Assalamualaikum wr. wbt..
Selawat
dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. , kaum kerabat
Baginda, para sahabat Baginda dan umat Islam seluruhnya.
Khutbah Jumaat...
Tarikh : 14.02.2014
Tempat : Masjid Sri Taman, Sandakan
Tajuk Khutbah : Sakit : Nikmat atau Musibah
Allah memberikan kepada kita nikmat yang tidak terhitung banyaknya.
Antara nikmat yang paling besar yang sering dilupakan oleh kebanyakan
manusia ialah nikmat kesihatan.
Menurut Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Dua nikmat paling besar yang tidak diambil peduli oleh kebanyakan manusia iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang”.
(Riwayat Al-Bukhari)
Nikmat kesihatan sering dipandang remeh oleh kebanyakan manusia. Hal
yang demikian tentu sekali kerana mereka tidak pernah memanfaatkan
nikmat kesihatan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan persediaan
menghadapi hari Akhirat. Atas dasar itulah Rasulullah s.a.w mewasiatkan
agar menjaga kesihatan dan menggunakan nikmat kesihatan itu dengan
sebaik mungkin sebelum datangnya sakit.
“Rebutlah lima perkara sebelum datang
lima perkara, iaitu hidupmu sebelum kematianmu, sihatmu sebelum sakitmu,
mudamu sebelum tuamu, kayamu sebelum kemiskinanmu, waktu lapangmu
sebelum sibukmu”. (Riwayat Al-Hakim)
Sihat adalah nikmat yang paling besar. Apabila sakit, barulah manusia
akan terasa betapa besarnya nilai kesihatan. Ketika manusia tidak sedar
nikmat sihat, sudah tentu mereka tidak lagi mengingati Allah dan tidak
lagi bertaqwa kepadaNya. Sebaliknya mereka tenggelam dalam kemaksiatan.
Inilah yang dikatakan orang yang telah kufur nikmat pemberian Allah swt
iaitu orang yang telah mempergunakan nikmat Allah untuk kembali
menentangNya. Ingatlah, nikmat kesihatan yang dianugerahkan Allah ini
hanyalah sementara dan pasti akan dipersoalkan kelak pada hari akhirat
sama ada ia dimanfaatkan atau dipersiakan.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Tidak akan berganjak kedua-dua kaki
seorang hamba pada hari kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara
iaitu tentang umurnya ke mana ia
dihabiskan, tentang tubuh badannya untuk apa ia dimanfaatkan, tentang
ilmunya apa yang ia amalkan dari ilmu itu dan tentang hartanya dari mana
hasilnya dan ke mana ia dibelanjakan”. (Riwayat At-Tirmidzi)
Justeru, jadikanlah kesihatan ini sebagai satu ‘medium’ yang membantu
seorang hamba melakukan ketaatan kepada Allah SWT demi meraih pahala
dan bukan kemurkaanNya.
Apabila kita ingin mengetahui sejauh mana nikmat kesihatan yang telah
kita kecapi, banyakkanlah menziarahi orang yang sakit. Hal yang demikian
kerana kesihatan merupakan raja segala-galanya. Hanya orang yang sakit
dapat mengetahui betapa berharganya nikmat kesihatan.
Betapa ramai orang yang sakit berharap kedua-dua belah kakinya mampu
berjalan melakukan amal soleh dan mampu menjenguk temannya namun semua
itu tidak mampu dilakukannya.
Betapa ramai orang yang sakit terputus hubungan dengan masyarakat, tidak
mampu mendengar dan bercakap tetapi hanya mampu berharap agar dapat
mendengar dan melihat untuk terus membaca al-Quran atau mendengarnya.
Namun, semua keinginan itu berlaku setelah nikmat kesihatan telah
ditarik oleh Allah SWT.
Betapa ramai pesakit yang telah buta matanya dan hanya mampu berharap
penglihatan dikembalikan untuk melihat kekuasaan dan ciptaan Allah
tetapi ia hanya sekadar angan-angan. Adakah kita semua melupakan
golongan seperti ini? Celakalah kehidupan seseorang yang cuba menongkah
arus dan melawan takdir serta lupa dan lalai kepada Allah SWT.
Bersyukurlah atas nikmat kedua-dua belah kaki dengan memperbanyak
langkahan kaki ke masjid dan ke arah kebaikan. Bersyukurlah atas nikmat
lidah dengan memperbanyak bacaan al-Quran atau berzikir. Bersyukurlah
atas nikmat pendengaran dan menjaganya daripada mendengar alunan lagu
dan muzik yang melalaikan. Bersyukurlah atas nikmat kedua-dua belah mata
dengan tidak melihat kepada perkara-perkara haram yang dimurkai oleh
Allah SWT. Semua ini adalah di antara cara seorang hamba menghargai
nikmat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka.
