ENAM tahun lalu, Muhammad Jais Mariapan Muniandy Abdullah, 31, pernah ditertawa dan diperlekeh oleh warga Yemen. Padahal kunjungannya ke negara tersebut membawa harapan yang tinggi iaitu mahu melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Pengajian Islam dan Adab di Universiti Sains dan Teknologi Sana’a, Yemen.
Boleh dikatakan saban hari ada saja kata-kata perlian yang singgah ke telinga anak kelapan daripada sembilan orang adik-beradik itu. Pada mulanya, dia menganggap gurauan kasar tersebut sebagai salam perkenalan daripada masyarakat tempatan. Sebaliknya, kata-kata perlian itu memang disengajakan semata-mata mahu mengenakan pemuda yang mesra disapa Jais itu.
“Sebabnya? Kerana saya tidak fasih bertutur dalam bahasa Arab. Orang Yemen terlalu menyanjungi dan memartabatkan bahasa Arab kerana ia merupakan bahasa ibunda.
“Jadi sebab itulah mereka mahu sesiapa saja yang mengunjungi negara mereka baik untuk melancong, bekerja atau belajar perlu tahu serba sedikit bahasa berkenaan,” jelas Jais yang hanya fasih bertutur dalam bahasa Tamil, Melayu dan Inggeris.
Memeluk Islam secara rasminya pada 3 Julai 1998, Jais mengakui dia tidak pernah didedahkan apatah lagi mempunyai kecenderungan mempelajari bahasa Arab. Sewaktu menuntut di pondok Pasir Tumbuh Kota Bharu, Kelantan, proses pembelajarannya lebih fokus pada kelas fardu ain, mengaji al-Quran dan belajar menulis serta membaca jawi.
Enggan membiarkan dirinya terus dipersenda, anak kelahiran Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor itu mengambil inisiatif menetap di Pusat Bahasa Arab berhampiran universitinya selama dua tahun.
Dalam tempoh tiga bulan Jais menumpukan sepenuh perhatian pada kelas bahasa Arab kendalian tenaga pengajar di pusat itu dan rakan-rakan yang fasih berbahasa Arab. Tidak hanya bergantung kepada kuliah, Jais turut menghabiskan masa di perpustakaan untuk membaca buku bahasa Arab.
Berusaha menghafal
“Saya berusaha menghafal bermacam-macam perkataan dalam bahasa Arab. Ini termasuklah melakukan latihan menulis ayat dan bertutur dalam bahasa Arab dengan rakan-rakan.
“Bagi meningkatkan lagi penguasaan bahasa Arab saya, buat sementara waktu saya mengelakkan diri berkawan atau bertemu rakan-rakan dari Malaysia kerana tidak mahu terdedah pada bahasa Melayu,” jelas Jais yang sehingga kini tidak dapat melupakan kaedah yang dilakukan rakan-rakannya supaya dia dapat menguasai bahasa Arab dengan baik.
Tambah mualaf yang baru mendirikan rumah tangga pada tahun lalu: “Hampir dua tahun rutin harian saya diisi dengan kuliah, proses mengulangkaji dan mendalami bahasa Arab. Jadi, suatu hari rakan-rakan membawa saya ke pasar, bukan untuk membeli barang tetapi untuk belajar bahasa Arab.
“Kata mereka pasar antara kelas yang paling ideal untuk saya berkomunikasi dengan struktur ayat yang betul. Menerusi proses jual dan beli kita dapat memperbaiki kelemahan ayat. Pada mulanya, memang kekok dan tunggang terbalik bahasa Arab saya, tetapi bersyukur kerana para penjual tidak lokek berkongsi ilmu dengan membetulkan susunan ayat saya.
Memahami al-Quran
Tahun ini genap tiga tahun, Jais menguasai bahasa Arab. Dia berharap supaya umat Islam khususnya dapat menguasai bahasa ini agar dapat memahami dengan lebih jelas ayat al-Quran dan hadis, memandangkan kedua-dua sumber rujukan Islam itu hadir dalam bahasa Arab.
