Monday, March 7, 2011

Sunnah Rasulullah SAW

Hadith:

DARI Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Jika kamu memakai sandal (kasut), pakailah yang kanan terlebih dahulu. Tetapi jika membukanya, yang kiri dahulu dibuka. Maka yang kanan adalah yang mula-mula dipakai dan yang terakhir dibuka."

Riwayat al-Bukhari

Huraian Hadith:

Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan terbaik dalam segenap aspek tatacara hidup seorang Muslim sama ada dari segi tutur katanya, tingkahlakunya, ibadahnya dan lain-lain lagi.

Baginda mengajar kita adab sopan yang sepatutnya yang membezakan kita dengan penganut agama yang lain.

Walau sekecil manapun sesuatu itu, terdapat banyak hikmah tertentu yang baik dari segi agama mahupun ilmu perubatan yang melaluinya jelas membuktikan akan kebenaran agama Islam selaku agama fitrah yang sesuai bagi seluruh umat manusia.


Baca selanjutnya...

Risiko penghidap diabetes mati awal

Kencing manis atau diabetes dipercayai meningkatkan risiko kematian yang dikaitkan dengan saluran darah seperti kanser payu dara dan radang paru-paru.

Kes yang pernah dirujuk kepada sebuah pusat kesihatan di New York membuktikan penghidap diabetes yang berusia 50 tahun meninggal dunia enam tahun lebih awal berbanding individu yang tidak menghidap penyakit itu.

Kajian yang dijalankan untuk menyukat tahap diabetes itu mendapati penyakit tersebut turut meningkatkan risiko kematian pramatang yang disebabkan kegagalan fungsi sistem saluran darah.

Ujar seorang penyelidik dari Universiti Cambridge di Britain, Dr. John Danesh, diabetes semakin mengancam kesihatan masyarakat dunia.

"Ketika kebanyakan orang beranggapan masalah jantung menjadi punca utama kematian, diabetes pula mengejutkan kita apabila muncul sebagai pemangkin utama kepada penyakit lain di dalam tubuh manusia," katanya.

Tambahnya, perokok jangka panjang juga menjadi penyebab pengurangan jangka hayat manusia selama 10 tahun berbanding individu yang tidak merokok.

Diabetes tersenarai sebagai tujuh penyakit utama penyebab kematian di Amerika dengan 26 juta rakyatnya menghidap penyakit itu.

Diabetes terjadi apabila kadar insulin dalam badan dihasilkan terlalu sedikit atau langsung tidak boleh digunakan untuk menghasilkan gula dalam darah.

Selain itu, diabetes dikaitkan dengan obesiti melampau yang menyebabkan risikonya bertambah dua kali ganda untuk pesakit diserang lemah jantung atau strok.

Namun, mereka juga mendapati 25 peratus pesakit diabetes lebih berisiko menderita kanser dan maut akibat kehadiran pelbagai penyakit lain termasuk jangkitan, komplikasi jantung dan buah pinggang selain kemalangan.

Dalam kes jangkitan penyakit berbahaya, diabetes melemahkan sistem imunisasi badan pesakit sekali gus memudahkan peluang virus menyerang sistem tubuh.

Diabetes juga boleh menyebabkan masalah penglihatan dan kegagalan sistem saraf pada kaki seterusnya mendorong seseorang itu terlibat dalam kemalangan.
Baca selanjutnya...

Kisah pencinta bahasa al-Quran




ENAM tahun lalu, Muhammad Jais Mariapan Muniandy Abdullah, 31, pernah ditertawa dan diperlekeh oleh warga Yemen. Padahal kunjungannya ke negara tersebut membawa harapan yang tinggi iaitu mahu melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Pengajian Islam dan Adab di Universiti Sains dan Teknologi Sana’a, Yemen.

Boleh dikatakan saban hari ada saja kata-kata perlian yang singgah ke telinga anak kelapan daripada sembilan orang adik-beradik itu. Pada mulanya, dia menganggap gurauan kasar tersebut sebagai salam perkenalan daripada masyarakat tempatan. Sebaliknya, kata-kata perlian itu memang disengajakan semata-mata mahu mengenakan pemuda yang mesra disapa Jais itu.

“Sebabnya? Kerana saya tidak fasih bertutur dalam bahasa Arab. Orang Yemen terlalu menyanjungi dan memartabatkan bahasa Arab kerana ia merupakan bahasa ibunda.

