GOMBAK, 12 Nov: Keindahan hukuman hudud pasti akan terserlah jika seseorang pendakwah yang menerangkannya berkemampuan menyampaikannya dengan betul kepada sesuatu pihak, sejajar dengan keistimewaannya yang datangnya dari Allah. Oleh itu, seseorang pendakwah perlu memainkan peranannya dengan baik bagi membolehkan kesemua pihak dapat memahami hukuman itu dengan betul yang terkandung pelbagai hikmah di dalamnya. Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, pendekatan terbaik yang perlui digunakan oleh seseorang pendakwah dalam menerangkan hukuman hudud kepada orang ramai dengan mengambil contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasuilullah saw. Menurutnya, suatu ketika, Rasulullah saw pernah didatangi seorang pemuda yang meminta kebenaran untuk berzina dan mengecualikannya dari hukuman hudud. Katanya, meskipun tindakan pemuda itu agak keterlaluan, tetapi Rasulullah saw tidak memarahinya, sebaliknya dilayani dengan baik dengan pendekatan yang cukup bijak bagi menyelesaikan masalah itu. "Rasulullah bertanya kepada pemuda itu, "Apakah kamu suka jika seseorang lelaki ingin berzina dengan adik perempuan kamu?" Lelaki itu menjawab, "Langkah mayat aku dulu." "Kemudian Rasulullah bertanya lagi, "Apakah kamu suka jika ada seseorang lelaki ingin berzina dengan kakakmu?" Dan kemudian ditanya, "Apakah kamu suka jika seseorang lelaki ingin berzina dengan ibumu?" Dan kemudian jika dengan saudara-saudara perempuanmu?" katanya. Menjawab pertanyaan peserta selepas membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk "Hudud Satu Keperluan" pada Multaqa Pendakwah PAS di KUIZM di Taman Melewar, di sini, hari ini, beliau berkata, kesemua pertanyaan Rasulullah itu dijawab oleh pemuda tersebut dengan tidak bersetuju. "Malah jika seseorang lelaki itu ingin berbuat demikian terhadap keluarganya, seseorang itu mestilah melangkah mayatnya terlebih dahulu," jelasnya. Pertanyaan Rasulullah itu, tambahnya, segera menyedarkan lelaki tersebut bahawa perzinaan adalah sesuatu yang amat hina dan mengundang pelbagai kemusnahan terhadap diri, keluarga dan masyarakat dan itulah sebabnya ia diharamkan oleh Allah. Katanya, dengan itu, sebagai orang Islam dan manusia yang bermoral, pemuda itu segera sedar bahawa perbuatan itu juga mestilah dielakkan oleh belliau sendiri. "Tindakan Rasulullah itu penuh dengan hikmah dan ia turut menggambarkan berapa indahnya hukum hudud yang diperintahkan oleh Allah untuk dilaksanakan ke atas orang yang berzina kerana di dalamnya penuh dengan hikmah pengajaran kepada seluruh manusia," katanya. Dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan hukum hudud penuh dengan kekerasan, tambahnya, jelas tidak berasas dan ia menunjukkan kejahilan individu terbabit mengenainya. "Sebaliknya, hasil perbincangan saya dengan orang-orang bukan Islam dari DAP di Pulau Pinang baru-baru ini, mereka juga bersetuju jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini kerana diakui sendiri oleh mereka sebagai satu bentuk hukuman yang cukup baik," katanya yang juga Adun Manir, Terengganu. Beliau merumuskan bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan hukum hudud sebagai manusia yang tidak bermoral yang sememangnya hidup bergelumang dengan maksiat walaupun mengaku beragama Islam. "Itulah sebabnya mereka tidak bersetuju dengan hukum hudud kerana jika dilaksanakan ditakuti akan dikenakan ke atas mereka sendiri," ujar beliau. |
Saturday, November 12, 2011
Keindahan HUDUD Bergantung Kepada Pendakwah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment