Saturday, August 15, 2009

Train Of Trainer.....PLKN...






assalamualaikum wr wbt.....salam sejahtera buat sahabat semua....selamat berkonvoksyen buat sahabat2 terutama sahabat2 yang berada di Fakulti Pengajian Islam, UKM...semoga kalian dapat meneruskan tugas kalian sebagai khalifah Allah di bumi ini tanpa merasa alpa dan leka...pada kali ni, aku ingin berkongsi sedikit pengalaman yang aku lalui bersama beberapa rakan...pada 7-9 hb Ogos yang lepas, aku telah mengikuti program Train of Trainer yang dianjurkan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara yang bertempat di Hotel Dynsty, Jalan Ipoh, KL...program yang dianjurkan adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada bakal pengajar yang akan mengajar pelatih2 PLKN di semua kem PLKN di negara ini...terdapat tiga modul yang diberikan penekanan oleh penceramah yang meliputi Modul Keagamaan, Modul Kebudayaan dan Modul Peranan Lelaki dan Wanita....
Baca selanjutnya...

Friday, August 14, 2009

Pergi Tak Kembali.....al-fatihah...

Asri pergi tak kembali

"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga" – RAMLI MS




PASTINYA lirik puitis penuh sentuhan rohani di sebelah cukup kuat untuk mengingatkan kita semua kepada figura bernama Mohd. Asri Ibrahim, vokalis dan juga ketua kumpulan nasyid terkemuka, Rabbani.

Benarlah, setiap insan pasti akan merasa saat perpisahan yang terakhir kerana pada tanggal 13 Ogos 2009 lalu (semalam), kira-kira seminggu sebelum Ramadan 1430 Hijrah menjelang tiba, seluruh jiwa yang mengenali Asri bagaikan terpana dipukul halilintar.

Suasana ceria, teruja dan gembira tiba-tiba bertukar menjadi kalut dan cemas, anak kepada Robiah Ehsan, 70, yang sedang berdiri hendak memulakan sesi latihan menjelang satu majlis pelancaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) rebah dan nazak. Setengah jam kemudian, berita pemergiaannya diketahui umum.

Perginya Asri tanpa pesan. Tanpa ucap selamat tinggal buat semua, kepada peminat yang sentiasa menyanjungi, sahabat seperjuangan mahupun buat keluarga tercinta.

Hanya lunak suaranya yang tinggal jadi kenangan dan lagu Pergi Tak Kembali seakan-akan mendayu-dayu, merintih dalam sendu dan tangis saat kerandanya di usung menuju ke persemadian terakhir di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam semalam.


ALLAHYARHAM Asri mengetuai kumpulan Rabbani sehingga berjaya menjadi kumpulan nasyid paling disegani dalam industri muzik tanah air.


Lagu yang ditulis sendiri oleh Allahyarham, Pergi Tak Kembali, itu cukup mengingatkan semua tentang kematian dan bekalan yang perlu dipersiapkan setiap makhluk bernama manusia.

Kata seorang teman Che Amran daripada kumpulan Raihan yang telah lama mengenali Asri : "Dalam hati saya, setiap kali mendengar berita kematian sesiapa sahaja termasuklah rakan-rakan, saya berkata, biarlah, itu takdir. Tapi saya selalu minta kepada Tuhan, janganlah orang berkenaan Ustaz Asri.

"Tapi panggilan Ilahi tidak mampu dilawan. Hari ini (semalam) Ustaz Asri dijemput Ilahi. Mulanya saya anggap berita yang diterima menerusi panggilan telefon sekadar gurauan.

"Dalam berdebar-debar, saya hubungi Azadan (anggota Rabbani) dan barulah saya tahu, benarlah Asri sudah tiada."




Bagi pencinta dan seluruh penggiat muzik nasyid di Malaysia, nama Asri muncul nombor satu sebagai tiang yang menjadi tunjang kekuatan. Dialah sumber inspirasi kepada mana-mana sahaja anak-anak muda yang mula ingin menginjak ke dunia nasyid.

