Oleh : Abu Husayn
Ustaz, saya bermusafir pada hari Jumaat. Dalam perjalanan, saya singgah di sebuah masjid untuk solat Jumaat. Bolehkah saya solat jamak dengan solat Asar dan bolehkah solat Asar itu dibuat secara qasar. Mohon penjelasan.
Jawapan:
Para ulama berbeza pendapat dalam masalah ini. Pendapat yang pertama ialah ulama' Mazhab Syafi'e menyatakan BOLEH menjamakkan solat Jumaat dengan Asar berdasarkan alasan-alasan berikut:
Pertama: Berdasarkan dalil-dalil umum tentang keringanan dan kemudahan di dalam Islam, terutamanya dalam bab musafir termasuklah di dalamnya solat Jamak dan Qasar. Dalam bab Qasar hadis daripada Ya’la bin Umayyah yang bertanya kepada ‘Umar bin al-Khattab RA tentang firman Allah SWT yang bermaksud:
“Tidak mengapa ke atas kamu semua untuk mengqasarkan solat jika dalam keadaan bimbang kejahatan orang-orang kafir.” Kata Ya’la kepada ‘Umar bukankan kita telah berada dalam keadaan aman sekarang? Jawab ‘Umar bin al-Khattab RA: “Aku juga dahulu berasa hairan seperti engkau hairan. Lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang perkara ini, baginda menjawab: “Perkara itu merupakan sedekah daripada Allah, maka kamu semua terimalah sedekah tersebut.” (HR Muslim)
Solat musafir dibina di atas dasar memberi keringanan dan kemudahan.
Dalil dalam bab Jamak pula diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas RA dan Abu Hurairah RA:
“Nabi SAW pernah menghimpunkan (Jamak) solat ‘Asar dan Zohor, Maghrib dan ‘Isyak di Madinah bukan kerana ketakutan dan hari hujan.”Dalam riwayat lain: “bukan kerana musafir”. (HR Muslim, al-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasa-ie dan Malik)
Sebahagian ulama pensyarah hadis membuat penjelasan, hadis ini merupakan bukti harus menjamakkan dua solat kerana keperluan (hajat). Hajat atau keperluan ini pula berapa pada kedudukan dharurat di sisi para ulama. Al-Khattabi di dalam Ma’alim al-Sunan berkata: “Diceritakan dari Muhammad bin Sirin yang berkata: “Bahawa tidak mengapa dihimpunkan dua solat jika ada keperluan (hajat), atau sesuatu selama mana tidak dijadikan kebiasaan.”
Musafir termasuk di dalam hajat atau keperluan yang terpenting bagi manusia.
Kedua: Sekiranya Jumaat menjadi tidak wajib bagi orang yang bermusafir, namun sekiranya orang yang bermusafir itu hadir juga solat Jumaat, solat itu menjadi sah. Maka bagaimana mungkin untuk kita katakan tidak boleh dijamakkan Jumaat dengan ‘Asar pula?
Ketiga: Tidak ada sebarang nukilan dari Nabi SAW yang melarang dijamakkan solat Jumaat dengan ‘Asar bagi yang bermusafir. Sedangkan di zaman baginda banyak berlaku permusafiran pada hari Jumaat. Sekiranya perkara ini tidak boleh, sudah tentu akan ada sesuatu nukilan berbentuk larangan dari baginda. Tidak mungkin baginda tidak memberi penjelasan tentang perkara ini sedangkan ia berlaku di hadapan baginda.
Keempat: Allah SWT menurunkan al-Quran dan mengutuskan Nabi SAW bagi tujuan memberi penjelasan kepada manusia perkara yang menjadi keperluan mereka. Manakala apa sahaja perkara yang tidak dijelaskan oleh Allah SWT dan Rasul SAW, ia termasuk dalam perkara yang diberi kemaafan dan didiamkan seperti yang dinyatakan di dalam hadis riwayat dari Ibn ‘Abbas RA:
“Maka Allah mengutuskan nabi dan menurunkan Kitab, dihalalkan apa yang halal dan diharamkan apa yang haram. Adapun apa-apa yang didiamkan, maka perkara itu adalah dimaafkan.” (HR Abu Daud dan al-Tirmizi)
Persoalan jamak solat ‘Asar solat Jumaat bagi orang yang bermusafir termasuk dalam perkara yang didiamkan oleh Allah SWT dan Rasul SAW, oleh itu persoalan ini termasuk dalam persoalan yang diberi kemaafan yang dibenarkan.
Pendapat yang TIDAK BOLEH jamak ialah daripada ulama Mazhab Hanbali adalah berdasarkan hadis : Pada zaman Rasulullah SAW pernah turun hujan yang menimbulkan kesulitan, akan tetapi baginda tidak menjamak solat Asar dengan Jumaat, sebagaimana diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari dan lainnya dari sahabat Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW pernah meminta hujan pada hari Jumaat saat baginda di atas mimbar. Sebelum baginda turun dari mimbar, hujan turun dan mengalir dari janggutnya. Sahabat Anas bin Malik mengatakan, pada hari Jumaat berikutnya, seseorang datang dan berkata: “Wahai, Rasulullah. Harta benda sudah tenggelam dan bangunan hancur, maka berdoalah kepada Allah agar memberhentikan hujan untuk kami”.
Keadaan seperti ini sudah tentu boleh untuk menjamak, tapi baginda tidak melakukannya.
Mereka juga menolak qiyas solat Jumaat jamak dengan Asar sama seperti Zohor dengan Asar kerana Solat Jumaat adalah Solat Mustaqillah Munfaridah yang sangat berbeza dengan Solat Zohor yang mana berbeza lebih daripada dua puluh hukum.
Kesimpulannya untuk keluar daripada khilaf, jika saudara melakukan solat Jumaat, maka saudara boleh buat qasar Asar setelah masuk waktu Asar nanti. Jika saudara mahu jamak juga maka lakukan solat Zohor bukannya solat Jumaat kerana saudara adalah musafir.
SUMBER : HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment