Thursday, February 7, 2013

Al-Quran Kalam Allah

 
 
Al-quran itu...
Kitab yang suci..
Diturunkan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad..
Untuk panduan kepada semua...
Dapat digunakan sepanjang masa..

Adanya al-quran...
Hidup pasti terjamin...
Jika diikuti kandungan dalamnya
Setiap ketika bacalah ia...
Mendapat pahala jika dibaca..

Dua warisan zaman berzaman
Ditinggal Rasul jadi  pegangan
Quran dan sunnah jadi panduan
Dua warisan zaman berzaman
Quran dan sunnah jadi panduan
Jadi pedoman hayati kandungan..

Allah Allah Ya Allah
Allah Allah Ya Allah
Allah Allah Ya Allah
Allah Allah Ya Allah

Wahai sahabat seperjuangan
Marilah kita sama-sama
Mengamalkan apa yang ada
Di dalam kalamullah
Agar hidup diberkati
Dan juga dirahmati

Tiada kitab selain al-quran
Bagi kita jadikan panduan
Tiada kitab selain al-quran
Bagi kita jadikan panduan

Itulah kitab yang abadi
Pegangan kita sampai ke mati
Itulah kitab yang abadi
Pegangan kita sampai ke mati

Al-quran itu...
Kitab yang suci..
Diturunkan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad..
Untuk panduan kepada semua...
Dapat digunakan sepanjang masa..

Adanya al-quran...
Hidup pasti terjamin...
Jika diikuti kandungan dalamnya
Setiap ketika bacalah ia...
Mendapat pahala jika dibaca..




Baca selanjutnya...

Wednesday, February 6, 2013

Buku oh Buku - Promote Buku

Assalamualaikum wr. wbt...

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. , para sahabat Baginda yang sama-sama menyinarkan ISLAM ke serata muka bumi ini.

Alhamdulillah, masih lagi diberi kesihatan yang baik untuk bernafas dan berkhidmat kepada Allah S.W.T.. Buku oh buku, sudah lama rasanya aku tertinggal daripada menambah koleksi buku. Januari 2013 sudah tiada, Febuari 2013 sedang bergerak. Namun sebuah buku masih belum dibeli olehku. Cumanya di awal tahun 2013 hanya sempat menambah koleksi Majalah Asuh (",).

Hujung minggu lalu, seorang ustaz di sekolahku pergi ke PWTC untuk menghadiri pesta buku. Jadi, sedikit perkongsian tentang hari kejadian.

Haji Ahmad Sidqi Danial merupakan seorang pendidik di Sandakan, Sabah. Beliau yang dikenali juga dengan nama penanya Diq Danial berasal dari Perak dan telah berkahwin serta mempunyai dua puteri yang comel lotey. Mula menulis sejak lebih 10 tahun lalu. Kini buku-buku hasil penulisan beliau telah mendapat hati di penerbitan Galeri Ilmu. Buku pertama dan kedua beliau telah dicetak dan berada di pasaran awal pada tahun 2012. Kini beliau menunggu untuk buku ketiga dicetak yang masih lagi menunggu giliran daripada penulis-penulis yang lain. 

Sebelum ini aku sudah mempromosi dua buah buku tersebut, namun pada kali ini aku mahu promosi lagi kerana kedua-dua buah buku tersebut mempunyai  aura yang tersendiri. 

Sekitar Pesta Buku di PWTC minggu lalu :-


 Kenangan bersama para penulis Galeri Ilmu Sdn. Bhd.





