Tuesday, February 22, 2011

5,774 calon STPM lulus penuh di Kelantan

KOTA BHARU 21 Feb. - Sebanyak 5,774 pelajar atau 96.23 peratus daripada 6,000 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di seluruh negeri ini mendapat kelulusan penuh.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, daripada jumlah itu, 3,365 calon atau 56.08 peratus mendapat empat dan lima prinsipal berbanding 3,245 pada tahun lalu.

Beliau berkata, dengan keputusan tersebut, peratusan calon STPM di Kelantan yang lulus penuh telah mengatasi keputusan peringkat nasional iaitu 92.49 peratus.

"Pada tahun ini sekali lagi negeri Kelantan mempunyai pelajar terbaik peringkat nasional.

''Pelajar itu ialah Ahmad Syakirin Johari dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa, Pasir Puteh dianugerahkan salah seorang pelajar cemerlang peringkat kebangsaan kategori calon istimewa dengan keputusan tiga prinsipal A, satu prinsipal A- dan satu prinispal B-.

"Seorang lagi calon kurang upaya dari sekolah yang sama iaitu Mohd. Hanif Hafizi yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah turut mencatatkan keputusan cemerlang dengan 5 prinsipal iaitu 1A, 3A- dan 1D," katanya pada sidang akhbar di Jabatan Pelajaran Negeri di sini hari ini.

Hussain berkata, 18 buah sekolah daripada 59 buah sekolah bantuan kerajaan di negeri ini berjaya mencapai keputusan 100 peratus dalam peperiksaan STPM tahun 2010.

Sekolah-sekolah tersebut ialah, SMK Sultan Ismail, SMK Dato' Ahmad Maher; SMK Kubang Kerian (2); SMK Agama Naim Lilbanat; SMK Zainab (1); SMK Ismail Petra; SMK Badak; SMK Agama Falahiah, Pasir Pekan; SMK Bachok dan SMK Tanah Merah (2).

SMK Perempuan Pasir Mas; SMK Mahmud Mahyiddin, Pasir Pekan; SMK Pahi; SMK Kampung Laut; SMK Tanah Merah (1); SMK Kubang Bemban; SMK Kamil; SMK Dato' Perdana dan SMK Ismail Petra.

Tambahnya, seramai 18 calon sekolah bantuan kerajaan telah memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 iaitu enam di Kota Bharu, tiga calon di Pasir Mas, dua calon di Pasir Puteh dan satu calon di Tumpat.

"Saya mewakili warga pendidik seluruh negeri Kelantan mengucapkan tahniah kepada semua calon yang telah berjaya dan kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen semua pihak terutama para pendidik, ibu bapa dan masyarakat amnya," katanya.

No comments:

Post a Comment