Showing posts with label ILMIAH. Show all posts
Showing posts with label ILMIAH. Show all posts

Wednesday, December 1, 2010

Zikir Terapi Ajaib Ubat Kegersangan Hati, Roh Insan

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

ZIKIR mempunyai kedudukan sangat istimewa kerana ibadah ini digalakkan Islam sebagai satu bentuk amal ibadah yang menunjukkan sifat tunduk serta patuh sepenuhnya kepada Allah, disertai pula rasa kasih, reda dan yakin kepada-Nya.

Mukmin yang sentiasa mengamalkan zikir akan dapat merasai kesannya seperti ketenangan jiwa. Firman Allah yang bermaksud:

(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang dan tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Rad, ayat 28)

Dalam kehidupan, kita sering berdepan pelbagai cabaran dan dugaan sehingga ada ketikanya membawa kepada keresahan jiwa. Justeru, dengan sentiasa mengamalkan ibadah zikir, ia ibarat terapi ajaib yang menyembuhkan keresahan jiwa manusia. Namun, penyerapan roh zikrullah tidak datang kepada pengamalnya jika hati tidak bersama tatkala berzikir. Ketenangan hati orang mukmin terhasil daripada zikrullah adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh hati yang diselaputi kemanisan iman.

Selain itu, mukmin yang sentiasa berzikir akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Ini janji Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya serta orang perempuan yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzaab, ayat 35)

Walaupun zikir amalan yang mudah dilakukan, tetapi menjadi berat untuk dibiasakan. Antara penghalang kepada seseorang untuk membiasakan lidah berzikir ialah disebabkan dosa yang dilakukan.

Apabila daki dosa tertampal pada hati, ia terhijab untuk menggerakkan seseorang berzikir. Faktor lain, seseorang itu dibelenggu sifat mazmumah seperti hasad dengki, suka mengumpat dan sebagainya. Sifat keji seperti ini juga akan menghijab hati untuk berzikir.

Ibnu Taimiyah berkata, keperluan hati terhadap zikir umpama keperluan ikan terhadap air. Cuba bayangkan, bagaimana keadaan ikan jika kita keluarkan dari air.

Al-Imam Syamsuddin Ibnu Qayyim mengatakan: “Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.”

Demikian penting dan tingginya kedudukan zikir kepada seseorang mukmin. Kita seharusnya berpegang kepada prinsip hidup, tidak sempurna hari tanpa zikir. Inilah yang seharusnya kita didik supaya lidah dan hati sentiasa berzikir kepada Allah.

Ibnu Masud ada mengatakan: “Sesungguhnya aku bertasbih beberapa kali itu lebih aku sukai daripada aku menderma beberapa dinar dalam jumlah yang sama di jalan Allah.”

Zikir berkhasiat pula sebagai ubat bagi kekerasan hati.

Dikisahkan bahawa ada seseorang bertanya kepada Hasan al-Basri: “Ya Abu Said, aku ingin mengadu kepada tuan, mengapa hati aku ini menjadi keras begini?” Lantas kata Hasan: “Lunakkanlah hatimu itu dengan zikir.”

Kedudukan tinggi amalan berzikir turut digambarkan dalam kisah seorang bertanya kepada Salman al-Farisi: Amal apakah yang paling utama? Kemudian dijawab Salman: “Tidakkah engkau pernah membaca ayat, Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (keutamaannya) daripada ibadah yang lain.” (Surah Al-Ankabut ayat 45)

Abdullah bin Masud pernah berkata: “Sesungguhnya sebuah gunung menyeru gunung yang lainnya dengan namanya dan bertanya, apakah hari ini ada orang yang lalui di atasmu dan menyebut Allah (berzikir)? Maka apabila gunung itu menjawab, ya, maka ia akan gembira.”

