Wednesday, February 19, 2014

Kuasa di Tangan Mu, Cikgu

Feb 19, 2014

OLEH : HAMBALI AKRAM

Saya melihat dari sudut yang positif tentang perhimpunan membantah PBS yang dijadualkan berlangsung pada 22 Februari ini.

Isu PBS ini sudah berlarutan beberapa tahun iaitu sejak mula diperkenalkan. Namun, semakin hari suara bantahan ini semakin kuat dan ini ialah kemuncaknya – apabila TPM merangkap Menteri Pendidikan sendiri meminta PBS dikaji semula.

Walaupun cuba diberi gambaran buruk oleh parti pemerintah melalui media rasminya – hingga mengatakan perhimpunan itu bertujuan mengguling Umno-BN daripada menerajui kerajaan – saya berharap perhimpunan ini dapat diteruskan dalam suasana yang aman dan bebas daripada sebarang provokasi dan ugutan.

Perlu diingat, para guru ini hakikatnya bukan membantah kerajaan yang ada tetapi membantah PBS itu sendiri. Cuma, mungkin para guru ini sedar bahawa jika Umno-BN gagal mendengar suara hati mereka maka langkah seterusnya ialah menukar parti pemerintah kepada parti baru yang sudi mendengar luahan hati mereka.

Hakikatnya memang rakyat memang mahu menukar parti yang menerajui kerajaan tetapi bukanlah melalui himpunan jalan raya – sebaliknya melalui pilihan raya.

Umno-BN sepatutnya sedar bahawa para guru juga punya hati dan perasaan. Jangan jadikan mereka dan murid sekolah sebagai bahan uji kaji setiap dasar yang mahu diperkenalkan. Jangan bazirkan masa, tenaga dan wang para guru dengan dasar yang sentiasa berubah-ubah dalam tempoh 3 - 4 tahun.

Untuk para guru sekalian, selamat berhimpun!
Baca selanjutnya...

Friday, February 14, 2014

Sakit : Nikmat atau Musibah

Assalamualaikum wr. wbt..

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. , kaum kerabat Baginda, para sahabat Baginda dan umat Islam seluruhnya.

Khutbah Jumaat...

 Tarikh                     : 14.02.2014
Tempat                    : Masjid Sri Taman, Sandakan
Tajuk Khutbah        : Sakit : Nikmat atau Musibah


