Wednesday, November 23, 2011

SABAR

Hadith:

DARIPADA Abu Malik al-Harith bin A`sim al-Asya`ri r.a , katanya, telah bersabda rasul s.a.w , kesucian zahir dan batin sebahagian daripada iman, ucapan alhamdulillah memenuhi neraca, subhanallah serta alhamdulillah memenuhi neraca, subhanallah serta alhamdulillah keduanya memenuhi apa yang ada di antara langit dan bumi, sembahyang sebagai cahaya, sedekah pula bukti iman, sabar itu sebagai sinaran, al-Quran itu sebagai bukti untukmu atau atasmu dan setiap manusia dipagi lagi ada yang menjual dirinya (memelihara diri daripada siksaan Allah) dan ada juga yang membinasakan dirinya sendiri (tidak ingin keredaan Allah).

Riwayat Muslim


Huraian Hadith:

1. Hadis ini menerangkan kelebihan darjat dan hikmat mengerjakan amal kebersihan, menunaikan solat, memberi sedekah, bersifat sabar, membaca al-Quran dan membanyakkan tasbih dan tahmid.

2. Tiap-tiap perbuatan itu masing-masingnya memperolehi balasan dari Allah mengikut apa yang dikerjakannya.

3. Di dalam perjuangan kehidupan, manusia biasanya berhadapan dengan keuntungan dan kerugian atau kemuliaan dan kecelakaan. Ketika berhadapan dengan kerugian atau kecelakaan yang merupakan dugaan bagi manusia, ketika itu hendaklah diterima dan dihadapi dengan penuh kesabaran kerana manusia telah dijanjikan bahawa Allah bersama orang-orang yang sabar.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Baca selanjutnya...

Monday, November 21, 2011

Maaf...

Assalamualaikum wr. wbt..

Selamat bercuti buat sahabat2 yang sedang bercuti daripada tugas sebagai pendidik. Selamat bercuti juga diucapkan buat sahabat2 yang masih bergelar pelajar. Segelintir sahabat masih menghubungi aku tika mana diri ini tertinggal jauh dari sahabat2 seperjuangan yang sama2 belajar suatu ketika dulu..cewah, cam sudah lame lah pulak suatu ketika dulu..he3

Sahabat2 yang cutinya digunakan untuk memasuki maktab pun ade (merujuk kepada sahabat2 yang sedang mengikuti J-QAF). Jemputan walimah juga semakin banyak diterima baik dalam inbox telefon bimbit, ataupun surat2 jemputan yang sampai ke rumah di kampung halaman. Semoga berbahagia sahabat2 yang sedang dan akan melangsungkan walimah (",)

Pemimpin, tidak kiralah seseorang pemimpin itu merupakan pemimpin di dalam rumah, sekolah, pejabat kecil, pejabat besar, ketenteraan, dan sebagainya, namun sikap dan sifat mereka perlulah dijaga kerana ianya akan diteladani oleh orang2 bawahannya.

Pemimpin sering dikaitkan dengan "role model", jadi bagaimana untuk menunjukkan sikap yang baik jika perkara remeh tidak diambil berat. Pernah terjadi kepada seorang sahabatku yang bekerja di pejabat. Beliau mengeluh kerana ketua di tempat beliau bekerja disebutkan 'ego'. Apa sebab dikatakan begitu? Sebabnya adalah pada satu pagi ketuanya memanggil beliau untuk mewakili ketuanya dalam satu mesyuarat. Sahabat aku menerima arahan dari ketua untuk mewakili beliau. Tepat jam yang dijanjikan, sahabat aku berjalan pergi ke bilik mesyuarat. Beliau menunggu dan terus menunggu sehinggalah 20minit berlalu. Namun tiada seorang pun yang datang. Sahabatku kembali ke pejabat dan bertanya kepada ketuanya, betulkah ada mesyuarat seperti yang dinyatakan. Ketika itu barulah ketua tersebut pergi melihat jadual dan ternyata waktunya adalah salah. Mesyuarat yang sepatutnya petang dikatakan pagi. Namun yang menyakitkan hati adalah ketuanya dengan selamba memberitahu salah maklum dan terus beredar masuk ke biliknya tanpa memohon maaf.

Jadi aku terfikir, adakah KEBANYAKAN pemimpin bersikap ego dengan orang2 bawahan mereka? Adakah dengan memohon maaf kredibiliti mereka sebagai ketua akan jatuh? Tidak terfikirkah mereka bahawa mereka hidup di bumi yang sama, dosa pahala tidak mengira pangkat dan darjat, kaya miskin juga bukan hanya pada harta semata-mata..