Cikgu Abu Hassan Morad, Pengarah Urusan Galeri Ilmu Sdn. Bhd

 Para penulis baru yang diraikan

 Bicara Rahsia Dua Surah bersama Ustaz Zul Ramli


 
 Gambar kenangan bersama Ustaz Zul Ramli dan Ustaz Muhadir Hj Joll

 
 Penulis Ummu Hani

 Buku pertama Diq Danial : Geng Mengaji

Buku Kedua Diq Danial : Rahsia Dua Surah Penyeri Subuh Jumaat

"Sempat memohon tandatangan sebuah buku novel Cikgu Abu Hassan Morad berjudul 
Sejuk-sejuk Pantai keluaran DBP 1991 yang masih saya simpan" ...ayat Diq Danial


Seronok dapat melihat suasana demikian. Segan pun ada dengan beliau kerana sudah hampir 10 tahun mengajar namun penampilan beliau masih lagi sentiasa kemas. Aku pula sebaliknya..

Nantikan pula buku ketiga beliau yang bakal diterbitkan iaitu berkisar tentang ilmu Faraid. 


* Bagi sahabat-sahabat yang berminat untuk mendapatkan buku Geng Mengaji atau buku Dua Surah Penyeri Subuh Jumaat boleh terus kepada penulis Diq Danial di talian 012-8937053 (nombor telefon beliau) atau boleh mendapatkan di kedai-kedai buku dan juga di Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

Baca selanjutnya...

Monday, February 4, 2013

Minat Selawat

Assalamualaikum wr. wbt

Selawat dan salam ke atas junjungan  mulia Nabi Muhammad S.A.W. penghulu segala umat di muka bumi ini.

Perubahan waktu mengajar pada tahun ini menemukan aku dengan tajuk yang dikatakan amat aku gemari untuk diajar kepada anak didik. Masih lagi di dalam 'mood' maulid nabi, Petang tadi aku sempat mengajar tentang Salasilah Nabi Muhammad S.A.W. kepada murid-murid tahun satu.

Alhamdulillah, murid-murid kebanyakannya amat meminati tentang sirah ini. Kebetulan tajuk yang diajar ini masih lagi dalam suasana maulid nabi, aku cuba berselawat di dalam kelas. Betapa gembiranya hati ini bila selawatku disambut oleh murid-murid tahun satu ini. 

Walaupun mereka mengikut selawat secara tertukar antara yang dahulu dan yang kemudian, namun aku bangga dengan semangat selawat yang diperdengarkan oleh anak-anak didikku yang berada di tahun satu ini kerana masing-masing cuba mengikut aku berselawat. Insya Allah akan kuajar mereka untuk berselawat kepada junjungan mulia agar sama-sama mendapat manafaat di hari kelak.

صلى الله على محمد 
صلى الله عليه وسلم

صلى الله على محمد 
صلى الله عليه وسلم
 
 
Baca selanjutnya...

Friday, February 1, 2013

Sekadar Perkongsian

Assalamualaikum wr. wbt..

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. , para sahabat Baginda yang sama-sama menyebarkan syiar ISLAM ke serata dunia. 

Masih lagi kita berada dalam 'mood' maulid. Alhamdulillah dapat juga merasa beberapa kali majlis berkenaan walaupun tidak seperti tahun-tahun  sebelum ini. Minggu lepas khatib-khatib di kebanyakan masjid membacakan khutbah berkaitan dengan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. . Moga-moga aku dan juga sahabat-sahabat sentiasa berselawat kepada Baginda S.A.W. Insya Allah.

Praktikum kini sudah bermula. Dua minggu sudah berjalan praktikum namun masih banyak yang belum selesai..hehe

Petang tadi ketika waktu rehat di sekolah, seperti biasa rutin harian aku bersama murid-murid tahun satu, dua dan tiga. Melihat mereka menjamu selera, berlari-lari, bermain-main dan sebagainya. Pandangan aku teralih kepada dua beradik lelaki. Abangnya tahun tiga manakala adiknya tahun satu. Merekan bukan bergaduh, namun berkongsi makanan. Memang berkongsi makanan dengan adik-beradik adalah perkara yang biasa dan aku jumpa hari-hari ketika di sekolah. Namun yang jarang aku lihat adalah kelakuan dua beradik tersebut. Si adik mendapat makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) manakala si abang pula tidak mendapat RMT.