Allah memberikan kepada kita nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Antara nikmat yang paling besar yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia ialah nikmat kesihatan.
Menurut Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Dua nikmat paling besar yang tidak diambil peduli oleh kebanyakan manusia iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang”. (Riwayat Al-Bukhari)
Nikmat kesihatan sering dipandang remeh oleh kebanyakan manusia. Hal yang demikian tentu sekali kerana mereka tidak pernah memanfaatkan nikmat kesihatan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan persediaan menghadapi hari Akhirat. Atas dasar itulah Rasulullah s.a.w mewasiatkan agar menjaga kesihatan dan menggunakan nikmat kesihatan itu dengan sebaik mungkin sebelum datangnya sakit.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu hidupmu sebelum kematianmu, sihatmu sebelum sakitmu, mudamu sebelum tuamu, kayamu sebelum kemiskinanmu, waktu lapangmu sebelum sibukmu”. (Riwayat Al-Hakim)
Sihat adalah nikmat yang paling besar. Apabila sakit, barulah manusia akan terasa betapa besarnya nilai kesihatan. Ketika manusia tidak sedar nikmat sihat, sudah tentu mereka tidak lagi mengingati Allah dan tidak lagi bertaqwa kepadaNya. Sebaliknya mereka tenggelam dalam kemaksiatan. Inilah yang dikatakan orang yang telah kufur nikmat pemberian Allah swt iaitu orang yang telah mempergunakan nikmat Allah untuk kembali menentangNya. Ingatlah, nikmat kesihatan yang dianugerahkan Allah ini hanyalah sementara dan pasti akan dipersoalkan kelak pada hari akhirat sama ada ia dimanfaatkan atau dipersiakan.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara iaitu tentang umurnya ke mana ia dihabiskan, tentang tubuh badannya untuk apa ia dimanfaatkan, tentang ilmunya apa yang ia amalkan dari ilmu itu dan tentang hartanya dari mana hasilnya dan ke mana ia dibelanjakan”. (Riwayat At-Tirmidzi)
Justeru, jadikanlah kesihatan ini sebagai satu ‘medium’ yang membantu seorang hamba melakukan ketaatan kepada Allah SWT demi meraih pahala dan bukan kemurkaanNya.
Apabila kita ingin mengetahui sejauh mana nikmat kesihatan yang telah kita kecapi, banyakkanlah menziarahi orang yang sakit. Hal yang demikian kerana kesihatan merupakan raja segala-galanya. Hanya orang yang sakit dapat mengetahui betapa berharganya nikmat kesihatan.
Betapa ramai orang yang sakit berharap kedua-dua belah kakinya mampu berjalan melakukan amal soleh dan mampu menjenguk temannya namun semua itu tidak mampu dilakukannya.
Betapa ramai orang yang sakit terputus hubungan dengan masyarakat, tidak mampu mendengar dan bercakap tetapi hanya mampu berharap agar dapat mendengar dan melihat untuk terus membaca al-Quran atau mendengarnya. Namun, semua keinginan itu berlaku setelah nikmat kesihatan telah ditarik oleh Allah SWT.
Betapa ramai pesakit yang telah buta matanya dan hanya mampu berharap penglihatan dikembalikan untuk melihat kekuasaan dan ciptaan Allah tetapi ia hanya sekadar angan-angan. Adakah kita semua melupakan golongan seperti ini? Celakalah kehidupan seseorang yang cuba menongkah arus dan melawan takdir serta lupa dan lalai kepada Allah SWT.
Bersyukurlah atas nikmat kedua-dua belah kaki dengan memperbanyak langkahan kaki ke masjid dan ke arah kebaikan. Bersyukurlah atas nikmat lidah dengan memperbanyak bacaan al-Quran atau berzikir. Bersyukurlah atas nikmat pendengaran dan menjaganya daripada mendengar alunan lagu dan muzik yang melalaikan. Bersyukurlah atas nikmat kedua-dua belah mata dengan tidak melihat kepada perkara-perkara haram yang dimurkai oleh Allah SWT. Semua ini adalah di antara cara seorang hamba menghargai nikmat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka.
Pada hari ini tersebar pelbagai jenis penyakit kronik yang biasa disebut tiga serangkai seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung termasuk juga gangguan ain dan sihir. Ada yang meninggal dunia lebih awal dan ada yang terpaksa menanggung sakit bertahun-tahun. Yang pasti umur manusia tidaklah begitu panjang melainkan seseorang yang diberikan umur subsidi oleh Allah SWT.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:
Umur ummatku hanya antara 60 hingga 70 tahun. Amat jarang yang dapat melepasi had umur ini”. (Riwayat at-Tirmidzi dan Ibn Majah)
Bahkan, tidak berfaedah langsung seseorang yang mempunyai umur yang panjang jika tidak dipenuhi dengan ketaatan. Realiti kehidupan pada hari ini membuktikan bahawa kemaksiatan tidak mampu lagi dibendung. Dalam sebuah hadis, Abu Bakrah pernah mendengar daripada bapanya bahawa seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w:
Wahai Rasulullah! Siapakah manusia yang paling baik? Jawabnya: Sebaik-baik manusia antara kamu adalah orang yang panjang umurnya dan baik amalnya. Siapakah pula manusia paling buruk? Seburuk-buruk manusia antara kamu adalah sesiapa yang panjang umurnya tetapi buruk amalnya”. (Riwayat at-Tirmidzi, hadis hasan sahih)
Malah, Nabi s.a.w memohon kepada Allah agar tidak dipanjangkan umur hingga nyanyuk.
Allah SWT tidak bersifat zalim kepada hamba-Nya. Setiap kesakitan atau penyakit yang ditimpakan kepada seseorang mengandungi hikmah disebaliknya. Antara hikmah di sebalik kesakitan atau penyakit yang menimpa manusia adalah:
Pertama : Sebagai penghapus dosa. Oleh itu sesiapa yang sakit hendaklah memperbanyakkan istighfar kepada Allah SWT di hujung usianya.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Seseorang muslim yang ditimpa kecelakaan, kemiskinan, kesedihan, sakit mahupun dukacita walaupun tertusuk duri pasti Allah akan menebus dosa-dosanya dengan apa yang menimpanya itu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kedua : Menambah kebaikan.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Amat dikagumi sifat orang mukmin, iaitu semua urusan yang menimpanya adalah baik. Tidaklah seorang mukmin itu kecuali apabila ditimpa kebaikan, dia bersyukur lalu menjadi kebaikan baginya dan apabila ditimpa keburukan dia bersabar lalu menjadi kebaikan baginya”. (Riwayat Muslim)
Ketiga : Meningkatkan keimanan dan kesabaran.
Jika diuji dengan penyakit, seringkali seseorang tidak sabar bahkan berkeluh kesah dan lebih parah hingga mencela penyakit yang dideritai. Padahal semua yang dialami seorang mukmin itu baik baginya. Jika dia menghadapinya seperti yang ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w, ini akan membersihkan dosa-dosanya.
Keempat : Mengembalikan manusia kepada Allah dan istiqamah di atas agamaNya.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Zukhruf ayat 48 :
Dan tidaklah Kami memperlihatkan kepada mereka sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa melainkan tanda itu adalah lebih terang dari yang terdahulu daripadanya; dan Kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana), supaya mereka kembali (bertaubat kepada Allah)”.
Sesungguhnya setiap penyakit atau kesakitan yang dialami oleh seorang hamba merupakan suatu ujian daripada Allah swt. Ia boleh menjadi suatu nikmat jika manusia tersebut redha dan bersyukur serta mendekatkan diri kepada Allah ataupun sebaliknya menjadi musibah sekiranya kesakitan yang dialami membuatkannya semakin jauh daripada Allah. Sesungguhnya bergembiralah bagi mereka yang sabar dalam menghadapi ujian kesakitan ini kerana ia adalah bukti kasih sayang Allah kepada hambaNya.
Tidak ada musibah yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar. Ingatlah! Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu”. (At-Taghabun: 11)
Baca selanjutnya...

