Friday, February 1, 2013

Sekadar Perkongsian

Assalamualaikum wr. wbt..

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. , para sahabat Baginda yang sama-sama menyebarkan syiar ISLAM ke serata dunia. 

Masih lagi kita berada dalam 'mood' maulid. Alhamdulillah dapat juga merasa beberapa kali majlis berkenaan walaupun tidak seperti tahun-tahun  sebelum ini. Minggu lepas khatib-khatib di kebanyakan masjid membacakan khutbah berkaitan dengan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. . Moga-moga aku dan juga sahabat-sahabat sentiasa berselawat kepada Baginda S.A.W. Insya Allah.

Praktikum kini sudah bermula. Dua minggu sudah berjalan praktikum namun masih banyak yang belum selesai..hehe

Petang tadi ketika waktu rehat di sekolah, seperti biasa rutin harian aku bersama murid-murid tahun satu, dua dan tiga. Melihat mereka menjamu selera, berlari-lari, bermain-main dan sebagainya. Pandangan aku teralih kepada dua beradik lelaki. Abangnya tahun tiga manakala adiknya tahun satu. Merekan bukan bergaduh, namun berkongsi makanan. Memang berkongsi makanan dengan adik-beradik adalah perkara yang biasa dan aku jumpa hari-hari ketika di sekolah. Namun yang jarang aku lihat adalah kelakuan dua beradik tersebut. Si adik mendapat makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) manakala si abang pula tidak mendapat RMT.

Selepas mendapatkan makanan iaitu roti sandwish, air soya dan vitamin, mereka dua beradik berjalan untuk duduk di bangku yang disediakan. Aku melihat si adik mengeluarkan sesuatu daripada mulutnya dan menyerahkan kepada abangnya. Setelah diteliti, rupa-rupanya dia mengeluarkan vitamin daripada mulutnya dan memberikan kepada abangnya. Abangnya yang melihat aku sedang memerhatikan mereka terus berpaling ke belakang dan terus memasukkan vitamin itu ke dalam mulutnya.

Sungguh syahdu aku melihat kelakuan dua beradik ini. Ini bukanlah kali pertama aku melihat perkara ini, namun pada kali ini aku terasa untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat. Bayangkan betapa utuhnya ikatan adik-beradik. Mungkin ada sesetengah orang tidak sanggup untuk berbuat demikian, namun inilah hakikat kehidupan rakyat di Malaysia pada hari ini. Rakyat yang miskin masih ramai. Masih terlalu ramai. Mengapa ada pihak-pihak berkenaan berani mengatakan negera kita ini hanya segelintir yang dikategorikan sebagai miskin tegar. Di manakah pandangan mata mereka melihat? Adakah hanya dibuat kajian kepada satu kawasan? Atau hanya dibuat kajian terhadap 100 keluarga??
Wahai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, datanglah melihat kesengsaraan rakyatmu itu. Ada yang hanya makan nasi dengan kicap sahaja, ada juga yang tidak jumpa nasi dalam seminggu, ada pula yang hanya makan nasi dua  atau tiga kali dalam sebulan. Kita?? Dimanakah peranan kita sebenarnya.

Aku bukan berbicara tentang politik negara, namun aku hanya meluahkan segala yang berlaku di sekeliling sahaja. Mungkin ada yang masih ragu-ragu adakah perkara ini masih berlaku di negara kita yang AMAN MAKMUR ini. Mungkin di lain masa akan aku sertakan bersama gambar-gambar. Bukan niat untuk mengaibkan mana-mana pihak namun aku mahu masyarakat di negara ini sedar bahawa negara kita masih lagi mempunyai RAKYAT YANG MISKIN.




Baca selanjutnya...

Sunday, January 20, 2013

Cabaran Bakal Ditempuhi

Assalamualaikum wr. wbt..

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat Baginda yang sama-sama menyebarkan Islam di atas muaka bumi ini. 

Beberapa hari lagi kita umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul. Semoga kita sama-sama sentiasa berselawat dan mengingati Baginda.



21-01-2013 bakal tiba. Bermulalah juga episod untuk menjalani praktikum di sekolah. Masih banyak perkara yang belum selesai. Rakan-rakan masing-masing sedang sibuk dan menyibukkan diri untuk menyiapkan bahan-bahan untuk praktikum. Aku juga mengambil bahagian dalm menyibukkan diri menyiapkan bahan-bahan untuk praktikum yang akan ditempuhi selama tiga bulan. 

Pelik dan kekok sebenarnya untuk menjalani praktikum yang mana ianya bagiku amat skema. Aku berharap sahabat-sahabt dapat mendoakan agar praktikum yang bakal aku lalui bersama rakan-rakan maktab yang lain berjalan dengan lancar terutamanya di IPG Kampus Gaya, Sabah dan IPG Perempuan Melayu Melaka.