“Jadi sebab itulah mereka mahu sesiapa saja yang mengunjungi negara mereka baik untuk melancong, bekerja atau belajar perlu tahu serba sedikit bahasa berkenaan,” jelas Jais yang hanya fasih bertutur dalam bahasa Tamil, Melayu dan Inggeris.

Memeluk Islam secara rasminya pada 3 Julai 1998, Jais mengakui dia tidak pernah didedahkan apatah lagi mempunyai kecenderungan mempelajari bahasa Arab. Sewaktu menuntut di pondok Pasir Tumbuh Kota Bharu, Kelantan, proses pembelajarannya lebih fokus pada kelas fardu ain, mengaji al-Quran dan belajar menulis serta membaca jawi.

Enggan membiarkan dirinya terus dipersenda, anak kelahiran Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor itu mengambil inisiatif menetap di Pusat Bahasa Arab berhampiran universitinya selama dua tahun.

Dalam tempoh tiga bulan Jais menumpukan sepenuh perhatian pada kelas bahasa Arab kendalian tenaga pengajar di pusat itu dan rakan-rakan yang fasih berbahasa Arab. Tidak hanya bergantung kepada kuliah, Jais turut menghabiskan masa di perpustakaan untuk membaca buku bahasa Arab.

Berusaha menghafal

“Saya berusaha menghafal bermacam-macam perkataan dalam bahasa Arab. Ini termasuklah melakukan latihan menulis ayat dan bertutur dalam bahasa Arab dengan rakan-rakan.

“Bagi meningkatkan lagi penguasaan bahasa Arab saya, buat sementara waktu saya mengelakkan diri berkawan atau bertemu rakan-rakan dari Malaysia kerana tidak mahu terdedah pada bahasa Melayu,” jelas Jais yang sehingga kini tidak dapat melupakan kaedah yang dilakukan rakan-rakannya supaya dia dapat menguasai bahasa Arab dengan baik.

Tambah mualaf yang baru mendirikan rumah tangga pada tahun lalu: “Hampir dua tahun rutin harian saya diisi dengan kuliah, proses mengulangkaji dan mendalami bahasa Arab. Jadi, suatu hari rakan-rakan membawa saya ke pasar, bukan untuk membeli barang tetapi untuk belajar bahasa Arab.

“Kata mereka pasar antara kelas yang paling ideal untuk saya berkomunikasi dengan struktur ayat yang betul. Menerusi proses jual dan beli kita dapat memperbaiki kelemahan ayat. Pada mulanya, memang kekok dan tunggang terbalik bahasa Arab saya, tetapi bersyukur kerana para penjual tidak lokek berkongsi ilmu dengan membetulkan susunan ayat saya.


Memahami al-Quran

Tahun ini genap tiga tahun, Jais menguasai bahasa Arab. Dia berharap supaya umat Islam khususnya dapat menguasai bahasa ini agar dapat memahami dengan lebih jelas ayat al-Quran dan hadis, memandangkan kedua-dua sumber rujukan Islam itu hadir dalam bahasa Arab.

“Kebaikan mendalami bahasa Arab memberi keinsafan kepada saya setiap kali membaca al-Quran, ketika menunaikan solat dan doa-doa yang dibaca setiap hari. Saya dapat memahami makna ayat-ayat surah yang dibaca. Lagipun ia merupakan bahasa pertuturan nabi Muhammad S.A.W dan bahasa syurga.

“Bagi saya bahasa Arab dianggap bahasa global selepas bahasa Inggeris. Lihat saja situasi penggunaan bahasa tersebut pada hari ini. Ia bukan sahaja dipraktikkan di kalangan orang Arab dan Muslim malah bahasa Arab berjaya memikat masyarakat di seantero dunia tanpa mengira agama dan bangsa untuk mendalami dan mempelajarinya,” tutur Jais ketika ditemui Kosmo! di pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Wee Soo Yen, 16, yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan antara individu yang berjaya membuktikan masyarakat Cina juga mampu menguasai bahasa Arab dengan baik. Meskipun menyedari dalam budaya Cina sendiri mempunyai pelbagai cabang bahasa seperti Mandarin, Kantonis, Hokkien atau Teo Chew yang boleh dipelajari, namun remaja yang gemar tersenyum itu lebih tertarik pada bahasa Arab.

Kesungguhannya mempelajari bahasa Arab dalam tempoh dua tahun tanpa jemu telah membawanya pada puncak kejayaan yang mengagumkan banyak pihak. Pada Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun lalu, Soo Yen mencatatkan keputusan cemerlang 8A dalam semua subjek termasuklah Bahasa Arab.

Calon tunggal


SOON YEN (tengah) bersama rakan-rakannya mempelajari bahasa Arab dengan bimbingan guru Naimah Abd. Rahman.


Lebih membanggakan, anak sulung daripada dua orang adik-beradik itu merupakan calon tunggal bukan Melayu di Kelantan yang menduduki peperiksaan kertas Bahasa Arab Komunikasi, sekali gus melayakkan Soo Yen menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2011.

“Bersyukur dengan nikmat yang dikecapi. Saya tidak menyangka sama sekali bakal memperoleh keputusan A dalam subjek bahasa Arab, memandangkan ia antara bahasa asing bagi saya yang berketurunan Cina. Pada mulanya, saya pun ragu-ragu untuk belajar bahasa ini tetapi kerana terlalu mencintai pelbagai bahasa maka saya nekad.

“Lagipun saya sudah mengusai bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Hokkien, Mandarin dan Kantonis dengan baik. Jadi, apa salahnya saya mempelajari bahasa Arab pula,” jelas Soo Yen yang kini mula berjinak-jinak belajar bahasa Korea menerusi Internet.

Menyorot kisahnya mendalami bahasa Arab, semuanya tercetus ketika dia belajar di Sekolah Kebangsaan Badak, Bachok, Kelantan. Pada waktu itu penggemar sambal belacan itu seronok melihat teletah rakan-rakan Melayunya mengikuti mata pelajaran Jawi di dalam kelas.

Keseronokan tersebut secara tidak langsung mendorongnya untuk mendalami subjek yang sama. Lagipun tulisan jawi digunakan secara meluas di negeri Cik Siti Wan Kembang. Pada peringkat permulaan, dia diperkenalkan dengan abjad-abjad jawi sebelum beralih pada proses menulis dan kaedah membaca ayat jawi.

“Namun saya berpeluang mempelajari subjek Jawi sehingga darjah dua saja. Walaupun sedih kerana tidak dapat meneruskan mata pelajaran Jawi tetapi kekecewaan itu terubat apabila memasuki sekolah menengah. Sebaik mengetahui pihak sekolah menawarkan subjek bahasa Arab untuk calon- calon PMR, saya menyampaikan hasrat untuk mendalami bahasa berkenaan kepada ustazah.

“Nasib baik saya mempunyai asas menulis dan mengenal huruf jawi, jadi ia memudahkan saya untuk menulis perkataan dan menulis ayat dalam bahasa Arab. Tetapi kesukaran belajar Arab ini sebenarnya terletak pada aspek tatabahasa dan proses menghafal.

Bayangkan, saya perlu menghafal banyak perkara seperti benda, hidupan, makanan, kata hubung dan kata kerja dalam bahasa Arab,” jelas Soo Yen ketika ditemui Kosmo! di Putrajaya, baru-baru ini.

Sehubungan itu, bagi menguasai bahasa Arab pada tahap yang lebih baik, anak kepada pasangan Wee Hock Lim dan Soo Ah Khem itu memperuntukkan masa selama dua jam setiap hari untuk proses menghafal dan berlatih menulis bahasa Arab.

Bagi mengelakkan perkataan yang dihafalnya sentiasa tersemat dalam memori, dia kerap mencatat dalam sebuah buku nota kecil. Pada masa yang sama, Soo Yen merujuk pada buku teks dan kamus Oxford bahasa Arab yang dibelinya.

“Bahasa Arab memang sukar untuk dikuasai tanpa latihan hafalan, tulisan dan komunikasi yang secukupnya. Sebab itu, di sekolah saya mengambil kesempatan berbahasa Arab bersama kawan-kawan dan ustazah. Itu saja cara yang sesuai kerana di rumah saya dan keluarga berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Hokkien,” tutur gadis manis itu yang menyifatkan keistimewaan bahasa Arab terletak pada keunikan sebutan, penyusunan kata dan ayatnya.

Latihan komprehensif


JAIS menajamkan kemahirannya dalam bahasa Arab dengan banyak bertutur bahasa tersebut.