Wednesday, February 12, 2014

Kembara Tawau Januari 2014

Assalamualaikum wr. wbt...

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia  Nabi Muhammad S.A.W.


Pada cuti tahun baru cina yang lalu, iaitu 31 januari dan 1 Febuari 2014, aku dan rakan-rakan serumah telah pergi ke Tawau. Setelah dua tahun kami di Sabah, barulah sampai ke Tawau. Sepanjang perjalanan, aku melihat banyak perkara yang menarik perhatian aku. Alhamdulillah pengembaraan kami pada kali ini berjalan dengan lancar.



Masjid al-Kauthar, masjid daerah Tawau

Menjamu selera di malam pertama di Tawau dengan nasi arab...


 

 
Di Pasar Tanjung Tawau



















 



Baca selanjutnya...

Wednesday, February 5, 2014

Solat Jamak Jumaat dengan Asar

Soalan:
Ustaz, saya bermusafir pada hari Jumaat. Dalam perjalanan, saya singgah di sebuah masjid untuk solat Jumaat. Bolehkah saya solat jamak dengan solat Asar dan bolehkah solat Asar itu dibuat secara qasar. Mohon penjelasan.

Jawapan:
Para ulama berbeza pendapat dalam masalah ini. Pendapat yang pertama ialah ulama' Mazhab Syafi'e menyatakan BOLEH menjamakkan solat Jumaat dengan Asar berdasarkan alasan-alasan berikut:

Pertama: Berdasarkan dalil-dalil umum tentang keringanan dan kemudahan di dalam Islam, terutamanya dalam bab musafir termasuklah di dalamnya solat Jamak dan Qasar. Dalam bab Qasar hadis daripada Ya’la bin Umayyah yang bertanya kepada ‘Umar bin al-Khattab RA tentang firman Allah SWT yang bermaksud:

“Tidak mengapa ke atas kamu semua untuk mengqasarkan solat jika dalam keadaan bimbang kejahatan orang-orang kafir.” Kata Ya’la kepada ‘Umar bukankan kita telah berada dalam keadaan aman sekarang? Jawab ‘Umar bin al-Khattab RA: “Aku juga dahulu berasa hairan seperti engkau hairan. Lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang perkara ini, baginda menjawab: “Perkara itu merupakan sedekah daripada Allah, maka kamu semua terimalah sedekah tersebut.” (HR Muslim)

Solat musafir dibina di atas dasar memberi keringanan dan kemudahan.