*Peringatan buat diri sendiri
Baca selanjutnya...

Sunday, November 20, 2011

Rasulullah SAW garis empat tahap pendidikan jadi anak salih

ANAK anugerah dan nikmat terbesar daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Mutiara hati bagi pasangan ibu bapa ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan berlipat ganda jika mereka dididik dan dibentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh.

Sebaliknya, jika mereka diabaikan tidak mustahil akan menjadi anak yang terbiar dan pada masa depan menjadi sampah kepada masyarakat serta negara. Justeru, memiliki anak yang salih serta baik budi pekerti menjadi impian setiap ibu bapa dan keluarga.

Contohnya, kisah Nabi Zakaria yang sudah lanjut usia tetapi belum dikurniakan anak untuk menjadi pewaris keturunannya. Lalu Nabi Zakaria memohon dengan berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan anak yang soleh.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Surah Ali-Imran, ayat 38)


Anak kita sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih daripada sebarang kekotoran zahir ataupun batin. Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan mereka menjadi insan berjaya ataupun tidak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan.” (Hadis riwayat iman Muslim)

Menurut Islam memberi pendidikan kepada anak hendaklah dimulakan sejak awal lagi kerana pada usia sebegini segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka.

Ibnu Sina berpesan, katanya: “Ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai yang buruk.”


Rasulullah SAW menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak iaitu anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.

Tahap Kedua, anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab.

Tahap ketiga (15 hingga 21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan syariat.


Tahap keempat (usia lebih 21 tahun), hendaklah ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat supaya segala tindakan mereka terkawal.

Ibnu Khaldun membahagikan tujuan pendidikan kepada anak dalam tiga bentuk iaitu mempersiapkan anak dari segi keagamaan, akhlak dan pemikiran.

Ibu bapa tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan beranggapan kita sudah menunaikan kewajipan dan hak anak apabila mereka dihantar ke sekolah.
Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan mereka hidup tetapi memastikan mereka mempunyai prinsip teguh dan jati diri yang kuat.

Oleh itu, pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia penting untuk membantu mereka berdepan cabaran masa akan datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak kita mudah terpengaruh pelbagai pemikiran hingga sanggup menggadai prinsip kehidupan mereka.

Memelihara anggota keluarga daripada ancaman neraka tidak bererti mencegah mereka daripada maksiat. Kita juga mesti bersikap aktif mendidik dan menerapkan nilai murni dalam diri mereka sebagai kubu yang dapat menepis serta menapis pengaruh sekitar yang penuh mencabar.

Cuti sekolah sudah bermula dan ibu bapa hendaklah mengambil peluang ini mengatur program bermanfaat buat anak seperti menghadiri kem ibadah serta motivasi yang dianjurkan pelbagai pihak. Rancanglah sesuatu supaya cuti sekolah dimanfaatkan sebaiknya.

Jangan biarkan mereka sendiri yang menguruskan masa cuti tanpa sebarang pemantauan atau panduan kerana mutiara hati ini sebahagian daripada amanah Allah SWT yang akan dipersoalkan di akhirat nanti.

- Khutbah Jumaat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Baca selanjutnya...

Thursday, November 17, 2011

Tabung SERAMBI MEKAH Terima Derma RM5 Juta

KOTA BHARU, 17 Nov: Tabung Amanah Serambi Mekah mencipta sejarah baru sejak penubuhannya hampir 21 tahun lalu apabila menerima sumbangan derma peribadi sebanyak RM5 juta.

Dengan sumbangan tersebut, tabung berkenaan berjaya mengutip sebanyak RM6 juta bermula Januari tahun ini.

Bagaimanapun seorang penderma luar Kelantan itu tidak ingin dikenali identitinya disebut ‘hamba Allah’ pada majlis kutipan derma akaun Amanah Kebajikan (Tabung Serambi Mekah) ke-21 di sini tengah hari tadi.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Aziz ketika ditemui tidak menafikan ianya sejarah tersendiri bagi Tabung Serambi Mekah dengan sumbangan derma peribadi yang tertinggi sejak ianya ditubuhkan 21 tahun lalu.

“Perkembangan ini berlaku kerana kesedaran ajaran Islam yang murni menerapkan rasa tanggungjawab dan keinsafan terhadap penderma.

“Hasil didikan golongan alim ulama dan sebagainya berhubung tanggungjawab sebagai umat Islam, mereka akan menunaikan tanggungjawab itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada dermawan tersebut serta penderma lain termasuk agensi-agensi kerajaan, swasta dan sebagainya kerana sudi menderma.

