Tuesday, February 15, 2011

Pendekatan Mendidik Akhlak Kanak-kanak oleh Imam al-Ghazali (Part 2)



3 – Ta’lim (Mengajar)

Asal perkataan ta’lim ialah allama yang bermaksud menjadikan individu berilmu pengetahuan atau mengajar ilmu kepada individu supaya ilmu itu menjadi kekal dalam akalnya. Ta’lim berbeza dengan ta’dib kerana ta’lim merujuk kepada pengajaran dan aspek kognitif, manakala ta’dib merangkumi aspek pengajaran, kognitif, emosi, fizikal dan spiritual.

Mengikut al-Ghazali, ta’lim adalah salah satu cara manusia mendapatkan ilmu yang menaikkan martabat manusia daripada tahap kehaiwanan kepada tahap kemanusiaan yang sempurna. Terdapat dua cara bagi mendapatkan ilmu, iaitu melalui proses pengajaran-pembelajaran dan ajaran terus daripada Allah. Al-Ghazali berpendapat, ilmu pengetahuan sedia ada dalam diri setiap manusia berdasarkan surah al-A’raf ayat 172 yang bermaksud, “Allah bertanyakan kepada roh, Tidakkah aku Tuhanmu?” Roh menjawab : “Benar”.

Proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan ilmu pengetahuan, pelajar dan guru adalah proses bagi mengeluarkan segala potensi yang sedia ada dalam diri kanak-kanak bagi direalisasikan supaya kanak-kanak dapat menunjukkan akhlak yang baik. Justeru itu, guru memainkan peranan penting di samping ibubapa bagi menyucikan jiwa kanak-kanak. Ciri-ciri guru yang baik mengikut al-Ghazali adalah mempunyai akhlak yang baik, ilmu yang mendalam, ikhlas menyampaikan ilmu, perasaan belas kasihan kepada para pelajar dan sentiasa mengamalkan ilmu yang dimilikinya.

4 – Tarbiyyyah (Pengasuhan)

Asal perkataan tarbiyyah adalah daripada perkataan rabba. Rabba pula bermaksud memelihara, membela, menjadi besar, dan mengasuh walaupun tanpa ilmu pengetahuan. Al-Ghazali mengandaikan proses tarbiyyah seperti benih kurma yang disemai, kemudiannya membesar menjadi pokok kurma, bukannya pokok epal walaupun pertumbuhan pokok kurma itu tidak diberi perhatian khusus. Namun begitu, oleh kerana roh manusia dijadikan dengan fitrah semulajadi yang sentiasa cenderung kepada kesempurnaan dan ilmu pengetahuan, maka proses tarbiyyah sentiasa memerlukan penyucian jiwa dan ilmu pengetahuan supaya dapat berkembang dengan sempurna. Ilmu yang utama dan pertama diajar kepada anak-anak adalah ilmu agama dan al-Qur’an.

5 – Tahzib (Penyucian)

Tahzib bermaksud membersih, menyuci, dan mengemaskan sesuatu daripada sebarang kekotoran. Apabila dikaitkan dengan jiwa manusia, tahzib merujuk kepada penyucian akhlak. Definisi tahzib mengikut al-Ghazali ialah penilaian kendiri dalam usaha meningkatkan diri ke tahap yang lebih sempurna. Contohnya, tanda orang yang sabar adalah apabila perlakuan baik dapat dipamerkan secara semulajadi tanpa ada paksaan atau apabila orang yang mulia sentiasa menjadikan sedekah sebagai amalan biasa.

Konsep penyucian akhlak melibatkan keupayaan roh mengawal entity marah dan kehendak dengan baik melalui pelbagai usaha seperti bersungguh-sungguh dan disiplin kendiri yang tinggi. Apabila entity marah dan kehendak dapat diseimbangkan, jiwa manusia menjadi bersih dan dapat menzahirkan tingkah laku dan akhlak yang baik. Oleh itu, tujuan tahzib adalah menyucikan roh dan akhlak supaya individu dapat memahami ilmu ketuhanan dengan mudah. Empat asas kesempurnaan akhlak ( ummahat al-akhlak) mengikut al-Ghazali adalah :

i. Kebijaksanaan (hikmah) – iaitu dapat memahami kebenaran daripada kesilapan atas tindakan yang dipilihnya.

ii. Keadilan (‘adl) – iaitu jiwa yang dapat menahan marah dan hawa nafsu bagi membimbing manusia kea rah keselamatan dan kesejahteraan.

iii. Keberanian (syaja’ah) – ialah keteguhan hati bagi mempertahankan kebenaran, walaupun dicela dan tidak lupa diri walaupun dipuji.

iv. Memelihara diri daripada perkara negatif atau maksiat (‘iffah)

Kanak-kanak yang dididik melalui proses tahzib mudah bagi memahami konsep hikmah apabila mereka mencecah usia baligh. Pada peringkat ini, anak mempunyai kematangan akal, memahami konsep yang abstrak seperti hidup dan mati, serta memahami konsep sebab dan akibat pada hari akhirat. Oleh itu, proses tahzib perlu ditekankan semasa anak masih belum mencapai usia baligh.

Al-Ghazali menekankan kelima-lima elemen ini dalam pendidikan awal kanak-kanak bagi membentuk akhlak yang terpuji supaya mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.


Dipetik dari buku : Pendidikan Kerohanian dan Moral Prasekolah

Pengarang : Nik Rosila Nik Yaacob

Terbitan : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Tahun keluaran : 2010

No comments:

Post a Comment