Pada hari ini tersebar pelbagai jenis penyakit kronik yang biasa disebut
tiga serangkai seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung
termasuk juga gangguan ain dan sihir. Ada yang meninggal dunia lebih
awal dan ada yang terpaksa menanggung sakit bertahun-tahun. Yang pasti
umur manusia tidaklah begitu panjang melainkan seseorang yang diberikan
umur subsidi oleh Allah SWT.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:
“Umur ummatku hanya antara 60 hingga 70 tahun. Amat jarang yang dapat melepasi had umur ini”. (Riwayat at-Tirmidzi dan Ibn Majah)
Bahkan, tidak berfaedah langsung seseorang yang mempunyai umur yang
panjang jika tidak dipenuhi dengan ketaatan. Realiti kehidupan pada
hari ini membuktikan bahawa kemaksiatan tidak mampu lagi dibendung.
Dalam sebuah hadis, Abu Bakrah pernah mendengar daripada bapanya bahawa
seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w:
“Wahai Rasulullah! Siapakah manusia yang
paling baik? Jawabnya: Sebaik-baik manusia antara kamu adalah orang yang
panjang umurnya dan baik amalnya. Siapakah pula manusia paling buruk?
Seburuk-buruk manusia antara kamu adalah sesiapa yang panjang umurnya
tetapi buruk amalnya”.
(Riwayat at-Tirmidzi, hadis hasan sahih)
Malah, Nabi s.a.w memohon kepada Allah agar tidak dipanjangkan umur hingga nyanyuk.
Allah SWT tidak bersifat zalim kepada hamba-Nya. Setiap kesakitan atau
penyakit yang ditimpakan kepada seseorang mengandungi hikmah
disebaliknya. Antara hikmah di sebalik kesakitan atau penyakit yang
menimpa manusia adalah:
Pertama : Sebagai penghapus dosa. Oleh itu sesiapa yang sakit hendaklah memperbanyakkan istighfar kepada Allah SWT di hujung usianya.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Seseorang muslim yang ditimpa
kecelakaan, kemiskinan, kesedihan, sakit mahupun dukacita walaupun
tertusuk duri pasti Allah akan menebus dosa-dosanya dengan apa yang
menimpanya itu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kedua : Menambah kebaikan.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Amat dikagumi sifat orang mukmin, iaitu
semua urusan yang menimpanya adalah baik. Tidaklah seorang mukmin itu
kecuali apabila ditimpa kebaikan, dia bersyukur lalu menjadi kebaikan
baginya dan apabila ditimpa keburukan dia bersabar lalu menjadi kebaikan
baginya”.
(Riwayat Muslim)
Ketiga : Meningkatkan keimanan dan kesabaran.
Jika diuji dengan penyakit, seringkali seseorang tidak sabar bahkan
berkeluh kesah dan lebih parah hingga mencela penyakit yang dideritai.
Padahal semua yang dialami seorang mukmin itu baik baginya. Jika dia
menghadapinya seperti yang ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w, ini akan
membersihkan dosa-dosanya.
Keempat : Mengembalikan manusia kepada Allah dan istiqamah di atas agamaNya.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Zukhruf ayat 48 :
“Dan tidaklah Kami memperlihatkan kepada
mereka sesuatu tanda kebenaran Nabi Musa melainkan tanda itu adalah
lebih terang dari yang terdahulu daripadanya; dan Kami timpakan mereka
dengan berbagai azab (bala bencana), supaya mereka kembali (bertaubat
kepada Allah)”.
Sesungguhnya setiap penyakit atau kesakitan yang dialami oleh seorang
hamba merupakan suatu ujian daripada Allah swt. Ia boleh menjadi suatu
nikmat jika manusia tersebut redha dan bersyukur serta mendekatkan diri
kepada Allah ataupun sebaliknya menjadi musibah sekiranya kesakitan yang
dialami membuatkannya semakin jauh daripada Allah. Sesungguhnya
bergembiralah bagi mereka yang sabar dalam menghadapi ujian kesakitan
ini
kerana ia adalah bukti kasih sayang Allah kepada hambaNya.
“Tidak ada musibah yang menimpa
(seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada
Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah
berlaku itu dengan tenang dan sabar. Ingatlah! Allah Maha Mengetahui
setiap sesuatu”. (At-Taghabun: 11)
No comments:
Post a Comment