Selepas mendapatkan makanan iaitu roti sandwish, air soya dan vitamin, mereka dua beradik berjalan untuk duduk di bangku yang disediakan. Aku melihat si adik mengeluarkan sesuatu daripada mulutnya dan menyerahkan kepada abangnya. Setelah diteliti, rupa-rupanya dia mengeluarkan vitamin daripada mulutnya dan memberikan kepada abangnya. Abangnya yang melihat aku sedang memerhatikan mereka terus berpaling ke belakang dan terus memasukkan vitamin itu ke dalam mulutnya.

Sungguh syahdu aku melihat kelakuan dua beradik ini. Ini bukanlah kali pertama aku melihat perkara ini, namun pada kali ini aku terasa untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat. Bayangkan betapa utuhnya ikatan adik-beradik. Mungkin ada sesetengah orang tidak sanggup untuk berbuat demikian, namun inilah hakikat kehidupan rakyat di Malaysia pada hari ini. Rakyat yang miskin masih ramai. Masih terlalu ramai. Mengapa ada pihak-pihak berkenaan berani mengatakan negera kita ini hanya segelintir yang dikategorikan sebagai miskin tegar. Di manakah pandangan mata mereka melihat? Adakah hanya dibuat kajian kepada satu kawasan? Atau hanya dibuat kajian terhadap 100 keluarga??
Wahai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, datanglah melihat kesengsaraan rakyatmu itu. Ada yang hanya makan nasi dengan kicap sahaja, ada juga yang tidak jumpa nasi dalam seminggu, ada pula yang hanya makan nasi dua  atau tiga kali dalam sebulan. Kita?? Dimanakah peranan kita sebenarnya.

Aku bukan berbicara tentang politik negara, namun aku hanya meluahkan segala yang berlaku di sekeliling sahaja. Mungkin ada yang masih ragu-ragu adakah perkara ini masih berlaku di negara kita yang AMAN MAKMUR ini. Mungkin di lain masa akan aku sertakan bersama gambar-gambar. Bukan niat untuk mengaibkan mana-mana pihak namun aku mahu masyarakat di negara ini sedar bahawa negara kita masih lagi mempunyai RAKYAT YANG MISKIN.




Baca selanjutnya...

Sunday, January 20, 2013

Cabaran Bakal Ditempuhi

Assalamualaikum wr. wbt..

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat Baginda yang sama-sama menyebarkan Islam di atas muaka bumi ini. 

Beberapa hari lagi kita umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul. Semoga kita sama-sama sentiasa berselawat dan mengingati Baginda.



21-01-2013 bakal tiba. Bermulalah juga episod untuk menjalani praktikum di sekolah. Masih banyak perkara yang belum selesai. Rakan-rakan masing-masing sedang sibuk dan menyibukkan diri untuk menyiapkan bahan-bahan untuk praktikum. Aku juga mengambil bahagian dalm menyibukkan diri menyiapkan bahan-bahan untuk praktikum yang akan ditempuhi selama tiga bulan. 

Pelik dan kekok sebenarnya untuk menjalani praktikum yang mana ianya bagiku amat skema. Aku berharap sahabat-sahabt dapat mendoakan agar praktikum yang bakal aku lalui bersama rakan-rakan maktab yang lain berjalan dengan lancar terutamanya di IPG Kampus Gaya, Sabah dan IPG Perempuan Melayu Melaka.

Wassalam.




 


Baca selanjutnya...

Friday, January 18, 2013

KHUTBAH KEDUA - SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN

"SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN
(11 JANUARI 2013/  28  SAFAR 1434H)
 

Sidang Jumaat yang berbahagia,
 Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN”.

Sidang Jumaat yang berbahagia,
             Dalam menempuh kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran, dugaan dan rintangan. Kita sebagai umat Islam dituntut untuk sentiasa bersikap positif dengan bersabar, bersemangat waja dan tidak mudah berputus asa. Ini kerana segala dugaan kehidupan tersebut merupakan fitrah atau lumrah di dalam kehidupan dan juga merupakan ujian daripada Allah SWT untuk mengenal pasti siapakah di kalangan hamba-Nya yang terbaik dari segi amal ibadah mereka di dunia. Firman Allah SWT  di dalam surah Al-Mulk ayat 2:


Sidang Jumaat yang berbahagia,
Salah satu daripada sifat yang sewajarnya menghiasi diri seseorang manusia untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya adalah dengan bersikap dan berfikiran positif. Persoalan besar timbul di sini apakah yang dimaksudkan dengan berfikiran positif?, Secara ringkasnya berfikir positif dapat didefinisikan sebagai satu pandangan atau sikap seseorang yang sentiasa memandang baik terhadap apa jua keadaan yang menimpa dirinya atau dengan kata lain berprasangka baik.

Mimbar ingin mengingatkan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian bahawa, agama Islam amat menganjurkan umatnya supaya bersifat dan berfikiran positif di dalam kehidupan berbanding dengan sikap berprasangka buruk yang jelas sekali tercela. Sikap prasangka baik memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang manusia. Amatlah tepat dengan pesanan Rasulullah SAW yang menyanjungi seorang mukmin yang berfikiran positif dalam segala aspek kehidupannya. Bahkan itulah sikap dan ciri mukmin yang sejati sebagaimana sabda Rasulullah SAW:


 
Berdasarkan hadis di ini tergambar dengan jelas tentang ciri-ciri mukmin yang sebenar. Bukan sahaja dia sabar dan tabah menghadapi segala mehnah dan tribulasi, bahkan dia juga dianggap kalis dengan segala cabaran demi cabaran serta terus fokus dengan matlamat utamanya dalam kehidupan iaitu mencari keredhaan Allah SWT kerana redha Allah Taala yang didambakan dan dihajati dalam hidupnya.

Sidang Jumaat yang berbahagia,
Seandainya setiap daripada diri kita menghayati dan mengamalkan seruan Rasulullah SAW  ini, insya Allah segala permasalahan di dalam hidup kita akan kita lalui dan hadapi dengan tenang dan mudah. Tiada lagi sifat berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan. Umat Islam akan terus menuju kepada matlamat untuk mencapai sebanyak mungkin kejayaan demi kejayaan. Justeru, mimbar pada hari ini menyeru kepada sidang jumaat sekalian supaya bersama-sama kita menanamkan azam yang tinggi untuk mengukuhkan jatidiri yang positif yang wujud di dalam diri kita sebagai umat Islam.  Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11:

Jika tiada lagi sifat berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan, umat Islam akan terus menerajui tamadun dunia. Sehubungan dengan itu, kita perlu mempelajari sikap positif dari para sahabat Rasulullah, antaranya ialah:

1. Jelas matlamat hidup dan kehidupan ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
2. Tegas berpegang dengan prinsip akidah dan syariah. Tetapi tidak melampau dan melulu yang dirangsang oleh emosi.
3. Memiliki semangat juang yang tinggi dan berani menghadapi risiko melalui perjuangan misi sebagai mukmin.
4. Tidak melupakan dunia, namun tidak pula hanyut dengan keindahannya.
5. Berakhlak mulia dan beristiqamah walaupun diuji.
6. Berani membuat perubahan ke atas diri sendiri apabila ia mendapatkan kebaikan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah bersama-sama kita menanamkan azam yang tinggi untuk mengukuhkan jati diri yang positif yang sememangnya wujud di dalam diri kita sebagai umat Islam. Marilah sama-sama kita berusaha untuk memajukan umat dan bangsa kita. Ingatlah kita adalah sebaik-baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dengan syarat kita memiliki ciri-ciri yang disebutkan ini. Ini kerana kita adalah sebaik baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dengan syarat, kita memiliki ciri-ciri yang disebutkan oleh Allah Taala di dalam al-Quran.