Dalam pada itu guru Bahasa Arab di SMK Bachok, Romahani Daud, 40, memuji keberanian Soo Yen belajar dan menduduki peperiksaan PMR untuk subjek bahasa Arab. Biarpun terpaksa bersaing dengan rakan sekelas yang majoritinya berketurunan Melayu dan terbiasa pada bahasa Arab dan tulisan jawi sejak kecil, tetapi ia sedikitpun tidak mematahkan semangat Soo Yen.

“Soo Yen merupakan pelajar yang paling menonjol di dalam kelas sehinggakan dia sentiasa menjadi rujukan rakan-rakannya yang lain. Resipi kejayaannya terletak pada kesungguhan dan sikapnya yang tidak malu bertanya. Kadangkala tanpa perlu dipanggil dia sendiri datang berjumpa kami untuk bertanya soalan.

“Pretasi pelajar bahasa Arabnya sebelum ini tidaklah begitu memberangsangkan. Dia pernah memperoleh 60 peratus dan kemudian meningkat sehingga 70 peratus. Pihak sekolah yakin Soo Yen mampu mencapai kejayaan cemerlang selepas dia mencatat gred A dalam percubaan PMR,” jelas ibu kepada lima orang cahaya mata itu.

Tambah Romahani yang telah berkhidmat selama empat tahun di sekolah berkenaan, sesiapa pun berpeluang mempelajari bahasa Arab mahupun bahasa-bahasa lain. Asalkan mereka rajin membaca dan faham setiap perkataan yang dipelajari.

Mengubah persepsi masyarakat

Menyentuh mengenai bangsa asing terutamanya bukan Muslim yang mempelajari bahasa Arab, guru bahasa Arab Naimah Ab. Rahman, 50, ia satu petanda positif yang perlu diteruskan bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Situasi ini membuktikan bahawa pengetahuan bahasa Arab juga ada keunikan dan kepentingan tersendiri.

“Terlalu banyak kelebihan mendalami bahasa syurga ini terutamanya buat golongan pelajar, ahli korporat dan golongan profesional. Seperti yang kita sedia maklum sesiapa yang memohon belajar di Asia Barat salah satu kriterianya perlu mahir berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Arab.

“Selain itu, ia memudahkan ahli perniagaan yang ingin menjalankan urusan niaga di negara Asia Barat. Malangnya, ramai di kalangan kita memandang enteng pada penguasaan bahasa Arab. Mereka anggap ia sukar untuk dipelajari sedangkan para pelajar akan diajar dengan teknik-teknik yang betul.

“Sebagai tenaga pengajar bahasa Arab, saya berharap agar pihak bertanggungjawab mengadakan kempen untuk mempromosikan keistimewaan dan kepentingan bahasa Arab,” tutur graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan bahasa Arab itu.

Baca selanjutnya...

Iktibar dari Siri Kekalahan PAS

Oleh : Abd Shukur Harun

Ada beberapa iktibar dari siri kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil yang lalu – yang terkini Kerdau dan Merlimau. Petunjuk dan iktibar ini sangat perlu diberikan perhatian oleh PAS di semua peringkat.

Petunjuk itu ialah:

1. Persiapan PAS di peringkat akar umbi masih lemah, masih berada di ‘zon selesa’.

2. Kerja-kerja secara ad-hock dilakukan ketika kempen.

3. Belum mampu menangkis tohmahan BN bahawa PAS menjadi alat DAP untuk melemahkan ‘kuasa’ Melayu.

4. Berkesannya kempen perkauman yang masih ditiupkan oleh BN, terutama di kawasan pedalaman.

5. Penerangan PAS di peringkat akar umbi masih lemah.

6. Belum ada keupayaan PAS mendekati dan seterusnya menawan hati pengundi, khususnya di kawasan pedalaman.

7. Kesedaran politik di kalangan kebanyakan pengundi di pedalaman masih di tahap rendah.

Adalah sangat ketara dalam siri pilihan raya kecil di mana belum ada persiapan cukup di peringkat cawangan, kawasan, bahkan peringkat negeri untuk bertanding, walaupun keghairahan untuk bertanding di kalangan ahli sangat tinggi.

Sesetengahnya pula sentiasa membina harapan tinggi kepada pertolongan para pendukung PAS dari negeri-negeri lain. Dengan itu apabila berlaku pilihanraya kecil, biasanya yang diutamakan ialah mencari tempat untuk petugas luar beroperasi.

Ini bukanlah tidak penting, tetapi yang paling utama ialah mengatur gerak kerja peringkat cawangan, UPU dan sebagainya. Kemudian barulah membuat persiapan untuk menerima petugas luar kawasan.

