Thursday, February 17, 2011

Wangian

Assalamualaikum wr. wbt...

Pagi Jumaat yang indah, namun hakikatnya setiap hari sama ada hari Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu merupakan hari yang indah semuanya kerana semua hari tersebut adalah ciptaan Yang Esa.

Sempena hari Jumaat ini, moleklah kiranya aku berkongsi sedikit info berkaitan wangi-wangian. Kebiasaannya pada setiap hari Jumaat, kaum Adam terutamanya akan memakai wangi-wangian ( minyak attar) untuk memasuki masjid bagi menunaikan Solat Jumaat. Terdapat perbahasan yang ketara dalam pemakaian minyak attar ini. Perbahasan tersebut lebih terarah kepada minyak attar yang mempunyai kandungan alkohol tidak dibenarkan dipakai untuk solat Jumaat atau dengan erti kata lain tidak boleh dipakai ketika ingin solat.

Terdapat beberapa riwayat yang jelas tentang perkaitan antara wangi-wangian itu dengan nikmat di syurga. Iman Ibnu Qayyim rah pernah menulis,

"Sesungguhnya Allah swt telah memperlihatkan kepada para hambaNya di dunia ini akan beberapa kesan yang berupa ciri-ciri syurga, Sebagai contohnya bau-bauan yang wangi dan sedap, kedinginan, pemandangan yang indah, buah-buahan yang baik-baik, segala nikmat kesukaan dan kesenangan."


Abu Sufyan dan Jabir r.a memberitakan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

"Allah s.w.t berfirman kepada Syurga, Wangilah untuk penghuni engkau!, lalu Syurga pun bertambah mewangi. Maka demikianlah bahawa hawa dingin(serta keenakan baunya) yang dirasai manusia (di dunia) dikala dinihari. Iaitu sebagaimana juga Allah menjadikan api di dunia dan kepedihannya, juga kegelisahan dan dukacitanya sebagai peringatan tentang api di Akhirat."

(Hadis Riwayat Abu Nu’aim)


Disini bagaimana dikaitkan syurga, satu nikmat dan anugerah Allah s.w.t kepada hambaNya yang paling bernilai dan tinggi pemberianNya kepada mereka yang bertakwa dengan sifat wangi. Malah terdapat banyak lagi riwayat-riwayat yang dikaitkan nikmat dan anugerah Allah s.w.t dengan sifat wangi. Wangi-wangian juga adalah merupakan kegemaran Rasulullah SAW,di mana beliau pernah bersabda yang bermaksud,

"Sesungguhnya Allah menyukai setiap yang berbau harum (wangi) dan suka pada pakaian yang bagus-bagus"

(Hadis Riwayat Ad-Dailami)


Rasulullah SAW sangat berminat dan memakai wangi-wangian, sebaliknya membenci bau-bauan yang busuk dan keji. Keadaan ini dirakamkan oleh sahabat Nabi SAW, iaitu Anas bin Malik r.a,

Sesungguhnya Nabi SAW tidaklah beliau menolak (apabila diberikan) wangi-wangian)


Kembali kepada persoalanan minyak wangi, bagaimana pandangan Islam terhadap penggunaan minyak wangi terutama bagi kaum wanita? Berikut beberapa penjelasan yang diambil dari buku al-Masaail Jilid 2 hal. 151 karya Ustadz Abdul Hakim bin Amir Abdat. Semoga dapat kita ambil hikmahnya dan tentunya dapat diamalkan oleh kita semua:-

  1. Nabi SAW bersabda "Barangsiapa yang diberi harum-haruman, maka janganlah ia menolaknya, kerana sesungguhnya ia ringan bebannya (ringan dibawa) dan harum baunya." (Shahih riwayat Ahmad, Nasa’i, Muslim, dan Abu Dawud dari Abu Hurairah).

  2. Nabi SAW bersabda "Diberi kecintaan kepadaku dari (urusan) dunia kamu, ialah wanita, harum-haruman/wangi-wangian, dan dijadikan kesejukan mataku di dalam solat." (Shahih riwayat Ahmad, Nasa’i, Hakim dan Baihaqi dari Anas bin Malik).

  3. Nabi SAW bersabda "Sebaik-baik harum-haruman (buat kamu) ialah : misk/kasturi." (Shahih riwayat Ahmad, Muslim, Abu Dawud, Nasa’i dari jalan Abu Said al Khudriy).

  4. Nabi SAW bersabda "Apabila salah seorang dari kamu (kaum wanita) menghadiri (solat) ‘Isya (di masjid) maka janganlah ia memakai wangi-wangian." (Shahih riwayat Muslim, Ahmad, Nasa’i dari jalan Zainab).

  5. Nabi SAW bersabda "Siapa saja perempuan yang memakai harum-haruman, maka janganlah ia menghadiri (solat) ‘Isya (di masjid) bersama kami." (Shahih riwayat Ahmad, Muslim, Abu Dawud, dan Nasa’i dari Abu Hurairah).

  6. Nabi SAW bersabda "Apabila seorang perempuan keluar ke masjid, maka hendaklah ia mandi (membersihkan diri) dari wangi-wangian sebagaimana ia mandi janabat." (Shahih riwayat Nasa’i dari Abu Hurairah).

  7. Nabi SAW bersabda "Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut)." (Shahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah).

