Sunday, December 26, 2010

Curang, SMS, Jahil Agama!

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Entah di mana silapnya, perceraian kini telah menjadi trend atau lumrah dalam perkahwinan di negara ini khususnya di kalangan pasangan Islam.

Bayangkan pada 2009 sahaja, secara purata setiap hari terdapat 75 pasangan Islam bercerai manakala keseluruhannya, 27,116 pasangan bercerai pada tahun berkenaan.

Siasatan Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini mengenal pasti beberapa punca perceraian dengan sebahagiannya bercerai pada usia awal perkahwinan termasuk kurang daripada setahun. Antaranya adalah:

  • Kecurangan salah seorang daripada pasangan atau kedua-duanya menerusi Internet atau alam siber. Menggunakan laman sosial seperti Facebook untuk mengembalikan semula hubungan dengan kekasih lama atau bermain kayu tiga dengan ‘kekasih gelap’.
  • Masalah rumah tangga diluahkan secara terbuka menerusi Internet atau laman-laman sosial menyebabkan ia menjadi lebih parah. Masing- masing mencari rakan-rakan dalam talian untuk memberi nasihat, bukannya kepada saluran yang betul.
  • Telefon bimbit juga punca perceraian. Ia berlaku apabila salah seorang mendapat tahu pasangannya berhubung dengan lelaki atau perempuan lain sama ada melalui panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS).
  • Pasangan cuai dalam hubungan dengan Allah atau jahil tentang agama. Ada suami atau isteri yang malas untuk menunaikan solat lima waktu hingga merunsingkan pasangan, akhirnya berlaku perceraian.
  • Keperluan duniawi seperti wang yang tidak cukup untuk memuaskan hati pasangan masing-masing. Sedangkan kos hidup semakin meningkat.
  • Campur tangan pihak ketiga sebagai penghasut, khususnya bekas kekasih atau ahli keluarga terdekat, mendorong suami isteri berpisah.
  • Terdapat juga penceraian yang berlaku kerana isteri memohon cerai disebabkan tidak mahu dimadukan.
  • Dalam pada itu, terdapat dakwaan bahawa fenomena jodoh singkat ini berkait rapat dengan kursus kahwin yang sudah tidak lagi relevan.

    Sebaliknya, wartawan turut menyertai kursus kahwin selama dua hari itu mendapati, modul kursus memang meliputi semua aspek persediaan dalaman dan luaran serta penyelesaian konflik selepas berkahwin.

    Namun, apa yang membimbangkan adalah sikap peserta kursus yang bakal menjadi suami isteri, menganggap mudah kursus tersebut dan hadir semata-mata untuk mendapatkan sijil.

    Ikuti beberapa kisah responden yang berkongsi kisah dan cerita dengan wartawan Unit Khas Utusan Malaysia dalam pencarian punca ‘jodoh singkat’ dan trend penceraian di kalangan masyarakat hari ini.

    Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

    No comments:

    Post a Comment