“Kebaikan mendalami bahasa Arab memberi keinsafan kepada saya setiap kali membaca al-Quran, ketika menunaikan solat dan doa-doa yang dibaca setiap hari. Saya dapat memahami makna ayat-ayat surah yang dibaca. Lagipun ia merupakan bahasa pertuturan nabi Muhammad S.A.W dan bahasa syurga.
“Bagi saya bahasa Arab dianggap bahasa global selepas bahasa Inggeris. Lihat saja situasi penggunaan bahasa tersebut pada hari ini. Ia bukan sahaja dipraktikkan di kalangan orang Arab dan Muslim malah bahasa Arab berjaya memikat masyarakat di seantero dunia tanpa mengira agama dan bangsa untuk mendalami dan mempelajarinya,” tutur Jais ketika ditemui Kosmo! di pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Wee Soo Yen, 16, yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan antara individu yang berjaya membuktikan masyarakat Cina juga mampu menguasai bahasa Arab dengan baik. Meskipun menyedari dalam budaya Cina sendiri mempunyai pelbagai cabang bahasa seperti Mandarin, Kantonis, Hokkien atau Teo Chew yang boleh dipelajari, namun remaja yang gemar tersenyum itu lebih tertarik pada bahasa Arab.
Kesungguhannya mempelajari bahasa Arab dalam tempoh dua tahun tanpa jemu telah membawanya pada puncak kejayaan yang mengagumkan banyak pihak. Pada Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun lalu, Soo Yen mencatatkan keputusan cemerlang 8A dalam semua subjek termasuklah Bahasa Arab.
Calon tunggal
Lebih membanggakan, anak sulung daripada dua orang adik-beradik itu merupakan calon tunggal bukan Melayu di Kelantan yang menduduki peperiksaan kertas Bahasa Arab Komunikasi, sekali gus melayakkan Soo Yen menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2011.
“Bersyukur dengan nikmat yang dikecapi. Saya tidak menyangka sama sekali bakal memperoleh keputusan A dalam subjek bahasa Arab, memandangkan ia antara bahasa asing bagi saya yang berketurunan Cina. Pada mulanya, saya pun ragu-ragu untuk belajar bahasa ini tetapi kerana terlalu mencintai pelbagai bahasa maka saya nekad.
“Lagipun saya sudah mengusai bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Hokkien, Mandarin dan Kantonis dengan baik. Jadi, apa salahnya saya mempelajari bahasa Arab pula,” jelas Soo Yen yang kini mula berjinak-jinak belajar bahasa Korea menerusi Internet.
Menyorot kisahnya mendalami bahasa Arab, semuanya tercetus ketika dia belajar di Sekolah Kebangsaan Badak, Bachok, Kelantan. Pada waktu itu penggemar sambal belacan itu seronok melihat teletah rakan-rakan Melayunya mengikuti mata pelajaran Jawi di dalam kelas.
Keseronokan tersebut secara tidak langsung mendorongnya untuk mendalami subjek yang sama. Lagipun tulisan jawi digunakan secara meluas di negeri Cik Siti Wan Kembang. Pada peringkat permulaan, dia diperkenalkan dengan abjad-abjad jawi sebelum beralih pada proses menulis dan kaedah membaca ayat jawi.
“Namun saya berpeluang mempelajari subjek Jawi sehingga darjah dua saja. Walaupun sedih kerana tidak dapat meneruskan mata pelajaran Jawi tetapi kekecewaan itu terubat apabila memasuki sekolah menengah. Sebaik mengetahui pihak sekolah menawarkan subjek bahasa Arab untuk calon- calon PMR, saya menyampaikan hasrat untuk mendalami bahasa berkenaan kepada ustazah.
“Nasib baik saya mempunyai asas menulis dan mengenal huruf jawi, jadi ia memudahkan saya untuk menulis perkataan dan menulis ayat dalam bahasa Arab. Tetapi kesukaran belajar Arab ini sebenarnya terletak pada aspek tatabahasa dan proses menghafal.