"Bagi saya, Allahyarham adalah pahlawan sejati kepada perkembangan muzik nasyid kontemporari. Dialah pahlawan yang akan mengetuai gerakan kami.

"Dialah satu-satunya orang yang akan menjadi rujukan dan inspirasi penyanyi nasyid baru. Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham sewaktu Allahyarham masih bersama Nada Murni lagi," tambah Che Amran yang ditemui di lobi Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Kuala Lumpur ketika menziarahi jenazah Asri.

Pemergian Allahyarham pada usia 40 tahun sungguh mengejutkan dan merupakan kehilangan besar kepada negara khususnya kepada bidang dakwah Islam menerusi seni.

Keunggulan anak ketujuh daripada 13 adik-beradik itu di mata pencinta muzik nasyid bukan hanya tertumpu kepada keindahan melodi dan kelunakan suaranya yang sukar ditemui persamaan dengan mana-mana penyanyi nasyid yang ada.


ALLAHYARHAM Asri menghabiskan hampir dua dekad hidupnya dalam muzik nasyid.


Sebaliknya pengetahuan agama yang tinggi dan pekerti Asri itu sendiri sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja pantas menyenangi kehadirannya.

Dua hari sebelum kematiannya, Allahyarham bersama ahli kumpulan Rabbani yang lain iaitu Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Loqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman sempat mengadakan satu sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama dengan Hotel Singgahsana, hotel yang tidak pernah mengenepikan nama Rabbani apabila tibanya Ramadan sejak 12 tahun lalu.

Seraya tersenyum, ini antara bait-bait terakhir yang dilafazkan Allahyarham ketika sesi sidang media itu berlangsung: "Orang kata, apabila tiba bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja dan banyakkan ibadah, tetapi bagi saya pula, kerja ini (membuat persembahan) merupakan ibadah kepada saya."

Kepada Ustaz Asri, semua perlakuan, perbuatan dan aktiviti seni yang diceburinya sejak bersama Nada Murni lagi merupakan satu ibadah. Lirik-lirik yang ditulis Allahyarham sendiri banyak berkisar tentang dakwah Islam yang mengajak umat agar kembali ke jalan Allah.

Sejarah awal

Menyingkap sejarah awal pembabitan Allahyarham dalam dunia seni segalanya bermula pada tahun 1991 apabila Allahyarham mula berjinak-jinak dengan kumpulan nasyid Nada Murni dan semakin serius apabila tertubuhnya kumpulan Rabbani pada 1 Mac 1997.

Meskipun kemunculan kumpulan Rabbani di persada muzik tanah air dipandang enteng pada awalnya tetapi itu sedikit pun mematahkan semangatnya walaupun ketika itu nama Raihan sedang mewangi di kalangan peminat nasyid.


ALLAHYARHAM melayan peminat ciliknya dalam satu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri.


Rabbani mengejutkan banyak pihak apabila tampil bersama 13 ahli kumpulan dan menjadi satu-satunya kumpulan nasyid di Malaysia yang mempunyai anggota paling ramai.

Dalam soal keahlian dan tanggungjawab menjaga keutuhan kumpulan agar tidak berlaku onar yang meretakkan hubungan sesama ahli, Ustaz Asri sendiri pernah menjelaskan, keakraban dan setiakawan adalah kunci kekuatan mereka untuk bertahan sehingga kini.

Perkara itu diakui oleh komposer dan pengarah muzik terkenal Ramli MS. Katanya, apa yang menjadikan Asri satu nama besar dalam industri muzik nasyid adalah keunikan suaranya yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

"Saya individu yang mendengar muzik setiap hari tetapi setiap kali mendengar nyanyian daripada Allahyarham, telinga saya bagaikan tertusuk sesuatu yang indah.

"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga," ujar Ramli.


KUMPULAN Rabbani pernah berduet dengan penyanyi Amy Search (empat dari kanan) menerusi lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.


