Friday, July 29, 2011

Ijtima' Tarbawi pemuda PAS di Kelantan

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Selepas diadakan di Masjid Rusila pada tahun lalu, Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS Pusat bagi tahun ini pula akan berlangsung di negeri Serambi Mekah, Kelantan Darul Naim.

Program tersebut yang bakal menghimpunkan seluruh pemuda PAS dari seluruh negara akan diadakan pada 7 hingga 9 Oktober ini.

Ketua penerangannya, Riduan Mohamad Nor berkata ianya bakal menampilkan tokoh-tokoh pendakwah, murabbi dan ulama' PAS untuk berkongsi ilmu dan pandangan mereka.

"Program himpunan tarbiah ini akan menghimpunkan tokoh-tokoh tarbiah PAS seperti Tuan Guru Mursyidul Am, Tuan Guru Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Dewan Ulama, Murabbi tarbiah, termasuk tokoh undangan daripada gerakan fenomenal dunia iaitu Ikhwanul Muslimin," katanya kepada Harakahdaily.

Ijtima' Tarbawi merupakan kesinambungan program besar Dewan Pemuda PAS iaitu Ijtimak ‘Alami yang pernah diadakan pada tahun 1989 dan 1994 di tempat yang sama iaitu Masjid Rusila Terengganu.

Dewan Pemuda PAS semenjak dekad 60an telah ratusan kali mengadakan ijtimak tarbawi dalam kerangka mencetak kader-kader dakwah.

Dalam dekad kebangkitan Islam pula, selepas peralihan kepimpinan ulama, pelbagai ijtimak tarbawi diadakan dengan menggunakan pelbagai jenis tema seperti ijtimak mustad’afin, ijtimak penerangan dan sebagainya, namun yang paling berskala besar ialah ijtimak alami yang menghimpunkan tokoh-tokoh besar gerakan Islam antarabangsa, termasuk daripada gerakan Jamiat Islami, Ikhwanul Muslimin dan juga gerakan Islam yang lainnya.

"Dewan Pemuda PAS Pusat sangat berbesar hati mengundang seluruh amilin, pendokong-pendokong harakatul ummah ini untuk membanjiri bumi serambi Mekah yang telah lebih dua dekad diterajui oleh kepimpinan ulama.

"Ahli-ahli PAS seluruh negara dijemput hadir, tidak terhad kepada jaringan pemuda tetapi program ini mengundang juga muslimat, Nisa, warga kampus, veteran parti, pelajar-pelajar sekolah dan seluruh penyokong dan pendokong perjuangan Islam," kata Riduan yang juga anggota jawatankuasa panatia bagi program tersebut.

Penganjur ujarnya menjangkakan puluhan ribu peserta yang hadir lebih dari kehadiran program sama di Terengganu pada tahun lalu.

"Jika BERSIH dapat menghimpunkan seratus ribu rakyat prihatin, mengapa tidak Ijtimak yang penting ini kita himpunkan seramai mungkin ahli-ahli jemaah," katanya.

No comments:

Post a Comment