Katanya, dengan sumbangan tersebut ianya dapat membantu mangsa-mangsa ribut, kebakaran, banjir dan bencana alam lain.

Beliau berharap ianya menjadi suntikan motivasi kepada masyarakat untuk turut menunaikan tanggungjawab itu.

Antara agensi kerajaan negeri yang menderma, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sejumlah RM405,000, PMBK (RM100,000) dan lain-lain.

Turut menyumbang syarikat-syarikat swasta, pejabat tanah jajahan dan majlis daerah seluruh Kelantan di samping sumbangan individu.

Turut berucap pada majlis itu anggota Exco kerajaan negeri yang mewakili Timbalan Menteri Besar, Dr Muhammad Fadzli Hassan.

Baca selanjutnya...

Monday, November 14, 2011

Konvensyen Pilihanraya DPP Malaysia 2011


















Firman Allah swt :

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.

Surah Al Anfal : ayat 60

Medan Pilihanraya yang dipilih oleh PAS sebagai mekanisma untuk menegakkan Islam dalam masyarakat, memerlukan kefahaman dan tindakan bersepadu ahlinya terutama pemuda dalam memastikan kemenangan Parti Islam ini.

Justeru itu, adalah wajar dan perlu bagi Dewan Pemuda PAS di semua peringkat menyediakan jentera yang mantap dan mempunyai asas kefahaman tentang gerak kerja pilihanraya berserta semangat juang yang tinggi untuk menempuh karenah perjuanhan ini.

Konvensyen Pilihanraya adalah salah satu medium bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia mengumpul semua pengarah-pengarah pilihanraya kawasan untuk diberikan suntikan semangat, taujihat, halatuju dan strategi menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 yang bakal dihadapi.

Tema Konvensyen Pilihanraya DPPM :

Gerak Sistematik Menang Pilihanraya

Peserta Konvensyen Pilihanraya DPPM.

• Pengarah dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Negeri & Wilayah
• Ketua Pemuda dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan
• Pengarah Pilihanraya dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan

Tarikh Konvensyen Pilihanraya DPPM.

19 November 2011 - sabtu

Tempat :

Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor,
Seksyen 7, Shah Alam Selangor.

Lampiran Tentatif :

TENTATIF KONVENSYEN PILIHANRAYA DPPM 2011

8.00 pagi ​: Pendaftaran [RM10 per individu]

9.00 pagi​: Ucapan Pengerusi Majlis

Bacaan Al Quran

​ Nyanyian Lagu PAS dan Pemuda

​Ucapan Aluan Sdr Mohd Sany Hamzan
[Pengarah Jabatan Pilihanraya DPPM]

​Ucapan Ustaz Nasruddin Hassan At Tantawi
[Ketua DPPM]

Ucapan Perasmian oleh :
Ybhg. Tuan Haji Mohamad Bin Sabu
[Timbalan Presiden PAS]

Pelancaran baju kerja Jab Pilihanraya & penyerahan panji-panji

Tayangan montaj

10.00 pagi ​: Rehat

10.30 pagi ​: Pembentangan Kertas Kerja

Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi
Peranan Pemuda hadapi PRU 13.

11.30 pagi​: Taklimat Khas

‘Road Map’ PAS Pusat dan dialog
​ YB Dato’ Paduka Hj Husam Bin Musa
(Naib Presiden PAS)

1.00 ptg​: Makan tengahari & Solat Zohor berjamaah.

2.00 ptg : Taujihat Khas oleh :

Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Syarat Kemenangan.
(Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia)

2.30 ptg​: Undang-undang Pilihanraya dan Hak Asasi Manusia

oleh : Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi
Jabatan Undang - Undang dan Hak Asasi Manusia [JUHAM]
Dewan Pemuda PAS Malaysia

3.30 ptg​: Bicara Panas Jabatan Pilihanraya PAS Pusat

1) YB Dr Hatta Ramli [Pengarah Pilihanraya PAS Pusat]
​2) Ybhg. Sdr Suhaizan Kaiat Pengerusi Lajnah Mobilisasi DPPM
3) Ybhg Sdr Mohd Sany Hamzan [Pengarah Pilihanraya DPPM] - moderator

4.45 ptg : Solat Asar berjamaah, al ma’thurat, doa wehdah dan bersurai



Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia
Baca selanjutnya...

Sunday, November 13, 2011

BACAKANLAH BUKU KEPADA ANAK-ANAK

Oleh Profesor Dr. Norimah A. Karim & Woo Pei Jun.