Dalil dalam bab Jamak pula diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas RA dan Abu Hurairah RA:

“Nabi SAW pernah menghimpunkan (Jamak) solat ‘Asar dan Zohor, Maghrib dan ‘Isyak di Madinah bukan kerana ketakutan dan hari hujan.”Dalam riwayat lain: “bukan kerana musafir”. (HR Muslim, al-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasa-ie dan Malik)

Sebahagian ulama pensyarah hadis membuat penjelasan, hadis ini merupakan bukti harus menjamakkan dua solat kerana keperluan (hajat). Hajat atau keperluan ini pula berapa pada kedudukan dharurat di sisi para ulama. Al-Khattabi di dalam Ma’alim al-Sunan berkata: “Diceritakan dari Muhammad bin Sirin yang berkata: “Bahawa tidak mengapa dihimpunkan dua solat jika ada keperluan (hajat), atau sesuatu selama mana tidak dijadikan kebiasaan.”

Musafir termasuk di dalam hajat atau keperluan yang terpenting bagi manusia.

Kedua: Sekiranya Jumaat menjadi tidak wajib bagi orang yang bermusafir, namun sekiranya orang yang bermusafir itu hadir juga solat Jumaat, solat itu menjadi sah. Maka bagaimana mungkin untuk kita katakan tidak boleh dijamakkan Jumaat dengan ‘Asar pula?

Ketiga: Tidak ada sebarang nukilan dari Nabi SAW yang melarang dijamakkan solat Jumaat dengan ‘Asar bagi yang bermusafir. Sedangkan di zaman baginda banyak berlaku permusafiran pada hari Jumaat. Sekiranya perkara ini tidak boleh, sudah tentu akan ada sesuatu nukilan berbentuk larangan dari baginda. Tidak mungkin baginda tidak memberi penjelasan tentang perkara ini sedangkan ia berlaku di hadapan baginda.

Keempat: Allah SWT menurunkan al-Quran dan mengutuskan Nabi SAW bagi tujuan memberi penjelasan kepada manusia perkara yang menjadi keperluan mereka. Manakala apa sahaja perkara yang tidak dijelaskan oleh Allah SWT dan Rasul SAW, ia termasuk dalam perkara  yang diberi kemaafan dan didiamkan seperti yang dinyatakan di dalam hadis riwayat dari Ibn ‘Abbas RA:

“Maka Allah mengutuskan nabi dan menurunkan Kitab, dihalalkan apa yang halal dan diharamkan apa yang haram. Adapun apa-apa yang didiamkan, maka perkara itu adalah dimaafkan.” (HR Abu Daud dan al-Tirmizi)

Persoalan jamak solat ‘Asar solat Jumaat bagi orang yang bermusafir termasuk dalam perkara yang didiamkan oleh Allah SWT dan Rasul SAW, oleh itu persoalan ini termasuk dalam persoalan yang diberi kemaafan yang dibenarkan. 

Pendapat yang TIDAK BOLEH jamak ialah daripada ulama Mazhab Hanbali adalah berdasarkan hadis : Pada zaman Rasulullah SAW pernah turun hujan yang menimbulkan kesulitan, akan tetapi baginda tidak menjamak solat Asar dengan Jumaat, sebagaimana diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari dan lainnya dari sahabat Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW pernah meminta hujan pada hari Jumaat saat baginda di atas mimbar. Sebelum baginda turun dari mimbar, hujan turun dan mengalir dari janggutnya. Sahabat Anas bin Malik mengatakan, pada hari Jumaat berikutnya, seseorang datang dan berkata: “Wahai, Rasulullah. Harta benda sudah tenggelam dan bangunan hancur, maka berdoalah kepada Allah agar memberhentikan hujan untuk kami”.

Keadaan seperti ini sudah tentu boleh untuk menjamak, tapi baginda tidak melakukannya.

Mereka juga menolak qiyas solat Jumaat jamak dengan Asar sama seperti Zohor dengan Asar kerana Solat Jumaat adalah Solat Mustaqillah Munfaridah yang sangat berbeza dengan Solat Zohor yang mana berbeza lebih daripada dua puluh hukum.

Kesimpulannya untuk keluar daripada khilaf, jika saudara melakukan solat Jumaat, maka saudara boleh buat qasar Asar setelah masuk waktu Asar nanti. Jika saudara mahu jamak juga maka lakukan solat Zohor bukannya solat Jumaat kerana saudara adalah musafir.

SUMBER : HARAKAHDAILY
Baca selanjutnya...