Monday, October 26, 2009

Haji Wan Musa bin Haji Abdul Samad

Tokoh yang terkenal dengan fikiran-fikiran yang berani dan tegas tetapi kontroversial ini dilantik menjadi Mufti pada 19hb. Januari 1090, tidak lama selepas penamatan tempoh perkhidmatan Mufti sebelumnya - Haji Wan Ishak. Beliau ialah Mufti Kerajaan Negeri Kelantan yang ke-3 selepas Haji Nik Wan Daud dan Haji Wan Ishak.

Anak Tuan Tabal, beliau dilahirkan di Lorong Tok Semian, Kota Bharu pada tahun 1875. Belajar agama dia Mekah kepada guru-guru yang terkenal, antaranya Syeikh Hasbullah, Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Dandrawi, Syeikh Wan Ahmad bin Wan Mohd. Zain al-Fatani dan lain-lain. Banyak membaca kitab-kitab golongan reformis Islam serta meneliti perkembangan politik dunia melalui majalah-majalah terkemuka di dalam dan di luar negeri seperti al-Manar, al-Urwah, al-Wuthqa, al-Imam dan lain-lain.

Sikapnya yang tegas serta pandangan-pandangannya yang cenderung kepada fahaman pembaharuan (reformasi) telah menyeret beliau ke dalam kancah pertelagahan pendapat dengan tokoh-tokoh kaum tua. Antara isu-isu kontroversial yang berbangkit sehubungan dengan pendapat beliau ialah isu membina masjid dengan harta zakat fitrah, persoalan muqaranah sembahyang, talqin, kain telekung sembahyang, talfiq mazhab, hukum jilatan anjing, jualan harta wakaf dan lain-lain. Kerana yakin kepada pendapat-pendapat yang pernah dikemukakannya tetapi tidak mendapat sambutan daripada kaum tua, beliau kemudiannya memilih meletak jawatan Mufti pad akhir Jun 1916.

Selepas meletak jawatan, beliau mengajar di suraunya di Jalan Merbau, Kota Bharu. Di bawah bimbingan beliau, lahirlah sejumlah ulama-ulama progresif di Kelantan. Antaranya termasuklah Haji As'ad Kangkung, Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Dato' Haji Ahmad Maher, Mualana Haji Abdullah Nuh (Pasir Puteh), Haji Ayub Kemboja, Haji Abd. Manan Sumatera, Haji Abd. Wahid Sungai Udang (Melaka), Haji Nik Mat Alim Pulau Melaka (ayahanda kepada Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato' Haji Nik Abd. Aziz - Menteri Besar Kelantan sekarang), Haji Ismail Lundang Paku, Haji Nik Abd. Rahman Palekbang serta lima orang putera-putera beliau sendiri (Haji Nik Abdullah, Haji Nik Mat Nazir, Haji Nik Mahmud, Haji Nik Muhamad Salleh dan Haji Nik Muhamad Mahyudin).
Meninggal dunia pada petang hari Sabtu, 14hb Januari 1939 ketika berusia 65 tahun.

No comments:

Post a Comment