Perkembangan intelektual kanak-kanak merujuk kepada proses keupayaan pembelajaran yang diperolehinya semasa dia membesar. Sesetengah ibu bapa mungkin tertanya mengapa anak-anak rakan mereka lebih bijak daripada anak mereka walaupun menghadiri tadika yang sama.

Atau pun mengapa kanak-kanak lain yang berumur setahun telah mula bercakap sedangkan anak mereka tidak. Anda harus ingat bahawa setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza. Namun, jika anda mengesan perkembangan anak anda adalah lebih perlahan, terdapat beberapa ujian yang diguna oleh pakar psikologi untuk menilai perkembangan intelektual (IQ) anak anda.

Ujian-ujian yang lazim digunakan:

- Stanford-Binet

- Ujian kecerdasan minda Peabody Picture

- Ujian kosa kata Bayley Scales of

Kecerdasan diwarisi?

Ramai beranggapan bahawa otak dan seterusnya, kecerdasan ditentukan oleh genetik. Namun, kajian baru menunjukkan perkembangan otak kanak-kanak boleh dipengaruhi oleh persekitaran semasa zaman kanak-kanaknya seperti pemakanan, perubatan, emosi, dan sokongan intelektual yang optimum. Otak seseorang kanak-kanak mudah terpengaruh dengan pengalaman yang berbeza dan seterusnya menyebabkan perkembangan otak dalam cara yang berbeza. Apabila anak membesar, keupayaannya untuk menguasai bahasa, menyelesaikan masalah, dan berinteraksi dengan orang lain dipengaruhi oleh pengalamannya semasa dia masih kecil. Pengalaman yang baik akan membantu perkembangan otak yang baik, sementara pengabaian dan penderaan akan menyebabkan kanak-kanak lebih cenderung kepada pelbagai masalah seperti IQ yang lebih rendah ataupun gangguan emosi.

Ibu bapa adalah penjaga anak, justeru mereka merupakan individu utama untuk membantu anak belajar dan berkembang dari segi mental. Rangsangan dan interaksi merupakan aspek yang paling penting untuk perkembangan otak. Berikut adalah cara-cara yang boleh menggalakkan anak anda untuk belajar dan berkembang dengan baik:

1. Apabila dia mula "bercakap". Anak anda sering memerhatikan gerak-geri anda kerana dia tertarik kepada pelbagai bunyi yang dihasilkan oleh peti suara anda. Balas bunyi-bunyian anak anda dan berikan senyuman, bercakap dengannya dan namakan objek yang anda pegang atau biasa dimain olehnya. Membaca bersama juga membantu anak mempelajari kepentingan bertutur, walaupun dia masih tidak faham atau tidak dapat mengulangi perkataan-perkataan tersebut.

2. Apabila dia mula menunjukkan minat terhadap apa yang dilihat. Anak anda ingin tahu tentang perkara di sekitarnya. Galakkan sifat ingin tahu anak dan membantu merangsangkan pemikiran dan pembelajarannya dengan menggunakan alat permainan seperti blok yang berbeza bentuk dan warna. Tunjukkan gambar-gambar haiwan, buah-buahan, sayur-sayuran atau kenderaan kepadanya. Anda juga boleh menceritakan kepadanya tentang perkara yang dialami oleh anda setiap hari.

3. Apabila dia mula bergerak. Anda boleh membantu merangsang sensasi sentuhannya menggunakan objek atau alat permainan yang berlainan tekstur, saiz dan bentuk. Anda juga boleh menggantung alat mainan bergerak pada katil bayi untuk membantu memperkembangkan kemahiran motor anak dengan menggalakkan pergerakan tangan dan kakinya semasa dia cuba menyentuh objek tersebut. Apabila dia mencapai umur 13-17 bulan, anda boleh memegang tangannya dan berjalan bersama-sama sambil membenarkan dia menerokai alam sekelilingnya. Cuba memberi peluang kepadanya untuk berjalan sendiri, tetapi anda harus memastikan persekitaran tersebut adalah selamat untuk berbuat demikian.

Pemakanan

Selain daripada rangsangan dan interaksi, pemakanan yang sihat adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan otak. Sesetengah nutrien seperti phospholipids, omega 3 dan omega 6, docosahexaenoic acid (DHA) dan arachidonic acid (AA) penting untuk perkembangan otak yang baik. Nutrien-nutrien ini terdapat dalam soya, telur, ikan berlemak seperti tuna dan sardin, serta walnut.