Pimpinan negeri di mana pilihan raya akan diadakan belum dapat mengukur secara konkrit kekuatan sendiri di Dun atau Parlimen yang hendak ditandingi oleh PAS. Adalah tidak munasabah jika kekuatan diukur berdasarkan andaian atau agakan semata-mata.

Disebabkan belum cukup persiapan, maka kerja-kerja yang dilakukan seperti mengenal pasti kedudukan pengundi dan kaedah mendekatinya telah dibuat secara ad-hock. Hasilnya mengecewakan.

Sementara itu isu-isu yang dikira berkesan untuk diketengahkan kepada pengundi juga tidak dibincangkan secara khusus dan terperinci.

Yang paling ketara pendukung PAS belum dapat menangkis secara berkesan fitnah BN bahawa PAS menjadi alat DAP. Dari pengamatan saya, isu ini tidak digarap dengan baik oleh penceramah dan perayu undi PAS.

Mursyidul ‘Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat telah berulangkali mengeluarkan hujah bernas mengenai isu ini, di mana katanya, antara lain, persahabatan PAS dengan DAP, telah membuka peluang luas bagi menerangkan keadilan Islam dan sebagainya hingga semakin ramai orang bukan Islam menaruh minat untuk memahami Islam.

Hujah Tuan Guru lagi bahawa jika Islam selamat maka Melayu selamat, Cina selamat, India selamat dan kaum-kaum lain juga selamat. Tetapi jika Melayu selamat, belum tentu Islam selamat.

Hujahnya yang menarik ini belum lagi dihuraikan secara terperinci oleh pendukung PAS.

Pengertian ‘selamat’ jika Islam selamat serta tafsiran mengenai keadilan Islam juga belum lagi dihuraikan oleh para pengkempen PAS. Mendedahkan penyelewengan, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh BN memang sesuatu yang wajar, tetapi kegagalan menerangkan kefahaman Islam secara mudah dan berkesan kepada pengundi pedalaman adalah menghambat kemenangan PAS.

Sudah sampai masanya pendekatan ini dilakukan sesegera mungkin pada ketika PRU Ke-13 hampir tiba. Jentera penerangan adalah urat nadi dan penggerak utama sesebuah parti politik. Justru lemahnya jentera penerangan, bermakna lemahnya jentera parti.

Berdasarkan pengamatan kepada siri pilihan raya kecil, terutamanya di Hulu Selangor tempuh hari, di mana calon PKR pada masa itu kalah, kita menyaksikan betapa lemahnya jentera penerangan Pakatan Rakyat walaupin Pakatan Rakyat sudah memerintah Selangor.

Di samping itu Pakatan Rakyat perlulah meningkatkan penerangan mengenai kesedaran politik di kalangan pengundi, terutamanya di kawasan pedalaman. Dalam hal ini oleh kerana PAS berdepan dengan kebanyakan pengundi kawasan pedalaman, maka ia perlu menggandakan usahanya menerangkan kepada pengundi akan kesedaran politik, nilai dan haknya sebagai pengundi, kepentingan masa depan mereka dan sebagainya.

Suatu hal yang sangat menarik ialah semakin eratnya perpaduan di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Dalam kempen PAS di Merlimau dan Kerdau beberapa hari lalu dan juga dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang, Manik Urai, Galas, Tenang dulu, para petugas DAP dan PKR memberikan bantuan yang sangat berkesan.

DAP telah menggerakan jentera kempennya yang sangat kuat membantu calon PAS secara maksima di kawasan pengundi Cina. Ini adalah manifestasi menunjukkan persahabatan eratnya dengan PAS.

Demikian juga PKR yang banyak berkempen di kawasan pengundi Melayu dan India juga menunjukkan kesungguhan membantu calon PAS. Ini adalah petanda yang sangat memberansangkan bahawa perpaduan dalam Pakatan Rakyat ini tetap utuh walaupun pelbagai usaha dilakulkan oleh musuh Pakatan untuk memecahkannya.

Saya yakin warga Pakatan Rakyat tidak merasa terlalu kecewa dengan siri-siri kekalahan PR dalam pilihan raya kecil yang dialami selama ini. Semangat PRU 2008 dulu di mana telah berlaku tsunami politik dengan kemenangan besar Pakatan Rakyat, tidak mustahil boleh disemarakkan kembali di mana kemenangan besar itu boleh diulangi kembali dengan syarat ada perancangan yang cukup, kerja berstrategi dan bijaksana.

