KOTA BHARU, 5 Julai: “Kami menjadi mangsa percaturan persatuan. Kami kesal sangat dan tak sangka dipermainkan persatuan sendiri.
”Tapi kesal pun dah tak berguna dah sekarang. Begitu setia kami kepada persatuan ketika itu. Ketika diminta kerajaan negeri membuat pendaftaran awal kami enggan kerana mengikut arahan persatuan.
“Sedangkan ada orang kuat Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB senyap-senyap daftar,” dedah seorang peniaga ketika ditemui di Bazar Tok Guru.
Isu Bazar Tok Guru menjadi kalut apabila Umno Kota Bharu dan Kelantan bertengek di situ kononnya mahu membela persatuan dengan menghodohkan kerajaan negeri.
Lebih setahun kerajaan negeri dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menjadi mangsa kritikan media massa yang dekat dengan Umno.
Kemuncaknya Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh mencetak risalah dikenali sebagai Khabar dan diedar di masjid-masjid bagi menghentam kerajaan negeri.
Sedangkan nasib peniaga tetap dibela kerajaan negeri apabila mengurangkan harga asal daripada RM88,000 kepada RM65,000 di tingkat bawah dan satu.
Malah peniaga juga diberi kelonggaran berniaga secara percuma selama setahun di tingkat bawah dan dua tahun di tingkat satu.
Peniaga terbabit mendedahkan lagi kerana percayakan persatuan mereka tidak mengendahkan kemudahan ditawar kerajaan negeri untuk mendaftar lebih awal.
Rungutan serupa juga disuarakan beberapa lagi peniaga. Tanpa mahu mendedahkan nama mereka sekarang seperti sesal tak sudah.
Sebahagian peniaga membuka kedai mereka mulai semalam. Selain ada juga peniaga sibuk memunggah barang ke dalam lot kedai.
Biar pun sibuk mengemas dan menyusun barangan jualan, semakin ramai pelanggan datang membeli-belah.
Bazar Tok Guru dijangka menjadi tumpuan ramai apabila berlangsung Ekspo masakan Cheng Ho (Kelantan Chengho International Food Festival 2011 - Kelchef). Program bertaraf antarabangsa itu pertama kali diadakan di negara ini, dianjurkan kerajaan Kelantan.
Kelchef akan diadakan bermula 14 hingga 23 Julai ini berhampiran Bazar Tok Guru. Tahun lepas kerajaan negeri menganjurkan Ekspo Cheng Ho di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV.
Seorang lagi peniaga, Sarina Abdul Rashid, 35, ketika ditemui berharap rezeki mereka bertambah di tempat baru terutama ketika berlangsung Kelchef.
“Pelanggan tak ramai lagi kerana tempat baru. Saya minta kerajaan negeri terus mempromosikan tempat ini.
“Kita juga berharap perasmian tempat ini diadakan sekali dengan solat hajat yang amalan biasa bagi umat Islam,” ujarnya.
Zuraidah Ishak, 53, tersenyum pada hari kedua berniaga di Bazar Tok Guru kerana pelanggan mula datang.
Rosnani Yusof, 35, pula mencadangkan PMBK membina peneduh tambahan bagi menghalang tempias apabila hujan lebat. Selain itu dibina pagar di setiap tangga bagi memudahkan warga emas dan kanak-kanak turun naik.
No comments:
Post a Comment