Selama 12 tahun kumpulan Rabbani ditubuhkan, kumpulan nasyid yang dianggap pencabar terdekat kepada Raihan itu melalui banyak fasa termasuklah menyesuaikan muzik nasyid tradisional dengan elemen-elemen muzik dari luar negara.

Bermula daripada konsep nasyid klasik melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut cita rasa yang sesuai dengan era terkini.

Sehingga kini bersama Rabbani Allahyarham sudah menghasilkan 18 buah album. Bukan itu sahaja, keunggulan Asri dan Rabbani dibuktikan menerusi pelbagai pencapaian dan anugerah yang telah diraih. Ini termasuklah kemenangan demi kemenangan kumpulan Rabbani dalam Anugerah Industri Muzik.


SAAT manis ketika Allahyarham Asri bersama isteri, Halizah Shahzan dalam satu temu bual untuk ruangan Intuisi Cinta Kosmo!.


Seorang teman seperjuangan Allahyarham, penyanyi Yassin yang ditemui menyifatkan pemergian arwah satu kehilangan yang besar dalam industri muzik Malaysia.

"Ini kehilangan yang besar pada industri muzik sebab ramai orang yang membesar dengan lagu-lagu Rabbani. Saya sendiri terkejut sebab tidak tahu dia ada penyakit kronik kerana dua tiga hari sebelum ini saya baru jumpa arwah dan tidak nampak sebarang perubahan langsung.

"Arwah juga seorang yang baik. Tanyalah sesiapa sahaja, pasti tiada seorang pun yang tidak suka akan personalitinya," ujar Yassin sambil menitiskan air mata.

Sesungguhnya, apa yang tercatat menerusi penulisan ini tidak dapat menggambarkan keseluruhan riwayat hidup yang pernah dilalui oleh seorang hamba Allah, seorang lelaki, seorang penasyid, seorang penghibur, seorang pendakwah, seorang suami dan seorang ayah bernama Mohd. Asri Ibrahim.


ALLAHYARHAM bersama isteri dan anak tercinta (dari kiri) Sofiyah Munawarrah, Nor Afikah, Mohd. Ilham, Mohd. Fathi, Halizah Shahzan, Hamdi Rabbani dan Najmuddin.


Disahutnya panggilan Ilahi tanpa mengundang banyak keresahan keluarga, peminat dan rakan-rakan, Allahyarham Asri telah pergi meninggalkan semua dalam sekelip mata.

Sepantas itu nyawanya diambil semula oleh Sang Pencipta. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, Asri pergi dan takkan kembali lagi.

Allahyarham yang meninggal dunia pagi semalam ada menulis dalam blognya asrirabbani@blogspot.com yang berbunyi: "Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat. Aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...."

Baca selanjutnya...

Monday, July 20, 2009

Isra` dan Mikraj

Assalamualaikum wr. wbt...dah lama aku tdk mengisi ruangan blog ni...Pada kali ini, topik yang ingin aku utarakan adalah berkaitan satu peristiwa agung dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Isra` dan Mikraj....semoga dengan perkongsian ilmu ini dapat memberi peringatan dan penetahuan yang telah srba tahu buat sahabat sekalian...buat para sahabat yang berpuasa pada hari ini, selamat berpuasa, semoga ada hikmah disebaliknya...amin...


1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketulan hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanaman dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang kali. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tdk mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghina) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke usia tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

- Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

- Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

- Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.

- Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

- Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

- Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

- Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

- Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

- Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

- Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1). wallahua'lam..
Baca selanjutnya...

Sunday, June 21, 2009

SeLaMaT HaRi BaPa


salam alaik...buat para bapa sama ada yang dipanggil dengan gelaran ayah, abah, abi, walid, atau sebagainya, aku ingin ambk kesempatan ni utk ucapkan selamat hari bapa.....buat ayahanda, Supi bin Yusoff selamat hari bapa jua diucapkan...semoga hidupmu diberkati,dipanjangkan umur dan chat sokmo....
buat sahabat2ku, ingatlah segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh orang tua kalian....hargai setiap titik peluh, usaha dan perkara yang mereka lakukan buat kalian...
Baca selanjutnya...