Dari pengamatan saya, generasi muda, Insya-Allah, akan menyokong Pakatan Rakyat, khususnya dalam PRU Ke13 akan datang. Tetapi dalam masa yang sama kita sama sekali tidak meninggalkan generasi lama di mana saya sendiri adalah dari golongan generasi lama.

Namun saya berusaha memahami dan menyertai aspirasi generasi baru, justru mereka adalah masa depan Malaysia.

Baca selanjutnya...

JANGAN berbalah dengan Ulama'

Oleh : Subky Latif

TUN Dr. Mahathir yang semasa menjadi Perdana Menteri dulu berbalah dengan Mufti Selangor, Almarhum Datuk Ishak Baharom, maka sekarang berbalah pula dengan Menteri Besar Kelantan atas mantik yang Tok Guru itu sebut beliau tidak gembira jadi orang Melayu.

Tumpang menyelar Tok Guru itu ialah Dato Seri Ismail Sabri Yaakub, Menteri hal ehwal pengguna dan koperasi dengan meragui pegangan agamanya berkemungkinan tidak gembira pula jadi orang Islam.

Perleceh Dr. Mahathir itu sudah agak teruk tetapi perleceh Ismail Sabri lagi teruk.

Selepas Dr. Mahathir puas hati berbalah dengan Tun Abdullah Badawi, tiada orang lain lagi hendak diajak berbalah, dia berbalah dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Yang dia marah sangat pemimpin ulama itu bersabit dua perkara, Tok Guru tidak gembira jadi orang Melayu. Kedua sesudah ada Islam mengapa nak berjuang lagi dengan fahaman nasionalisma?

Kemudian dibangkitkan lagi isu basi parti tok guru itu mengkafirkan penyokong-penyokong partinya.

Banyak yang boleh dikupas isu yang diperbalahkan itu. Perhatian saya kali ini ialah bahayanya perbalahan itu disabaitkan berbalah dengan ulama.

Tidak banyak untungnya berbalah dengan Abdullah Badawi atau Tengku Razaleligh atau Tun Musa Hitam gara-gara berebut kuasa. Tetapi amat teruk kesannya kalau berbalah dengan Menteri Besar Kelantan disabitkan berbalah dengan ulama.

Apa Tok Guru itu Dr. Mahathir dan Ismail Sabri terima sebagai ulama atau tidak, ia adalah masalah kedua mereka.

Tetapi pandangan umum masyarakat dalam dan luar negeri beliau adalah seorang ulama yang beramal dengan ilmunya dan menghabiskan masa dengan melaksana sebaik-baiknya apa yang dikehendaki oleh Islam.

Sejak balik dari Mesir tidak putus-putus mengadakan kuliah hari Jumaat yang dihadiri oleh beribu-ribu. Orang datang dari dekat dan jauh bermotor dan berjalan kaki untuk mendengar kuliahnya. Setiap ada kelapangan selepas solat fardu bertazkirah lima minit atau sepuluh minit. Lebih banyak mengajar dari berbual.

Ramai orang berpangkat dan berada mengikuti kuliahnya tetapi lebih ramai orang miskin dan bawah.

Membanyakkan solat sunat dan selalu berpuasa. Kehidupan hariannya sederhana.

Seorang maulana dari Pakistan membandingkan semasa menjadi tetamu Menteri Besar itu di rumah kampungnya dengan makan di rumah reaktor pusat pengajian tinggi Islam berbangsa Arab. Menteri Besar mengangkat sendiri hidangan tetapi yang seorang lagi dilayan dua pelayan sepanjang tempoh makan.

Kitab-kitab tua mempertikai ulama yang bekerja di bawah raja. Maka beliau tidak termasuk sebagai orang makan gaji.

Dengan latar belakang itu beliau dapat dikelaskan sebagai ulama besar dan berperanan serta bebas menyatakan pandangannya tentang Islam kepada semua – Islam dan bukan Islam.

Dengan ciri-ciri ulama yang ada itu, maka amat malang dan rugilah mereka yang berbalah dengannya. Sekalipun ada kelemahan dan kekurangan kerana bukan maksum, tetapi ia tidak mencacatkan kedudukan sebagai waris para anbia.