Taurine, choline dan zat besi adalah micronutrien yang penting untuk menyambung rangkaian antara sel-sel otak. Sumber makanan yang mengandungi nutrien termasuk kekacang, sayuran berdaun hijau, bijirin penuh, brokoli, kuning telur dan daging.

Nutrien lain yang turut penting seperti antioksidan (lutein, selenium, vitamin A, C dan E) dan zink, adalah berfungsi untuk melindungi sel-sel otak. Anda boleh memperolehi nutrien ini daripada buah-buahan dan sayur-sayuran, teh, prun dan juga keju.

Jangan lupa anak anda perlu makan pelbagai jenis makanan untuk mendapatkan semua nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan. Produk susu adalah sumber makanan yang baik yang mengandungi pelbagai nutrien. Ibu harus mendapatkan formula susu yang telah dan diuji secara saintifik di kalangan kanak-kanak.

Profesor Dr. Norimah A. Karim ialah pakar pemakanan dan Woo Pei Jun merupakan pensyarah serta pakar psikologi perkembangan.

Rencana ini adalah sumbangan Program Pemakanan di bawah Program Asuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia, dan disokong oleh geran pendidikan daripada Abbott Nutrition International. Untuk maklumat lanjut, sila ke laman web www.mypositiveparenting.org
Baca selanjutnya...

Sultan Muhammad V Prihatin DUNIA AKADEMIK

KOTA BHARU, 13 Nov: Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri yang dizahirkan pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri 2011 di Istana Balai Besar semalam bukan saja menggambarkan sikap Sultan Muhammad V dalam memayungi rakyat jelata, bahkan pengurniaan itu adalah sebagai pengiktirafan baginda kepada dunia akademik dan warga univsersiti umumnya.

Ini kerana pada istiadat penzahiran penerimaan ketandaan darjah kebesaran itu terdapat golongan pakar, ahli akademik dan pensyarah universiti turut menerimanya.

“Dan itu menunjukkan Tuanku memberi perhatian kepada perkembangan akademik di negara kita,” kata Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff (gambar).

Pada penzahiran pengurniaan ketandaan darjah dan kehormatan kebesaran itu Agus dikurniakan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yangt Amat Terbilang (Al-Ibrahimi II) (D.P.S.K).

Turut menerima kurniaan kehormatan kebesaran bagi darjah yang sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Profesor Dr Rujhan Mustafa.

Menerima kurniaan yang sama Pakar Perunding Kanan Kardiologi Jabatan Perubatan Hospital Universiti Sains Malayusia (USM) Kubang Kerian, Profesor Dr Zurkurnai Yusof.

Majlis itu sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-42 Sultan Muhammad V.

“Yang penting pengiktirafan Tuanku kepada ahli akademik,” tegas Agus.

Mengulas lanjut, beliau melahirkan rasa teruja kerana Sultan Muhammad V turut memberi pengiktirafan itu kepada ahli akademik dan pensyarah universiti.

“Ramai Prof Madya mendapat pingat pada hari ini daripada Tuanku. Dan itu adalah menunjukkan Tuanku memberi perhatian kepada perkembagan akademik di negara kita.

“Dan saya, alhamdulillah, menjunjung kasih mendapat anugerah D.P.S.K, dan pada saya, saya fikir ‘ilmu’ itu akhirnya dihargai oleh baginda Tuanku,” katanya.

Beliau turut mengulas kebebasan dunia akademik.

Menurutnya, kebebasan akademik itu wajib ada pada universiti.

Ini kerana dengan kritikan dan pandangan keilmuan itulah menyebabkan universiti itu wujud.

Beliau mengakui bahawa dari segi menyuarakan pendapat, termasuk membabitkan bidang perundangan aalah tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Saya fikir tiada halangan, dan saya sendiri tidak pernah ada halangan di UKM.

“Ini dibuktikan bahawa kejujuran akademik itu apa yang ilmu kata ianya ‘benar’ maka itu yang kita suarakan.

“Dan insya Allah, kita berperanan dalam membangunkan negara bangsa ini,” katanya sambil akur bahawa perbezaan pendapat itu perlu diraikan.

Bahkan, kata Agus, dalam Islam perbezaan pendapat itu rahmat, dan tidak menjadi masalah.

“Itu dibenarkan oleh agama dan dibenarkan oleh undang-undang untuk kita meraikan perbezaan pendapat.

“Bahkan saya tidak ada masalah di UKM, sebab saya buat sesuatu itu di atas niat dan kejujuran akademik,” katanya.

Baca selanjutnya...