Demikian juga riwayat yang mengatakan Abdullah bin Abbas pernah berkata: “Tidak ada sebuah lembah yang di atasnya disebut nama Allah kecuali ia akan merasa bangga atas lembah yang berada di sekelilingnya, ia merasa gembira dengan zikir yang diucapkan itu. Kegembiraan itu juga turut dirasai oleh tujuh lapis di bawah lembah itu.”

Begitulah gambaran jelas menunjukkan betapa amalan zikir mempunyai keistimewaan besar yang seharusnya menjadi amalan rebutan setiap mukmin untuk mencapai keredaan Allah dan menikmati ketenangan hidup.


Sumber : http://nurjeehan.hadithuna.com

*peringatan kepada diri sendiri

Baca selanjutnya...

Thursday, March 18, 2010

Lima Tanda Hati Keras Membatu

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati. Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya.. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:


1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan

Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya, "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat

Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-ma ta. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah dilecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

5. Tidak belajar dengan Ayat Kauniah

Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran, seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai nasihat. "Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pel ajaran?" (Surah At-Taubah, ayat 126)
Baca selanjutnya...

Wednesday, March 17, 2010

Prinsip-prinsip Kejayaan

Menurut Al-Quran, Nabi Muhammad s.a.w. merupakan contoh terunggul untuk ummah manusia keseluruhannya. Para pakar pengkaji sejarah yang bukan Islam turut mengiktiraf beliau sebagai salah seorang personaliti paling berjaya dalam sejarah.

Pada tahun 1946 Reverend Bosworth-Smith dalam 'Mohammed & Mohammedanism.' Menulis tentang Nabi s.a.w.:

“Daripada ketua kerajaan dan kepada ketua gereja, beliaulah 'Caesar' dan 'Pope' dalam satu; tetapi beliau adalah 'Pope' tanpa dakyah-dakyah politik, 'Caesar' tanpa barisan tentera 'Caesar', tanpa pengawal peribadi, tanpa mahligai istana, tanpa saraan pendapatan gaji yang tetap. Kalaulah ada dakwaan di dunia ini yang mengatakan adanya seorang manusia yang benar-benar memerintah di dunia atas kuasa yang datang terus dari langit maka orang itu hanyalah, Mohammad., Kerana hanya beliaulah seorang yang memiliki kuasa tanpa mekanisme jajahan kuasa dan tanpa pertolongan kerajaan. Beliau tidak mengendahkan tentang kuasa yang datang dari pengaruhnya. Kesederhanaan hidupnya mencerminkan caragaya hidupnya mentadbirkan persona dirinya dalam bersama orang ramai dan tidak terjejas langsung akibat kedudukannya sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia ini.”

Pada tahun 1978 Michael Hart menulis dalam bukunya '100 orang paling berpengaruh dalam sejarah', beliau memilih nabi Muhammad sebagai orang yang paling dalam sejarah dan berkata:

“Keputusan saya memilih Muhammad untuk mengetuai senarai nama orang yang paling berpengaruh di dunia mungkin akan mengejutkan pembaca dan pasti akan dipersoalankan orang, tetapi pada hemat saya beliau seorang sahaja yang berjaya baik dari peringkat sekular dan juga dari peringkat keagamaan…… Oleh kerana kebolehannya megadunkan dua unsur ini tanpa tolok bandingannya berbanding dengan personaliti-personaliti lain dalam sejarah maka saya merasakan Muhammadlah yang berhak mendapat jolokan sebagai seorang individu yang paling berpengaruh dalam lembaran sejarah tamadun manusia.”

Tingkah-laku serta ucapan yang keluar dari bibirnya memberi bimbingan untuk kita umat manusia untuk mencapai kejayaan , bukan sahaja di dunia ini tetapi juga di akhirat juga.

Nabi s.a.w. seorang yang berfikiran positif. Setiap urusannya adalah ke arah yang bermatlamat. Beliau mengelakkan dari setiap tindak-tanduk yang berunsur negatif yang akan menghalang proses kejayaan seperti benci, dengki, bongkak dan tamak, etc.

