Sunday, February 13, 2011

Pendekatan Mendidik Akhlak Kanak-kanak oleh Imam al-Ghazali (Part 1)

Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali lahir pada 1058M / 450H di Tusi, Khurasan. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang kuat berpegang kepada ajaran Islam. Bapanya berketurunan Parsi, bekerja sebagai pemintal benang dan mempunyai sebuah kedai. Sejak kecil, al-Ghazali suka mendalami ilmu pengetahuan dan belajar dengan ulama-ulama terkemuka. Pada zaman Nizam al-Muluk, beliau menjadi pensyarah di Universiti Baghdad selama empat tahun. Kemudian beliau menetap di Syam dan menghabiskan masanya dengan menulis kitab-kitab agung yang masih wujud hingga kini. Antara karya agungnya ialah Ihya' Ulumuddin, Mizan al-Amal, Tahafut al-Falasifah, Mishkat al-Anwar, Risalah al-Laduniyyah dan Munqidh min al-Dalal.

Pendekatan Mendidik Akhlak oleh al-Ghazali

Al-Ghazali menggunakan pendekatan tertentu dalam mendidik kanak-kanak sesuai dengan kehendak al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad SAW. Terdapat lima pendekatan yang digunakan oleh beliau iaitu mendidik (ta’dib), disiplin kendiri (riadah), megajar (ta’lim), pemeliharaan atau asuhan yang baik (tarbiyyah) dan penyucian (tahzib).

1 – Ta’dib (Mendidik)

Ta’dib berasal daripada perkataan adab yang bermaksud mengeluarkan fakulti atau tenaga dalaman yang terpendam dan secara semulajadinya cenderung kepada hakikat kebenaran supaya dimanifestasikan dalam bentuk tindakan atau tingkah laku. Al-Ghazali berpendapat, “ Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah dan kedua-dua ibubapanya bertanggungjawab bagi mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Kristian atau Majusi”.

Fitrah merujuk kepada naluri bagi mengenal, mentauhidkan Allah dan mencari hakikat kebenaran. Setiap kanak-kanak dilahirkan mempunyai pelbagai entiti yang terdiri daripada unsur intelek, emosi, material (tubuh badan), dan roh. Walaupun manusia pada hakikatnya baik, tetapi apabila berinteraksi dengan perkara-perkara yang bersifat kebendaan, ia mendorong berlakunya kejahatan. Ada anak yang dilahirkan dengan kecenderungan akhlak yang baik, tetapi ada juga yang dilahirkan dengan kecenderungan akhlak yang buruk. Oleh itu, kedua-dua unsur positif dan negatif wujud dalam diri manusia. Al-Ghazali berpandangan, ibu bapa perlu menerapkan akhlak yang baik dalam diri anak melalui agen sosialisasi utama sama ada pendidikan, amalan kebiasaan dan pergaulan dengan orang-orang yang berbudi pekerti mulia.

Akhlak terhasil akibat daripada wujudnya interaksi antara roh dan tindakan. Beliau berpandangan, kualiti roh sama ada cenderung ke arah baik atau jahat dipamerkan melalui perlakuan seorang anak. Dalam hal ini, kualiti merujuk kepada akhlak, manakala perlakuan merujuk kepada aktiviti anggota tubuh yang dapat dilihat. Konsep ta’dib pada kaca mata al-Ghazali adalah proses bagi mendisiplinkan aspek fizikal dan spiritual anak supaya transformasi dapat dilakukan sekiranya kualiti roh lebih cenderung kepada domain negatif. Anak-anak perlu dididik dengan perkara-perkara yang mudah dahulu sehingga mereka mampu menguasainya diikuti perkara-perkara yang lebih kompleks. Hal ini sesuai dengan perkembangan kognitif kanak-kanak yang belum mampu menguasai dan memahami perkara yang bersifat abstrak. Oleh itu, ilmu dan kemahiran yang disampaikan kepada anak-anak perlu sesuai dan selaras dengan kemampuan anak-anak.

Di samping mendidik kognitif, aspek fizikal kanak-kanak juga perlu dititikberatkan. Al-Ghazali berpendapat, kanak-kanak perlu diberi masa bagi bermain dan melakukan aktiviti-aktiviti pergerakan fizikal supaya tubuh badan menjadi sihat dan dapat menceriakan emosi mereka. Kestabilan fizikal dan emosi mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan kognitif kanak-kanak. Bermain juga adalah sifat semulajadi kanak-kanak. Apabila bermain, aspek-aspek nilai moral dapat diterapkan secara tidak langsung. Oleh itu, guru dan ibu bapa perlu member peluang kepada kanak-kanak untuk bermain bagi merehatkan minda dan menjauhkan diri daripada sifat malas.

2 – Riadah (Disiplin kendiri)

Al-Ghazali mendefinisikan riadah sebagai latihan kepada rih, bermula dengan latihan yang mudah kepada yang lebih kompleks melalui usaha yang bersungguh-sungguh dan berkala, sehingga tahap yang sukar dapat dicapai dan diamalkan dengan mudah. Riadah adalah salah satu cara bagi membentuk akhlak yang baik selain daripada cara-cara lain seperti mujahadah. Contohnya, bagi menjadikan anak yang baik, ibu bapa perlu sentiasa mempamerkan tingkah laku baik sama ada dari segi perbuatan, percakapan, atau naluri dalaman. Al-Ghazali membahagikan riadah kepada dua iaitu :

  • Penerapan adab dikaitkan dengan tabiat semulajadi roh yang cenderung kepada kebaikan.
  • Meneruskan objektif positif iaitu merujuk kepada niat yang baik.

Disiplin kendiri merangkumi kedua-dua aspek yang memerlukan penumpuan fizikal dan keinginan spiritual. Matlamat utama riadah adalah bagi membersihkan roh daripada akhlak yang keji seperti sikap tamak, marah dan sebagainya. Apabila roh, intelek, marah dan kehendak dalaman diseimbangkan, akhlak yang terpuji dan sifat adil lahir pada diri individu. Dengan ini, individu dapat mencapai tahap hikmah (akal yang sempurna) yang mana dapat membezakan antara perkara yang baik dengan yang jahat atau perkara yang betul dengan yang salah.

Bersambung …

Dipetik dari buku : Pendidikan Kerohanian dan Moral Prasekolah

Pengarang : Nik Rosila Nik Yaacob

Terbitan : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Tahun keluaran : 2010

No comments:

Post a Comment