Wassalam.




 


Baca selanjutnya...

Friday, January 18, 2013

KHUTBAH KEDUA - SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN

"SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN
(11 JANUARI 2013/  28  SAFAR 1434H)
 

Sidang Jumaat yang berbahagia,
 Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN”.

Sidang Jumaat yang berbahagia,
             Dalam menempuh kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran, dugaan dan rintangan. Kita sebagai umat Islam dituntut untuk sentiasa bersikap positif dengan bersabar, bersemangat waja dan tidak mudah berputus asa. Ini kerana segala dugaan kehidupan tersebut merupakan fitrah atau lumrah di dalam kehidupan dan juga merupakan ujian daripada Allah SWT untuk mengenal pasti siapakah di kalangan hamba-Nya yang terbaik dari segi amal ibadah mereka di dunia. Firman Allah SWT  di dalam surah Al-Mulk ayat 2:


Sidang Jumaat yang berbahagia,
Salah satu daripada sifat yang sewajarnya menghiasi diri seseorang manusia untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya adalah dengan bersikap dan berfikiran positif. Persoalan besar timbul di sini apakah yang dimaksudkan dengan berfikiran positif?, Secara ringkasnya berfikir positif dapat didefinisikan sebagai satu pandangan atau sikap seseorang yang sentiasa memandang baik terhadap apa jua keadaan yang menimpa dirinya atau dengan kata lain berprasangka baik.

Mimbar ingin mengingatkan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian bahawa, agama Islam amat menganjurkan umatnya supaya bersifat dan berfikiran positif di dalam kehidupan berbanding dengan sikap berprasangka buruk yang jelas sekali tercela. Sikap prasangka baik memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang manusia. Amatlah tepat dengan pesanan Rasulullah SAW yang menyanjungi seorang mukmin yang berfikiran positif dalam segala aspek kehidupannya. Bahkan itulah sikap dan ciri mukmin yang sejati sebagaimana sabda Rasulullah SAW:


 
Berdasarkan hadis di ini tergambar dengan jelas tentang ciri-ciri mukmin yang sebenar. Bukan sahaja dia sabar dan tabah menghadapi segala mehnah dan tribulasi, bahkan dia juga dianggap kalis dengan segala cabaran demi cabaran serta terus fokus dengan matlamat utamanya dalam kehidupan iaitu mencari keredhaan Allah SWT kerana redha Allah Taala yang didambakan dan dihajati dalam hidupnya.

Sidang Jumaat yang berbahagia,
Seandainya setiap daripada diri kita menghayati dan mengamalkan seruan Rasulullah SAW  ini, insya Allah segala permasalahan di dalam hidup kita akan kita lalui dan hadapi dengan tenang dan mudah. Tiada lagi sifat berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan. Umat Islam akan terus menuju kepada matlamat untuk mencapai sebanyak mungkin kejayaan demi kejayaan. Justeru, mimbar pada hari ini menyeru kepada sidang jumaat sekalian supaya bersama-sama kita menanamkan azam yang tinggi untuk mengukuhkan jatidiri yang positif yang wujud di dalam diri kita sebagai umat Islam.  Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11:

Jika tiada lagi sifat berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan, umat Islam akan terus menerajui tamadun dunia. Sehubungan dengan itu, kita perlu mempelajari sikap positif dari para sahabat Rasulullah, antaranya ialah:

1. Jelas matlamat hidup dan kehidupan ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
2. Tegas berpegang dengan prinsip akidah dan syariah. Tetapi tidak melampau dan melulu yang dirangsang oleh emosi.
3. Memiliki semangat juang yang tinggi dan berani menghadapi risiko melalui perjuangan misi sebagai mukmin.
4. Tidak melupakan dunia, namun tidak pula hanyut dengan keindahannya.
5. Berakhlak mulia dan beristiqamah walaupun diuji.
6. Berani membuat perubahan ke atas diri sendiri apabila ia mendapatkan kebaikan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah bersama-sama kita menanamkan azam yang tinggi untuk mengukuhkan jati diri yang positif yang sememangnya wujud di dalam diri kita sebagai umat Islam. Marilah sama-sama kita berusaha untuk memajukan umat dan bangsa kita. Ingatlah kita adalah sebaik-baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dengan syarat kita memiliki ciri-ciri yang disebutkan ini. Ini kerana kita adalah sebaik baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dengan syarat, kita memiliki ciri-ciri yang disebutkan oleh Allah Taala di dalam al-Quran.