Setiap tindak-tanduknya adalah berniat bersih dan adalah kerana Allah s.w.t.

Dari mengkaji kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. kita akan memeperolehi prinsip-prinsip kejayaanya.

Prinsip pertama:

Ambil jalan yang mudah: Prinsip diterangkan oleh A’ishah. Beliau mengatakan:

“ Apabila nabi s.a.w. terpaksa memilih di antara dua pilihan beliau akan memilih pilihan yang lebih mudah” (Bukhari)

Memilih jalan yang mudah bermaksud bahawa anda perlu mengkaji masalah anda dengan rasional dan baik dan memilih yang paling bijak dan menyenangkan urusan kerja anda. Setiap individu yang bermula dengan natijah sebegini akan cepat menuju ke arah matlamat hidupnya.

Prinsip Kedua:

Lihatlah peluang dalam kesusahan: Sewaktu permulaan di Mekah, terdapat banyak masalah dan rintangan. Pada waktu itu satu petunjuk turun dari Allah s.w.t. yang berfirman:

“Seiring dengan kesusah adalah kesenangan. Seiring dengan kesenangan adalah kepayahan” (94:5-6).

Ini bermakna jika ada masalah pasti ada peluang yang datang seiringan dengannya. Jalan menuju kejayaan adalah dengan mengatasi masalah yang datang dalam setiap cubaan dan menyahut setiap peluang yang datang sekaligus bersamanya.

Prinsip ketiga

Bertindak dengan berubah tempat bermaustatin: Prinsip ini timbul hasil dari peristiwa Hijrah. Hijrah bukan sahaja satu penghijrahan dari Mekah ke Madinah . Ia merupakan satu pengembaraan untuk mencari satu tempat yang lebih sesuai untuk penubuhan agama Islam.

Berpindah adalah satu aspek penting untuk mencapai keamanan dan keadilan. Ini juga dapat membuahkan pembukaan minda dan rohani untuk menerima pembaharuan dari segi intelek, rohaniah dan pemikiran.

Prinsip keempat
Jadikan seorang kawan dari seoarng musuh: Agama Islam sering mendapat pertentangan hebat dari masyarakat jahiliyaiah. Ketika itu , Al-Quran menganjurkan melakukan baik untuk mereka yang melakukan jahat. Kemudian Al-Quran mewartakan:

'Kamu akan menyaksikan lawan menjadi kawanmu'. (41:34).

Ia bermaksud bahawa dengan melakukan kebaikan terhadap orang yang mengkhianati kita dengan kejahatan kita akan dapat menundukkan keegoan mereka dengan sikap kita yang luhur dan ikhlas.

Contoh terunggul sifat kemanusiaan Nabi s.a.w. jelas sewaktu menawan kembali kota Mekah beliau tidak meumpahkan darah walaupun setelah beliau dilayan dengan sebegitu buruk terdahulu daripada itu. Semua musuh yang ditawan diberikan pengampunan termasuk Hinda, isteri Abu Sooyaan, wanita yang memotong serta mengeluarkan usus serta perut ayah saudara Nabi s.a.w. Dalam keadaan sedemikian Nabi s.a.w. tetap mengampunkan Hinda.

Prinsip kelima

Pendidikan adalah tunggak kejayaan: Selepas perang Badr, Lebih 70 orang jahiliyiah diambil sebagai tawanan perang. Mereka merupakan orang terpelajar. Nabi s.a.w. mengumumkan bahawa sekiranya mereka berjaya mengajar 10 anak-anak Muslim menulis dan membaca mereka akan dibebaskan dari tawanan perang. Ini merupakan sekolah pertama dalam sejarah Islam yang mana semua penuntutnya beragama Islam dan tenaga pengajarnya dari pihak musuh.