Thursday, May 28, 2009

Balik Kampung Daa.......

As’kum wr. Wbt...

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya hamba yang kerdil di bumi ini dapat menghantar Latihan Ilmiah kepada penyelia tepat jam 2.45 petang bertarikh 28 Mei 2009. Sebenarnya sudah lama penyeliaku, Prof Dr. Ismail Bakar suruh aku jilid tesis tersebut, namun atas beberapa hal yang tidak dapat aku elakkan, maka lambatlah jilidnya. Biasala, aku ni jenis yang pemalas ckit. Itulah sebabnya aku lambat jilid walaupun dah berminggu penyelia suruh jilid....he3...terima kasih diucapkan buat penyelai latihan ilmiahku di atas sikapnya yang sporting dalam menyelia anak buah seliaan beliau seramai lima orang..

Jilid sudah, hantar pun sudah kat penyelia & jabatan...namun hari ini aku kena musibah ckit..mase aku pegi PTSL dengan member aku utk pinjam buku utk fotostat, topi keledarku telah hilang(kena curik daaa)....nasib baek member aku ade, utk menenangkan aku yang `panas’ ketika itu. Tapi apa nak buat, da nasib...lagipun clap aku jugak cz aku tidak letak leklok topi tu... Apapun, selepas kluar dari PTSL, pergi kat UO ambik topi member, kami berdua pergi ke Pustaka Rakyat di Seksyen 7..Hampir 3jam kami kat sana. Maka jumpalah beberapa buah buku. Aku yang kebetulan ada duit lebih belilah 3 buah buku...Tafsir Pimpinan al-Rahman, buku pasal penyakit dan juga buku motivasi karangan H.M. Tuah...member aku pon beli 3 buah buku gak, tapi buku yg berlainan r..Itulah bekalanku untuk balik kampung dan menambahkan koleksi buku2 yang sedia ada dalam simpananku.

Dikesempatan ini aku ingin ucapkan selamat bercuti buat sahabat2 seperjuangan. Tidak dilupakan ucapan maaf dariku di atas segala salah silap, terlanjur kata ketika berbicara dengan kalian. Ukhwah dibina atas tali kejujuran, sahabat sejati itu yang kucari...

Berbicara pula pasal balik kampung, aku sudah lama tidak pulang ke kampung. Rindu bertaut, sayang menjelma bila tiap2 hari aku teringatkan family kat umah. Rasanya semester ni aku hanya pulang sekali sahaja ke kampung. Itu pun pada cuti hari raya cina, aku pulang utk ambik laptop(pinjam laptop adik daa). Tu pon aku balik dua ari je..Insya Allah jika tiada aral, aku akan pulang ke kampung pada hari Ahad 1hb Jun..eh eh....2hb besday adik aku lak...tp abangmu ini xada hadiah utkmu ...hehehe...

Ok lah, setakat ini saja coretan meraban aku pada kali ini. Diharap para pembaca jangan mengutuk aku erk...cz mengutuk atau mengumpat tu boleh mendatangkan dosa kepada pembuatnya..hehehe (”,)

wassalam

Baca selanjutnya...

KeLeBiHaN TuJuH

Apa ada pada nombor? Jika kebiasaannya semasa aku melawati blog2 kebanyakan orang, akan terpantullah perkataan `ada apa pada nama’. Tapi kali ini, aku ingin kongsi dengan sahabat2 berkaitan dengan nombor. Nombor yang aku maksudkan adalah nombor TUJUH. Utk pengetahuan sahabat semua, nombor ni merupakan nombor kegemaran aku. Antara sebab aku minat nombor tujuh ini adalah aku dilahirkan pada tujuh haribulan, dilahirkan pada bulan tujuh(7/7), nombor telefon aku banyak nombor tujuh, bilik masa first year pon ada tujuh, adik beradikku jugak tujuh orang, umah aku pon alamatnya blok G-67, dan banyak lagi lah yang berkaitan dengan tujuh ni dalam hidupku. Dua hari lepas aku telah terlihat sebuah buku di bilik sahabatku yang bertajuk ”Rahsia dan Kelebihan Hari Dalam Islam terbitan Bofids Trading. Buku ni dikeluarkan pada tahun ini. So, marilah kita menghayati apakah kelebihan nombor tujuh ini.

