Saturday, May 9, 2009

Keimanan Pembentuk Sahabat Sejati

SAHABAT...satu wadah yang ingin aku bicarakan pada kali ini. Di mana sahaja kita berada, kita perlukan sahabat. Jika seseorang yang tidak mahu bersahabat, dia adalah seorang yang tidak normal. Aku teringat kata-kata Saidina Ali ibn Abi Talib yang mengatakan bahawa selemah-lemah manusia ialah orang yang tidak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang dicari.

Persahabatan bukan terjadi dalam masa yang singkat, namun ia mengambil masa yang panjang umpama menajamkan besi untuk dijadikan pedang. Persahabatan adalah suatu yang diwarnai suka dan duka, senyum tawa serta pelbagai lagi ragam dan pengalaman.

Sahabat yang aku maksudkan ialah sahabat sejati iaitu sahabat yang membantu ketika kita berada dalam kesusahan dan tidak meninggalkan kita ketika kita benar-benar memerlukan sokongan dan dorongan daripadanya. Sahabat sejati juga merupakan sahabat yang dapat membimbing kita ke arah kebaikan dan menghindar kita dari keburukan.

Sahabat sejati dikatakan tidak menyebunyikan kesilapan sahabatnya kerana bimbangkan perselisihan yang terjadi, sebaliknya memberanikan diri menegur jika sahabatnya melakukan kesilapan. Itulah sahabat sejati. Bukan hanya pandai mengampu dan mengambil kesempatan, sebaliknya saling ingat-mengingati, tolong-menolong, bantu-membantu dan hormat-menghormati.

Syarat tali persaudaraan boleh menjadi kukuh menurut al-Quran ialah jika anda dan sahabat disatukan oleh ikatan iman. Bukan kerana ikatan perniagaan atau assabiah jahiliah. Ia terlalu rapuh untuk dipegang, bahkan dua insan boleh dirosakkan oleh hubungan sebegitu.

Jika untung boleh jadi kawan, rugi pula saling tikam menikam. Masa berkuasa semua menyokong jika jatuh tanpa kuasa tiada seorang pun mahu menolong. Begitu pula di dunia, mereka boleh jadi sahabat rapat saling menguntungkan tetapi di akhirat, mereka menjadi musuh yang saling cela mencela.

Ketika di dunia mereka saling tolong menolong pada jalan batil, jika seseorang melakukan kejahatan maka sahabatnya itu malah memuji dan mengampu kerana mahu mengambil kesempatan atas kelemahan saudaranya.

Iman menjadi penyatu dua hati, jika iman berbicara sikap ditunjukkan seseorang kepada saudaranya benar-benar bersih daripada kepentingan dunia. Dia berdiri sebagai pendamping yang jujur dalam menyatakan pandangannya, tidak ada apa yang ditutupi, yang pahit sama ditelan yang manis sama dirasa.

Dialah penasihat paling ikhlas demi kebaikan saudaranya, dia mewarnai pemikiran dan perasaan, pandangan dan sikap saudaranya dengan nilai agama yang membawa suasana harmoni di antara dua hati. Matlamat mereka bertemu dan bersahabat ialah kerana Allah SWT, agenda mereka rancang bersama ialah demi cita-cita akhirat. Tidak sesekali mereka biarkan dunia menghancurkan persahabatan itu.

Rasulullah SAW bersabda mengenai keperibadian sahabat sejati yang bermaksud:

“Mahukah kamu aku beritahukan mengenai orang baik di kalangan kamu? Para sahabat menjawab: Ya Wahai Rasulullah. Baginda SAW bersabda: Apabila kamu memandang kepada mereka, kamu teringat kepada Allah. Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi, bermaksud: “Mahukah kamu aku beritahukan orang yang jahat di kalangan kamu? Mereka ialah orang yang suka melaga-lagakan antara dua orang, yang suka merosakkan hubungan kasih sayang antara mereka yang berkasih sayang dan suka mencari aib cela orang yang baik-baik.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Jika kita memandang ke wajah seseorang diberkati Allah SWT, seolah-olah memancar cahaya keimanan yang menembusi hati kita, aura iman itu mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan kita kepada kelemahan diri.

Tetapi kadang-kadang kita bertemu seseorang yang membawa aura jahat daripada kalbunya sehingga pantulannya mempengaruhi pemikiran, sikap dan matlamat kita. Bukan senang untuk meenjumpai seseorang yang benar-benar ikhlas mahu bersahabat kerana Allah SWT, mungkin disebabkan diri kita sendiri belum lagi baik maka susah sungguh untuk bertemu sahabat yang benar-benar baik dijadikan sahabat sejati.

No comments:

Post a Comment