KOTA BHARU, 23 Jun: Setelah berkhidmat selama 33 tahun Dato’ Mohd Aiseri Alias hari ini menamatkan tugasnya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Beliau yang akan bersara wajib 26 Jun ini mulai menjawat jawatan tersebut pada 10 Ogos 2004 menggantikan Dato’ Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasum.
Tempatnya diganti Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim.
Mohd Aiseri sebelum berada di kedudukan paling tinggi sebagai pentadbir kerajaan negeri memegang pelbagai jawatan antaranya Ketua Jajahan Tanah Merah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.
Dr Zainuddin yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan mula memikul tanggungjawab baru pada 27 Jun ini sebagai SUK ke-17.
Majlis serah tugas diadakan hari ini di Dewan Teratai Kota Darulnaim dengan disaksikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan negeri serrta Persekutuan.
Berucap pada majlis itu Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih di atas peranan yang diberikan Mohd Aiseri dalam membangunkan kerajaan dan rakyat Kelantan.
”Banyak idea yang disumbangkan olehnya dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat. Terima kasih yang tidak terhingga,” katanya.
No comments:
Post a Comment