Thursday, April 12, 2012

Pengusaha Keropok, Kopi Kelantan Buka Kilang di Indonesia

(Husam bersama pengusaha dan produk keluaran mereka)

PASIR PUTEH, 12 April: Dua pengusaha kecil produk makanan dan minuman di negeri ini akan membuka kilang keropok dan kopi di Kepulauan Sembawa, Indonesia tidak lama lagi.

Pengusaha keropok, Alias Mamat, 38, dan pengusaha kopi Zawawi Omar, 50 masing-masing akan membuka perusahaan di sana memandangkan projek berkenaan berpotensi untuk dilaksanakan di sana.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata kerajaan negeri yakin projek yang bakal diusahakan oleh dua pengusaha akan Berjaya.

“Ini kerana kepulauan itu mempunyai ikan segar yang banyak serta murah, tenaga pekerja yang ramai disamping bahan untuk membuat kopi termasuk buahnya juga murah,”ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidanng medianya selepas meninjau kilang keropok di Kampung Dalam Rhu, Semerak.

Menurutnya, pada 16 April ini, dua pengusaha berkenaan akan ke kepulauan itu untuk memulakan projek di sana di samping mengajar pekerja di situ.

“Saya yakin keropok ikan dan kopi merupakan minuman utama mereka akan menarik perhatian masyarakat di sana termasuk pelancong asing yang sememangnya gemar melancong ke situ,”ujarnya.

Alias Mamat yang telah memulakan perusaha keropok dengan nama produknya D’Kelate Cap Ikan Parang memperuntukkan kos awal sebanyak RM30,000 untuk membeli mesin dan peralatan berkaitan.

Manakala Zawawi yang telah mengusahakan projek itu sejak 15 tahun lalu memperuntukkan sebanyak RM40,000 untuk pembelian peralatan berkaitan.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada pengusaha berkenaan kerana berani meningkatkan perniagaan mereka ke luar negara.


SUMBER : HARAKAHDAILY


No comments:

Post a Comment