Sunday, July 17, 2011

Satu hari nanti BUDU berada di Tembok Besar China

KOTA BHARU, 15 Julai: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Festival Makanan Antarabangsa Cheng Ho Kelantan 2011 (KELCHEFF) yang berlangsung di negeri ini akan menjadi platform sebagai merintis pasaran baru produk makanan di negara ini khususnya Kelantan di China.

Beliau berkata Kelantan yang mempunyai pelbagai produk makanan unik dan menarik yang memiliki potensi tersendiri untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa khususnya negara berkenaan.

Menurutnya, budu yang menjadi trade mark pada negeri ini tidak mustahil suatu hari nanti akan dipasarkan di luar negara.

"Kalau boleh kita mahu satu hari nanti budu berada di Tembok Besar China," ujarnya ketika berucap merasmikan Ekspo Cheng Ho di sini petang semalam.

Festival makanan itu berlangsung selama 10 hari bermula semalam bersebelahan Bazar Tok Guru dengan menempatkan 260 gerai termasuk dari Pulau Pinang, Kedah, China, Kemboja.

Beliau seterusnya berharap selain produk makanan negara China diperkenalkan di negeri Kelantan, produk masakan tempatan juga diberikan peluang untuk diperkenalkan ke negara itu.

Antara persembahan menarik ialah pertunjukan mi tarik yang dipersembahkan seorang chef dari Xinjiang, China, Abdullah Ma Yan Lu.

Sementara itu, Pengerusi Induk KelCheff, Datuk Husam Musa, berkata orang ramai berpeluang membeli belah disitu menggunakan dinar dan dirham.

Menurutnya, dirham mencapai pencapaian tertinggi kenaikannya sejak ianya dilancarkan tahun lalu dengan jumlah RM731 untuk satu dinar, walaupun minggu lalu terdapat sedikit penurunan.


*Pakat2 g kat Festival Makanan Antarabangsa Cheng Ho Kelantan 2011 (KELCHEFF).. (",)

No comments:

Post a Comment