Menurut Imam Abu Nashr Muhammad bin Abdurrahman al-Hamdaniy:”Ketahuilah bahawa zat Pencipta yang sangat besar kekuasaanNya dan sangat tinggi kalimahNya serta berterusan nikmatNya telah menghiasi tujuh perkara dan menghiasinya pula bagi setiap tujuh perkara itu dengan tujuh perkara lainnya. Untuk mengkhabarkan kepada orang2 yang berilmu bahawa tujuh itu mempunyai rahsia yang sangat besar dan kedudukan yang agung di sisi Allah S.W.T..

Allah menghiasi angkasa dengan tujuh lapis langit. Sebagaimana firman-Nya :

“Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kukuh” (Al-Naba’ : 12)

Terjemahan :

“Allah Yang menciptakan tujuh petala langit dan (ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (berlakunya Yang demikian) supaya kamu mengetahui Bahawa Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan Bahawa Sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmunya akan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Thalaq : 12)

Seterusnya orang yang berakal akan mengerti dan mengetahui bahawa tujuh lapis langit, tujuh lapis bumi, tujuh jenis lautan, tujuh jenis peringkat syurga dan neraka dan lain-lain lagi yang dikaitkan dengan angka tujuh. Apakah Allah S.W.T. menciptakan angka tujuh secara kebetulan, tanpa memiliki rahsia tersendiri? Sesungguhnya kita semua tahu bahawa Allah tidak pernah menjadikan sesuatu tanpa mengandungi tujuan tertentu dan lebih dahulu menerusi perancangan yang jitu kerana memang Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.

Pertama : Allah menghiasi bumi ini dengan mengadakan tujuh lapis langit di atasnya, sebagaimana dijelaskan di dalam firman-Nya :

Terjemahan :

“Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kukuh”

Kemudian, ketujuh-tujuh langit tu dihiasi oleh Allah dengan menciptakan tujuh bintang padanya.

Kedua : Allah S.W.T. menghiasi tanah yang luas dengan tujuh lapis bumi yang ada ini, sebagaimana disebutkan di dalam al-Quran :

Terjemahan :

“Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (ia menciptakan) bumi”

Kemudian bumi yang luas itu dihiasi oleh Allah S.W.T. dengan menciptakan tujuh lautan, seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya :

Terjemahan :

“Dan sekiranya Segala pohon Yang ada di bumi menjadi pena, dan Segala lautan (menjadi tinta), Dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (surah Luqman : 27)

Ketiga : Allah S.W.T. pula menciptakan tujuh peringkat neraka dan dihiasi ketujuh-tujuh neraka itu dengan tujuh pintu, sebagaimana dijelaskan di dalam ayat di bawah ini :

Terjemahan :

"Ia mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian Yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)". (surah al-Hijr : 44)

Keempat : Allah S.W.T. juga menghiasi al-Quran itu dengan surah-surah, lalu surah-surah itu dihiasi pula dengan satu surah yang berisi tujuh ayat, iaitu surah al-Fatihah, sebagaimana firman-Nya :

Terjemahan :

“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (Wahai Muhammad) tujuh ayat sang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.” (surah al-Hijr : 87)

Kelima : Allah S.W.T. menghiasi manusia dengan anggota badan yang jumlahnya tujuh, iaitu dua tangan, dua kaki, dua lutut, dan satu wajah. Kemudian Dia menghiasinya pula dengan tujuh bentuk ibadah : dua tanga digunakan untuk bermunajat dan berdoa, dua kaki digunakan untuk berjalan, dua lutut digunakan untuk duduk dan satu wajah digunakan untuk bersujud. Hal ini telah dijelaskan di dalam al-Quran :

Terjemahan :

“Sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!” (surah al-`Alaq : 19)

Keenam : Allah S.W.T. menghiasi usia manusia dengan tujuh peringkat iaittu ketika baru lahir, usia pisah dari menyusu, kanak-kanak, remaja, pemuda, dewasa dan tua. Kemudian dihiasi pula dengan tujuh perkataan :

Terjemahan : “Tiada Tuhan (yang sebenar) melainkan Allah, Muhammad adalah Rasul Allah.”