Sebagai seorang yang banyak menyelit mantik dalam cakap-cakapnya, maka silap bagi tukang lawak dan kaki temberang mencelanya tanpa mengkaji apa tersirat dan tersurat dalam kenyataannya.

Berat kifarat orang yang berbalah dengan ulama. Satu kisah seorang pintar, bijak dan berduit yang bergiat dalam politik sebelum merdeka. Dia asyik memperleceh ulama dan pandangan ulama. Ada orang mengingatkan tentang akibat buruk merendahkan ulama.

Ditakdir dia terlibat dengan judi. Jadi pada kedana, pernah berkaki ayam dan berbasikal buruk. Kepintarannya tidak berguna lagi. Ada yang percaya ia adalah gara-gara memperkecilkan ulama.

Berhati-hatilah supaya tak jadi penentang ulama. Kalau kita ditakdirkan tidak menjadi ulama, maka berusahalah menjadi kawan ulama, pembantu ulama dan pengikut ulama.

Zaman dulu ketika dunia tidak ramai sarjana dan berijazah kedoktroan, orang berlumba-lumba untuk menjadi khadam ulama. Saya terpesona melihat murid-murid Hassan Nadawi berebut mencabut tulang dari lauk di pinggan tok guru itu. Mereka mencari keberkatan.

Saya tidak mengesyorkan supaya sang menteri jadi begitu, tetapi berjaga-jagalah supaya tidak bermasalah dengan ulama.

Baca selanjutnya...

PRK Kerdau: BN kuat atau PAS yang lemah?

Oleh : Tuan Ibrahim Tuan Man

Keputusan PRK DUN Kerdau telahpun diketahui, dan media telah melaporkan bagaimana BN meraikan kemenangan tersebut dengan penuh gaya. PAS merakamkan ucapan tahniah kepada calon BN yang telah berjaya.

Kini beliau menggalas amanah besar yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah; semoga dengan kuasa yang ada beliau mampu melaksanakan amanah ini. Rakyat akan menilai hal ini dan peranannya yang tentunya berbeza dengan wakil rakyat yang bukan dari aliran agama.

Kekalahan PAS dalam PRK Kerdau sememangnya telah dijangka, memandangkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk merampas kerusi yang telah dimenangi BN bilamana jentera kerajaan sepenuhnya diturunkan bagi memastikan kemenangan bergaya di negeri PM.

Hakikat ini dapat dilihat bilamana PM dan Isteri turut sama berkempen dengan peristiharan jutaan ringgit bakal diturunkan bagi kawasan DUN Kerdau.

Analisa Keputusan

Secara asasnya ada sesuatu yang agak menarik dalam keputusan PRK ini, bilamana undi PAS secara keseluruhannya merosot sebanyak 184 undi atau -7.3%, dan undi BN meningkat sebanyak 925 undi. Atau +22.4% Peningkatan undi BN hasil dari peningkatan peratus keluar mengundi sebanyak 3%.

PAS mendapat peningkatan undi di semua kawasan Felda, walaupun mereka dijanjikan dengan pelbagai wang MPOB, dan SES berjumlah RM13,000 dan RM4,000 seorang. Keadaan ini membayangkan PAS mempunyai masa depan yang agak baik di kawasan Felda, yang dianggap lubuk Umno.

Peningkatan undi di Felda Jengka 22 sebanyak 28.2%, di Jengka 23 meningkat sebanyak 8.0% dan di Jengka 25 pula meningkat 4.9%. Kejayaan ini boleh dianggap kemenangan bagi perjuangan Anak yang mula diterima oleh masyarakat Felda, walaupun sebahagian mereka bersama anak dalam membuat tuntutan tetapi mempunyai pandangan politik yang berbeza.

Hakikat ini dapat dilihat dari kehadiran ratusan pemuda khususnya generasi kedua dalam program anjuran Anak dan penyertaan mereka dalam Anak.

Penghargaan juga harus diberi kepada PKR yang menumpukan gerakerja mereka di kawasan Felda bersama dengan jentera PAS dari Kelantan, Kedah dan Pahang.

Di Kawasan Felcra Rumpun Makmur sokongan kepada PAS merosot sebanyak -4.2%. Hal ini berkemungkinan dari tumpuan jentera Felca seluruh negara dengan pelbagai ugutan kepada peserta Felcra.

