Saturday, March 3, 2012

TMK@12: Kelantan usaha tarik 6 juta pelancong

KOTA BHARU, 3 Mac: Tahun Melawat Kelantan 2012 (TMK@12) telah selamat disempurnakan perasmiannya oleh Tengku Mahkota Kelantan yang mewakili Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, malam tadi.

Sempena majlis bersejarah itu, tiga artis yang mewakili tiga negara telah membuat persembahan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kumpulan Raihan (Malaysia), papa rock Ramli Sharif (Singapura) dan Opick (Indonesia).

Hampir 5,000 orang hadir pada program yang penuh warna warni itu walaupun keadaan hujan.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, anggota-anggota exco yang lain, Adun serta pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Sempena majlis itu, dua pertunjukkan bunga api telah diadakan di samping persembahan lagu tema TMK@12.

Takiyuddin ketika berucap pada majlis itu memberitahu pihaknya akan berusaha untuk menjayakan hasrat mencapai kehadiran pelancong dalam dan luar negara seramai 6 juta orang.

Katanya, untuk menjayakan hasrat itu pelbagai persembahan dan program telah diatur untuk menarik lebih ramai pelancong.

“Selain persembahan malam ini, diadakan juga Pesata Sukan Air, pertunjukan kereta berhias dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Ramli Sarip mendendangkan beberapa buah lagu popularnya Doaku Buat Mu Kekasih, Nyanyian Serambi, Kasturi, manakala Opick Cahaya Hati serta lagu popularnya Rapuh dan Raihan lagu-lagu nostalgia kumpulan itu seperti Syukur, Allahu.


SUMBER : HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment