Oleh : Mohd Sabri Said
KEPALA BATAS, 28 April: Jasa dan pengorbanan guru takmir yang senantiasa memberikan ilmu di surau dan masjid seluruh Negeri Pulau Pinang tidak pernah dilupakan malahan selalu diingati kerana mereka ibarat cahaya yang menjadi pedoman kepada masyarakat.
Itulah antara kata-kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam (Maipp), Ustaz Saleh Man ketika merasmikan Ijtimak Guru-Guru Takmir Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Takmir Peringkat Negeri Pulau Pinang tahun 2011 di Auditorium Dewan Millenium Kepala Batas, kelmarin.
Baginya peranan yang dimainkan oleh guru takmir di surau mahupun di masjid tidak ternilai dengan wang ringgit walaupun wang merupakan sumber yang perlu ada untuk kehidupan masa sekarang.
"Jasa para Guru Takmir seluruh Pulau Pinang kita amat hargai maka hari ini Unit Takmir Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) meraikan mereka sekali lagi pada majlis ijtimak yang diadakan setiap tahun, " ujarnya.
Menurut beliau, walaupun pendapatan guru takmir tidak setinggi mana namun pengorbanan masa dan tenaga amat penting semata-mata untuk memastikan masyarakat Islam terus beriman, bertaqwa dan hidup dalam keberkatan.
Tidak dinafikan, teguran mereka menerusi kuliah yang diberikan kadang-kadang tidak boleh diterima oleh segelintir masyarakat tetapi hasil ketekunan serta berhemah rata-rata yang tidak faham mengenai ilmu Islam dapat menerima dengan ikhlas.
"Sebenarnya ramai lagi orang Islam sendiri yang tidak mahu hayati Islam secara menyeluruh, maka timbul konflik berkaitan sesuatu perkara. Setelah diberikan secara berhemah kini dah ramai faham," tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir.
Guru Takmir Cemerlang Peringkat Negeri Pulau Pinang 2011 jatuh kepada Tuan Guru Haji Abdul Aziz Haji Abdul Rahim.
Selain itu Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau cemerlang, Ustaz Farid Mohd Zaki, Penyelaras Masjid dan Surau Contoh Daerah Kepala Batas, Ustaz Haji Mohd Noor Husin dan Pembantu Takmir yang tidak putus-putus berusaha meningkatkan prestasi para Guru Takmir, Cik Asmah Musa juga dihargai.
No comments:
Post a Comment