|
|
PASIR PUTEH 22 Feb. - Masalah rabun penglihatan yang dialaminya sejak dilahirkan tidak menghalang Ahmad Syakirin Johari, 20, mendapat keputusan cemerlang 4A 1B dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan semalam.
Kejayaan itu juga membolehkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa dekat sini, dianugerahkan pelajar terbaik kategori rabun penglihatan STPM 2010 peringkat kebangsaan di ibu negara semalam.
Ahmad Syakirin yang terkejut dengan anugerah diberikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dan Kementerian Pelajaran itu menganggap, kecacatan yang dialami anugerah istimewa Allah kerana kekurangan itu memberinya kesedaran dan perangsang untuk berusaha lebih gigih.
"Saya terkejut dan tidak menyangka akan mendapat penganugerahan setinggi itu. Ia satu pengiktirafan kepada pelajar senasib dengan saya yang perlu berdaya maju untuk menempa kejayaan dalam pelbagai bidang diceburi. Kita tidak boleh mengalah dan putus asa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kolam Tembusu, Kedai Menanti di sini hari ini.
Ahmad Syakirin semalam menerima sijil penghargaan dan cek RM1,000 daripada Pengerusi MPM, Prof. Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak.
Dalam peperiksaan itu, dia memperoleh A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu, Sejarah dan Geografi, sementara B dalam Pengajian Am.
Menurut Ahmad Syakirin, memandangkan dia menghadapi masalah penglihatan yang teruk, guru-gurunya sentiasa memberikan perhatian yang lebih termasuk menempatkannya di barisan hadapan.
"Pada hakikatnya, saya masih tidak dapat melihat dengan jelas apa yang ditulis oleh guru di papan hitam kecuali mendengar penerangan dan melihat buku tulis rakan bersebelahan.
"Saya terpaksa menggunakan 'mata hati' satu lagi pancaindera yang tidak nampak dilihat tetapi dianugerahkan oleh Allah kepada saya sehingga saya mampu memahami setiap pengajaran guru dengan pantas," katanya.
Anak sulung daripada dua beradik itu tinggal bersama datuk dan neneknya iaitu Tuan Ismail Tuan Soh, 70, dan Tuan Nab Tuan Abdullah, 60, yang bekerja kampung selepas kedua orang tuanya bercerai.
Ahmad Syakirin berkata, walaupun menghadapi kesukaran dia tidak pernah patah semangat dan tidak mahu menjadikannya alasan, sebaliknya terus berazam untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
"Semua masalah keluarga saya tidak pernah fikirkan kerana itu adalah suratan takdir dan bersyukur dengan apa yang ada. Alhamdulillah selepas mendapat keputusan, perasaan gembira tidak dapat dibayangkan hanya Allah saja yang tahu," katanya.
Dia yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan sama ada di Universiti Malaya atau Universiti Sains Malaysia merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan serta guru-guru yang banyak membantunya mencapai kejayaan tersebut.
* Ini merupakan contoh yang terbaik bagi kita. Ilmu dicari tanpa mengenal putus asa. Insya Allah sama2 kita mencontohi sahabat kita ini yang gigih belajar walaupun rabun.
No comments:
Post a Comment