Walau bagaimana pun PAS perlu melihat kemerosotan ini sebagai satu cabaran besar dalam PRU yang hampir tiba. Kelemahan yang ketara di Unit Peti Undi berpunca dari kelemahan jentera di cawagan yang gagal berfungsi dengan baik, sehingga ada cawangan yang tidak bergerak dan terpaksa dibantu oleh tenaga luar.

Kelemahan ini akan dapat diatasi dalam PRK, namum bilamana menghadapi PRU, suasananya tentu berbeza bila tenaga tempatan adalah penggerak utama. Diharap dengan PRK ini beberapa kelemahan dapat dikenalpasti dan di ambil tindakan segera, bagi menghadapi PRU akan datang.

Kini Kerdau mulai sunyi sepi, dan jalan-jalan yang diturap separuh siap, terus menanti curahan tar bagi menyiapkannya; Namur apakah ianya akan terus kekal begini. Rumah-rumah buruk, kedai yang terbiar, projek perumahan yang terbengkalai dan sekolah agama yang tidak mendapat perhatian dan pelbagai gambaran tertinggalnya Kerdau dari pembangunan.

Apakah bandar Kerdau akan terus menjadi “bandar Kerbau”. Sama-sama kita tunggu.

---------------------------------------------------

Penulis adalah Naib Presiden PAS yang dilantik menjadi Pengarah pilihan kecil Kerdau.

Baca selanjutnya...

PAS tetap ada penyokong di Merlimau

Oleh : Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 7 Mac: PAS mengucapkan tahniah kepada penduduk di Merlimau, Melaka, khususnya mereka yang memberikan undi kepada calonnya dalam PRK Dun Merlimau, semalam, bagi melakukan perubahan.

Calon PAS, Yuhaizad Abdullah menegaskan, walaupun tewas dalam PRK semalam, tetapi PAS tetap mempunyai penyokong yang ramai di kawasan itu yang boleh dihitung menerusi jumlah undi yang diperolehi seramai 2,319 orang.

Menurut beliau, dalam pilihanraya kecil bukanlah sesuatu yang mudah untuk mendapat undi sebanyak itu, memandangkan pertembungan yang terpaksa dihadapi bukan sekadar dengan Umno BN, tetapi juga dengan seluruh jentera kerajaan yang dipergunakan oleh BN walaupun ia ternyata bertentangan dengan undang-undang.

"Jadi sekarang jelaslah kepada kita, walaupun saya tewas, tetapi saya tetap tidak berseorangan tetapi masih bersama para penyokong PAS yang sebanyak itu," katanya kepada Harakahdaily.

Secara jujur, beliau turut mengakui yang beliau tidak sedih mahupun kecewa dengan kekalahannya itu, malah ia diterima dengan redha, sejajar dengan sifat sesuatu pertandingan yang pasti ada satu pihak yang kalah dan satu pihak yang menang.

"Keputusan kita dah tahu dan saya ucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya. Saya juga ucapkan tahniah kepada calon BN, Roslan Ahmad atas keputusan itu," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut berjanji akan menjadi pemantau kepada Roslan bagi memastikan segala janji yang ditaburkan oleh beliau bagi pihak Umno dan BN dalam kempennya ditunaikan.

"Sehingga kini, saya tidak pasti apakah punca utama kekalahan kita. Kami akan kaji selepas ini dan akan berusaha mengatasi segala kelemahan itu bagi menghadapi pilihanraya akan datang," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka turut mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada PAS Pusat kerana bukan sekadar memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menentang Umno BN bagi pihak PAS dalam pilihanraya itu, tetapi juga memberikan kerjasama kepada beliau dalam segala segi.

"Saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada seluruh jentera kita sama ada dari kalangan pemuda, muslimat, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat sama ada di peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan dari seluruh negara kerana telah memberikan kerjasama yang baik kepada saya dalam menghadapi pilihanraya semalam," katanya.

Dalam PRK Dun Merlimau semalam, beliau tewas kepada calon BN, Roslan Ahmad dengan majoriti 3,643 undi, apabila mendapat 2,319 undi manakala Roslan memperoleh 5,962 undi.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Melaka, Adly Zahari berkata, banyak faktor yang menyebabkan kekalahan PAS di Merlimau dan satu “bedah siasat” akan diadakan oleh pihaknya bagi mencari punca-punca kekalahan pihaknya.

“Kita akan buat analisis. Setakat ini kita masih belum tahu apa punca tapi banyak faktor yang menyebabkan kita kalah. Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih kepada pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada PAS,” katanya.

Baca selanjutnya...