Friday, October 7, 2011

LAUNGAN MAHUKAN HUDUD BERGEMA DI STADIUM

KOTA BHARU, 7 Okt: Puluhan ribu rakyat Kelantan menyatakan dengan tegas mahukan hukum hudud dilaksanakan di negeri ini, ketika perundangan Islam itu cuba dipertikai sesetengah pihak.

Tanpa tolenrasi lagi mereka melaungkan perkataan mahu hudud berkali-kali. Puluhan ribu rakyat Kelantan berhimpun di Stadium Sultan Mohammad Ke IV malam tadi bagi meluahkan keinginan mereka.

Program yang dinamakan Himpunan Kesyukuran ekoran penerimaan rakyat Kelantan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) membuatkan stadium bola menjadi sesak dengan lautan manusia.

Program bermula jam 5 petang dengan jamuan rakyat. Sebelum itu jam 2 petang diadakan Wacana Pelaksanaan Hudud khusus untuk kakitangan dan pegawai kerajaan negeri bertempat di Kota Darulnaim.

Selain itu selepas solat Asar Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil institusi pondok agama dari seluruh Kelantan di JKR 10.

Kemuncaknya solat hajat diimamkan sendiri Menteri Besar di atas padang berbumbung langit berselimut tiupan angin malam selepas solat Isya.

Program itu bermula dengan solat Maghrib, diikuti kuliah agama disampaikan Senator Datuk Dr Johari Mat.

Biar pun malam sebelumnya hujan turun hampir setiap malam, namun malam tadi suasana cerah, seakan-akan membawa doa puluhan ribu rakyat Kelantan mengadap Allah Taala.

Kerajaan dan rakyat Kelantan sudah menunaikan tanggungjawab mereka mendaulatkan hukum Islam sebagaimana dituntut agama, cuma pelaksanaannya terhalang kerana tidak mendapat kerjasama pemerintahan di Putrajaya.

Pakar undang-undang perlembagaan dari UIA, Prof Dr Abdul Aziz Bari melahirkan keyakinan kemenangan besar Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990 kerana kemahuan tinggi rakyat Kelantan terhadap hudud.

Oleh itu katanya kejayaan cemerlang itu boleh diulangi pada pilihan raya umum ke-13, apabila rakyat bekerja lebih keras untuk memastikan pelaksanaan perundangan Islam dapat dilaksanakan.

”Sama seperti sistem perbankan Islam yang dicetus pada 1970-an, pada peringkat awal mendapat tentangan hebat. Namun sekarang hampir kesemua institusi kewangan melaksanakan perbankan tanpa riba.

”Begitu juga dengan hudud di mana ada pihak yang menentang dan tidak yakin, namun lambat laun rakyat akan menerimanya.

”Kelantan boleh melaksananya dengan syarat tidak ada pihak yang cuba sabotaj dan menyekat,” katanya pada program berkenaan.

Hadir sama Ketua Pembangkang di parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan wakil-wakil rakyat.

Dr Abdul Aziz juga mencadangkan kerajaan meminda atau menghapuskan Akta Mahkamah Syariah pindaan 1985 bagi membolehkan perundangan hudud dilaksanakan.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata, rakyat Kelantan memilih PAS sejak 1990 sehingga sekarang kerana mereka yakin kerajaan yang ada sekarang bertanggungjawab terhadap amanah Allah.

Bagaimanapun beliau melahirkan rasa hairan pemimpin Umno yang juga beragama Islam tidak bersetuju terhadap hukum tersebut.

”Kalau pemimpin DAP tidak bersetuju ia tidak menjadi persoalan sangat kerana mereka bukan beragama Islam,” ujarnya.

Anwar menegaskan setiap seorang Islam wajib mempunyai keyakinan terhadap perundangan Islam tanpa kompromi lagi.

Menurutnya negara sudah lama merdeka, namun kefahaman rakyat terhadap agama semakin bercelaru kerana tomahan dimainkan media massa.

2 comments:

  1. salam 'alaik, syeikh.

    Demo g ko? kemah2

    ReplyDelete
  2. w`salam wr. wbt...

    xdea nok g cz maklumat sapa lewat ko kawe gak..kebetulan hari kijo, kena stay kijolh...(",)

    ReplyDelete