Friday, December 30, 2011

Tahun Baru Disambut, Seruan Allah Diikut

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.


Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam surah al-‘Asr:

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣

Maksudnya: Demi Masa! (1)Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – (2)Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Kini kita berada dipenghujung tahun 2011 yang telah mencatat pelbagai kisah suka duka, pahit manis dalam diari kehidupan kita. Peralihan hari, bulan dan tahun meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri manusia samada memberi perubahan positif dengan bertambahnya bekalan akhirat atau meninggalkan kesan negatif dengan menambah bebanan berat dan jijiknya dosa maksiat terhadap Allah. Surah al-‘Asr membayangkan segalanya kepada kita beza yang ketara antara manusia yang rugi dengan manusia yang beruntung dunia akhirat. Imam Syafi’e pernah berpesan bahawa sekiranya manusia berfikir dan memahami mengenai kandungan surah al-Asr maka sudah mencukupi untuk dia meletakkan dirinya atas landasan yang betul serta mengelak daripada tergelincir ke lembah kerugian. Begitu juga Ibnu Mas’ud meninggalkan wasiat dengan katanya: “Demi Allah, aku tidak menyesali sesuatu pun seperti penyesalanku terhadap suatu hari yang matahari terbit di dalamnya, di mana ajalku semakin dekat sedangkan amalanku tidak bertambah.”

Dunia ini hanya tempat kita menyemai amalan soleh untuk kita tuai pahalanya di akhirat nanti. Dunia hanya tempat persinggahan untuk mencari bekalan akhirat nanti

أَخَذَ رَسُولُ اللهِ صلی الله عليه و سلم بِمَنْكِبِي فَقَالَ: كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُولُ: إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ - رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ

Maksudnya : Daripada Ibn Umar r.a., katanya : ” Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : ‘ Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara. ‘ Maka Ibn Umar berkata : “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati. “


Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Berbeza dengan sambutan tahun baru Hijrah yang lebih banyak diisi dengan program keagamaan sedangkan sambutan tahun baru Masihi biasanya dipenuhi dengan program maksiat terhadap Allah. Apa yang lebih malang program maksiat ini bukan sahaja diberi lesen malah dianjur sendiri oleh pihak kerajaan bagi menambah kerosakan akhlak dan melambak jenayah serta menjemput bala dahsyat daripada Allah. Teguran dan nasihat yang diberi sudah dihirau lagi bila nafsu menguasai diri sebagaimana kata ulama’ bahawa memberi nasihat kepada manusia yang degil seumpama memberi emas berlian yang begitu berharga kepada binatang yang tidak tahu apa-apa nilai barangan kemas tersebut. Apa yang lebih menggerunkan apabila turunnya bala Allah yang dahsyat seperti Tsunami 2004 dan banjir besar barulah pemimpin mula bercakap tentang sambutan tahun baru tidak disambut secara besar-besaran kerana simpati kepada mangsa bala bencana. Ingatlah suatu hadis nabi yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.”

Apa yang lebih malang akibat kejahilan maka lahir lebih ramai manusia yang seronok melawan Allah dan berbangga pula dengan perbuatan keji itu samada melalui percakapan atau menggunakan teknologi maklumat seperti laman sosial facebook, twitter dan lainnya untuk memberitahu dunia tentang maksiat yang telah dilakukan. Mereka tidak sedar mereka telah melakukan dosa besar terhadap Allah dan telah menayang dosa di dunia lagi sebelum ditayangkan semula pada hari yang lebih dahsyat di akhirat kelak yang diikuti dengan seksaan neraka yang begitu ngeri.

رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ – متفق عليه

Maksudnya: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa pada malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah sudah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah sudah menutupi dosa itu semalaman, tetapi pada pagi hari dia buka dosa yang telah ditutup oleh Allah.”


Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam Surah al-Nisa, ayat 110-111:

وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّـهَ يَجِدِ اللَّـهَ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿١١٠﴾وَمَن يَكْسِبْ إِثْمًا فَإِنَّمَا يَكْسِبُهُ عَلَىٰ نَفْسِهِ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Maksudnya : Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (110)Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana

Ingatlah kita antara bahayanya dosa maksiat dicabut cahaya dan seri keimanan terutama apabila melakukan dosa besar. Muka yang tidak pernah dibasahi air wuduk boleh hilang serinya. Tertutup daripada kebenaran sehingga dia tahu mana baik dan buruk tetapi tak ikut kebaikan, dia tahu yang buruk tetapi tidak dapat meninggalkannya. Hilang rasa ghairah terhadap amal kebaikan dan ganjaran serta tawaran pahala. Pelaku maksiat tidak meng­inginkan syurga dan apabila disebut neraka mereka tidak berasa takut malah mengejeknya. Rasa berat dan payah beramal soleh sebaliknya mudah apabila diajak melakukan dosa dan maksiat. Dosa membuatkan hati jadi keras dan degil. Mereka amat susah untuk mendengar nasihat. Suka berbalah dan tidak menghormati orang lain dan bahasa yang digunakan kasar serta tidak menghormati perasaan orang lain. Jika dosa derhaka kepada orang tua boleh berjangkit kepada anak-anak dengan tindakan anak yang menyakitkan hati­nya sebagaimana dia menyakiti ibu bapa suatu ketika dulu. Dosa menjadi hijab doa payah diterima Allah. Terkadang dosa menjadi penghalang daripada mendapat rezeki dan menemui jalan penyelesaian terhadap masalah hidup. Dosa penyebab turunnya bala Allah.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 187 surah al-A’araf :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ۚ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً ۗ يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّـهِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari qiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari qiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari qiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”

Kedatangan tahun baru 2012 turut mendapat tumpuan apabila timbulnya ramalan bahawa qiamat bakal berlaku pada bulan Disember 2012. Bagi kita yang beriman kepada Allah percaya bahawa qiamat akan berlaku tetapi tarikh tentangnya hanya diketahui oleh Allah sahaja. Apa yang lebih penting sebagaimana saat kematian kita tidak diketahui begitu juga tarikh qiamat maka kita wajib bersedia dengan memperbanyakkan amalan soleh disamping memohon keampunan Allah bukan terjerat dengan ramalam manusia yang tidak beragama. Beberapa negara mengharamkan tayangan filem qiamat 2012 sebelum ini kerana ia boleh menjejaskan aqidah umat Islam malangnya negara kita bukan sahaja tidak sensitif berkenaan masalah ini malah bertambah teruk apabila penapisan filem selepas ini diserahkan kepada penerbit filem yang pasti lebih mendatangkan kesan yang lebih buruk kepada aqidah dan akhlak umat Islam. Malah ramalan ini turut dibaca oleh setengah pengkaji Islam sebagai tahun 2012 ialah tahun serangan besar-besaran musuh terhadap umat Islam seluruh dunia bagi memastikan cita-cita yahudi untuk menguasai dunia dapat dicapai dalam masa terdekat.

Oleh itu jangan kita disibuk dengan perkara kecil sehingga lupa pada perkara yang lebih besar seperti sibuk berbicara tentang ramalan sesat sedangkan kita lupa kepada ingatan Allah dalam al-Quran dan tanda-tanda qiamat yang pernah diberitahu oleh nabi junjungan. Jangan asyik membincangkan kes kecurian dalam kampung sahaja sehingga lupa kepada isu berbilion wang rakyat dirompak melalui rasuah dan pecah amanah. Jangan tertipu dengan pemberian hanya beratus ringgit sehingga lupa untuk menghukum pemimpin yang menyalahguna berbilion ringgit hasil mahsul negara. Jangan seronok dapat habuan sedikit sedangkan negara sedang digadai sedikit demi sedikit. Ingat sebelum terjerat, waspada sebelum kena, sedar sebelum menyesal

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



SUMBER : http://khutbahkini.wordpress.com

No comments:

Post a Comment