Thursday, June 16, 2011

Bahaya Menabur Fitnah

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi mukmin yang sejati dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal Alamin.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada kita. Di antara nikmat yang utama yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada hambanya ialah lidah. Lidah mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat banyak, bagi mereka yang menjaga dan menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir kepada Allah Subhanahu Wata'ala, membaca Al-Quran, berdakwah menyeru manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan memberi nasihat serta teguran yang berguna kepada sesama manusia. Sesungguhnya lidah itu merupakan nikmat yang amat berharga kerana itu kita hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah.

Namun dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia bukan sahaja menyebar fitnah menggunakan lisan, tetapi juga melalui kecanggihan teknologi maklumat, samada melalui media cetak mahupun media elektronik. Tujuan kemudahan itu dicipta adalah untuk memudahkan kita melihat, mendengar dan menyebarkan apa jua berita dan maklumat tentang keadaan yang berlaku di sekeliling kita, samada apa yang berlaku di dalam negeri mahupun di luar negeri. Oleh itu kita hendaklah menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut dengan baik dan bijaksana. Namun apa yang membimbangkan pada masa ini terdapat segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakannya untuk menyebarkan berita-berita yang tidak benar, khabar-khabar angin apatah lagi yang mengandungi unsur-unsur fitnah.

Ahli jumaat yang dirahmati Allah,

Kita perlu mengetahui fitnah itu adalah satu perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang. Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang dan memfitnah pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan sesuatu pihak yang dilakukan samada dengan perkataan atau tulisan atau isyarat dan gerakan dan sebagainya, samada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan. Orang yang membuat fitnah itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut atau mengadu domba.

Adapun perbuatan fitnah itu hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Qalam ayat 10-11 tafsirnya:

"Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci, lagi yang suka menyabarkan fitnah hasutan".

Diriwayatkan daripada Huzaifah Radiallahu Anha, beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:

"Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba)".

Daripada dalil-dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang sangat dilarang dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian, kita hendaklah memelihara diri dan keluarga kita dari perbuatan menabur fitnah. Maka apabila disampaikan kepada kita suatu berita yang memburuk-burukkan orang lain, maka kita hendaklah memelihara diri kita daripada mendengarnya dan menghebah-hebahkannya kepada orang lain.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Memang tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan kita berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, sememangnya kita tidak dapat mengelakkan diri dari mendengar berita-berita atau cerita-cerita yang diperbualkan ketika bertemu, samada ketika berada di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis kenduri atau di kedai-kedai makan dan sebagainya. Dalam hal sedemikian, jika kita mendengar perbualan yang boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang direka-reka, memburukkan orang lain, memfitnah dan sebagainya, maka kita hendaklah berusaha mengelakkan diri kita daripadanya, seperti tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan itu kerana orang yang membawa fitnah itu adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang fasik dan berita yang dibawa oleh mereka itu tidak boleh dipercayai.

Selain itu, kita sepatutnya melarang orang yang membawa fitnah itu daripada meneruskan perbuatannya dan menasihatinya serta menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah salah di sisi agama. Janganlah pula cerita yang disampaikan oleh orang yang memfitnah itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari samada benar atau sebaliknya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Hujuraat ayat 21, tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain".

Ahli jumaat yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa tidak ada orang yang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita orang, apatah lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah fitnah semata-mata. Oleh itu jika mendengar sesuatu cerita, berita atau khabar-khabar angin, maka hendaklah orang yang mendengar cerita, berita atau khabar-khabar angin itu tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang telah diceritakan kepadanya. Sebagaimana kita tidak suka diri kita diperkatakan orang, sepatutnya kita tidak juga memperkatakan tentang orang lain.

Jika difikirkan, apakah kebaikan yang boleh diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian? Ia tidak lain hanyalah mengembirakan orang yang berhati busuk. Sedangkan sebenarnya mereka itu telah diperdaya oleh syaitan sehingga mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak salah tetapi sebenarnya adalah buruk dan berdosa besar. Perkara ini bukan sahaja dilarang oleh agama islam, bahkan undang-undang dalam bernegara juga menegahnya dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi jika fitnah itu boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara, begitu juga dengan perbuatan mereka-reka dan menyebarkan khabar angin, baik dilakukan secara individu atau kumpulan, yang bertujuan untuk memfitnah atau mengaibkan maruah atau martabat mana-mana pihak, maka dalam hal ini, perbuatan tersebut akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan sebagai langkah dalam memastikan keharmonian dan kententeraman awam.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai bahan renungan, pernah berlaku suatu perisriwa di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, yang lebih dikenalkan dalam kitab-kitab 'Sirah' Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam sebagai 'Hadisul Ifkhi', bila mana terjadinya fitnah ke atas isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam iaitu Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha.

Dalam peristiwa tersebut, Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah difitnah oleh orang-orang 'munafik' yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, dan beberapa orang di kalangan Muslimin telah terpengaruh dengan cerita fitnah yang disebarkan itu. Mereka menabur fitnah mengatakan bahawa Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah berlaku curang atau membuat hubungan sulit dengan seorang sahabat yang terkenal jujur dan amanah iaitu Safwan bin Al-Muathal. Akhirnya Allah Subhanahu Wata'ala menurunkan ayat Al-Quran sebagai penjelasan bersihnya Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha di atas fitnah yang dilemparkan ke atasnya.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Nuur ayat 19, tafsirnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman,mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian".

Muslimin yang berbahagia,

Membuat fitnah itu dipandang berat dan berat dan dilarang oleh agama islam sebab ia boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh menimbulkan kepada perpecahan dan huru-hara. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab diakhirat kelak. Ingatlah! Bahawa semua anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi saksi di depan penghakiman Allah Subhanahu Wata'ala pada hari kiamat.

Akhirnya peliharalah diri dari perbuatan fitnah dan menaburnya. Didiklah diri kita, keluarga kita dan masyarakat dengan saling menasihati dan tegur menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi membawa kepada dosa-dosa besar seperti membuat dan menabur fitnah. Semoga dengan sedemikian, kita dapat menikmati kehidupan yang aman tenteram, dan sentiasa mendapat petunjuk, hidayah dan berkat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Yarabal Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah Ayat 191 tafsirnya:

"Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan".

(Teks khutbah Jumaat di atas dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam yang dibacakan di seluruh masjid negara itu pada 10 Jun lalu. Rujuk: http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_info&pg=bm_info_khutbah&ac=464)

No comments:

Post a Comment