Allah S.W.T. berfirman :

Terjemahan :

“Dan Allah menzalimkan (mewajibkan) kepada mereka akan kalimah takwa, dan merekalah lebih berhak kepadanya dan paling berhak (pula) memilikinya (kalimah yang tujuh itu).” (surah al-Fath : 26)

Ketujuh : Allah S.W.T. menghiasi bumi dengan tujuh iklim dan perubahan cuaca iaitu :

i) Hindustan, ii) Hijaz, iii) Bashrah, Badiyah dan Kufah, iv) iraq, Syam, Khurasan hingga Balakh, v) Rom dan Armenia, vi) negeri Ya’juj dan Ma’juj, vii) China dan Turkistan.

Kemudian menghiasinya dengan tujuh hari iaitu Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat.

Kesimpulannya, semua penciptaan yang ada kaitan dengan angka tujuh itu bukanlah secara kebetulan. Yang bertanggungjawab menciptakannya adalah Zat yang Maha Mencipta. Dia Maha Memberi Rezeki, Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan setiap makhlukNya.

Baca selanjutnya...

Wednesday, May 27, 2009

JuJuR DaLaM PeRniAGaaN

AGAMA bagi Muslim bersangkutan dalam segenap aspek kehidupan, tidak seperti golongan bukan Islam, yang mempraktikkan etika agama dan urusan dunia secara berasingan, sekali gus mengizinkan mereka melakukan segala keinginan. Muslim tidak terlepas dengan etika digariskan agama dalam usaha untuk mencapai keselesaan, kesenangan dan kekayaan, termasuklah dalam bidang perniagaan. Ada yang mahu barang laris, keuntungan berganda dan cepat kaya sehingga sanggup mengadai prinsip agama dan menzalimi pihak lain. Senario yang berlaku hari ini memang mengecewakan. Mereka mengaburi pengguna dalam pelbagai sudut, bermula dengan janji manis ketika tawar menawar sehinggalah penetapan harga, kualiti dan kuantiti barang. Muslim sepatutnya mengamalkan etika dan nilai mengikut piawai ditetapkan dalam berurus niaga, tidak kiralah dia penjaja kecil, usahawan atau ahli perniagaan.

Dalam hubungan ini, Presiden Majlis Fiqah Amerika Utara, Dr Muzammil Siddiqi menjelaskan kisah Nabi Syu'aib a.s yang diutuskan kepada penduduk Madyan pada zaman Nabi Ibrahim a.s wajar diteladani. "Baginda diutuskan terhadap golongan yang terbabit dalam perniagaan. Golongan ini sangat bangga dengan pengetahuan perniagaan dimiliki dan kejayaan dicapai. Tetapi mereka tidak jujur," katanya.

Al-Quran menceritakan usaha Nabi Syu'aib menasihati mereka. Baginda menggesa mereka mematuhi etika dalam perniagaan seperti menyempurnakan sukatan dan timbangan dengan adil, tidak menzalimi orang lain dan membawa kerosakan. Mereka dengan angkuh tidak mahu menerima nasihat itu. Mereka marah dan menasihati baginda jangan mencampurkan agama dengan perniagaan. Tetapi kesudahannya mereka yang binasa, sedangkan Nabi Syu'aib terselamat.

Dr Muzammil berkata, ini memberikan gambaran bahawa setiap orang mesti mengamalkan etika mengikut piawai dalam perniagaan. Menurutnya, perniagaan dan etika tidak berasingan, bahkan ia berhubungkait, sebagaimana yang ditunjukkan manusia yang paling ideal dalam segenap aspek, Nabi Muhammad s.a.w. "Baginda adalah guru, pembimbing, pemidato dan pemimpin terbaik, penggubal undang-undang, hakim dan diplomat, perunding dan jeneral tentera terbaik, ketua keluarga, suami, bapa dan datuk yang pengasih serta jiran dan sahabat yang baik."