          Di kesempatan ini juga, mimbar menyeru semua jemaah dan umat Islam yang sememangnya sayangkan agama dan Negara, marilah bersama-sama mengekalkan perpaduan dan keamanan yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT terutamanya ke arah perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan pentadbiran negara. Oleh itu, jauhilah segala perkara dan perbuatan yang boleh menjerumuskan diri kita ke arah kebinasaan. Bersyukurlah dengan nikmat keamanan dan keharmonian Negara yang kita kecapi di sepanjang kehidupan ini. Renungilah bersama firman Allah SWT  di dalam surah Ali-Imran  ayat 110 :


Baca selanjutnya...

Tuesday, January 1, 2013

Menjelang Tiba

Assalamualaikum wr. wbt..

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. , para sahabat Baginda dan para syuhada yang menegakkan syiar Islam...


Alhamdulillah, cuti sekolah pada kali ini aku bercuti dengan berjayanya..Hehe...berjaya sebab dapat cuti lama. Seingat aku, sejak aku habis belajar pada Jun 2009, inilah kali pertama aku dapat bercuti panjang di kampung halaman. 


Tahun baru Masihi...2013 telah pun tiba. Umur manusia semakin meningkat. Bagaimana pula dengan amalan dunia akhirat? Itulah yang menjadi persoalan dan tanda tanya dalam diriku ini. Walaupun kini aku masih berada di kampung halaman ditemani hujan yang tidak berhenti untuk hari kedua ini, aku berkira-kira untuk melakukan beberapa perkara yang dikira penting.


Kahwin? Balik kampung kalik ini memang ramai saudara mara dan sahabat bertanya bila mahu kahwin. Tapi masih tiada jawapan. Biarlah adik-adik dan kak long yang selesaikan dahulu tahun ini.Rasanya tanggungjawab aku masih banyak belum selesai..


Berada di Borneo ini membuatkan tugas sebagai pendakwah semakin banyak. Memetik kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan Menteri Besar Kelantan, beliau berkata  "Hok mana berada di Saboh dan Serawok, hok mano ustaz kena jadi cikgu, cikgu kena jadi ustaz". Ianya merujuk kepada tugas dakwah yang perlu dipikul oleh setiap orang bukan hanya tugasnya mendidik pelajar dalam bidang yang dikhususkan sahaja tetapi juga mencakupi semua aspek. Insya Allah aku akan cuba menjadi yang seperti itu..


21.01.2013 bermula praktikum selama empat bulan yang akan berakhir pada 19.04.2013. Masih banyak persiapan yang belum selesai dalam menempuhi tarikh tersebut. Ramai di kalangan sahabat yang mengeluh kerana diberi masa yang terlalu banyak untuk praktikum ini. Aku tidak menyalahkan sahabat-sahabat kerana ada sesetengah sekolah, pihak pentadbir sekolah yang masih tidak faham dan ada yang mengabaikan tentang perkara ini walaupun program j-QAF telah berjalan sejak tahun 2004 lagi. Pada asalnya aku juga diberi masa yang agak berat untuk ditempuhi bersama praktikum. Alhamdulillah, selepas berbincang semula dengan pihak pentadbir dan dibantu dengan senior-senior j-QAF di sekolah, masa mengajar untuk tahun 2013 bagi semester pertama ialah 15 waktu sahaja.



Hujan rahmat jika dimanfaat
Bawa bencana jika terleka
Sama-sama kita memohon syafaat
Daripada Rasulullah tercinta

Ikan haruan enak rasanya
Ikan keli sedap dimakan
Tahun baru menjelang tiba
Marilah kita menambah amalan

Murid-murid bergelak ketawa
Bersuka ria bersama teman
Sekolah kembali dibuka semula
Usaha kecemerlangan mesti diteruskan

 Buah nangka tidak kurasa
Cempedak juga belum dijamah
Teruskan dakwah setiap masa
Sentiasa berada dalam jemaah





Baca selanjutnya...