Prinsip keenam

Jangan berfikiran sempit: Dalam perang terkenal di Mutah, Khalid Ibn. Walid a.s. memutuskan untuk menarik diri pejuang-pejuang Islam dari medan perang kerana mendapati tentera Islam berada dalam jumlah yang sikit berbanding tentera-tentera lawan. Apabila mereka pulang , setengah orang Islam memfitnah mereka sebagai lari dari medan perang. Nabi s.a.w. membangkang seraya berkata,

“Tidak mereka adalah ahli pejuang yang mara ke hadapan”.

Ketika itu setengah penduduk Madinah berfikiran sempit dan menafsirkan keadaan sebagai samaada tentera melawan atau berundur. Nabi s.a.w. di sebaliknya berkata terdapat pilihan ketiga dalam aspek ini yakni mengelakkan peperangan seketika untuk mengumpul kembali tenaga dan kekuatan selanjutnya kambali ke medan perang dengan keadaan lebih bersedia lagi menggerunkan terhadap pihak musuh.

Sejarah membuktikan strategi pemikiran jauh dan luas beliau dalam menangani masalah berjaya mendapat kejayaan yang membanggakan yang akhirnya menumpaskan musuh di sempadan Rom setelah menyiapkan tentera-tentera Islam selama tiga tahun untuk berhadapan dengan mereka.

Prinsip ketujuh

Jangan mengadakan atau memanjangkan konfrontasi yang tidak perlu: Prinsip ini timbul hasil dari perjanjian damai Hudaybiyyah. Ketika itu umat jahiliyiah berkeras untuk berperang dengan tentera Islam kerana mereka berkeadaan lebih baik dari segi strategi peperangan. Tetapi Nabi s.a.w. , sebaliknya memasuki perjanjian perdamaian bersifat unilateral untuk selama sepuluh tahun. Sebelum itu pihak Islam dan yang bukan Islam hanya bertemu di medan peperangan untuk menyelesaikan konflik mereka. Sejak itu konfrontasi hanya ditangani dengan perbincangan serta pertukaran maklumat mengenai perbezaan ideologi. Dalam masa dua tahun, Islam muncul unggul lantaran kerana ideologinya yang tiada tolok bandingannya tidak dapat dilawan.

Prinsip ke-lapan

Biar perlahan-lahan dan tidak radikal dalam perlaksanaan hukum: Prinsip ini termaktub dalam Hadith riwayat Bukhari. Ai’shah bersabda yang mana surah-surah awal penurunan ayat-ayat Al-Qur’an berkaitan rapat dengan syurga dan neraka. Selepas kepercayaan mula menyerap masuk ke dalam hati sanubari umat manusia , Allah s.w.t. menurunkan surah-surah untuk menyeru umat manusia menghentikan terus dari melakukan ketidakadilan dan amalan-amalan yang tidak bermoral yang membelenggui masyarakat Arab jahiliyiah itu ketika itu. Ini bukti sejarah yang jelas bahawa Islam menggemari cara kesederhanaan dan membenarkan cara evolusi dari revolusi dalam perlaksanaan polisi dan pembaharuan.

Prinsip kesembilan

Bersifat pragmatik dalam menangani konflik: Sewaktu menulis draf perdamaian di meja rundingan Hudaybiyyah nabi s.a.w. bersabda "Inilah utusan dari Muhammad utusan dari Allah s.w.t." , kaum Quraish terus memberontak dengan ayat ini lantas Nabi s.a.w menyarankan ayat itu diubah-suai kepada ‘Muhammad, anak kepada Abdullah’. Ini mendiamkan pengkritik-pengkritiknya.

Ini hanyalah sebilangan kecil dari prinsip-prinsip yang Nabi Muhammad s.a.w. gunakan untuk mengatur langkah hidupnya. Kunci kejayaan prinsip-prinsip hidupnya diiktiraf oleh pengkaji sejarah sebagai tiada tolok bandingnya dan adalah bijak seandainya kita umat Islam cuba mencontohi kebijaksanaan beliau.

