Tuesday, October 15, 2013

Hari Raya Eidul Adha

Assalamualaikum wr. wbt...

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. , para sahabat Baginda, kaum kerabat Baginda dan seluruh umat Islam yang sama-sama  menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. 

Kita baru sahaja selesai menyambut Hari Raya Aidil Adha atau dengan nama lain ialah Hari Raya Korban, Hari Raya Haji dan pelbagai nama lain lagi. Namun itu semua bukanlah perkara yang penting kerana apa yang penting adalah sejauh mana kita menghayati erti sebenar pengorbanan. 


Tahun ini merupakan tahun kedua berturut-turut aku menyambut Eidul Adha di Sabah. Suasana pada tahun ini bagi aku adalah amat baik kerana sambutan eidul adha ini disambut dengan lebih meriah pada pengamatan aku. Jika tahun lepas, tidak banyak masyarakat di sini mengadakan korban, namun berbeza dengan tahun ini di mana pada tahun ini ibadah korban dilakukan dengan meriah. Jumlah lembu dan kerbau yang dikorbankan juga bertambah. Moga-moga Allah S.W.T. memberikan ganjaran kepada mereka yang melakukan ibadah korban.

Pagi kelmarin, aku dan rakan-rakan serumah telah menunaikan solat hari raya di Masjid Nursyakirin di Sandakan. Usai menunaikan solat sunat, perhatian aku teralih kepada seorang kanak-kanak yang berada di hadapanku. Kanak-kanak ini berusia sekitar 6 atau 7 tahun. Dia bersama dengan bapanya. Aku melihat kanak-kanak tersebut memegang duit kertas RM1 sebanyak dua keping. Dalam fikiranku, duit tersebut adalah duit raya daripada bapa atau ibunya untuk memujuk dia datang solat hari raya. Selang beberapa ketika, datang dua orang petugas berjalan untuk memungut derma masjid sambil berjalan-jalan melintasi kariah masjid. Semakin dekat petugas berkenaan dengan tempat duduk aku, kanak-kanak tersebut lantas mencuit bapanya dan menunjuk-nunjuk ke arah petugas tersebut. Rupa-rupanya kanak-kanak kecil ini diberikan duit untuk dimasukkan ke dalam tabung masjid. 

Cara yang sedemikianlah yang patut diajar oleh ibubapa kepada anak-anak. Kaedah mendidik anak-anak dengan cara yang begini secara tidak langsung dapat membiasakan anak-anak dengan amalan menderma dan mendapat pahala dengan cara yang senang. Aku betul-betul kagum dengan bapa kanak-kanak tersebut.




No comments:

Post a Comment