Rasulullah dipilih Tuhan menjadi nabi dan rasul terakhir pada usia 40 tahun. Sebelum itu baginda terkenal sebagai seorang ahli perniagaan yang sangat jujur dan berjaya. Makkah adalah tempat kelahiran baginda sangat popular dari dulu. Kafilah dari Syria di utara dan Yaman di selatan menjadikan kota itu sebagai laluan perniagaan. Baginda dilaporkan turut menyertai kafilah ini. Katanya, Rasulullah melalui perjalanan ke Syria, Yaman, Bahrain dan banyak lagi tempat di Arab Saudi melalui kafilah ini.

"Bahkan, sesetengah ahli sejarah mengandaikan yang baginda juga meneruskan perjalanan ke Iraq dan Ethiopia," katanya.

Sejak usia awal lagi baginda terbabit dalam perniagaan. Baginda mempunyai reputasi yang baik, sebagai ahli perniagaan bekerja kuat, jujur, benar dan sangat berjaya. Berasaskan reputasi ini Khadijah, ahli perniagaan yang kaya raya menggajikannya untuk melakukan perniagaannya. Sebelum itu ada pemuda lain yang berminat untuk bekerja dengan beliau, tetapi ditolak kerana tidak jujur.

Dr Muzammil menegaskan, prinsip umum yang mesti dipatuhi antaranya, tiada penipuan, penjual mesti mengelakkan daripada melakukan banyak sumpah apabila menjual barang, adanya persetujuan, tepat terhadap timbangan dan ukuran. Menurutnya, peniaga dilarang melakukan monopoli (perdagangan dalam kawalan seorang), kerana Nabi s.a.w melarang amalan itu, malah tindakan itu dihukumkan berdosa.

Kitab fiqah mengenai rukun jual beli, menjelaskan barang yang diniagakan itu mestilah suci, ada manfaat, dapat diserahkan kepada pembeli, kepunyaan penjual dan diketahui kedua-dua pihak mengenainya, termasuk bentuk, ukuran dan sifatnya.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Zaharuddin Abd Rahman, dalam artikelnya, berkata di dalam Islam setiap penjual berhak menentukan harga barangan yang dimilikinya, namun ia masih terikat dengan harga pasaran. "Justeru, harga yang ditawarkan hendaklah diterima harga pasaran, jika ia mahu keluar dari harga pasaran, ia mesti mempunyai sesuatu nilai tambah unik pada kualiti barangan itu.

"Tidak dibuat dengan tujuan spekulasi (harga yang ditawar bukan bertujuan untuk jual beli sebenar tetapi hanya dibuat bagi memberi kesan kepada harga pasaran semasa) atau bagi menaikkan harga pasaran," katanya. Beliau berkata, jika ia ada tujuan tidak sihat seperti usaha untuk menaikkan harga melalui sorokan barangan hingga harganya meningkat, mengambil peluang atas kelemahan pembeli terhadap harga pasaran, harga yang tinggi tadi menjadi haram.

Dalam disiplin perniagaan hari ini globalisasi sepatutnya difahami lebih positif yang menunjukkan semua orang boleh bertolak ansur dan sepakat seperti dalam satu keluarga, bukan mengambilnya sebagai loncatan untuk bersikap lebih rakus. Semua pihak sepatutnya dilayan dengan hormat, sama rata dan adil. Eksploitasi terhadap sesetengah pihak sepatutnya dihentikan dan tidak timbul perbezaan sesama manusia berdasarkan bangsa, warna kulit, warganegara, jantina atau agama. Ini kerana kemakmuran sumber bumi bukan hanya untuk segolongan dan terpakai bagi satu generasi saja, tetapi ia khazanah yang perlu dikongsi bersama. Siapa pun kita dan di dalam bidang apa kita usahakan, tetap terikat dengan etika.

Baca selanjutnya...