PENGKALAN CHEPA, 9 Mei: Kerajaan Kelantan membelanjakan sejumlah RM458,500 kepada 917 orang pelajar cemerlang bagi peperiksaan SPM, STAM dan STPM sama ada di bawah kelolaan Yik mahupun Jabatan Pendidikan Negeri.
Setiap pelajar cemerlang itu masing-masing mendapat RM500 seorang dan sumbangan kali ini merupakan tahun ketiga berturut-turut.
Peruntukkan itu bagaimanapun dijangka bertambah memandangkan masih ramai lagi pelajar cemerlang di negeri ini termasuk di luar Kelantan belum mendaftar untuk mendapatkan sumbangan cenderahati itu.
Dari 917 orang penerima, hanya 12 orang yang bernasib baik menerima sumbangan itu dari Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Tuan Guru ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah kecemerlangan peperiksaan 2010 di Putik, dekat sini sebentar tadi berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai golongan ilmuan bermula di peringkat bawahan hingga ke institusi pondok.
Menurutnya, Islam begitu menggalakkan umatnya mencari ilmu kerana dengannya manusia dapat mengurus alam ini dengan lebih sempurna.
“Kerana itu walaupun dengan rezeki yang begitu terbatas, kerajaan negeri amat menghargai mereka khususnya pelajar cemerlang.
“Saya mewakili kerajaan negeri juga mengucapkan tahniah kepada ibubapa kerana berjaya mendidik anak-anak hingga menjadi pelajar yang cemerlang,”ujarya.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah Arshad, dalam ucapannya mengharapkan semua pelajar cemerlang tanpa mengira bangsa dan agama diharap bukan sahaja dapat menjaga Kelantan, sebaliknya negara agar lebih aman.
Menurutnya semua lapisan masyarakat bertanggugjawab menjaga keamanan negeri dan negara mengikut ilmu yang ada pada diri masing-masing. |
No comments:
Post a Comment