Friday, February 1, 2013

Sekadar Perkongsian

Assalamualaikum wr. wbt..

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. , para sahabat Baginda yang sama-sama menyebarkan syiar ISLAM ke serata dunia. 

Masih lagi kita berada dalam 'mood' maulid. Alhamdulillah dapat juga merasa beberapa kali majlis berkenaan walaupun tidak seperti tahun-tahun  sebelum ini. Minggu lepas khatib-khatib di kebanyakan masjid membacakan khutbah berkaitan dengan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. . Moga-moga aku dan juga sahabat-sahabat sentiasa berselawat kepada Baginda S.A.W. Insya Allah.

Praktikum kini sudah bermula. Dua minggu sudah berjalan praktikum namun masih banyak yang belum selesai..hehe

Petang tadi ketika waktu rehat di sekolah, seperti biasa rutin harian aku bersama murid-murid tahun satu, dua dan tiga. Melihat mereka menjamu selera, berlari-lari, bermain-main dan sebagainya. Pandangan aku teralih kepada dua beradik lelaki. Abangnya tahun tiga manakala adiknya tahun satu. Merekan bukan bergaduh, namun berkongsi makanan. Memang berkongsi makanan dengan adik-beradik adalah perkara yang biasa dan aku jumpa hari-hari ketika di sekolah. Namun yang jarang aku lihat adalah kelakuan dua beradik tersebut. Si adik mendapat makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) manakala si abang pula tidak mendapat RMT.

Selepas mendapatkan makanan iaitu roti sandwish, air soya dan vitamin, mereka dua beradik berjalan untuk duduk di bangku yang disediakan. Aku melihat si adik mengeluarkan sesuatu daripada mulutnya dan menyerahkan kepada abangnya. Setelah diteliti, rupa-rupanya dia mengeluarkan vitamin daripada mulutnya dan memberikan kepada abangnya. Abangnya yang melihat aku sedang memerhatikan mereka terus berpaling ke belakang dan terus memasukkan vitamin itu ke dalam mulutnya.

Sungguh syahdu aku melihat kelakuan dua beradik ini. Ini bukanlah kali pertama aku melihat perkara ini, namun pada kali ini aku terasa untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat. Bayangkan betapa utuhnya ikatan adik-beradik. Mungkin ada sesetengah orang tidak sanggup untuk berbuat demikian, namun inilah hakikat kehidupan rakyat di Malaysia pada hari ini. Rakyat yang miskin masih ramai. Masih terlalu ramai. Mengapa ada pihak-pihak berkenaan berani mengatakan negera kita ini hanya segelintir yang dikategorikan sebagai miskin tegar. Di manakah pandangan mata mereka melihat? Adakah hanya dibuat kajian kepada satu kawasan? Atau hanya dibuat kajian terhadap 100 keluarga??
Wahai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, datanglah melihat kesengsaraan rakyatmu itu. Ada yang hanya makan nasi dengan kicap sahaja, ada juga yang tidak jumpa nasi dalam seminggu, ada pula yang hanya makan nasi dua  atau tiga kali dalam sebulan. Kita?? Dimanakah peranan kita sebenarnya.

Aku bukan berbicara tentang politik negara, namun aku hanya meluahkan segala yang berlaku di sekeliling sahaja. Mungkin ada yang masih ragu-ragu adakah perkara ini masih berlaku di negara kita yang AMAN MAKMUR ini. Mungkin di lain masa akan aku sertakan bersama gambar-gambar. Bukan niat untuk mengaibkan mana-mana pihak namun aku mahu masyarakat di negara ini sedar bahawa negara kita masih lagi mempunyai RAKYAT YANG MISKIN.




No comments:

Post a Comment