  8. Nabi SAW bersabda "Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian ia keluar, lalu ia melewati suatu kaum (orang banyak) supaya mereka mendapati (mencium) baunya, maka dia itu adalah perempuan zina." (Hasan riwayat Ahmad, Nasa’i, Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Hibban, Hakim, Ibnu Khuzaimah, dan Thahawi dari Abu Musa).


Keterangan :

Hadis 1, 2, dan 3 di atas dengan jelas telah mengatakan : sangat disukainya kita memakai harum-haruman/ wangi-wangian. Dan hukum ini bersifat umum, yakni terkena kepada kaum lelaki dan wanita, kerana di hadis itu tidak dibezakan sama sekali di antara lelaki dan wanita. Bahkan dalam hadis pertama itu, ada larangan menolak pemberian harum-haruman. Sedangkan hadis ke-2 menunjukkan bahawa Nabi SAW amat menyukai wangi-wangian dan hadis ke-3 menyatakan bahawa ‘misk’ (minyak kasturi) adalah harum-haruman yang paling baik untuk kita pakai.

Hadis ke-4 & 5 itu menegaskan : haram hukumnya bagi kaum wanita keluar ke masjid untuk menghadiri solat Isya’ dengan memakai harum-haruman. Disebutnya lafaz Isya’ di sini tidak bererti menghadiri solat-solat lainnya adalah dibolehkan. Tidak sama sekali! Ini kerana, hadis ke-6 dan 7 itu bersifat umum mencakup seluruh aktiviti solat, baik solat fardhu mahupun solat-solat sunat (seperti solat tarawih dan solat hari raya). Disebutnya solat Isya’ dalam hadis ke-4 & 5 itu boleh jadi kerana fitnahnya lebih besar kerana solat Isya’ itu dikerjakan di waktu malam.

Hadis ke-6 itu menunjukkan : wajib hukumnya bagi kaum wanita yang hendak keluar masjid membersihkan dirinya dari wangi-wangian sebagaimana halnya ia mandi janabat (mandi hadas besar).

Hadis ke-7 itu mengandung hukum : Siapa saja perempuan yang keluar ke masjid dengan memakai wangi-wangian, maka solatnya tidak diterima oleh Allah SWT. Demikianlah secara zahirnya sabda Nabi SAW. Hendaklah hadis ini jadi perhatian betul-betul, kerana telah kita saksikan, umumnya kaum wanita pada zaman ini, jika mereka keluar ke kawasan yang lapang untuk solat hari raya atau aktiviti lainnya, maka kebanyakan mereka memakai wangi-wangian yang baunya tersebar ke mana-mana.

Dari hadis 4, 5, 6, & 7 serta keterangan-keterangannya dapatlah dengan mudah kita ketahui : Jika keluar ke tempat-tempat ibadah saja telah dilarang keras bagi kaum wanita memakai wangi-wangian, apatah lagi ke tempat-tempat lain seperti pergi ke pesta perkahwinan dan lain sebagainya. Sudah barang tentu larangannya bersifat lebih keras lagi.

Hadis ke-8 mengandung hukum : Kaum wanita telah dilarang keluar dari rumahnya dengan memakai wangi-wangian, meskipun bukan untuk atas niat menunjuk-nunjuk, tetapi sudah barang tentu orang di sekeliling akan mencium dan tertarik akannya. Jika perempuan tetap saja melanggar larangan tersebut, Nabi SAW menegaskan bahawa mereka adalah perempuan zina.


Bukan setakat itu sahaja, dalam kehidupan seharian pun apabila kita sesuatu perkara itu dikaitkan dengan wangi-wangian maka sudah semesti ianya adalah sesuatu yang mempunyai nilai yang tinggi. Contohnya apabila kita ingin memberikan hadiah atau sesuatu maka adalah lebih baik jika barang/hadiah diletakkan sedikat wangi-wangian agar lebih dirasai nilai pemberian itu. Jelaslah disini menunjukkan bahawa semua perkara yang baik dikaitkan dengan wangi-wangian manakala sesuatu perkara yang tidak baik dikaitkan dengan sesuatu perkara yang busuk. Terdapat banyak kitab-kitab oleh ulamak-ulamak terkenal yang menjelaskan bahawa malaikat menyukai wangi-wangian manakala iblis menyukai sesuatu perkara yang busuk.


Pernahkah kita terfikir, jika wangian tersebut tidak boleh dipakai ketika solat, adakah ianya HARAM? Jika haram, kenapa pula kita boleh memakainya ketika tidak solat? Adakah haram itu hanya sementara? Inilah sebenarnya kesalahfahaman pemikiran di kalangan umat Islam. Bila mendengar perkataan ALKOHOL, terus nampak kepada benda yang haram seperti alkohol dalam minuman keras dan terus menghukum haram pemakaiannya. Sebenarnya kandungan yang dinamakan alkohol dalam wangian adalah sejenis bahan kimia.

Jadi, kepada sahabat semua, sama-samalah kita membuka pemikiran kita ini dengan lebih luas agar perkara sebegini tidak menimbulkan isu. Mungkin ada di kalangan sahabat yang tidak bersetuju dengan pandangan aku ini. Oleh itu, sila2kanlah kalian memberi pandangan bersama.

* Haramnya wangi-wangian adalah kepada wanita yang memakainya di luar rumah dengan tujuan menarik perhatian ataupun tidak kerana wangian itu salah satu perhiasan wanita untuk suaminya sahaja.

1 comment: