Friday, January 18, 2013

KHUTBAH KEDUA - SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN

"SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN
(11 JANUARI 2013/  28  SAFAR 1434H)
 

Sidang Jumaat yang berbahagia,
 Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN”.

Sidang Jumaat yang berbahagia,
             Dalam menempuh kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran, dugaan dan rintangan. Kita sebagai umat Islam dituntut untuk sentiasa bersikap positif dengan bersabar, bersemangat waja dan tidak mudah berputus asa. Ini kerana segala dugaan kehidupan tersebut merupakan fitrah atau lumrah di dalam kehidupan dan juga merupakan ujian daripada Allah SWT untuk mengenal pasti siapakah di kalangan hamba-Nya yang terbaik dari segi amal ibadah mereka di dunia. Firman Allah SWT  di dalam surah Al-Mulk ayat 2:


Sidang Jumaat yang berbahagia,
Salah satu daripada sifat yang sewajarnya menghiasi diri seseorang manusia untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya adalah dengan bersikap dan berfikiran positif. Persoalan besar timbul di sini apakah yang dimaksudkan dengan berfikiran positif?, Secara ringkasnya berfikir positif dapat didefinisikan sebagai satu pandangan atau sikap seseorang yang sentiasa memandang baik terhadap apa jua keadaan yang menimpa dirinya atau dengan kata lain berprasangka baik.

Mimbar ingin mengingatkan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian bahawa, agama Islam amat menganjurkan umatnya supaya bersifat dan berfikiran positif di dalam kehidupan berbanding dengan sikap berprasangka buruk yang jelas sekali tercela. Sikap prasangka baik memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang manusia. Amatlah tepat dengan pesanan Rasulullah SAW yang menyanjungi seorang mukmin yang berfikiran positif dalam segala aspek kehidupannya. Bahkan itulah sikap dan ciri mukmin yang sejati sebagaimana sabda Rasulullah SAW:


 
Berdasarkan hadis di ini tergambar dengan jelas tentang ciri-ciri mukmin yang sebenar. Bukan sahaja dia sabar dan tabah menghadapi segala mehnah dan tribulasi, bahkan dia juga dianggap kalis dengan segala cabaran demi cabaran serta terus fokus dengan matlamat utamanya dalam kehidupan iaitu mencari keredhaan Allah SWT kerana redha Allah Taala yang didambakan dan dihajati dalam hidupnya.

Sidang Jumaat yang berbahagia,
Seandainya setiap daripada diri kita menghayati dan mengamalkan seruan Rasulullah SAW  ini, insya Allah segala permasalahan di dalam hidup kita akan kita lalui dan hadapi dengan tenang dan mudah. Tiada lagi sifat berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan. Umat Islam akan terus menuju kepada matlamat untuk mencapai sebanyak mungkin kejayaan demi kejayaan. Justeru, mimbar pada hari ini menyeru kepada sidang jumaat sekalian supaya bersama-sama kita menanamkan azam yang tinggi untuk mengukuhkan jatidiri yang positif yang wujud di dalam diri kita sebagai umat Islam.  Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11:

Jika tiada lagi sifat berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan, umat Islam akan terus menerajui tamadun dunia. Sehubungan dengan itu, kita perlu mempelajari sikap positif dari para sahabat Rasulullah, antaranya ialah:

1. Jelas matlamat hidup dan kehidupan ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
2. Tegas berpegang dengan prinsip akidah dan syariah. Tetapi tidak melampau dan melulu yang dirangsang oleh emosi.
3. Memiliki semangat juang yang tinggi dan berani menghadapi risiko melalui perjuangan misi sebagai mukmin.
4. Tidak melupakan dunia, namun tidak pula hanyut dengan keindahannya.
5. Berakhlak mulia dan beristiqamah walaupun diuji.
6. Berani membuat perubahan ke atas diri sendiri apabila ia mendapatkan kebaikan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah bersama-sama kita menanamkan azam yang tinggi untuk mengukuhkan jati diri yang positif yang sememangnya wujud di dalam diri kita sebagai umat Islam. Marilah sama-sama kita berusaha untuk memajukan umat dan bangsa kita. Ingatlah kita adalah sebaik-baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dengan syarat kita memiliki ciri-ciri yang disebutkan ini. Ini kerana kita adalah sebaik baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dengan syarat, kita memiliki ciri-ciri yang disebutkan oleh Allah Taala di dalam al-Quran.

          Di kesempatan ini juga, mimbar menyeru semua jemaah dan umat Islam yang sememangnya sayangkan agama dan Negara, marilah bersama-sama mengekalkan perpaduan dan keamanan yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT terutamanya ke arah perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan pentadbiran negara. Oleh itu, jauhilah segala perkara dan perbuatan yang boleh menjerumuskan diri kita ke arah kebinasaan. Bersyukurlah dengan nikmat keamanan dan keharmonian Negara yang kita kecapi di sepanjang kehidupan ini. Renungilah bersama firman Allah SWT  di dalam surah Ali-Imran  ayat 110 :


No comments:

Post a Comment