaitkan dengan tabiat semulajadi roh yang cenderung kepada kebaikan.
  • Meneruskan objektif positif iaitu merujuk kepada niat yang baik.

Disiplin kendiri merangkumi kedua-dua aspek yang memerlukan penumpuan fizikal dan keinginan spiritual. Matlamat utama riadah adalah bagi membersihkan roh daripada akhlak yang keji seperti sikap tamak, marah dan sebagainya. Apabila roh, intelek, marah dan kehendak dalaman diseimbangkan, akhlak yang terpuji dan sifat adil lahir pada diri individu. Dengan ini, individu dapat mencapai tahap hikmah (akal yang sempurna) yang mana dapat membezakan antara perkara yang baik dengan yang jahat atau perkara yang betul dengan yang salah.

Bersambung …

Dipetik dari buku : Pendidikan Kerohanian dan Moral Prasekolah

Pengarang : Nik Rosila Nik Yaacob

Terbitan : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Tahun keluaran : 2010

Baca selanjutnya...