Assalamualaikum wr. wbt...
Salam ukhwah penuh barakah di pagi Jumaat ini. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Ingatan juga kita panjatkan buat kaum kerabat Baginda, sahabat-saahabat Baginda, para syuhada dan seluruh umat Islam yang berjuang ke jalan Allah. Kelmarin (03032011) telah berlangsungnya Sambutan Maulidur Rasul di peringkat Twintech International University College of Technology. Majlis diadakan bermula jam 12.50 tengahari dan selesai sekitar jam 2.00 petang iaitu selepas solat Zuhur. Majlis ini diadakan secara ringkas namun dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Wan Mohd Azfar (pensyarah CLMS) dan Ustaz Abu Bakar (merangkap pengerusi majlis) telah memberikan input yang sangat berguna kepada diriku.
Apa yang ingin aku kongsikan di sini yang diambil daripada tazkirah tersebut adalah satu peristiwa @ kisah yang diceritakan berkaitan dengan perjumpaan Nabi Muhammad SAW dengan malaikat Jibril yang mana dalam pertemuan tersebut Baginda telah diberitahu oleh malaikat Jibril tentang keadaan NERAKA. Bermula dengan peringkat yang pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima dan sampai kepada peringkat keenam. Setelah habis menceritakan tentang peringkat keenam neraka, maka malaikat Jibril pun mendiamkan diri. Nabi Muhammad SAW merasa hairan kenapa malaikat Jibril tidak meneruskan @ menghabiskan tentang peringkat ketujuh neraka. Dengan nada yang sedih malaikat menjawab bahawa peringkat itu amat pedih untuk diceritakan. Namun Baginda SAW meminta agar diceritakan tentang peringkat ketujuh tersebut. Malaikat Jibril lantas menyatakan bahawa pada peringkat tersebut didiami oleh golongan yang melakukan DOSA-DOSA BESAR. Setelah mendengar jawapan daripada malaikat Jibril maka Nabi Muhammad SAW terus pengsan. Setelah beberapa ketika Baginda sedar dari pengsannya. Baginda mendapatkan malaikat Jibril dan bertanyakan soalan yang sama. Malaikat Jibril pun menjawab dengan jawapan yang sama iaitu peringkat tersebut didiami oleh golongan yang melakukan DOSA-DOSA BESAR.
Perkongsian kedua adalah berkaitan dengan "memberi dan menjawab salam". Dalam masyarakat kita sekarang masyarakat yang menggunakan nama Islam sebagai agama mereka telah lupa akan satu amalan yang begitu penting ini. Dalam satu majlis ilmu Nabi Muhammad SAW telah menceritakan kepada para sahabat dan hadirin yang hadir berkenaan dengan kelebihan memberikan salam. Setelah Baginda menceritakan kelebihan-kelebihan memberikan salam, maka para sahabat berebut-rebut untuk memberikan salam. Malah terdapat dalam satu hadith yang menceritakan bahawa ada seorang sahabat bersembunyi di sebalik pokok semata-mata untuk memberikan salam kepada Nabi Muhammad SAW ketika Baginda dalam perjalanan ke masjid. Namun Baginda terlebih dahulu memberikan salam kepada sahabat tersebut dari jauh lagi. Sahabat tersebut merasa hairan bagaimana Baginda tahu bahawa beliau bersembunyi di sebalik pokok pada ketika itu.
Melalui dua perkongsian ini, marilah kita sama-sama ambil iktibar. Bagi kita yang melakukan dosa-dosa besar, segeralah bertaubat. Sesungguhnya pintu taubat tidak pernah tertutup untuk setiap mukmin. Bertaubatkah dengan taubat nasuha iaitu sebenar-benar taubat. Bagi kita yang melakukan dosa-dosa kecil juga perlulah bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Semoga dengan keinsafan yang wujud dalam diri dapat menjamin kita di akhirat kelak.
Sama-samalah kita mengamalkan amalan memberi dan menjawab salam dalam kehidupan kita seharian.
Iblis menangis bila orang memberi salam...
Sabda Nabi Muhammad SAW: "Orang2 yg mendahului salam terlepas daripada sifat sombong,bongkak dan tinggi diri"
Sabda Nabi Muhammad SAW: "Wahai manusia sampaikanlah salam, berikanlah makan dan solatlah diwaktu malam, diwaktu orang-orang lain sedang tidur, maka kamu akan masuk syurga".
Sabda Rasulullah SAW:"Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat kamar yang bermacam-macam, semuanya boleh dilihat dari luar isi dalamnya dan dari dalam boleh lihat diluar. Di dalam syurga itu terdapat kenikmatan yang belum pernah dilihat oleh mata, yang belum didengar oleh telinga dan tidak pernah dibayang oleh hati manusia."
Lalu bertanya pula sahabat: "Ya Rasulullah, untuk siapakah kamar-kamar itu?"
Sabda Rasulullah SAW: "Ianya adalah bagi orang yang menyampaikan salam, bagi orang yg memberi makan, bagi orang yg selalu berpuasa, bagi orang yang mengerjakan solat malam ketika orang lain sedang tidur."
Bertanya para sahabat: "Siapakah yang kuat mengerjakan semua itu ya Rasulullah?
"Sabda Rasulullah SAW:"Akan aku terangkan kepada kamu semua:
1. Barang siapa bertemu dengan saudaranya (semua orang Islam) dan memberikan salam kepadanya, maka sesungguhnya dia telah menyiarkan salam.
2. Barang siapa yang memberi makan ahli keluarga/ anak isterinya hingga kenyang maka sesungguhnya ia telah memberi makan.
3. Barangsiapa berpuasa dalam bulan Ramadhan, kemudian dia puasa enam hari dalam bulan syawal (selain 1 Syawal, diharam puasa) bererti dia sudah sentiasa berpuasa sepanjang tahun.
4. Barangsiapa solat Isyak dan solat subuh berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mengerjakan solat malam ketika orang lain sedang tidur.
Sabda Rasulullah SAW:"Barang siapa yang berbicara sebelum memberi salam, maka janganlah kamu jawab."
Ibnu Abbas ra berkata: "sesungguhnya Iblis yang terkutuk itu menangis, sewaktu seseorang mukmin itu bersalam dan dia mengeluh: "Aduh celaka, kedua mukmin itu tidak berpisah keduanya melainkan diampuni dosanya".
*Peringatan kepada diri sendiri
No comments:
Post a Comment