'Pada dalam diri kamulah utusan dari Allah milik budi pekerti yang indah untuk setiap orang yang harapan mereka terletak pada Allah dan hari kemudian…' (Quran 33:21)

Baca selanjutnya...

Monday, November 2, 2009

PeRiNgKaT-PeRiNgKaT MuHaSaBaH DiRi

Imam Ghazali telah menetapkan beberapa marhalah (peringkat) untuk bermuhasabah
diri seperti berikut;


1) AL-MUSYARATAH

Pada peringkat ini kita mengenali bahawa diri itu adalah diri kita sendiri dan hati itu adalah hati kita sendiri. Ditangan kitalah terserah segala amalan baik dan buruk. Ketahuilah bahawa membaiki diri adalah dengan amalan soleh manakala merosakkan diri dan hati adalah dengan maksiat dan kejahatan.


2) AL-MURAQABAH

Intai-intailah diri sewaktu mengharungi amalan atau membuat sesuatu aktviti dan perhatikanlah segala tindakan dengan mata hati. Sekiranya kita mendapati bahawa diri kita telah melanggari hak-hak Allah Taala dan melakukan dosa kepadaNya, maka segeralah bertaubat. Baiki diri dengan mentaati segala suruhan dan laranganNya.


3) AL-MUHASABAH

Apabila seseorang hamba itu menghitung (menghisab) amalan dirinya sendiri, adakalanya rutin seharian yang dilalui dipenuhi dengan ketaatan dan pahala. Maka sewajarnyalah hamba itu memuji Allah dan bersyukur kepadaNya, berdoa dengan penuh kerendahan hati moga Allah mengurniakan kepadanya kekuatan dan keteguhan dalam beramal ibadah keranaNya. Tetapi sekiranya kehidupan seharian yang sedang dilalui itu dipenuhi dengan maksiat dan noda maka hendaklah dia segera berhenti, mencela dirinya sendiri diatas keterlanjuran dan paling penting berazam untuk mencegah dirinya daripada mengulangi apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.



4) AL-MU`AAQABAH

Amaran dan tegahan untuk berhenti dari melakukan dosa dan maksiat tidak memadai sekiranya tidak diiringi dengan `iqaab (denda / hukuman) yang zahir. `Iqaab itu menjadi penolak dan penghalang kepada dosa dan maksiat yang telah dan akan dilakukan oleh seseorang hamba. Diriwayatkan bahawa Sayyidina Umar al-Khattab telah mendera dirinya sendiri kerana meninggalkan solat asar berjamaah dengan menyedekahkan tanahnya yang bernilai 200 ribu dirham. Manakala sesetengah ulama` pula mewajibkan dirinya sendiri dengan berpuasa selama setahun atau dalam satu tempoh masa yang panjang (dengan harapan untuk menundukkan nafsu serta keinginan terhadap dunia dan maksiat), berjalan kaki untuk menunaikan haji dan sebagainya. Semua ini bertujuan untuk menta`dib dan mentarbiah diri agar tidak mengulangi tegahan Allah Taala.


5) AL-MUJAHADAH

Iaitu melawan segala kehendak hawa nafsu yang menjerumuskan seseorang hamba ke lembah dosa dan maksiat. Banyakkan bersabar, meyakini bahawa nikmat dunia adalah sementara sahaja dan sentiasa terikat dengan kehidupan akhirat yang terdapat pada hari tersebut syurga yang penuh dengan kenikmatan serta neraka jahannam yang penuh dengan sengsara dan azab. Sentiasalah berwaspada, bermuhasabah, melakukan `iqaab dan bermujahadah dari masa kesemasa dan beramallah dengan amalan-amalan yang dikehendaki oleh Allah Taala dengan bersungguh-sungguh supaya tidak futur (lemah) dipertengahan jalan menuju Allah yang Maha Esa.

Baca selanjutnya...