Bayangkan, saya perlu menghafal banyak perkara seperti benda, hidupan, makanan, kata hubung dan kata kerja dalam bahasa Arab,” jelas Soo Yen ketika ditemui Kosmo! di Putrajaya, baru-baru ini.
Sehubungan itu, bagi menguasai bahasa Arab pada tahap yang lebih baik, anak kepada pasangan Wee Hock Lim dan Soo Ah Khem itu memperuntukkan masa selama dua jam setiap hari untuk proses menghafal dan berlatih menulis bahasa Arab.
Bagi mengelakkan perkataan yang dihafalnya sentiasa tersemat dalam memori, dia kerap mencatat dalam sebuah buku nota kecil. Pada masa yang sama, Soo Yen merujuk pada buku teks dan kamus Oxford bahasa Arab yang dibelinya.
“Bahasa Arab memang sukar untuk dikuasai tanpa latihan hafalan, tulisan dan komunikasi yang secukupnya. Sebab itu, di sekolah saya mengambil kesempatan berbahasa Arab bersama kawan-kawan dan ustazah. Itu saja cara yang sesuai kerana di rumah saya dan keluarga berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Hokkien,” tutur gadis manis itu yang menyifatkan keistimewaan bahasa Arab terletak pada keunikan sebutan, penyusunan kata dan ayatnya.
Latihan komprehensif
|
|
Dalam pada itu guru Bahasa Arab di SMK Bachok, Romahani Daud, 40, memuji keberanian Soo Yen belajar dan menduduki peperiksaan PMR untuk subjek bahasa Arab. Biarpun terpaksa bersaing dengan rakan sekelas yang majoritinya berketurunan Melayu dan terbiasa pada bahasa Arab dan tulisan jawi sejak kecil, tetapi ia sedikitpun tidak mematahkan semangat Soo Yen.
“Soo Yen merupakan pelajar yang paling menonjol di dalam kelas sehinggakan dia sentiasa menjadi rujukan rakan-rakannya yang lain. Resipi kejayaannya terletak pada kesungguhan dan sikapnya yang tidak malu bertanya. Kadangkala tanpa perlu dipanggil dia sendiri datang berjumpa kami untuk bertanya soalan.
“Pretasi pelajar bahasa Arabnya sebelum ini tidaklah begitu memberangsangkan. Dia pernah memperoleh 60 peratus dan kemudian meningkat sehingga 70 peratus. Pihak sekolah yakin Soo Yen mampu mencapai kejayaan cemerlang selepas dia mencatat gred A dalam percubaan PMR,” jelas ibu kepada lima orang cahaya mata itu.
Tambah Romahani yang telah berkhidmat selama empat tahun di sekolah berkenaan, sesiapa pun berpeluang mempelajari bahasa Arab mahupun bahasa-bahasa lain. Asalkan mereka rajin membaca dan faham setiap perkataan yang dipelajari.
Mengubah persepsi masyarakat
Menyentuh mengenai bangsa asing terutamanya bukan Muslim yang mempelajari bahasa Arab, guru bahasa Arab Naimah Ab. Rahman, 50, ia satu petanda positif yang perlu diteruskan bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.
Situasi ini membuktikan bahawa pengetahuan bahasa Arab juga ada keunikan dan kepentingan tersendiri.
“Terlalu banyak kelebihan mendalami bahasa syurga ini terutamanya buat golongan pelajar, ahli korporat dan golongan profesional. Seperti yang kita sedia maklum sesiapa yang memohon belajar di Asia Barat salah satu kriterianya perlu mahir berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Arab.
“Selain itu, ia memudahkan ahli perniagaan yang ingin menjalankan urusan niaga di negara Asia Barat. Malangnya, ramai di kalangan kita memandang enteng pada penguasaan bahasa Arab. Mereka anggap ia sukar untuk dipelajari sedangkan para pelajar akan diajar dengan teknik-teknik yang betul.
“Sebagai tenaga pengajar bahasa Arab, saya berharap agar pihak bertanggungjawab mengadakan kempen untuk mempromosikan keistimewaan dan kepentingan bahasa Arab,” tutur graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan bahasa Arab itu.
No comments:
Post a Comment