Friday, May 8, 2009

Laman web hina Islam

PULAU PINANG 8 Mei - Seorang kakitangan akademik Universiti Sains Malaysia (USM) membuat laporan polis berhubung satu klip video dalam laman web http://www.youtube.com yang didakwa menghina dan mempersendakan agama Islam.

Pensyarah di Jabatan Komunikasi USM, Prof. Madya Muhammad Hatta Muhammad Tabut berkata, klip video selama 1 minit 23 saat itu dimuat turun ke dalam laman web tersebut oleh seorang yang menamakan dirinya sebagai Streeticeshark kira-kira dua bulan lalu.

Katanya, klip video yang memaparkan seorang lelaki yang hanya berseluar tanpa baju sedang menyembah potongan ayat al-Quran sambil menyebut 'sabda Rasulullah, marilah kita semua orang Melayu makan babi' telah dilayari oleh 9,032 pengunjung laman web berkenaan.

''Lelaki itu juga kemudiannya mengajuk laungan azan. Perkara seumpama ini memang tidak boleh diterima dan perlu disekat penyebarannya kerana ia jelas menghina agama Islam khususnya berkaitan dengan hukum yang telah termaktub.

''Penyiarannya boleh mencetuskan ketidakpuasan hati, menggugat keharmonian antara kaum dan menimbulkan prasangka kaum dan agama di negara ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani di sini hari ini.

Turut hadir membuat laporan polis ialah dua rakannya, Mohd. Zain Dolah dan Ismail Hashim.

Menurut Muhammad Hatta, hasil siasatan pihaknya terhadap laman web berkenaan menunjukkan ia telah didaftarkan di Kota Bharu, Kelantan berdasarkan alamat Internet Protokol (IP).

P/s : Bahan drp Utusan Malaysia (09-05-2009)

No comments:

Post a Comment