Showing posts with label SUKAN. Show all posts
Showing posts with label SUKAN. Show all posts

Saturday, October 23, 2010

Kelantan, NS ulangi final



KUALA LUMPUR - Bagaikan ulangan perlawanan akhir tahun lalu, Kelantan dan Negeri Sembilan sekali lagi bertemu pada pentas akhir bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia edisi ke-84 di Stadium Bukit Jalil, 30 Oktober ini.

Jaringan tunggal daripada pemain kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-78 ekoran kesilapan penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Elias sudah cukup buat skuad Red Warriors menyingkirkan Kedah dalam aksi di Stadium Sultan Muhammed IV.

Gol tersebut membawa Kelantan ke pentas perlawanan akhir untuk dua musim berturut-turut menyebabkan stadium bertukar menjadi gegak gempita dengan sorakan padu lebih 20,000 penyokong fanatik tuan rumah.

Kehadiran semula Norshahrul dalam kesebelasan utama Kelantan ternyata membawa masalah kepada pasukan pelawat apabila merencanakan hampir setiap serangan Red Warriors.

Norshahrul hanya memerlukan tempoh empat minit untuk menguji gawang Kedah, namun percubaannya pada minit ke dua terkena tiang gol sebelum satu lagi rembatan kaki kirinya melebih palang gol, Mohd. Helmi Eliza Elias.

Percubaan pertama Kedah hadir seawal minit ke-11 melalui Mohd. Faizal Abu Bakar, namun sepakan leret diambilnya singgah di sebelah kanan gawang penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Selepas asakan bertali arus, Norshahrul akhirnya menjadi pemusnah apabila sepakan sudut yang diambilnya melencong masuk ke dalam gawang dan gagal dibaca dengan baik oleh Mohd. Helmi yang tertumbuk ke dalam gawang sendiri.

''Kemenangan ini saya hadiahkan kepada semua penyokong setia Kelantan yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada kami.

''Mungkin ketiadaan saya dalam dua perlawanan ekoran penggantungan memberikan kelebihan kepada saya untuk beraksi baik membantu Kelantan mendapatkan gol,'' katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, Negeri Sembilan bangkit menebus maruahnya yang tercalar di Paroi minggu lalu untuk mengatasi Johor FC 2-0 di gelanggang lawan apabila mara dengan kelebihan agregat 2-1.

Kemenangan itu melayakkan pasukan Negeri Sembilan ke Bukit Jalil buat kali kedua berturut-turut sekali gus menghancurkan harapan Sang Lebah untuk beraksi buat pertama kali.

Jaringan pertama disumbangkan oleh Mohd. Shukor Adan pada minit ke-36 melalui satu tandukan yang menerjah gawang lawan.

Gol kedua dijaringkan oleh Shahurain Abu Samah pada minit ke-60 separuh masa kedua melalui tendangan penalti selepas S. Kunalan dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Skuad Lebah semakin hilang punca apabila pemain pertahanan mereka, Mohamad Izuan Jarudin dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua.

Perlawanan juga tergendala selama dua minit pada minit ke-84 apabila penyokong tuan rumah membaling botol ke dalam padang gara-gara membantah keputusan pengadil, namun pasukan keselamatan dapat mengawal keadaan.

Baca selanjutnya...

Saturday, October 16, 2010

Kelantan mara ke separuh akhir Piala Malaysia


PEMAIN Kelantan, Mohd. Nor Farhan Mohamad (atas) berjaya melepasi asakan pemain pertahanan Selangor, Hardi Jaafar pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Kota Bharu, malam tadi. Kelantan menang 3-0. – utusan/hafiz johari


KOTA BHARU – Naib Juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan berada dalam kelas tersendiri apabila mara sebagai pasukan pertama ke separuh akhir Piala Malaysia setelah menewaskan Selangor dengan agregat 3-0 pada pertemuan suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV di sini, semalam.

Beraksi di hadapan lebih 25,000 penyokong, tuan rumah menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri dengan mempamerkan corak permainan menyerang sebaik sahaja wisel dibunyikan.

Kelantan membuka jaringan menerusi pemain sayap lincah Mohd. Nor Farhan Mohamad yang bijak menyudahkan hantaran rakan sepasukan untuk meletakkan tuan rumah mendahului 1-0.

Kelantan mengukuhkan kedudukan dengan menyumbat gol kedua pada minit ke-24 menerusi Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang menanduk hantaran lintang ketua pasukan Indra Putra Mahyuddin.

Selangor yang tergamam dengan corak permainan tuan rumah cuba bangkit dengan mempamerkan rentak berbeza pada babak kedua apabila sering mengancam kubu Kelantan.

Peluang terbaik Selangor hadir pada minit ke-59 menerusi R. Surendran, namun rembatannya diselamatkan oleh Khairul Fahmi Che Mat.

Khairul Fahmi sekali lagi membuktikan kematangan apabila berjaya menyelamatkan sepakan kapten Selangor, Amri Yahyah.

Tersentak dengan asakan Selangor, Kelantan mula memperkemaskan jentera serangan.

Mohd. Badri Radzi melengkapkan malam cemerlang Kelantan apabila memperdayakan pemain pertahanan Selangor untuk memastikan Kelantan layak ke pusingan seterusnya.

Menanti Kelantan di separuh akhir ialah pemenang antara Kedah menentang Terengganu dalam satu lagi saingan suku akhir, hari ini.

Baca selanjutnya...

Saturday, October 31, 2009

NS, Kelantan ke final

31/10/2009 11:19pm

KUALA LUMPUR 31 Nov. - Kelantan menempa sejarah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali pertama dalam tempoh 39 tahun apabila menewaskan Perlis 3-1 di separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Utama Negeri, Kangar, semalam.

Lawan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 November ini adalah Negeri Sembilan yang menewaskan Terengganu 3-1 dalam satu lagi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.
Baca selanjutnya...

Saturday, October 24, 2009

Keputusan Piala Malaysia peringkat suku akhir

KUALA LUMPUR 24 Okt. - Berikut keputusan perlawanan bola sepak Piala Malaysia peringkat suku akhir kedua yang berlangsung malam ini.

KM Naza 0 Negeri Sembilan 3 (Agregat 0-5)

Perlis 2 Johor FC 0 (Agregat 4-1)

Kelantan 3 KL Plus 0 (Agregat 4-1)

Terengganu 1 Selangor 1 (Agregat 2-2. Terengganu menang penalti 5-4)
Baca selanjutnya...