          Di kesempatan ini juga, mimbar menyeru semua jemaah dan umat Islam yang sememangnya sayangkan agama dan Negara, marilah bersama-sama mengekalkan perpaduan dan keamanan yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT terutamanya ke arah perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan pentadbiran negara. Oleh itu, jauhilah segala perkara dan perbuatan yang boleh menjerumuskan diri kita ke arah kebinasaan. Bersyukurlah dengan nikmat keamanan dan keharmonian Negara yang kita kecapi di sepanjang kehidupan ini. Renungilah bersama firman Allah SWT  di dalam surah Ali-Imran  ayat 110 :


Baca selanjutnya...

Tuesday, January 1, 2013

Menjelang Tiba

Assalamualaikum wr. wbt..

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. , para sahabat Baginda dan para syuhada yang menegakkan syiar Islam...


Alhamdulillah, cuti sekolah pada kali ini aku bercuti dengan berjayanya..Hehe...berjaya sebab dapat cuti lama. Seingat aku, sejak aku habis belajar pada Jun 2009, inilah kali pertama aku dapat bercuti panjang di kampung halaman. 


Tahun baru Masihi...2013 telah pun tiba. Umur manusia semakin meningkat. Bagaimana pula dengan amalan dunia akhirat? Itulah yang menjadi persoalan dan tanda tanya dalam diriku ini. Walaupun kini aku masih berada di kampung halaman ditemani hujan yang tidak berhenti untuk hari kedua ini, aku berkira-kira untuk melakukan beberapa perkara yang dikira penting.


Kahwin? Balik kampung kalik ini memang ramai saudara mara dan sahabat bertanya bila mahu kahwin. Tapi masih tiada jawapan. Biarlah adik-adik dan kak long yang selesaikan dahulu tahun ini.Rasanya tanggungjawab aku masih banyak belum selesai..


Berada di Borneo ini membuatkan tugas sebagai pendakwah semakin banyak. Memetik kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan Menteri Besar Kelantan, beliau berkata  "Hok mana berada di Saboh dan Serawok, hok mano ustaz kena jadi cikgu, cikgu kena jadi ustaz". Ianya merujuk kepada tugas dakwah yang perlu dipikul oleh setiap orang bukan hanya tugasnya mendidik pelajar dalam bidang yang dikhususkan sahaja tetapi juga mencakupi semua aspek. Insya Allah aku akan cuba menjadi yang seperti itu..


21.01.2013 bermula praktikum selama empat bulan yang akan berakhir pada 19.04.2013. Masih banyak persiapan yang belum selesai dalam menempuhi tarikh tersebut. Ramai di kalangan sahabat yang mengeluh kerana diberi masa yang terlalu banyak untuk praktikum ini. Aku tidak menyalahkan sahabat-sahabat kerana ada sesetengah sekolah, pihak pentadbir sekolah yang masih tidak faham dan ada yang mengabaikan tentang perkara ini walaupun program j-QAF telah berjalan sejak tahun 2004 lagi. Pada asalnya aku juga diberi masa yang agak berat untuk ditempuhi bersama praktikum. Alhamdulillah, selepas berbincang semula dengan pihak pentadbir dan dibantu dengan senior-senior j-QAF di sekolah, masa mengajar untuk tahun 2013 bagi semester pertama ialah 15 waktu sahaja.



Hujan rahmat jika dimanfaat
Bawa bencana jika terleka
Sama-sama kita memohon syafaat
Daripada Rasulullah tercinta

Ikan haruan enak rasanya
Ikan keli sedap dimakan
Tahun baru menjelang tiba
Marilah kita menambah amalan

Murid-murid bergelak ketawa
Bersuka ria bersama teman
Sekolah kembali dibuka semula
Usaha kecemerlangan mesti diteruskan

 Buah nangka tidak kurasa
Cempedak juga belum dijamah
Teruskan dakwah setiap masa
Sentiasa berada dalam jemaah





Baca selanjutnya...

Friday, December 14, 2012

DI Gunung Pasir

Assalamualaikum wr. wbt.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. , para sahabat Baginda yang telah banyak menyumbang tenaga dalam menyebarkan agama Islam ini. 

Pada hari ini aku berkesempatan  untuk mandi di jeram di Gunung Pasir, N9. Sahabatku yang bawa aku ke sana. Sungguh seronok dapat mandi di sana. Tempat kedua selepas beberapak kali datang ke Gunung Pasir ini dibawa ke tempat pertama. Selesai mandi, dalam perjalanan pulang ke rumah sahabatku, kami ditegur oleh seorang mak cik. Sahabatku berhenti. Mak cik tersebut mengajak kami ke kebun beliau di tepi jalan tempat kami lalu. masuk di dalam kebun tersebut, kami disambut dengan beberapa ekor biri-biri yang dipelihara oleh mak cik di dalam kebun yang berpagar itu. Di dalamnya terdapat pohon Rambutan, durian, pulasan, duku, langsat dan beberapa jenis pokok buah-buahan tempatan yang lain. Dek kerana kesuntukan masa, kami hanya memetik rambutan dan pulasan sahaja setelah dipaksa oleh mak cik tersebut.

Menurut sahabatku, sebenarnya mak cik ini telah lama mengajak beliau ke kebunnya iaitu sejak dari mula beliau bekerja di Gunung Pasir ini. Maknanya sudah tiga tahun lebih ajakan itu baru disambut..hehe. Bukan tidak mahu pergi tapi tidak sempat untuk kenal rumah mak cik itu. 

Usai memetik rambutan anak sekolah dan beberapa biji pulasan, kami diajak pula ke rumah beliau. Kelihatan di depan rumah ialah suami mak cik tersebut. Pak cik Razali berusia 66 tahun baru sahaja selesai membuat pembedahan di kaki beliau dengan dimasukkan besi ke dalam tulangnya. 

Kami dihidangkan pula dengan durian yang baru diambil dari kebun. Kesuntukan masa menyebabkan kami hanya singgah sekejap sahaja di rumah pak cik dan mak cik itu.
Baca selanjutnya...

Wednesday, December 12, 2012

Imbangi Keperluan Dunia dan Akhirat

Daripada Abu Hurairah, katanya, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memberat-beratkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” (Riwayat Bukhari)

Tujuan ibadah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Konsep ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus (seperti sembahyang, puasa, haji) dan ibadah umum iaitu setiap gerak geri, tindakan dan pekerjaan diniatkan kerana Allah.
Syarat diterima sesuatu ibadah itu bergantung pada tiga perkara iaitu Islam, ikhlas dan ittiba' (dilakukan sesuai dengan perintah Allah SWT dan mencontohi Rasulullah SAW).

Sesuatu ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya. Malah apa yang dimaksudkan dalam hadis sebagai ‘dikalahkan oleh agama’ ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan dirinya seperti mencari nafkah menyara hidup ahli keluarga.

Bertentangan kehendak Islam

Perkara ini ternyata bertentangan dengan kehendak Islam kerana Islam juga menyuruh manusia berusaha gigih mencari penghidupan yang baik di dunia, bukan menumpukan segala usaha untuk bekalan akhirat semata-mata hingga melupakan dunia sedangkan dunia adalah jambatan ke akhirat.

Oleh itu manusia mestilah bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat supaya tidak termasuk dalam kalangan orang yang rugi.
Orang yang beriman hendaklah sentiasa bermuhasabah dan beramal seperti dituntut agama, kerana ganjaran pahala adalah berasaskan amalan yang dilaksanakan, bukan dengan angan-angan kosong.

Manusia yang bijak itu ialah orang yang memperjuangkan hidupnya untuk kebahagiaan di akhirat. Akal yang dianugerahkan oleh Allah hendaklah digunakan untuk memikirkan persediaan hidup di akhirat.
Baca selanjutnya...

Monday, December 10, 2012

Sekitar Sabah

Assalamualaikum wr. wbt...

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dapat lagi aku menghirup udara di Bandar Baru Bangi. Kampung halaman...Kelantan Darul Naim akan kujejakkan kaki beberapa hari lagi. Selamat tinggal Borneo untuk sementara. Ingin aku bercuti bersama keluarga dan sahabat-sahabat. Bonda menanti ikan kering, sahabat-sahabat menjemput kenduri kahwin.. Program sepanjang beberapa hari cuti ini telah diatur baik. Harapnya berjalan dengan lancar.

Setahun berlalu dengan cepat. Borneo tempat aku mencari rezeki. Bandar Baru Bangi telah lama aku tinggalkan. Kini aku datang untuk beberapa hari. Rasa rindu dalam hati ingin bertemu adik-adik dalam Perdana. Ukhwah yang dibina di dalamnya membuatkan aku sampai jua di sini. Bertemu dengan Syafiq, Suhaimi dan Khairi. Akan menyusul  yang lain nanti. Hari ini Selangor cuti maka tergendala sudah perancangan diri. 

Aidil Adha yang lalu sempat jua aku dan sahabat-sahabat serumah pergi meneroka sekitar Sabah. Beberapa tempat yang sempat kami lawati dan lewati..Alhamdulillah perancangan yang diatur berjalan dengan lancar.


Cantik sungguh ciptaan Allah

 Ambik sekor ikan nie..










 Gunung Kinabalu


 ALLAH

 Kundasang

 Lembu di Malaysia







Baca selanjutnya...